HABAAN MANSURAA..



Malam ini giliran Kak Long memberikan tazkirah. Usai solat Maghrib berjamaah, saya, suami dan anak-anak mulai duduk berhadapan, saling bertentang wajah.


“Tazkirah Kak Long pada hari ini berkenaan dengan...Sayang Allah,” jelas Kak Long sejurus membaca lafaz basmalah.


“Cinta pada bunga, bunga akan layu. Cinta kepada manusia, manusia akan mati. Cinta pada rumah, rumah akan musnah. Tetapi...cinta Allah adalah cinta yang kekal abadi,” luah Kak Long petah dan yakin diri.


Mendengar itu, saya pandang wajah suami sambil mengangkat kening, ‘Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi,’ bisik saya di dalam hati.


“Kita mestilah sayang Allah SWT kerana Allah yang bagi kita makan, bagi kita minum dan banyak lagi,” Kak Long menambah sambil melempar senyuman manis kepada kami.


“Kita juga mesti sayang kepada Nabi Muhammad SAW kerana Baginda adalah pesuruh Allah yang terakhir. Nabi Muhammad membawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan utusan Allah bagi seluruh umat di dunia. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." ( Surah al Anbiya’ ayat 107 )

Nabi Muhammad dilahirkan di Makkah dan wafat di Madinah. Nabi Muhammad adalah seorang Nabi dan Rasul yang sangat istimewa. Baginda adalah Cikgu agama kita,”Kak Long menutup bicara.

BAGAIMANA ?
Telah beberapa lama berlalu sejak saya dan suami memulakan program tazkirah bersama anak-anak di rumah. Ia tidak lain sebagai satu program tarbiah keluarga yang diharapkan mampu menyemarak sakinah, mawaddah dan rahmah.

“ Bagus tazkirah Kak Long,” suami memuji. Saya mengangguk, mengiyakan kata-kata suami.

Kak Long tersenyum ceria. Namun, saya belum berpuas hati. Masih ada perbincangan yang perlu dihadam buat menambah faham.

“Macam mana nak rasa sayang pada Allah dan Rasulullah ye?” soal saya mahu mencambah fikir di minda.

“Buat apa yang Allah dan Rasulullah sukalah Ummi..solat, puasa, ikut cakap ummi dan ayah, baca al Quran..,”Kak Long menjawab pantas.

“Dan jangan buat dosa,” tambah Kak Ngah pula melengkapkan jawapan.

“Ya, itu betul..tapi, bagaimana nak rasakan perasaan sayang kepada Allah dan Rasulullah..tanpa kita pernah bertemu wajah?” tanya saya lagi. Kali ini Kak Long diam, tidak terus memberikan jawapan. Kak Ngah juga senyap, tidak menjawab.

DEKATI AL QURAN DAN SUNNAH
Saya memandang suami. Suami juga memandang saya. Mata kami bertentang. Memahami saya, suami membuka suara.

“Kak Long dan Kak Ngah suka dengar nasyid Sami Yusuf?”suami bertanya. Kak Long dan Kak Ngah mengangguk ceria.

“Selama ini pernah tak Kak Long dan Kak Ngah bertemu Sami Yusuf?” Sekali lagi suami bertanya disambut gelengan kepala kedua-duanya.

“Ha..begitulah contoh mudahnya. Walaupun Kak Long dan Kak Ngah tidak pernah bertemu dengan Sami Yusuf, tetapi Kak Long dan Kak Ngah suka dengar lagu-lagu nyanyiannya,” suami menerangkan.

“Sebab lagu-lagu dia best la ayah..Kak Long suka ‘Asmaul Husna’,”Kak Long mencelah.

“Sama juga macam budak-budak lain yang suka pada Upin dan Ipin, Barnie and friends, Ben 10, Pingu, Nody dan lain-lain watak kartun, sebab mereka selalu menonton cerita-cerita mereka, kanak-kanak sangat meminati mereka. Sehingga kalau ada barangan permainan berjenama kartun itu pun, kanak-kanak akan desak mak ayah beli, itulah bukti pengaruhnya sampai ke hati,” tegas suami lagi.

“Untuk suka dan sayang pada seseorang atau sesuatu perkara, tidak semestinya perlu bermula dengan pernah berjumpa atau tidak. Suka dan sayang boleh hadir cukup dengan hanya melihat dan mendengar bukti-bukti, tanda-tanda dan hasil-hasil dari kehebatan dan kualiti yang ada pada seseorang atau sesuatu perkara.

Allah SWT Maha Berkuasa dan kekuasaan Allah diperlihatkan melalui kejadian alam yang sangat mengkagumkan ini. Indah dan sungguh mempesona. Menghayati kejadian alam dan makhluk-makhluk di dalamnya sudah cukup memercikkan keinsafan ke dalam diri tentang betapa agung dan Maha Besarnya Pencipta kita.

Manakala Rasulullah pula manusia yang hebat dan kehebatan Rasulullah dapat diketahui melalui hadis-hadis dan sirah. Membaca dan menghayati kisah kebaikan akhlak Baginda sahaja sudah cukup menerbitkan rasa cinta dan kagum kita kepadanya. Tapi kalau tak baca, maka Cinderella akan lebih diminati berbanding Rasulullah..bahaya tu !

Jadi, Kak Long dan Kak Ngah perlu banyak membaca al Quran dan dan hadis nabi..tahu sejarah dan perjalanan hidup Rasulullah, hingga rasa seolah-olah hampir dengannya. Hingga nak jadi seperti Rasulullah..hamba Allah yang soleh, berakhlak, berilmu dan sebagainya,”panjang lebar penjelasan suami cuba mengaitkan agar difahami oleh minda anak-anak kami.

BUKAN MUDAH
Telah acap kali rasanya saya menekankan bahawa tugas mendidik anak di dalam dunia akhir zaman ini adalah satu tugas yang sukar dan mencabar. Ramai mengakui dan menyedari, ia bukan semudah menyebut A, B, C atau menghitung 1,2,3 menggunakan jari jemari.

Anak-anak yang dikurniakan Ilahi merupakan amanah dari Yang Maha Esa dan mereka juga adalah harta yang tiada nilai bandingnya di dunia.

Mengurus mereka sebagai satu amanah dan harta yang perlu dijaga dan diawasi adalah dengan memberikan didikan dan asuhan agar mereka membesar dan meneruskan kehidupan sebagai manusia berakhlak, beramal dan beriman.

Justeru, bagi menjayakan itu, tidak dapat tidak ibu bapa berperanan besar untuk menerap ilmu, menanam tauhid dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi di dalam jiwa anak-anak kepada Pencipta yang Maha Esa dari kecil, menginjak remaja seterusnya menuju alam dewasa.

PEMIKIRAN LIBERAL
“Adakah Tuhan akan buang saya ke neraka dengan hanya saya tidak pakai tudung? Atau saya minum arak, tetapi saya tidak mabuk? Saya seorang vegetarian kerana saya tidak mahu bunuh makhluk lain. Saya juga ada membantu kerja-kerja komuniti manusia,”demikian bunyi pertanyaan yang pernah menjengah ke dalam kotak emel saya.

Persoalan seumpama ini bukan baru, malahan semakin merebak dan membarah. Ia menjadi anutan sebilangan besar anak-anak remaja yang sedang menuntut ilmu baik di dalam mahu pun di luar negara. Ramai pelajar yang rosak akhlak, bersekedudukan dengan bukan muslim, minum arak dan bermacam-macam lagi.

“Memanglah Allah SWT tidak akan mencampakkan mereka ke neraka semata-mata kerana tidak bertudung atau minum sedikit arak atau seumpamanya. Banyak penilaian-penilaian lain lagi yang Allah sebutkan di dalam al Quran dan hadis Rasul-Nya untuk menentukan syurga atau neraka,” luah saya ketika berkongsi persoalan ini bersama kaum ibu dan wanita MASLEICS pada usrah kami kali kedua.

“Umpama seseorang yang menjawab soalan dalam peperiksaan. Satu soalan yang salah akan menjarakkannya dari memperolehi markah penuh. Semakin banyak kesilapan, semakin kuranglah markah. Hingga.. mungkin saja dia gagal dek kerana banyak jawapan salah yang diberikan. Sifir mudahnya, kesilapan menjawab dalam peperiksaan merupakan langkah-langkah kepada kegagalan dalam peperiksaan.

Jadi, begitu jugalah dengan orang yang melakukan maksiat kepada Allah. Ia merupakan langkah-langkah yang menghampirkan mereka kepada neraka Allah SWT. Ringkasnya, sekali seseorang mengingkari perintah Allah SWT, bermakna satu jawapannya dalam ‘ujian kehidupan’ dikira salah dan ia merupakan suatu kerugian yang sepatutnya dielakkan oleh orang-orang yang diberikan akal fikiran.

Alangkah malang jika mereka dijemput Tuhan dalam keadaan diri yang masih bergelumang dengan kemaksiatan,”saya menjelaskan dengan dada sesak mengenangkan kedahsyatan azab bagi mereka yang tidak sempat bertaubat.

HABAAN MANSURAA
“Jadi bagaimana dengan kebaikan mereka?”soal seorang ahli usrah kepada saya.

“Kita pulangkan kepada Allah SWT untuk menilainya. Setiap kebaikan menghapus kejahatan..itu yang kita harap dan doakan.

Bimbang jika kebaikan yang dilakukan, sedang dalam masa yang sama mereka berbangga dengan maksiat kepada-Nya; kebaikan itu hanya mendapat pengiktirafan manusia di dunia. Ketika hidup mereka dipuji dan dipuja. Dan saat mereka telah tiada jasa mereka dikenang berkurun lamanya..namun di sisi Allah ia hanya umpama ‘habaan mansuraa’..bagai debu-debu berterbangan di udara, tiada nilainya,”jujur saya menerangkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan Kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu umpama debu yang berterbangan, tiada bernilai.” (Surah al-Furqan, ayat 23)



“Ya Allah, bantulah kami mendidik dan mentarbiah diri. Juga anak-anak dan zuriat keturunan kami. Jauhkan kami dari fitnah yang menyesatkan, sebaliknya hampirkan kami dengan ketaatan.

Bantulah kami melaksanakan amalan kebaikan. Dengan rahmat kasih sayang-Mu..agar amal-amal itu berupa amal soleh yang menjadi syafaat, menjadi penyelamat dari jurang neraka yang amat dahsyat.

Bersihkan hati dan jiwa kami, semoga hidup dan mati kami hanya kerana-Mu..hanya untuk-Mu”.

Mencari dan terus mencari cinta ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

MZA JLN ROCKY said…
Dari ALLAH kita datang.........ALLah jua yang maha mengetahui hal diri kita
cun09 said…
salam...

"bagaimana nak rasakan perasaan sayang kepada Allah dan Rasulullah..tanpa kita pernah bertemu wajah?”

ayat ini teringat pada diri sendiri...belajar mengenal ALLAH dan Rasulullah...
YA ALLAH AMPUN NILAH DOSA HAMBAMU INI.
mai said…
salam k ina..saya sangat2 tertarik cara k ina mendidik anak2 k ina. saya harap, saya boleh lakukan sebaik k ina. tapi, saya rasa saya perlu ilmu yg lebih mendalam, sebab saya dapati, bila najiyya sudah semakin besar, keadaan semakin mencabar. saya bimbang, terlalu melarang..ada kesan buruk, dan jika dibiarkan..tidak berdisiplin..waktu2 begini lah saya rasa saya perlukan pengalaman dari teman2 untuk memberi tunjuk ajar cara terbaik untuk mendidik anak supaya menjadi anak yg solehah..harap k ina sudi membantu :) (panjangnya 'komen' saya ;)..)
Anonymous said…
sangat menarik artikel ina 'habaan mansura". saya suka cara ina ...tidak direct, tetapi bebentuk psiko. iaitu cara yang mebuatkan ank2 berfikir utk cari jawapan. dengan cara itu mereka lebih memahami.
ina, sambil saya baca stikel ni, saya terfikir sendiri. jika ada anak nanti adakah saya mampu buat macam ina...ntahlaa.
moga Allah beri kami zuriat. amin
Nurulfirdausi said…
Alhamdulillah..tazkirah yang sangat bagus untuk diri saya juga.. Moga ALLAH terus merahmati ummu husna sekeluarga~
Anonymous said…
eh kak ina.. bagus la cara tu.. suruh anak2 bagi tazkirah pulak.. asyik mama walid je dok bercakap.. lama2 depa jemu! :)
salama said…
salam kak,

nampaknya anak akk sudah mula "masa remaja"nya..

soalan saya: bagaimana nak bentuk minda anak2 perempuan kita ni supaya fokus dan boleh handle cabaran waktu remaja ni dengan betul.

tahu2 sahajalah, waktu remaja ni, yg perempuan mula develop perasaan 'itu'.waktu ni juga kena belaajr sungguh2, sebab zaman sekolah menengah adalah masa paling awal utk membentuk masa depan, waktu ni juga berjinak-jinak dengan perkara2 yang keperempuanan (baju cantik, perhiasan cantik, barang2 comel etc etc)

.. susah sebenarnya masa saya laluinya dulu... membuatkan saya sentiasa terfikir dan bertanya pada diri sendiri, apa yang terbaik saya boleh buat untuk tolong anak perempuan saya melalui tempoh 10-15 tahun(umur 10-25 tahun) yang mencabar itu, agar tidak tersasar dari apa yang islam nak, dan tidak pula menidakkan apa yang dilaluinya itu, especially bab2 perasaan ni (mahu disayangi, attention) kerana ianya normal cuma tak boleh dilayan. dan tak naklah terikut2 dengan kerenah remaja sekarang.. aduhaii....
Salam kak Ina,

Semoga beroleh sakinah mawaddah wa rahmah. Ameen....

Nak tanya sikit....Apa beza habaan mansuraa dan farsyit turob?
salam....kak boleh bagi tazkirah kat saya...cara nak tegur anak2 yang pandai dan betah berkata2...saya selalu nasihat dengan anak2 saya tapi diorang menjawab apa yang saya kata....kadang2 saya juga manusia biasa...misti terasa nak marah juga...semenjak mereka bersekolah dah pandai menjawab setiap patah nasihat saya...harap kakak dapat membantu saya....
Ahlia_Arif said…
Salam Kak,

Alhamdulillah cara yang akak dan suami buat, mirip juga dengan yang saya buat di rumah (walaupun tidak dapat berapa istiqamah). Saya pelajari ini dari few programs yang saya pernah hadiri yang dipanggil majlis taklim wa taklum (belajar & mengajar). Jadi kami lapangkan setiap hari masa yang semua ahli keluarga boleh duduk sekali dan kami baca kitab hadith beserta keterangannya. Kemudian setiap ahli keluarga akan belajar2 bercakap tentang agama. Semoga dengan amalan seperti itu didalam rumah, akan dapat anak2 (dan ibu bapanya juga) keberanian untuk bercakap tentang agama dgn rakan2 di luar rumah. Also kami gilirkan2 juga dgn adab2 seperti adab makan minum, adab tidur, adab ke tandas, adab bertamu etc supaya dapat dihayati dalam kehidupan seharian.

InsyaAllah semoa Allah beri kita istiqamah dalam menghidupkan amal2 yang baik, Amin.
Nurhafizah Mahri said…
Tahniah, sangat sukakan blog ini. Memang sukar mendidik dan mentarbiyah anak remaja pada masa ini. Saya juga melalui zaman remaja yang sukar. Tapi kini lebih mencabar, sangat mudah tersasar tanpa jati diri yang kukuh.
Salam,
MZA : Tepat sekali, kerana itu Allah memberikan kita panduan melalui al Quran dan sunnah Rasul-Nya agar kita tidak tersesat jalan.

Moga-moga kita tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang mendapat petunjuk dan hidayah berpanjangan, ameen.

CUN09 : Ws, Kak Ina juga masih dalam perjalanan untuk terus mendidik diri.
MAI : Seperti yang selalu Kak Ina sebutkan, Kak Ina juga banyak belajar dari orang lain. Dan pada Mai juga ada contoh yang baik untuk kak Ina contohi :)

So, kita saling belajar dan bertukar pandangan ye. Detik dan ketika membesarkan anak-anak memang mencabar. Semakin mereka dewasa, semakin banyak perkara baru yang memerlukan perhatian dan panduan dari kita sebagai ibu bapa.

Bagi Kak Ina cukup dengan melihat perkembangan empat permata hati.

Suasana ketika Kak Long dan Kak Ngah berusia 4 tahun tidak sama dengan usia 4 tahun Khalil sekarang ini.

Jadi,kebenaran dan larangan terhadap sesuatu perkara itu perlu juga mengambil kira suasana mereka membesar, bila dan di mana.

Yang paling penting, jika larangan yang perlu kita pilih sebagai tindakan terhadap perlakuan anak-anak, nyatakan sebabnya. InsyaAllah, lama kelamaan mereka akan faham dan mulai menurut kata.
akmarhisham said…
salam..afwan.
saya minx izin utk copy n edit artikel nih..utk kesesuaian kwn2 sy.
terima kasih.
SALAMA : Ws, ye memang betul perkiraan tu, terutama kepada anak Kak Ina yang sulung. Husna. Tahun ni, dia dah berusia 10 tahun.

Setakat ini, apa yang Kak Ina banyak lakukan ialah berbincang, bersembang, bercakap dari hati ke hati..pendek kata banyak berbicara dan bersemuka.

Sebagai ibu bapa yang pernah melalui masa remaja, Kak Ina dan ustaz selalu menekankan tentang pentingnya ilmu, berilmu dan beramal dengan ilmu.

Mudah-mudahan usaha yang kecil ini menjadi pendorong untuk anak-anak terus menyintai ilmu dan menimba pengetahuan di masa remaja mereka kelak. Seterusnya menjadi pembimbing agar mereka selamat dari fitnah masa remaja yang mengasyikkan. Ameen, Ya Rabb
SHAZA : Habaan mansuraa maknanya debu-debu yang berterbangan.

Manakala farshit turab, maknanya katilku ( tempat pembaringan )dari tanah. Ia perumpamaan kepada keadaan manusia yang sudah mati di dalam kubur - ditanam jasad mereka di dalam tanah - semoga memberi keinsafan kepada kita.

ALIMAZ : Anak-anak sekarang lebih bijak dan pandai memberikan pandangan berbanding kita dulu. Kak Ina selalu fikirkan perkara yang positif ini sebelum menilai yang negatifnya.

Banyakkan penerangan dengan kata-kata yang lembut. Setakat pengalaman, InsyaAllah anak-anak menurut.

Jika sebaliknya, iaitu menggunakan kata-kata keras, marah dan menjerkah, mereka akan memberontak dan lambat untuk berubah. Kak Ina juga adakalanya terbababs juga :)

Sama-sama kita ingat mengingatkan ye..
Anonymous said…
erm.. alhamdulillah, dibukakan jalan utk saya mencari blog yg boleh dijadikan rujukan.. thanks kak ina.. saya nih, pengisian br nak bermula.. anak nak masuk umor 3 thn.. dah boleh paham apa yg di cakap .. insyaAllah,.. nak gunakan ilmu bernas yang kak ina share disini.. amin
Anonymous said…
boleh ke kalo saya print out sume notes yg kak ina coretkan sebagai rujukan .. menarik pembacaan yang boleh saya kongsi ngan kengkawan?

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA