HARAPAN DARI KEMATIAN

Sungguh berat dugaan hidupnya. Kebahagiaan yang dirasai menjadi seorang suri hanya bertahan empat jam sahaja. Ketika masih bergelar raja sehari, dalam debar menunggu kemeriahan majlis resepsi, suami yang dikasihi dijemput Ilahi. Pergi tak kembali.

Terkedu. Terharu.

Saya antara ribuan yang membaca paparan akhbar yang menyebut kisah menyayat hati ini. Cuba merasakan kepiluan yang bersarang saat menerima berita pemergian suaminya dalam suatu kemalangan ngeri. Manakan sama sayu hati yang membaca berbanding dirinya yang menanggung derita.

“Kak Long takut baca tentang mati,” luah Kak Long tiba-tiba dengan wajah cemas sekali. Saya tidak menyangka dia berada di belakang saya, turut membaca kisah yang sama.

Saya memahami pengakuan jujur daripada anak seusianya. Membayangkan kepedihan jari jemari yang luka terhiris pisau. Tajam bak sembilu, tentu amat jauh tidak terbanding kesakitan saat menghadapi kematian dahsyat seumpama itu.

Allah!

PERSOALAN
Wajah Kak Long saya pandang penuh belas kasihan. Cuba menyelami kerisauan hati dan berusaha merungkai ketakutan kepada sesuatu yang pasti.

“Kak Long tahukan..setiap yang bernyawa pasti akan mati suatu hari nanti. Allah sebut dalam al Quran :

“Di mana saja kamu berada, kematian pasti akan mendapatimu, walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” ( Surah An-Nisa` ayat 78)

Jadi, walau di mana kita berada, kita tak dapat lari dari mati. Kita tak tahu bila dan di mana Allah akan mengambil nyawa kita. Jadi tak perlu risau tentang mati. Yang perlu Kak Long, Ummi dan semua orang risau dan bimbang ialah bagaimana keadaan kita saat berdepan dengan kematian yang datang,” saya menjelaskan. Agak panjang.

Kak Long diam mendengar pesanan. Akan tetapi pandangannya menusuk, inginkan lebih penjelasan dan kefahaman. Namun, cepat-cepat saya mengalihkan mata yang sedang melihat. Menyedari bagai ada genangan air di dalamnya. Pilu yang amat.

Siapalah saya untuk tidak merasa sayu dan hiba. Berbicara tentang kematian yang menjadi pemisah dari wajah-wajah tercinta. Ibu ayah, adik beradik, sahabat handai dan terutamanya suami dan anak-anak pengikat jiwa.

“Apa maksud Ummi tu?” Kak Long menyambung tanya.

“Maksud Ummi…ialah keadaan dan amalan yang sedang kita lakukan. Adakah ketika kematian datang, kita sedang sibuk melakukan kebaikan atau sebaliknya sedang seronok dengan kejahatan.. Nauzubillah,” saya mengurut dada. Bagai sesak mengenangkan amalan yang tidak seberapa. Menginsafi kata-kata dari mulut sendiri yang berbicara.

INGAT MATI
“ Kerana itu Rasulullah ajar kita supaya sentiasa ingat mati. Sabda Baginda yang bermaksud :

“Perbanyakkanlah mengingati pemutus kelazatan ( iaitu kematian).”

“Ingat mati..kenapa pulak Ummi?” Kak Long bertanya lagi.

“Sebab dengan mengingati mati kita akan jadi mukmin dan muslim yang baik. Ingat mati akan menghalang kita dari berbuat maksiat dan dosa serta mendorong untuk lebih taat kepada-Nya.

Contohnya, orang yang miskin dan susah. Dengan mengingati mati kala kesempitannya itu, akan melapangkan hatinya dari kesusahan yang dihadapi. Bahkan, dia akan jadi tenang dan berusaha lebih kuat untuk memperoleh rezeki dengan jalan yang halal.

Sementara bagi orang yang kaya dan senang pula, dia tidak akan lupa diri dengan kemewahan hidup yang diberikan Allah kepadanya. Sebaliknya, dia sedar bahawa semua itu hanyalah pinjaman ketika hidup di dunia. Lalu dia menjadi orang yang pemurah, suka bersedekah dan menabur hartanya ke jalan yang diredhai Allah.

Kak Long nampakkan..walaupun peringatan daripada Rasulullah SAW itu pendek dan ringkas sahaja, namun padanya terkumpul nasihat yang sangat berguna.”

Kak Long menganggukan kepala dengan senyuman menghiasi wajahnya.

MUHASABAH
Memang benar, kematian akan datang kepada sesiapa tanpa diduga. Bagi mereka yang merindui pertemuan dengan Khaliqnya, kematian bukanlah pemutus bahagia, bahkan ia adalah permulaan kepada kesenangan yang tiada tolok bandingnya di syurga. Amalan soleh yang dilakukan ketika hayat di dunia, menjadi penyambung bahagia di akhirat sana. Kekal tanpa batas masa. Firman-Nya yang bermaksud :

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang yang memperdaya.” ( Surah Ali Imran ayat 185 )

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud :

“(Iaitu) orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka): “Salaamun’alaikum, masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.” ( Surah An Nahl ayat 32 )

Pernah dikisahkan, bagaimana gementarnya ‘Umar bin Abdul ‘Aziz RA, tatkala mengenang dan berfikir tentang kematian. Lantas beliau mengumpulkan para ulama dan cerdik pandai, dan mereka saling memberi peringatan tentang kematian, kedahsyatan hari kiamat dan kecintaan kepada akhirat. Kemudian mereka menangis teresak-esak seolah-olah di hadapan mereka ada jenazah yang menunggu untuk disemadikan.

Alangkah jauhnya keadaan mereka berbanding kebanyakan manusia. Terutama kepada pelaku dosa dan noda. Bagi mereka kematian merupakan suatu ketakutan. Menyebutnya sahaja cukup menghadirkan rasa gerun yang bersangatan. Apa yang diinginkan adalah hidup selamanya di dunia ini, berterusan menyanjung kemungkaran dek hanyut dibuai nafsu yang sentiasa bermaharajalela. Terpedaya dengan pujukan syaitan durjana.

Allah SWT mengingatkan tentang ini menerusi firman-Nya yang bermaksud :

“Dan sekali-kali mereka tidak akan mengingini kematian itu selama-lamanya, karena kesalahan-kesalahan yang telah diperbuat oleh tangan mereka (sendiri), dan Allah Maha Mengetahui siapa orang-orang yang berbuat aniaya.” ( Surah Al Baqarah ayat 95 )

HARAPAN DARI KEMATIAN
Andai menyedari kematian itu suatu yang pasti, mulailah bergerak untuk menyediakan bekal kemudian hari. Bekalan untuk kehidupan yang abadi di sana nanti.

Mereka yang telah pergi, tidak akan kembali lagi. Hanya kita yang masih menghuni dunia, punya janji dan amanah untuk dipenuhi. Ambillah iktibar dan pengajaran selagi masih ada ruang untuk bernafas dalam kehidupan.

Segala yang ditinggalkan semalam, sudah tersimpan dalam lipatan kenangan. Jauhkan angan-angan yang merosakkan dan kembali menjejaki kenyataan. Sesungguhnya, hidup ini terlalu singkat untuk kita persia-siakan.

Insafilah, walau semalam kita bergelumang kemaksiatan, namun masih ada saat dan hari ini untuk dimanfaatkan. Juga harapan hari esok untuk menjadi mukmin beriman.

Justeru, cukuplah kematian itu sebagai peringatan.

“Maka apabila telah tiba ajal mereka (waktu yang telah ditentukan), tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak pula mereka dapat mendahulukannya.” ( Surah An-Nahl ayat 61 )

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Naz Mohamed said…
Salam Ina,

Jadikanlah kematian itu sebagai matlamat kehidupan...InsyaAllah.
ummuhanna said…
jika kita merasakan betapa akrabnya sesuatu dgn kita..jangan sesekali lupa bahawa yang paling akrab adalah kematian...sentiasa dekat dengan kita...sentiasalah siapkan bekalan untuk mengahadapi kepastian ini yang memang x dapat disangkal lagi...kak ina..terima kasih di atas perkongsian yang amat bermanfaat ini..
Rohani said…
Salam Ina,

Mati itu sgt hampir dgn kita semua kerana setiap perkara yang pasti datang adalah perkara yang sangat hampir dengan kita. Hanya Allah yang Maha mengetahui bila dan saatnya ia akan tiba..Jadi, biarlah persinggahan kita di dunia yang sementara ini memberi sesuatu yang bermakna untuk kita bawa dalam perjalanan kita seterusnya. Sebenarnya semua kesenangan yang kita rasakan di dunia ini hanya bersifat sementara seandainya ia tidak berlandaskan keredhaan Ilahi. Semuanya tu tidak berguna.

Bertuah dan berbahagialah andai kita dapat mengecapi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Itulah impian setiap insan yang bernama manusia.

“Ketahuilah bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (al-Hadiid: 20).. Petikan dari buku "Anda Tak Perlu risau"

Wallahua'lam.

Kak Ani.
Anonymous said…
salam kak ina..
Jadikanlah Mati itu Pertemuan dengan Kekasihmu....YaYa
usratunsaadah said…
Setiap saat yang pergi, menghampirkan kita kepada kematian. Di situlah bermula kehidupan kita bahagia atau derita.
usratunsaadah said…
This comment has been removed by the author.
Kak Nisha said…
Assalamualaikuum semua,
Ya.. marilah kita...

Renungkanlah sejenak,
biar hati tergerak,
mencari jejak yang tak bertapak,
yang buruk boleh di tolak,
supaya hidup bahagia kelak,
Kerana Akhirat bahagia yang mutlak.

Wassalam
Anonymous said…
Satu peringatan yang amat menginsafkan. Terima kasih ummuhanna.
Salam,
INA : Matlamat kita adalah akhirat. Kematian adalah permulaan dalam perjalanan yang akan membawa kita kepada Allah SWT.

Jasad berada di alam barzah sementara menunggu ketibaan Yamul Hisab di sana nanti.

Berapa lama penantian itu, hanya DIA yang Maha Mengetahui.

Justeru, semoga dengan mengingati kematian, melorong kita agar sentiasa berada di landasan yang benar.
UMMUHANNA & KAK ROHANI : Terima kasih juga atas perkongsian pandangan.

Mudah-mudahan kita tergolong dalam kumpulan orang-orang yang mendapat keampunan Allah saat nyawa berpisah dari badan.

Ameen...
ANONYMOUS & USRATUNSAADAH :InsyaAllah. Mari kita mulakan dengan melakukan amalan soleh yang berterusan :)
KAK NISHA & KUNANG-KUNANG : Terima kasih kembali.
Anonymous said…
nashwa baru baca post ni..
my dad passed away smasa tgh berbual2 dgn mama slepas sarapan di laman.. mama pusingkan badan sekejap sambil tgk pokok2.. ketika itu walid sudah tidak bersuara dan bernyawa.. begitu pantas.. tak tunggu sesaat pun..
sejak itu (18th june 09) ingatan ttg kematian tak pernah hilang.. kak ina tulis la ttg bagaimana utk yg masih hidup berdepan dgn kesedihan dan kerinduan yg teramat.. sambil meneruskan hidup dgn tanggungjawab yg perlu dilaksana..
tulisan kak ina salah satu sumber kekuatan.. terima kasih.. :)

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA