25 December 2009

IMPIAN MEREKA , HARAPAN KITA



Cuaca sejuk di bumi UK masih berada di paras beku. Kehadiran saya, suami dan anak-anak ke desa Coalbrookdale, Ironbridge di Telford dua hari yang lalu, menyaksikan bumi yang sebelumnya berwarna hitam tanah, memutih dilitupi salju. Bahkan, lebih memukau pandangan, hujung-hujung ranting pada pohonan kayu juga turut diwarnai keputihan salji. Semuanya serba putih. Bersih.

Mencipta pemandangan yang sungguh indah. Cantik mempesona. Mengasyikkan pastinya.

“Wah! Snow. Bestnya ! “ teriak Kak Long, Kak Ngah dan Khalil. Hampir serentak. Mereka mulai melangkah. Setapak demi setapak. Menelusuri jalan bersalji dengan iringan senyum dan ketawa seiring.

“Hati-hati..,”saya menguatkan suara.

“Jalan atas jambatan sana tu licin. Jangan lalu dekat penghadang besi di situ ya…bimbang jatuh ke dalam air nanti,” saya mengingatkan mereka.

Saya memahami, sesiapa pun yang menyaksikan mukabumi Telfolrd ketika ini, akan teruja untuk merasai dan menikmati keseronokan memijak salji. Derap derup bunyinya umpama bunyi rangup keropok saat dikunyah gigi. Sedap !

Walaupun gembira, namun kami perlu sentiasa berwaspada. Permukaan tanah yang telah lama bersalji, biasanya akan mengeras dan menjadi licin. Salah mendarat dan memijak, boleh menyebabkan kaki tergelincir. Badan terdorong ke hadapan. Tubuh akan hilang keseimbangan lantas jatuh tersembam.

FUIYO 2009
Sebetulnya, saya dan anak-anak berada di sini kerana mengikut suami. Beliau dijemput sebagai penceramah utama program FUIYO (Fun With ILuvIslam’s Youth Overseas ) bermula pada 22 hingga 25 Disember. Tempoh masa yang bersesuaian dengan cuti panjang masyarakat setempat menyambut perayaan Hari Natal.

Walaupun pertukaran tempat program berlaku pada saat-saat akhir, namun berkat kesungguhan pihak urusetia dengan kerjasama dan komitmen para peserta, program ini berjalan penuh lancar dan tersusun acaranya. Dengan jumlah peserta mencecah 100 orang lebih, dewan di mana sesi ceramah diadakan, terisi padat. Cukup-cukup muat.

Seperti biasa, sementara suami berada bersama peserta berkongsi ilmu dan pengalamannya, saya melayani anak-anak yang berbagai ragam dan karenah mereka. Namun, kelebihannya kali ini, saya mendapat bantuan daripada ‘abang-abang dan kakak-kakak’ urusetia yang rajin melayan keletah keempat-empat permata hati saya, terutama Khalil dan Solehah yang manja.

Hanya seketika sahaja saya berkesempatan mendengar ceramah suami. Selebihnya, masa saya banyak dihabiskan bersama anak-anak atau berada di dalam bilik menelaah. Itupun tidak boleh lama kerana Solehah agak meragam. Asyik meminta keluar bangunan untuk berjalan-jalan memesrai keindahan malam.

Penat berjalan di luar sambil melawan kedinginan, saya memujuk Solehah meneroka bilik-bilik di dalam bangunan pula sambil menghangatkan kembali badan. Walaupun begitu, sesekali saya mencuri kesempatan untuk beramah mesra bersama peserta dan urusetia wanita yang ada. Sekadar mempererat ukhuwwah dan berkongsi cerita.

DINGIN DI HATI
“Ustazah, boleh saya bercakap dengan ustazah sekejap?” Tiba-tiba saya disapa seseorang. Manis dan lembut wajahnya. Berbaju kurung sambil mengepit fail di tangannya. Saya tersenyum dan menganggukkan kepala. Saya, sebenarnya amat menghargai kepercayaan dirinya untuk berbicara bersama.

“Tentang apa ya? Kalau ada yang ustazah boleh bantu..InsyaAllah ustazah cuba sebaiknya,”saya menyatakan kesediaan.

Kami mengambil posisi yang sesuai memandangkan para peserta telah keluar dewan. Semua tempat dimanfaatkan untuk perbincangan dalam kumpulan. Dari meja makan hingga anak tangga bangunan.

“Hmm..begini, ustazah. Tentang ibu saya…” dia memulakan bicara. Kelihatan wajahnya mulai muram. Ada masalah antara dia dan ibunya yang terpendam .

Di luar, salji sedang turun ke bumi. Sejuknya terasa. Dan mungkin, rasa dingin itu sampai meresap ke dalam hati. Dia masih diam. Saya membiarkan, sebelum dia menyambung cerita semula.

“Akhir-akhir ini saya sering dimarahi ibu kerana minat dan hobi saya ini.” Dia menunjukkan beberapa aksesori. Memang unik dan tersendiri.

Saya tersenyum. Mula memahami mengapa si ibu berleter panjang tentang kegemaran anaknya ini.

HARGAI NASIHAT
“Ibu kata apa ?” saya bertanya.

“Ibu kata saya macam nak tarik perhatian orang. Sedangkan saya bukan begitu.. Cumanya saya meminati sesuatu yang lain dari orang lain je..”dia menjawab sekaligus membela diri.

“Adakah kerana minat ini, saya sering dimarahi. Seolah-olah semua yang saya buat salah belaka. Dan saya bagaikan tak ada keistimewaan yang boleh dibangga..”dia meluah rasa.

Saya diam, belum mahu memberikan pandangan. Memikir-mikir bagaimanakah jawapan yang selesa untuk saya utarakan dan dia mendengarkan.

“Seorang ibu hanya mahukan kebaikan untuk anak-anaknya,” saya memulakan kata-kata.

“Dan atas sebab itulah, ibu adik selalu membantah keinginan yang lain dari yang lain ini. Mungkin baginya, minat itu tidak normal. Jauh dari kebiasaan yang sepatutnya. Hatinya bimbang dan risau jika kelainan itu akan mendatangkan keburukan dan bukan kebaikan,” saya terus memberikan pandangan.

“Jadi…apa perlu saya buat, ustazah?” pertanyaannya mencelah.

“Cuba adik kurangkan aksesori ini. Pakai seadanya. Cukup hanya satu dua sahaja. Seterusnya, banyakkan berbual dengan ibu tentang minat dan impian adik untuk masa depan. Tunjukkan adik menghargai dan menghormati nasihatnya. Dan dalam masa yang sama, minat adik tetap dapat diteruskan,” usul saya mencadangkan.

Pada saya, perbezaan dan kelainan pada hobi dan minatnya itu tidak terlalu luar biasa. Masih terkawal dan boleh diterima.

SILAP FAHAM
Jika direnung dan difikir-fikir semula, saya melihat ada sedikit kesilapfahaman anak remaja dan ibu bapa dalam menangani konflik antara mereka.

Sebagai seorang manusia, fasa remaja sepertinya pernah saya lalui. Dan bukan sesuatu yang baru, berlaku perbezaan sisi pandang seorang anak dan ibu. Saya juga ada pengalaman seperti itu.

Akan tetapi, setelah menginjak usia dewasa dan kini telah punya empat cahaya mata, sudut pandang saya mulai berubah. Hampir sama dengan apa yang pernah ibu saya utarakan dahulunya.

Mungkin kerana saya juga seorang Ummi kini. maka saya merasakan setiap nasihat yang didengar oleh anak-anak sebagai leteran, adalah sebenarnya tanda ambil berat seorang ibu dan belas kasihnya. Tiada lain yang difikirkan melainkan usaha dan ikhtiar semampunya agar buah hati, belahan jiwanya dijauhkan dari sebarang keburukan dan bala bencana.

Berasaskan kerisauan dan kebimbangan dengan suasana hari ini, ibu bapa banyak mengarah itu dan ini. Tujuannya mahu memberi nasihat, pandangan dan buah fikiran buat pedoman anak-anak dalam kehidupan. Namun, tanpa sedar mereka bagaikan mahu anak-anak bertindak, bergerak dan membesar mengikut acuan yang telah mereka tentukan.

Sementara di pihak anak-anak pula, sering kali sikap ambil berat ibu bapa kurang mampu dimengerti terutama oleh mereka yang berada di usia remaja. Ditambah lagi, jika ibu bapa gagal meraikan pemikiran dan impian anak-anak sehingga ‘ambil berat’ mereka dinilai sebagai kongkongan. Lebih malang,ia dianggap sebagai penafian kepada bakat dan kecerdikan anak-anak dalam membuat keputusan.

Itulah silapnya !

TITIK TEMU
“Terima kasih atas nasihat ustazah. Saya beredar dulu,” dia meminta izin untuk kembali mengikuti perbincangan dalam kumpulan.

Saya mengiringinya dengan doa dan senyuman. Saya mengakui bukan mudah mencari penyatuan. Seorang anak muda remaja bertindak atas minat, keinginan dan impian. Manakala ibu bapa, mengatur kehidupan berpandu pengalaman, pendirian dan harapan. Justeru, bagaimana mahu mencari titik pertemuan?

Berbicaralah atas nama kasih dan cinta. Itu ajaran agama yang mulia. Memang benar, sewajarnya sebagai orang tua, ibu bapa bertanggungjawab mencongak risiko yang bakal berlaku kepada anak-anak mereka. Sama ada risiko itu terhasil dari tindakan, atau keputusan yang dilakukan. Namun, itu tidak bermakna, ibu bapa harus mengongkong. Hanya memerintah dan menuntut agar kata-kata mereka diturut, sedangkan pandangan anak-anak, lansung tidak disebut.

Jangan begitu !

IMPIAN MEREKA, HARAPAN KITA
Lebih elok sekiranya anak-anak menghargai pandangan orang tua, manakala ibu bapa menghormati impian anak-anak yang sedang meningkat dewasa. Selagi minat dan kehendak itu tidak menyalahi ajaran agama, maka berlapang dadalah! Itu lebih baik dari saling bermasam muka.

Sekalipun minat dan kegemarannya itu nanti ternyata tidak memberi makna, biarkan dia belajar dan menyedari kesilapannya.

Ingatlah, seseorang yang tidak pernah silap, sebenarnya tidak pernah melakukan apa-apa. Statik. Dia tidak mampu memberi sesuatu yang berguna buat dirinya, apatah lagi orang lain di sekitarnya.

Ingatlah juga. Andai tidak berdepan risiko, bagaimana seseorang itu akan tahu dan bertambah ilmu? Seorang anak tidak akan selamanya berada di keliling ibu bapa. Sampai saatnya mereka akan lepas pergi. Berdikari dan mandiri menentukan haluan hidup mereka sendiri.

Justeru, bertindaklah umpama melihat anak-anak menyusuri jalan bersalji. Biarkan mereka menikmati keseronokan memijak permukaan yang putih memikat hati. Akan tetapi, peringatkan mereka agar sentiasa berhati-hati. Beritahu mereka sempadan dan batasan yang boleh dilalui.

Seandainya suatu ketika mereka tergelincir jatuh, hulurkan tangan. Bantu mereka untuk berdiri kembali. Semoga keseronokan bermain salji terus dapat dinikmati. Bersama.

Sesungguhnya saya kembali ke Leicester dengan pengalaman dan pengajaran yang amat berguna. Syukur. Alhamdulillah..

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

16 comments:

Kak Nisha said...

Assalamualaikum semua,
Terima kasih ummu Husna atas peringatan. Semoga kita semua berjaya menjadi ibu yang sejati, Ibu Mithali.

Mendidik anak juga perlukan strategi. Kadang-kadang strategi kita tak menjadi atau tak sesuai. Jadi kena tukar strategi. Jadi kena siapkan/sediakan banyak strategi dan plan-plan tindakan. semoga di akhirnya kita akan berjumpa dengan strategi yang terbaik untuk anak-anak kita.

Ialah hidup kita ni satu lakaran yang kadang-kadang di rasakan tidak cantik, perlulah di padam dan di lakar semula sehingga terhasil sesuatu yang memuaskan hati kita dan lebih-lebih di sisi yang Maha Esa.

Wassalam.

^inas^ said...

salamun 'alaik

like my mom and i..
selalu tak sependapat. haha. dan selalu juga dia komen 'kamu ni asik nak membangkang saje'.

tp dah mmg sy tak setuju, so sy bangkang la.

tp takde la semua perkara.. ade byk juga perkara yg sama2 setuju..

drmaisarah said...

Salam k ina. Saya suka entry ni. Syukran kathiraa (",)

lili said...

salam kak ina... slama kat lesta tu belom pernah kite bertemu. sampailah kite jejakkan kaki di Telford tempat org laen baru kite ditakdirkan berjumpa di sana. lawak pulak rasanye. padahal sama2 tinggal di lesta tp xberjumpe lg. haha....

makbonda said...

Salam Ina,seronoknya jalan hidup Ina,dikelilingi dunia ilmu,dan jangan kedekut untuk kongsikan bersama.

Ummu Husna said...

Salam, Kak Nisha.

Alhamdulillah, terima kasih atas pandangan.

Saya bersetuju kak.Pada pandangan saya, anak-anak ini umpama resepi masakan dan setiap resepi memerlukan bahan-bahan yang berlainan.

Masak kicap tak sama dengan masak lemak cili padi. Walaupun ada bahan asasnya mungkin sama, tetapi bahan-bahan tambahan untuk menjadikannya masak kicap atau cili api tetap berbeza. Every recipe needs different ingredients..indeed!

Semoga kita dapat terus belajar untuk menjadi ibu bapa yang bijak menangani 'perbezaan' dan 'keunikan' setiap seorang daripada permata hati kita.

Ummu Husna said...

INAS : Ws, berbeza pendapat tu lumrah. Setiap orang ada pendapatnya. Anak-anak kecil Kak Ina ni pun macam tu juga.

Lebih-lebih bila bersekolah di sini, mereka memang di ajar agar berfikir kritis dan kreatif.

Cuma, jangan disebabkan perbezaan itu mencetuskan silapfaham dan terjejas hubungan. Anak-anak hilang hormat pada ibu bapa manakala ibu bapa tidak lansung menerima pandangan anak-anak mereka.

Buat timbang tara yang adil dan saksama.

Ummu Husna said...

DRMAISARAH : Mai, sebenarnya artikel ini untuk peringatan Kak Ina sendiri terutamanya.

Maklum, anak Kak Ina yang sulung pun dah makin besar, sedang menuju remaja.

Semoga, tiba masanya nanti, Kak Ina mampu bertindak bijaksana, ameen.

Ummu Husna said...

LILI : Betullah..:) Itu sebabnya, jodoh pertemuan semuanya di tangan Allah..orang dekat pun dapat jumpa hanya dalam program jauh dari Leicester ni.

Apa pun, jemputlah datang rumah Kak Ina ye. You're always welcome :)Husna dan Najwa tentu gembira.

Ummu Husna said...

MAKBONDA : Alhamdulillah atas nikmatnya. Harap Makbonda juga tidak jemu memberikan pandangan yang dapat saya jadikan panduan.

Saya masih sangat kurang pengalaman berbanding Makbonda.

InsyaAllah,ilmu dan pengalaman yang sedikit ini, saya akan kongsikan sekadar termampu, selagi ada ruang hayat di dunia.

Doakan saya :)

Faizatul Ema said...

Salam Kak Ina..

Rindu si kecil Solehah.
Rindu saat meneguk ilmu di Telford, walaupun hanya sebentar, namun sangat bermakna..

Doakan saya dan rakan2 di sni,
Canterbury, Kent, UK.

Ummu Husna said...

Ws, Ema.

InsyaAllah, semoga panjang umur,dan ada kesempatan untuk bertemu kembali nanti.

Oh, ya..jangan lupa datang ke rumah Kak Ina jika berziarah ke leicester ye :)Semoga sukses sentiasa buat Ema dan rakan-rakan.

Salam ukhuwwah.

umairah abdullah said...

salam ,
saya adalah peminat blog ustazah....
entry yg ustazah tulis byk meyentuh hati saya ....

Semoga ustazah sekeluarga dilimpahi rahmat & kasih sayang-Nya...

el nino said...

slm ustazah..

kem salam saya pada anak2 ustazah, esp khalil..

ade rezeki ketemu lg mereka..

Nur Suhaila Zulkifli said...

Salam kak ina.
afwan tak sempat ketemu sebelum akak pulang dari FUIYO. Ingatkan sempat jumpa..sob3..

Apa pun, seronok jumpa kak Ina sekeluarga. Banyak ilmu nak dikongsi lagi sebenarnya. ^_^

Moga ketemu lagi. Jazakillah hu khair kerana memeriahkan FUIYO 09.
Ukhuwah fillah..

joegrimjow said...

akak
time kasih kerana join fuiyo


rindu kat khalil
;-)

saye post video anak anak akak dalam blog
kire xpe la ek ;-)