DARI BICARA, HADIR PERCAYA

“Ummi, betul ke tidur lepas Subuh tu tak elok?” suatu ketika Kak Long bertanya kepada saya.

“Hmm..tak semestinya. Kenapa Kak Long tanya?”soal saya pula yang sedang sibuk memberus baju di sinki dapur. Walaupun begitu, saya cuba juga menjawab pertanyaannya. Sekadar melayan bila anak menyapa.

“Ada orang kata, kalau tidur lepas Subuh boleh jadi gila..Kak Long tak nak jadi gila..” jawab Kak Long. Agak cemas nada suaranya. Terhenti seketika saya mendengar kata-katanya.

“Dari manalah Kak Long tahu tentang ini,” saya berbisik sendiri.

Mungkin kerana terkenangkan dirinya yang selalu tidur atau tertidur sebaik mengerjakan solat Subuh, Kak Long nampak serius mahu berbicara mengenainya. Jelas bersungguh, tidak mahu bertangguh.

“Apa lagi keburukan tidur lepas Subuh yang Kak Long tahu ?” soal saya lagi.

“ Tidur lepas Subuh juga boleh menyebabkan susah dapat rezeki,” pantas Kak Long menjawab kembali

DUNIA TANPA SEMPADAN
Saya yakin, setiap ibu bapa pasti pernah diasak dengan pertanyaan-pertanyaan yang agak berat oleh anak. Bermula dengan persoalan agama, cerita suka dan duka, hingga membawa kepada persoalan cinta.

Apa yang menghairankan, soalan itu bukan sekadar diluah oleh anak-anak remaja, tetapi juga anak-anak tujuh, lapan, sembilan dan sepuluh tahun umur mereka. Bak kata orang, baru setahun jagung usia!

Hakikatnya, tiada apa yang perlu dihairankan. Dalam dunia hari ini, dunia tanpa sempadan dan globalisasi, semua itu mungkin terjadi. Mereka boleh memperolehinya dari pelbagai kaedah dan wasilah.

Lihat saja senarai ini: televisyen, filem, majalah, internet dan teman-teman sekolah.

Kerana itu, membesarkan anak-anak dewasa kini, merupakan suatu perkara yang mencabar. Ilmu, kebijaksanaan dan kesabaran sangat perlu ketika berhadapan dengan mereka.

Lantaran waktu yang semakin laju beredar. Zaman berubah, dan manusia yang berada di dalamnya juga harus berhadapan dengan berencam masalah. Kita hidup di dalam dunia yang semakin kompleks. Dunia yang menyediakan kita sehari-hari dengan berbagai isu yang sulit. Sesuatu yang sukar bagi anak-anak untuk memahami dan untuk orang dewasa menanggapi.

BOLEH
Saya merenung ke dalam matanya. Terpancar suatu perasaan ingin tahu yang amat nyata. Dan saya sedar, jika bukan saya, kepada siapa lagi dia akan meletakkan rasa percaya untuk meluahkan rasa.

“ Jadi..Kak Long nak tahu jawapan Ummi ?” soal saya menduga, walau saya tahu sememangnya itu yang dipinta. Kak Long menganggukkan kepala.

“Jawapannya, ada elok dan ada juga yang tak elok…dua-dua ada.”

Berkerut dahinya mendengar jawapan saya.

“Kenapa ada dua..sekejap elok..sekejap tidak pula?” Kak Long tertanya-tanya.

“Sebab, tidur selepas Subuh tidak ada larangan yang benar-benar diyakini keluar dari mulut nabi sendiri. Jadi, ada ketikanya ia boleh dilakukan mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan. Namun sebaik-baiknya, ia perlu dielakkan.

Contohnya, ketika musim panas di UK. Waktu siangnya lebih panjang berbanding malam. Maghrib dan Isyak bermula agak lewat manakala Subuh pula bermula seawal jam 3. Kalau selepas solat Subuh, Kak Long berjaga sehingga menunggu siang hari, tentu Kak Long mengantuk dan akan tertidur dalam kelas nanti.

Jadi, tidur selepas Subuh ketika itu perlu supaya Kak Long dapat tidur yang cukup,” saya menjelaskan sementara Kak Long terus tekun mendengar.

TIDAK BOLEH
“Bila pula tak boleh Ummi ?” Kak Long bertanya. Nampak tidak sabar mahu mengetahui penerangan selanjutnya.

“Yang tak bolehnya..ketika musim sejuk beginilah. Malamnya panjang dan Subuh pula masuk sekitar jam 5.45..hampir ke pukul enam.

Jadi, dari menyambung tidur lebih baik isi masa dengan membaca atau mengaji. Mulakan hari dengan ‘sarapan’ untuk ruh dan hati. Kerana, itulah sunnah sebenar yang dilakukan oleh Nabi. Selepas solat Subuh, Baginda akan berada di tempat solatnya sehingga terbit matahari. Mengisi masa dengan berzikir dan memuji Ilahi.

Tambahan pula, Rasulullah SAW juga pernah berdoa tentang keberkatan waktu pagi yang bermaksud :

“Ya Allah, berkatilah untuk ummatku akan waktu pagi mereka” ( Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, an-Nasa-i dan Ibnu Majah )


Dan seterusnya di dalam sebuah hadis lain, Baginda bersabda yang maksudnya :


“Berpagi-pagilah dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu ada keberkatan dan kejayaan.” ( Hadis riwayat at-Tabrani )


“Oo…jadi, orang yang suka tidur waktu pagi tu, tak berkatlah ye...” Kak Long membuat kesimpulan. Saya membalas dengan senyuman.

“Rasulullah SAW selalu mengingatkan kita agar berusaha meraih keberkatan dari Allah, antaranya dengan menanamkan semangat untuk hidup sihat dan produktif, serta menjauhkan sifat malas.


Baginda mengaitkan waktu pagi dengan keberkatan kerana waktu pagi merupakan ketikanya manusia memulakan aktiviti seharian. Saat itu pula, seseorang akan merasa lebih segar dan bersemangat setelah berehat dan tidur semalaman.


Lantaran itu, sebagai contoh pelaksanaan dari doa ini, setiap kali ingin mengutus pasukan perang, Rasulullah SAW melakukannya di pagi hari. Hasilnya, pasukan tersebut diberkati, mendapat pertolongan dari Allah seterusnya beroleh kemenangan,” panjang lebar saya menerangkan.


Berulangkali Kak Long menganggukkan kepala. Walau tidak bersuara, saya yakin jiwanya mulai diresapi rasa lega.


DARI BICARA HADIR PERCAYA
Anak-anak sebenarnya sentiasa ingin berbicara. Meminta pandangan dan berkongsi perasaan bersama ibu bapa sebagai individu yang hampir dan boleh dipercaya. Namun, mereka akan terlebih dahulu menilai, adakah ibu bapa merasa terbuka untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan mereka.

Justeru, terserah pada kita, sebagai ibu bapa, untuk mencipta corak suasana di mana anak-anak dapat mengajukan pertanyaan, tentang apa saja.

Tidak perlu lakukan terlalu banyak. Cukuplah dengan mendorong, mendukung dan positif terhadap sebarang persoalan mereka.

Saya akur, sungguh pun ramai di kalangan kita mungkin belum rasa mampu, namun fikirkan kesan andai kita menolak dan enggan bersemuka.

Jika bukan kita bertindak lebih awal dengan sering menjawab pertanyaan anak-anak, mereka akan mendapatkan maklumat dari orang lain yang bersedia untuk mendengar dan berbicara.

Untuk itu, kita akan kehilangan kesempatan untuk menawarkan anak-anak informasi yang bukan sahaja penting, tetapi juga seiring sejalan dengan peribadi, nilai-nilai dan prinsip-prinsip akhlak yang selalu kita dukungi. Nilai iman dan Islam sebagai paksi yang menunjangi kehidupan ini.

Akhirnya, berapa pun usia anak-anak, mereka layak mendapatkan jawapan yang jujur bersulam kata-kata yang luhur. Soalan perlu berlanjut dengan penjelasan. Itulah yang memperkuat kemampuan anak-anak untuk meningkatkan kepercayaan.


Oleh itu, mulakan hari ini. Wujudkan komunikasi. Moga-moga dari bicara, hadir percaya.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Kak Ummi said…
Salam.

Setuju sangat-sangat dengan Ina.Soalan dari anak-anak walau baru setahun jagung usianya jangan diremehkan kerana dari bicara itulah akan hadirnya percaya.Terimakasih Ina atas tulisan dan bicara yang sentiasa Kak Ummi nanti-nantikan.Saaayang Dik Ina.
nz said…
salam kak ina,

selalu amalkan juga zikir 300 pagi dan 300 ptg :-)
cun09 said…
salam ina...

kisah tidur selepas subuh ini begitu 'sensitif' dalam umah saya...tp masih lagi melakukannya, ^_^
Honey.Money said…
Salam kak ina yg dikasihi & dihormati,

Salam ukhwah, shukran ya ukhty...your blog is very inspiring! saya byk belajar. Akak, boleh saya bertanya pndangan akak; bagaimana nak mendekati atau menangani remaja yang ber'couple'. Apa pdkatan or first point yg kita prlu utarakan ya? apatah lg kalau mereka dr kalangan ahli keluarga kita sndiri...
Jazaakillah khayran!
wfaiziah said…
cerita kak Ina memang bermanfaat...masalahnya kalau parents tak berapa ada ilmu mcmana nak meluhurkan jawapan trsebut kan..? Hmm..ini dapat memotivasikan para ububapa utk terus mencari ilmu..termasuklah diri saya. TQ K Ina.
MamaAliya said…
Salam kak,

Saya kagum dan suka dengan cara akak mendidik anak dengan memanfaatkan situasi...bukan sesuatu yang mudah..semoga saya juga boleh menjadi ibu yang bijak memanfaatkan situasi untuk mencorakkan pemikiran dan pemahaman anak-anak. Terima kasih atas segala ilmu bermanfaat yang akak share di sini.

Wassalam

-MamaAliya
Unknown said…
salam...wah...nasihat yang berguna lagi manafaat...kerosakan wanita berpunca dari lelaki yang rosak...sebab itu, usaha hendak dibuat ke atas orang lelaki...takaza kita sekarang dan sampai kiamat jumpa setiap lelaki akil baligh di dalam rumah2 org islam,,ajak mereka kepada masjid..biar semua lelaki islam ada hubungan dgn masjid dan ada taaluk dengan Allah swt.
sisdee said…
pandai budak2 skarang kan..mereka sering soal mcm2 hal...sangat setuju cara akak menjawab soalan2 itu...

saya sendiri tak bape suke tido selepas subuh..akan moody spnjg hari tu...
Tika said…
bagus info yang dititipkan..

budak2 skrng jangan kata 9-10 tahun dah bertanya macam2, dari 2-3 tahun dah banyak soalan yang tak dijangka dengan umur mereka... Ibu bapa hanya perlu bersedia. Tapi untuk sentiasa bersedia tu susah.. sementelah masing2 kerja, balik di rumah sibuk pula dengan urusan rumah dan anak-anak. Berapa jam saja masa kualiti yg dapat diluangkan utk anak-anak
Tika said…
bagus info yang dititipkan..

budak2 skrng jangan kata 9-10 tahun dah bertanya macam2, dari 2-3 tahun dah banyak soalan yang tak dijangka dengan umur mereka... Ibu bapa hanya perlu bersedia. Tapi untuk sentiasa bersedia tu susah.. sementelah masing2 kerja, balik di rumah sibuk pula dengan urusan rumah dan anak-anak. Berapa jam saja masa kualiti yg dapat diluangkan utk anak-anak
su said…
salam akak.
saya selalu baca entry akak dan selalu tunggu entry baru. Banyak yang saya belajar dari pengalaman2 akak. Saya juga harap saya dapat mendidik anak2 saya dengan baik dan mengikut ajaran Rasulullah. InsyaALLAH. Kak, saya ada hantar email pd gmail akak, ada persoalan yang saya tanya menerusi email tu. Dan saya harap akak utk berikan pandangan jika ada masa. Boleh ye? Tk.
Amoi Ida said…
Salam kak Ina..

Bagusnya entri nie..kena batang hidung sendiri, hehe..Orang dewasapun susah nak bertahan pas subuh, apalagi budak2 ye tak?

Macam kes Ida, pas Subuhla dapat tidur sebab anak2 masih tidur, sebab bila meka dah bangun meka memang tak tidur siang, jadi Idapun tak boleh nak tidur..tapi kalau tidur pas Subuh akan tergendala sikit tugasan harian..tak tahu macamana nak didik meka untuk nap di siang hari? Kena paksa dan cakap macam-macam, itupun selalu tak menjadi especially kalau abinya ada di rumah...
kak cahaya said…
Salam Ina...
terasa rugi terlepas peluang mendgr ceramah Ina mlm ni...masa nak dengar ceramah baru sibuk nak setting Paltalk...baru je dpt..ceramah pon habis...mmm sayang sungguh....
tp nak tanya Ina...ada rakaman tak ceramah tu..kalo ada bole tolong bagi link...bole juga dengar walaupun ulangan...
Salam,

HONEY.MONEY : Ws, salam ukhuwwah juga dari Kak Ina :)

Tentang 'budaya couple', pada Kak Ina tiada cara yang lebih baik buat permulaannya selain dari nasihat dan peringatan tentang natijah buruk yang lahir dari ber'couple' itu sendiri.

Selain ia merupakan suntikan halus syaitan untuk memesongkan hati -hati mereka yang terlibat, ia juga merupakan langkah awal kepada perzinaan yang amat diharamkan.

Namun, untuk mendekati golongan ini bukan mudah kerana penyakit cinta ( di luar perkahwinan yang halal )membuatkan mereka tuli dan buta untuk mendengar nasihat dan melihat kebenaran yang ditunjukkan dalam agama.

Oleh itu, individu yang menasihat juga perlu kuat dan jangan merasa putus asa. Mungkin masa yang diambil tidak cukup sehari dua, ditambah pula penentangan dan penolakan yang mungkin berlaku.

Teruskan usaha, di samping berdoa kepada Allah yang Maha Esa. Mudah-mudahan berkat dari sikap tidak putus asa dan terus berusaha, Allah SWT akan memberi hidayah-Nya. InsyaAllah
WFAIZIAH :
Ye, semoga ibu bapa merupakan orang pertama yang menyahut pengajaran di sebalik artikel ini untuk menambah ilmu.
Sayidah Napisah said…
slm...
thanx a lot!!
actually,sy pon slalu jg tdo lps subuh..hehe..

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA