SUKARKAH MERAIH SOLEHAH ?


Sukarnya meraih solehah. Acap kali keluhan itu keluar dari bibir merahnya. Sesekali pandangannya dilempar jauh. Bagai merenung ke satu dimensi yang hanya dia dapat mengerti.

“Mengapa ni..kak. Kakak ada masalah?” saya bertanya ramah. Senyuman menguntum agar berkurang gelodak resah.

Kami sebenarnya sering berbual bersama. Berbincang, bertukar pandangan dan mencari titik persamaan tentang pelbagai topik kehidupan. Dan biasanya, tajuk yang menjadi fokus perbincangan kami ialah pendidikan anak-anak, kehidupan suami isteri serta pahit manis alam perkahwinan.

Jarak umur yang berbeza beberapa tahun, menjadikan saya lebih mesra memanggilnya ‘kakak’ sebagai tanda hormat.

“Tidak..hanya meluah kebimbangan yang sekian lama terpendam. Terutama bila ketiadaan insan tersayang. Saat-saat berjauhan begini, kakak manfaatkan untuk memuhasabah diri sebagai isteri,” dia menjawab sambil melempar senyuman manis. Wajah yang tadi muram, mulai sedikit berseri.

“Apa yang merisaukan kakak?” soal saya. Sengaja meminta dia bercerita dan berkongsi rasa. Mana tahu ada pedoman yang dapat saya ambil manfaat darinya.

Saya membetulkan duduk. Mencari posisi selesa agar perbualan nanti berjalan lancar tanpa gangguan suasana.

MUDAH
“Bimbang melihat kadar perceraian suami isteri dalam masyarakat kita hari ini. Sudah terlalu biasa. Bermacam-macam sebab dan punca..kerana itu, kakak selalu mengingatkan diri agar apa yang terjadi pada mereka menjadi pengajaran dan ingatan,” suaranya bergetar tanda insaf dan sedar.

“Pada kakak peranan seorang isteri amat penting untuk mengekalkan hubungan yang harmoni. Namun, bukan mudah nak jadi isteri yang baik dan solehah kepada suami. Andai dibaca sepintas lalu kalam Rasulullah yang mulia, gelaran itu amat senang diperoleh. Tidaklah serumit mana. Ina ingat tak? Rasulullah SAW pernah ditanya tentang sebaik-baik isteri. Lalu Baginda menjawab:

“Iaitu isteri yang menghadirkan rasa gembira kepadamu apabila memandangnya. Bila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu sebaiknya dan menjaga hartamu." ( Hadis Riwayat Ahmad dan lainnya ; dianggap ‘hasan’ oleh al-Albani ).

Dan sabda Baginda juga yang bermaksud :

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dikehendaki." ( Hadis Riwayat Ahmad )

Saya menganggukkan kepala. Memang tepat apa yang dibicara. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Baginda SAW, antara punca kebahagiaan bagi seseorang anak Adam adalah dari tiga perkara iaitu: isteri yang solehah, tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang memudahkan perjalanan dan pergerakannya.

TAPI
“Sayangnya ramai di antara kita yang tidak memahami dan menghadam peringatan Rasul yang mulia itu dengan sempurna,” dia menambah. Masih bernada resah pada pendengaran saya.

“Maksud kakak?” saya membalas tanya.

“Banyak peranan seorang isteri yang perlu kita muhasabah kembali. Lihat sahaja..tentang menjaga rahsia suami. Berapa ramai wanita hari ini yang dapat menyimpan rahsia suami dengan erat. Sungguh menyedihkan, masalah rumahtangga sering dijadikan tajuk cerita bersama teman-teman sekerja...” tuturnya kecewa.

“Ya..betul tu kak. Ramai yang beralasan, mereka sekadar ingin meluah rasa dan meminta nasihat sepatah dua...” saya mengiyakan butir katanya.

“Ya..itu ada benarnya dan berkonsultasi tentangnya memang dibolehkan dalam agama. Meminta nasihat daripada orang yang boleh dipercayai, baik akhlak dan mampu menjaga rahsia. Tetapi apa maknanya jika masalah tersebut diketahui bukan seorang dua..tetapi seramai yang berada di tempat kerja? Ada yang boleh ketawa lagi bercerita perihal rumahtangga mereka. Bukankah itu sudah membuka aib suami dan diri sendiri?

Seorang isteri yang menjaja keburukan suami, di mana lagi rasa hormatnya kepada ketua rumahtangga? Sudah tentu isteri yang begini tidak akan mampu berada di depan suami dalam keadaan ceria dan menceriakan suami yang memandangnya?” bertalu dia melontarkan persoalan yang membuka lagi kesedaran saya.

“Lebih malang, jika masalah bersama suami didedahkan kepada rakan sekerja lelaki dan akhirnya mereka jatuh dalam perangkap cinta ’gelap’ tanpa disedari. Kononnya cinta itu lahir dari rasa ‘ambil berat’, ‘perhatian’ dan ‘kesudian si lelaki mendengar luahan hati, “ saya menambah isi.

SOLAT DAN PUASA
Sungguh benar persoalan yang diketengahkannya. Itu belum lagi menyentuh tentang solat dan puasa. Pada saya, seorang wanita dan isteri belum layak bergelar solehah jika dalam melaksanakan kedua-dua ibadah ini mereka masih bermasalah.

Ada sebahagian yang melengah-lengahkan solat dengan pelbagai sebab yang tidak sepatutnya dijadikan alasan hingga solat tergadai. Terutama kepada kaum perempuan yang masa kitaran haid mereka sudah hampir sampai. Golongan ini harus lebih peka dan beringat dengan masa yang ada. Jika mereka melambat-lambatkan solat, dibimbangi ketika masuk waktu sedang mereka masih sibuk dengan pelbagai urusan.

Ibadah wajib yang wajar didahulukan, ditangguh-tangguh hingga hampir ke pengakhiran. Ketika mahu mengerjakan solat, didapati darah haid telah pun keluar. Sayang sekali. Solat yang sepatutnya boleh dikerjakan secara ‘tunai’, terpaksa diqada’ dan diganti setelah suci dek kerana lalai dan cuai.

Tidak kurang juga, ada yang terlalu obses dengan kerja hingga solat dilakukan secara tergesa-gesa. Allah SWT berfirman, mengingatkan tentang kemurkaan-Nya ke atas mereka yang melalaikan tanggungjawab sebagai hamba, bermaksud :

“Maka celakalah orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya” (Al-Mau’n ayat 4 dan 5 )

Lalai yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tiadanya konsentrasi dan kekhusyukan selama melaksanakan solat. Keadaan ini merupakan suatu kerosakan yang besar bagi seorang mukmin. Dan dalam konteks seorang wanita dan isteri, ia boleh memberi kesan buruk terhadap pelaksanaan-pelaksanaan lain agamanya.

Demikian juga dengan ibadah puasa Ramadhan yang hadirnya hanya sebulan. Atas rahmat dan kasih sayang-Nya, kaum wanita yang didatangi haid atau berada di dalam nifas, gugur ke atas mereka kewajipan berpuasa Ramadhan.

Begitu juga dibenarkan kepada wanita-wanita hamil dan menyusu anaknya untuk tidak menunaikan puasa. Namun, ramai yang terleka dengan nikmat kemurahan Ar-Rahman. Puasa yang ditinggalkan, mengambil masa yang lama untuk diganti semula. Hari berganti hari, minggu berganti bulan. Sehingga akhirnya, Ramadhan tiba kembali, puasa itu masih juga belum berganti. Sekali lagi, cuai...lalai.

Lalu, bagaimana mungkin keadaan-keadaan ini mampu membawa pelaksananya meraih gelaran solehah di sisi Ilahi?

SUKARKAH MERAIH SOLEHAH?
“Tepuk dada, tanyalah iman di dalamnya,”dia menyimpulkan sebelum menamatkan perbualan kami.

“Hakikatnya, pilihan berada di tangan kita. Untuk menjadi solehah, al Quran dan hadis Rasulullah SAW ada pedoman pada kedua-duanya. Tinggal lagi, sama ada kita mahu atau membiarkan masa dan ruang yang ada terus berlalu,”dia menambah .

“Memang benar. Kesedaran tanpa perubahan, umpama mimpi-mimpi sementara. Tiada makna,”saya membuat rumusan di samping mengingatkan diri yang juga sering kealpaan.


Justeru, sempena ketibaan tahun baru 1431 Hijriah ini, mari bersama memuhasabah diri. Membina azam untuk terus memperbaiki diri. Baik saya, anda dan sesiapa sahaja di luar sana, jadikan gelaran wanita dan isteri solehah sebagai motivasi untuk kita mempertingkatkan kualiti.

Ilmu dan amal seiring menghiasi peribadi, keimanan dan keyakinan kepada Hari Akhirat menjadi inspirasi mukminah muslimah sejati. Semoga kitalah harta bernilai bagi seorang lelaki bernama suami selepas ketaqwaan dan keimanannnya kepada Ilahi.

Berhijrahlah..berusahalah...mudah-mudahan kita berjaya meraih gelaran solehah, ameen.

“Sesungguhnya dunia ini adalah perhiasan yang indah, dan sebaik-baik perhiasan di dalamnya ialah wanita (isteri) yang solehah” ( Hadis riwayat Muslim )

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Kak Ummi said…
Salam.

Subhanalllah...tulisan yang cukup memberi peringatan dan muhasabah diri.

Jazakillahukhair Dik Ina. Doakan Kak Ummi mudah-mudahan Kak Ummi juga mampu berhijrah ke arah yang lebih baik...
Cahaya Rumahku said…
salam kak ina,

im ur silent reader/S.A since ur first posting till now..

but today, ur 'sukarkah meraih solehah' give me a really hard punch, deep to my gloomy heart..

IM NOT A GOOD MUSLIM :(

tq kak ina for the reminder.. may Allah bless u alwiz.
kakyus said…
salam,

alhamdulillah, betul kata ust Ina, segalanya ada di tangan kita, kita yang menentukan samada hendak berubah atau tidak.

Yang penting jangan kita berputus asa untuk mencari yang terbaik. Untuk itu kita perlu berubah, mencari dan terus mencari sementara kita masih diberi kesempatan oleh Allah hidup di atas muka bumi ini. Semoga kita tidak menjadi org yang menyesal di akhirat sana kelak.
ummieAisya said…
Salam kak,
sungguh tersentuh dan menusuk kalbu dengan tulisan ini, adakah saya akan masuk dalam golongan itu...Ya Allah...terasa betapa kerdilnya kita...
terlalu banyak pengorbanan yang perlu saya buat tahun baru ini...memandangkan suami memang terlalu ingin berhijrah ke Jeddah/Syria untuk menuntut ilmu dan bekerja...saya tak mampu berkata apa2, cuma..mampukah saya untuk berada di sini bersama2 anak2yang masih kecil seramai 6 orang..mmg saya ingin jadi isteri yang terbaik....tapi apa yang perlu saya buat??..saya rasa seperti tiada kekuatan untuk menghadapinya kelak...
Ummu Jannah said…
salam ustazah..

terima kasih di atas post ni.. berguna sangat untuk saya.. saya sering terlupa untuk jadi yang solehah buat suami.. kadang tu pula, saya cuba tetapi suami pula yang buat hati ni pedih untuk jadi yang solehah.. saya akui sangat berat.. tapi insyaAllah boleh diperbaiki memandangkan usia perkahwinan baru masuk tahun ketiga.. btw, thanks again:)
nhhas said…
salam,

teringat tulisan akak dalam entri sebelum ini;
'Jangan putus asa. selagi bernyawa, selama itu gelaran solehah masih boleh diraih dan dicapai'...

moga kita semua sama2 beristiqamah untuk mencapainya. Insya Allah...
Ameen...

nhhas.
Salam,
KAK UMMI : Alhamdulillah. Yang baik dari Allah jua yang memberi ilham dan petunjuk.

Daoakan Ina juga, Kak..Semoga kita semua mampu melakukan perubahan ke arah yang lebih diredhai Allah SWT.

CAHAYA RUMAHKU : Terima kasih atas kunjungan yang tidak jemu.

InsyaAllah..we are good Muslims..cuma terkadang lalai dan alpa. Dan itu yang sering kita peringatkan dari semasa ke semasa.

Mudah-mudahan, dengan peringatan yang banyak ini, jiwa akan sentiasa terdorong untuk berwaspada.
KAK YUS : Ya, sama-sama kita berdoa dan berusaha.

UMMIEAISYA : Berbincanglah bersama suami bagaimana penyelesaian yang mampu dibuat semasa ketiadaannya kelak. Atau jika boleh Puan dan anak-anak ikut bersama suami, merasai pengalaman hidup di rantau orang.

Walaupun agak sukar kerana suasana, budaya dan lain-lain yang berbeza dan mungkin memerlukan kewangan yang bukan sedikit jumlahnya, tetapi itu adalah cabaran yang boleh dihadapi bersama.

Ini hanya pandangan saya kerana yang lebih mengetahui duduk perkara hanyalah Puan dan keluarga. Saya tetap mendoakan kebaikan buat Puan.

Yakinlah di dalam diri Puan ada kekuatan yang mungkin belum menyerlah dan belum puan sedari kewujudannya. Pohonlah dari Allah agar semuanya berjalan dengan baik dan mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya.
UMMUJANNAH : Alhamdulillah, kesedaran akan membawa pemiliknya untuk melakukan perubahan :)

Ukhti boleh melakukannya.

NHHAS :Ya..kata-kata itulah yang sering menjadi motivasi saya untuk terus melakukan yang terbaik. Selagi ada nafas dan usia,manfaatkan ia sebaiknya !

Sama-sama kita berusaha ya :)
ummieAisya said…
salam ummuhusna,
terimakasih di atas pendapat yang diberikan...pengorbanan itu memang perit tapi Insyaallah saya hanya mampu memohon kepada Yang Esa agar di beri petunjuk dan memudahkan jalan kami nanti....kalau nak mengikut suami kesana buat masa ini rasanya tak dapat saya lakukan memandangkan saya ada komitmen pada kerja saya di sini, kalau nak berhenti dan ikut suami...itu juga memerlukan penyelesaian dan perancangan yang terbaik untuk berbuat demikian...doakan yang terbaik buat saya & anak2 disini.
Anonymous said…
Salam...
Saya akur...mmg susah meraih gelaran isteri solehah...lebih2 lagi kalau suami kita tidak soleh...sy nk tya pdapat ustazah, kalau suami buat sesuatu yg Allah larang, apa perlu isteri buat?KAlau isteri tegur, then suami marah isteri balik, apa perlu isteri buat?syukran
Salam,

ANONYMOUS :Ws, terlebih dahului saya ucapkan tahniah atas kesedaran Puan untuk memperbaiki kesilapan suami, menunjukkan jalan yang betul dan benar kepadanya.

Sememangnya mengajak kepada yang ma'aruf dan mencegah dari yang mungkar itu kewajipan setiap muslim,lebih-lebih lagi kepada keluarga sebagaimana perintah-Nya di dalam surah at Tahrim ayat 6.

Cuma, cara dan kaedah menegur itu yang patut puan laksanakan sebaik mungkin agar ego suami tidak tercabar, hati suami tidak disakiti. Ayat yang digunakan mestilah lembut dan menunjukkan hormat dan sayang sebagai isteri.

Seterusnya, lakukan pada waktu yang sesuai,ketika suami sedang tenang dsb.

Dan teguran tidak semestinya secara berdepan. Boleh juga melalui emel, kad dan lain-lain.

Semoga rumahtangga puan kekal harmoni dan bahagia, ameen.

Teruskan berusaha ye :)
Salam,

ANONYMOUS :Ws, terlebih dahului saya ucapkan tahniah atas kesedaran Puan untuk memperbaiki kesilapan suami, menunjukkan jalan yang betul dan benar kepadanya.

Sememangnya mengajak kepada yang ma'aruf dan mencegah dari yang mungkar itu kewajipan setiap muslim,lebih-lebih lagi kepada keluarga sebagaimana perintah-Nya di dalam surah at Tahrim ayat 6.

Cuma, cara dan kaedah menegur itu yang patut puan laksanakan sebaik mungkin agar ego suami tidak tercabar, hati suami tidak disakiti. Ayat yang digunakan mestilah lembut dan menunjukkan hormat dan sayang sebagai isteri.

Seterusnya, lakukan pada waktu yang sesuai,ketika suami sedang tenang dsb.

Dan teguran tidak semestinya secara berdepan. Boleh juga melalui emel, kad dan lain-lain.

Semoga rumahtangga puan kekal harmoni dan bahagia, ameen.

Teruskan berusaha ye :)
Bismillahirrahmanirrahim, alhamdulillah, satu penulisan menjurus peringatan dan nasihat yang penuh bermanfaat untuk diambil pengajarannya. Semoga Allah Subhanahu Wataala, mempermudahkan urusan dan memberi kekuatan kepada Puan untuk meneruskan usaha da'wah ini, Insha Allah.

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA