12 December 2009

TANGGAL PENUH MAKNA

Merenung kembali cuti dua hari pada hujung minggu yang lalu, sungguh memberi erti dalam diari kehidupan ini.


Dalam debaran menunggu jam tujuh pada malam 6 Disember, saya tidak dapat menolak pelawaan suami untuk mengikut beliau ke Birmingham, menghadiri satu program bersama penuntut-penuntut universiti sehari sebelumnya.


Sementara menunggu suami selesai berprogram, saya dan anak-anak menumpang teduh di salah sebuah rumah warga Malaysia di sana. Kenalan baru, sepasang suami isteri punya anak tiga. Lelaki belaka. Salah seorang dari mereka, masih bayi. Baru berusia 35 hari.


Walau sibuk mengurus anak-anak yang masih kecil, pasangan ini masih punya luang masa untuk melayan kami. Turut datang bertamu bersama saya dan anak-anak di rumah mereka, ialah isteri dan anak-anak Ustaz Maszlee dari Durham.


Meriah sungguh suasana dengan riuh tawa dan tangis si manja. Ditambah pula, kehadiran beberapa rakan warga Melayu Birm yang lain, membantu menyediakan hidangan pagi, tengahari dan malam untuk santapan kami.


MEREKA YANG TABAH

“Anak saya ni doktor telah sahkan mengidap hidrosefalus sejak sebelum dilahirkan lagi, kak..” tenang bicara tuan rumah lewat perbualan kami sambil menjamah hidangan pagi.

“Itu istilah untuk apa ye ?” saya bertanya. Sebetulnya, saya memang tidak banyak mengetahui istilah perubatan moden seumpama itu.

Lagi pula, saya tidak dapat mengesan kelainan luar biasa pada si kecil yang masih terlena. Sekilas pandangan mata, si kecil itu sama sahaja seperti bayi-bayi lain yang baru mengenal dunia.

“Oo..kalau akak tengok betul-betul, kepala anak saya ini lebih besar dari biasa. Ia disebabkan penambahan jumlah cecair dalam otak. Menurut doktor hidrosefalus di kalangan bayi dan kanak-kanak menyebabkan kepala mereka membesar kerana struktur tengkorak belum bercantum,” jelasnya lagi.

Saya hanya menganggukkan kepala. Memerhati penuh simpati pada seraut wajah suci. Kelihatan urat-urat hijau mulai timbul di tepi telinga kanan dan kiri.

SYUKURI NIKMAT

Memandang wajah tenang si ibu yang menyusukannya penuh kasih, meruntun hati untuk memuhasabah nikmat kurniaan Ilahi.

Lebih-lebih lagi bila dia menceritakan kemungkinan yang dijangka berlaku sebaik zuriat ketiganya dilahirkan ke dunia. Pihak doktor memaklumkan tubuh kecil itu mungkin tidak dapat bertahan lama.

Namun, kehendak Ilahi mengatasi pengetahuan dan ilmu seorang manusia . Si kecil terus bernyawa. Mampu menyusu dan bertindakbalas seperti biasa. Subhanallah! MasyaAllah!


“Betapa saya sepatutnya lebih bersyukur memiliki anak-anak yang sihat dan ceria,” saya berbisik memandang keempat-empat buah hati yang sedang sibuk dengan aktiviti bersama teman-teman mereka.


Saya akui, dalam melayan telatah anak-anak yang bermacam rentak dan ragam, ada kalanya saya juga dilanda emosi. Ditambah pula dengan kesibukan dan keletihan melakukan rutin seharian, ada ketikanya menerbitkan rasa geram dan marah bila anak-anak melakukan kesalahan.


Terasa jauhnya diri dari sifat syukur sebenar. Masih kurang rasa sabar dalam menangani telatah anak-anak yang semakin membesar.


Sungguh, benarlah bicara Rasulullah SAW tatkala Baginda mengingatkan cara untuk mempertingkat nilai kesyukuran, yang bermaksud :


"Lihatlah orang yang dibawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan (melihat ke bawah) lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



RENUNGKAN

Ada pasangan yang mengimpikan zuriat, tetapi perlu menanti sehingga bertahun untuk dimakbulkan hajat.


“Belum ada rezeki,” jelas mereka berbasa basi. Tetapi jauh di lubuk hati, hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Pedihnya hati tatkala disoal berulangkali.


Ada pula pasangan yang dikurniakan permata hati yang diidamkan, tetapi diuji dengan kesihatan si anak yang tidak memberansangkan.


“Semua ini dugaan daripada-Nya. Kami pasrah dan akan terus berusaha,” mereka meluahkan bersama semangat untuk memelihara ‘tanda’ cinta mereka.


Dan, ada juga pasangan yang ‘kehilangan’ insan yang dinanti-nantikan sebelum sempat si buah hati melihat keindahan alam ciptaan Tuhan.


“Allah lebih menyayanginya. Sesungguhnya ada orang lain yang lebih hebat diuji dari kami berdua.” Betapa besar hati mereka. Jawapan yang cukup untuk menggambarkan ketulusan mereka menerima ujian daripada-Nya. Pasrah dan berserah.



TANGGAL PENUH MAKNA

Saya dan keluarga kembali ke Leicester dengan berencam rasa yang mengusik jiwa. Walau keletihan dan masih batuk-batuk dek penangan kedinginan musim sejuk, saya gagahkan juga diri memenuhi janji untuk berkuliah secara online pada malamnya.


Pengalaman pertama berceramah tanpa pendengar di sisi. Hanya berteman komputer riba dan mikrofon yang menyalurkan suara. Bersyukur atas nikmat kemajuan yang memungkinkan ilmu disampaikan tanpa perlu bertemu mata.


Usai kuliah, saya turun ke tingkat bawah. Sekali lagi jiwa terusik dengan kejutan yang tidak disangka.


"Selamat ulangtahun perkahwinan kita.” Lembut ucapan daripada suami tercinta. Senyuman diberi bersama huluran hadiah daripadanya. Anak-anak memerhati penuh ceria dan gembira. Alhamdulillah.


Sungguh, tanggal ini amat bermakna dalam kehidupan saya. Padanya ada cerita buat renungan sepanjang masa. Dan di dalamnya juga ada kisah kasih dan cinta.


Saya membenarkan firman-Nya yang mulia, bermaksud :


“Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amalan-amalan yang kekal dan soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan. (Surah al-Kahfi: 46)


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.

20 comments:

shaza said...

Salam kak ina,

Tahniah...Selamat menyambut ulangtahun perkahwinan...

nurul said...

tahniah kakak..!

Makin bertambah usia perkahwinan, makin banyak yang kak kena kongsi dengan kami..:)

izzah said...

salam ziarah dan salam ukhuwah..

memang tanggal yang penuh bermakna..
bermula dgn sebuah perkenalan,dan kisah yang menyanyat hati..
akhirnya ada kisah gembira pula..

selamat ulang tahun perkahwinan..
semoga keberkatan Allah sentisa bersama akak sekeluarga...

aannuriyy said...

Assalamualaikum..wah kak ina, tahniah! happy anniversary juga dr saya. Masa 1st time kita jumpa dulu, husna br 3 tahun..sayang, kita takde gambar kenangan bersama di Irbid dulu..tp saat kita bersama, masih segar dlm memori..salam kasih ingatan buat husna dan najwa.

Kak Ummi said...

Salam.

Terimakasih Dik Ina atas pengkisahan yang sungguh memberi ingatan buat diri ini...

Happy Annyversary dari Kak Ummi untuk Ina dan ustaz...semoga rumahtanggamu dik sentiasa dilimpahi dengan mawaddah, sakinah dan rahmah...

makbonda said...

Selamat menyambut ulangtahun perkahwinan ustaz dan Ina.

Masa muda-muda dulu pernah makbonda mengadu kat kakak vetren,penat dengan kerenah anak-anak. Kakak tu kata kerenah anak-anak kecil kita penat tapi tidak terkesan di hati tapi kerenah anak-anak dah besar sering terkesan di hati.
Bila kita membebel dia menjawab,itu satu hal,kita membebal dia tak respon langsung seolah-olah tak perasan dengan bebelan...lagi menyakitkan.

Semoga Allah lindungi anak-anak dari menjadi bahan fitnah.

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt,
Alhamdullilah dan tahniah di atas usia perkahwinan yg terus bertambah. Moga Allah swt merahmati diri Ina sekeluarga.
Ingin terus belajar menjadi ibu penyabar serta mensyukuri semua nikmat Allah swt yg tiada ternilai.

-kak rina-
Lanc

ummumishkah said...

Kak Ina..

Selamat Ulang Tahun perkahwinan!! Moga rumahtangga terus dilimpahi kasih sayang Ilahi...

Rohani said...

Salam Ina,

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan!
Yang pasti semoga keberkatan dan kebahagiaan akan terus mengiringi rumahtangga Ina, InsyaAllah!

Teruskan penulisan yang byk menyentuh jiwa yg menanti penuh keikhlasan.

Ummu Husna said...

Salam,

SHAZA, NURUL, IZZAH, ADILAH, KAK UMMI, MAKBONDA, KAK RINA, UMMUMISHKAH DAN KAK ROHANI :

Terima kasih atas doa dan ucapan. Semoga Allah SWT mempertautkan hati-hati yang menyintai-Nya, dengan menjunjung setiap perintah dan meninggalkan larangan.

Uhibbukunna fillah ya akhawaati :)

Ummu Ammar said...

Selamat Ulangtahun Perkahwinan buat Kak Ina dan suami..

Alhamdulillah, penyatuan 2 hati dan anak2 yg comel dan bijak..moga peroleh bahagia di dunia dan diakhirat

ummimusa said...

salam kak ina..

ahem..sebenar nya saja nak menegur 'nurul' tu..nurul tu kawan saya di ipt dulu..sampai skrg..rumah tak jauh pun dia kata jauh..ehehehe..jadi x jauh la bila naik kereta...x gitu, nurul?

nashwa said...

salam kak ina.. doa nashwa moga kehidupan kkina bersama keluarga tercinta semkin bahagia di bwh lindungan kasihNya..

sejuk2 ni best berselimut ramai2 tepi heater.. sambil hirup teh panas.. tengok plak snow jatuh berguguran... wahh.. berasapp... :)

Kak Nisha said...

Assalamualaikum semua,
Tahniah dan selamat menyambut ulangtahun perkahwinan untuk UmmuHusna dan Ustaz. Terimalah hadiah dari akak...

"Kita pasti akan teru..s, melakar perjalanan, mencanting duka, mewarnai kehidupan, membasuh, sisa, Berbatiklah cabarannya.
Teruskanlah... perjuangan selagi jari boleh menari, selagi hati tidak mati, selagi nafas belum berhenti, selagi jasad belum di kebumi". Ameen.

Ummu Husna said...

Salam,

UMMU AMMAR& UMMIMUSA : Alhamdulillah dan terima kasih atas doa serta ingatan.

Perjalanan ini masih panjang. Hanya Allah yang tahu apa yang menunggu di hadapan.

Yang pasti, usaha hari ini perlu diteruskan semoga esok tetap hadir dengan sinar kebahagiaan.

p/s : Najwa ( UmmiMusa ) kalau jumpa Nurul, sampaikan salam Kak Ina ye :)

Ummu Husna said...

NASHWA : Menurut ramalan, salji akan turun hari ini..tapi nampaknya ketentuan Allah belum mengizinkan.

Apa pun, Alhamdulillah..dapat hantar anak-anak ke sekolah dengan cuaca yang agak selesa. Sejuk tak perlu cerita..

Kawan Kak Ina kata, namanya pun duduk England..tentulah sejuk sampai ke tulang badan..he..he..

Ummu Husna said...

KAK NISHA : Terima kasih atas hadiah yang sungguh indah tu kak.

Kak Nisha ada bakat melakar puisi yang berisi nasihat dan panduan..terima kasih atas perkongsian, kak :)

UMMI HUMAIRA said...

assalamualaikum kak ina..

makin berdebar seri menunggu hari kelahiran baby yang dikandung ni.. hari ni genap 9 bulan kandungan seri.. alhamdulillah balik check up tadi insyaallah semuanya ok..

tbah dan redho sungguh sahabat kak ina tu ya mnghadapi dugaannya.. kalau nak dibangdingkan dengan seri yang sering memekik dalam rumah melayan kerenah 2 permata hati.

seri nak minta nasihat dan doa pendamai jiwa lah kak ina.. sekarang nih asyik berdebar dan rase macam takut sangat nak bersalin... walaupun dah lalui 2 pengalaman...kalau berkesempatan.

apa-pun.. tahniah atas keberkatan rumahtangga kak ina yang keberapa ye. semoga bertambah erat kasih dan sayang..

kakyus said...

salam,
alhamdulillah, tahniah atas ulangtahun perkahwinan Ina dan ustaz. Semoga dipanjangkan umur ,murah rezeki dan dikurniakan anak2 yang soleh. Teruskan menulis untuk pengisian hati yang sentiasa lalai.

ierda said...

salam kak ina dan semua ..
saya ingin sekali mencari 'sesuatu' yang mungkin boleh saya jadikan panduan dalam membesarkan anak2 .. anak saya agak ramai dan kecil2 lagi,paling sulung pun baru 7 tahun.saya akui saya agak garang dgn anak2 saya berbanding suami..saya tidak tahu kenapa saya tidak boleh mengawal diri saya daripada merotan,mencubit dan memarahi anak2 saya.saya cuba untuk berlembut tetapi sukar untuk men'tabiat'kannya.anak saya juga ,mungkin apabila mereka sudah saya besarkan dengan jerit pekik dan perasaan marah,maka mereka juga mewarisi sikap saya .. saya sedih dan amat sedih..menitis air mata saya membaca blog kak ina dan anak2 .. saya ingin menjadi seperti kak ina dan saya nak anak2 saya berakhlak sepertimana anak2 kak ina.seringkali bila saya sampai ke pejabat,saya mula terfikirkan anak2 yang sudah saya marahi,perasaan sebak datang dan kerapkali saya menangis kerana menyesal.tetapi,apabila balik ke rumah,saya kembali ke tabiat saya yang asal.untuk pengetahuan kak ina,bukan untuk memuji diri saya,tetapi untuk lebih mudah kak ina memberi pendapat...saya seorang yang amat 'particular'..walaupun anak kecil2,rumah saya akan pastikan kemas sentiasa,makan pakai suami dan anak2,saya amat jaga (suami saya juga banyak membantu)...dan juga jenis yang agak 'cepat' dalam meyediakan segala kelengkapan untuk memastikan segalanya sempurna (pada pandangan mata saya).anak2 saya juga saya didik sebegitu.. adakah mereka tertekan?? dan pagi ini,tergurisnya hati saya dengan kata-kata anak saya sendiri sehingga mengalir airmata saya bila anak saya yang sulung mengeluarkan kata-kata .."tau la,menyibuk la mama ni..." bila saya cuba untuk mengingatkan dia itu dan ini sebelum ke sekolah ...saya terdiam dan terkeluar dari mulut saya bila dia bertanyakan anak tudungnya "kakak kan lebih pandai dari mama, mama kan menyibuk aje .." dan akhirnya saya menangis dan dia pun menangis .. dalam kereta pun,masing2 membatukan diri.. salahkah saya kak ina? bantulah saya untuk 'berundur' dan 'kedepan' dgn lebih baik ...