BUKAN HIBURAN

Mata saya terkebil-kebil memandang papan skrin komputer. Tangan dan jari telah lama bersedia. Hanya menunggu tempo untuk berdansa. Cuma yang tiada adalah jiwa. Tiada rasa, kosong kata untuk ditinta.

“Ya..Allah..mengapa idea tak kunjung tiba?” desir saya sendiri.

Semenjak pulang ke United Kingdom setelah hampir tiga minggu berada di tanahair tercinta, saya bagai kehilangan rentak untuk berkarya. Puas saya berusaha mewujudkan keinginan dalam diri untuk menulis kembali.

Banyak sudah saya melayari laman-laman web atau blog yang saya gemari. Hampir lunyai juga buku-buku kegemaran saya tatapi. Tujuannya hanya satu. Untuk mendapat suntikan motivasi, namun kehadirannya tidak berkala, hanya sesekali.

MASA DAN IDEA
“ Cemburu dengan abang..”luah saya kepada suami. Sengaja saya menunjukkan memek wajah iri dan dengki.

“La..hujan tak ada,ribut jauh sekali..tiba-tiba kata cemburu. Kenapa ni?” suami bertanya dengan ketawa kecil mengiringi.

“Mana tak cemburu..abang ada je idea dan masa untuk menulis. Tapi As ni..ambil masa berhari-hari nak siapkan satu entri,” adu saya lagi.

“Tak ada idea atau tak cukup masa?”suami menyoal semula.

“Hmm..idea tu mungkin ada, cuma masa..” jawab saya lemah. Tidak bertenaga.

Saya akui itu. Selalunya bila datang idea untuk bercerita, ketika itu juga Solehah datang merengek meminta bermanja.

Memilih antara dua, pastilah anak menjadi pilihan saya. Dan bila itu berlaku, saya semakin kekurangan rasa untuk berlama-lama di hadapan komputer.

Kerana itu, kemunculan artikel baru mengambil masa seminggu atau lebih untuk diterbitkan buat tatapan pembaca. Tidak kerap, tidak acap seperti sebelumnya.

WUJUDKAN MASA
“Cuba As wujudkan masa jika itu yang menjadi punca...”suami memberi idea.

“Wujudkan masa..apa maksud abang ?”saya bertanya meminta penjelasan.

“Masa boleh wujud jika diurus dengan betul..” jelas suami. Ringkas tetapi berisi.

“Jika itu maksud abang..rasanya selama ini, As telah cuba sebaik mungkin memanfaatkan masa yang ada dari pagi hingga malam hari. Sambil memasak, As membasuh baju di dapur.Sambil menonton, As melipat baju dan pakaian lain. Begitu juga sambil membaca, As cuba mencari isi dan idea buat melengkap sesuatu cerita,” luah saya. Namun kebimbangan di hati tetap tidak kunjung reda.

“Alhamdulilah dan bagus jika begitu. Wujudkan masa itu juga sebenarnya, menyusun buah fikiran semasa melakukan kerja-kerja rutin harian. Dengan cara tersebut, apabila saja berada di hadapan komputer, mudah untuk menyusun awal, tengah dan hujung penulisan. Lebih penting adalah tentukan dahulu matlamat atau pengajaran. Destinasi perlu jelas. Gaya cerita dan olahan boleh difikirkan kemudian.

Seterusnya, perlu juga menilai dan membezakan antara keutamaan yang sepatutnya didahulukan dan perkara sampingan yang boleh dikemudiankan,” suami menerangkan.

“Hmm..As sebenarnya rasa bersalah pada pembaca-pembaca yang tak jemu berkunjung. Masuk sahaja ke blog Ummuhusna, hanya menatap cerita yang sama. Komentar juga lambat atau tidak berbalas. Serupa sahaja. Itu belum lagi emel-emel yang asyik tertangguh untuk membacanya.

Macam..menjamu tetamu makan tanpa layanan sahaja rasanya, ”luah saya. Masih bernada kecewa.

Saya pandang wajah suami. Dia tersenyum memandang saya.

“Menulis tidak boleh dalam keadaan terlalu tertekan, nanti jadi buntu. Fokus pula sangat penting. Namun usaha mendapatkannya adalah satu cabaran yang besar. Cuba As ambil peluang waktu Solehah tidur iaitu jam 12 tengahari ke atas dan ketika semua anak-anak lain di sekolah untuk menulis.

Selain itu, fokus juga memerlukan pengorbanan. Mungkin sebahagian waktu biasa kita berehat terpaksa dikorbankan, contoh kena bangun lebih awal, tidur lewat sedikit dan seumpamanya.”

Mendengar itu, saya tertunduk malu. Entah mengapa, terasa amat sulit untuk mengatasi kelemahan diri akhir-akhir ini.

TINGKATKAN KEIKHLASAN
“Akhirnya, muhasabah dan nilailah diri. Gilap kembali hati dengan zikir pada Ilahi. Panjangkan waktu untuk bermunajat pada-Nya setiap hari. KepadaNya kita mengadu dan dariNya jualah datang idea dan ilham yang membantu.

Adakalanya, terlalu seronok bercerita, kita terlupa pada jiwa. Syaitan yang tak pernah leka pasti akan memasukkan jarum-jarum yang menimbulkan sakit di jiwa.

Bermacam-macam bisikan diperdengarkan kepada hati. Menulis dan berkarya bukan lagi kerana DIA, tetapi demi memastikan pengunjung setia tidak ke mana.

Hati jadi risau memikir yang bukan-bukan. Bagaimana kalau pembaca yang dahulunya sering berkunjung sudah jemu menunggu. Pengikut setia tidak lagi mahu bersama…

Justeru, jangan biarkan itu berlaku. Sisih ia dari menguasai pemikiran dan hati. Menulislah, semata-semata untuk memperoleh redha Ilahi. Menulis untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pengajaran. Bukan untuk pujian, apatah lagi sanjungan dan kedudukan.

Yakinlah..andai penulis ikhlas memberi, pembaca juga akan ikhlas menerima.

Mereka yang ikhlas tetap akan berkunjung untuk mendapatkan ilmu dan santapan jiwa. Andai cerita baru tiada, kisah lama kan masih banyak pengajarannya?

InsyaAllah,semoga masing-masing akan beroleh manfaat,”panjang lebar suami memberi nasihat.


BUKAN HIBURAN
Saya mendongak kepala. Bagai tanah gersang disimbahi hujan dan cahaya. Rasa segar menular ke jiwa dan raga.

Ya..mengapa saya boleh terlupa peringatan dari Yang Maha Esa. Firman-Nya yang bermaksud :

“... Padahal tidak ada seorang pun memberi suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya, tetapi (dia memberikan itu semata-mata) kerana mencari keredhaan Tuhannya yang Maha Tinggi. Dan kelak nanti dia benar-benar mendapat kepuasan.” (Surah al-Lail ayat 19-21)

Istiqamahlah wahai diri. Engkau hanya menyampaikan, untuk memberi peringatan…bukan untuk memberi hiburan.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

assalamua'laikum.
n3 kita hampir sama kak ina(ALLAH IS ENOUGH FOR ME). apa yg kita alami pun hampir sama.....situasi pun hampir sama. antara anak dan keinginan utk berlama2 di dpn lap top.
kdg2 rasa malu dgn sahabat2 yg sering berkunjung ke blog sy kalau tiada pengisian yg mampu saya berikan.

apapun,segalanya dari Allah untuk Allah.

ya, benarlah musuh yang paling susah utk diuruskan ialah DIRI KITA SENDIRI.

salam mujahadah.
Nurul said…
ya ukhti solehah, betul.
menulis perlukan 'jiwa', di samping idea dan masa..

saya antara yang menanti2 tulisan ukhti.. suka baca menambah pengalaman, kematangan,keimanan insyaALLAH.

post kali ni jadi tazkirah untuk saya merefresh niat menulis, dan moga tulisan2 kita medekatkan hati manusia pada tuhan.. bermula dgn mengisi jiwa dengan rahmat tuhan
Ros Illiyyuun said…
Salam Kak Ina..
Bagi saya menulis untuk memberi hiburan adalah perlu. Apabila hati telah 'terhibur' maka mata hati akan teruskan pembacaan, seterusnya 'peringatan' yang hendak disampaikan akan tersemat di jiwa. Ringkasnya adalah 'menulis untuk hiburan, seterusnya menghasilkan pringatan. Walllahu A'lam.. :)
Ros Illiyyuun said…
sambungan...hehehe.. tersend la,ingatkan nak edit yg first td..sebab itu saya suka baca blog Kak Ina..saya terhibur dengan lenggok bahasa yang menarik akhirnya peringatan ditemui...insyaAllah akan tersemat di jiwa, andai dibaca dengan mata hati...semoga kita semua dikurniakan idea yg semakin bercambah dari hari ke hari ...Ameen.
Ely said…
Assalamualaikum

Tak apa.. saya pembaca/tetamu yang tak cerewet. :)
Mcm kata Ustaz Zaharuddin, kisah lama masih banyak pengajarannya. Maybe sbb saya pun baca buku yang sama berkali2, spy lekat dalam kepala dan hati.

Saya pun faham jika blog2 yg saya ikuti sunyi seketika. Masing2 ada komitment. Perlu utamakan yang utama. Cuma bila dah lama tiada entri baru, tertanya2 sihat ke penulis ni? Cuma tak tertanya pula Kak Ina sihat atau tidak.. Moga Kak Ina sekeluarga sihat2 hendaknya :)
Kak Nisha said…
Assalamualaikum semua.
alhamdulillah akhirnya berjaya juga baca n3 ummuHusna.
Hayatilah doa ini untuk tatapan semua terutama yang empunya n3 ni. Semoga kita semua beroleh keberkatan dan limphan rahmatnya.

"Wahai Tuhanku aku pohon kepadaMu rahmat istimewa dari sisiMu iaitu rahmat yang dengannya Engkau hidayahkan hatiku dan dengannya Engkau selesaikan segala urusanku dan mengatasi segala kesukaranku juga dengannya Engkau membetulkan batinku dan mengangkatkan zahirku dan dengannya Engkau bersihkan amalanku dan dengannya Engkau ilhamkan hidayah kepadaku dan dengannya Engkau kembalikan kebiasaanku dan dengannya Engkau peliharakan ku dari segala kejahatan dan lagi ...."
hanis said…

salam husna...
dalam tak ada idea bak kata husna...namun luahan tetap jadi satu cerita yang sedap di baca , dan saya tetap tak prnah jemu mengikuti perkembangan blog husna..kalau tak sempat nk beri komen pun..saya tetap mengikutinya..
dan..jgn risau husna...tetamu spt saya juga tidak cerewet..tak perlu dilayan pun tak mengapa..asalkan di beri tumpang berteduh dan melepas lelah pun dan Alhamdulillah..:)
Rohani said…
Salam Ina,

Semua dari kita adalah insan yg punya banyak kelebihan dan kelemahan. "ANDA TAK PERLU RISAU", andai realiti tidak seindah impian.Itulah tajuk buku akak yang terbaru... Akak menulis buku ini adalah utk mendidik hati sendiri di samping berkongsi sedikit ilmu dengan semua yg sudi membaca buku ni.. http://isuwanita39.blogspot.com/ ..
Yan Norayhunt said…
Assalamualaikum. Kak Ina apa khabar? =D alhamdulillah..luahan rasa pun boleh jadi entri yang menghibur dan mendidik jiwa, insyaAllah. Seperti yang ust katakan, saya juga yakin bilamana penulis ikhlas menulis, pembaca pasti juga ikhlas membaca. Bila menulis itu dari jiwa, pembaca juga akan terkesan terus menusuk ke jiwa..hehe..berfalsafah pula.
Semoga Allah berikan kekuatan untuk akak istiqamah ye..doakan kebahagian kita bersama dunia dan akhirat..insyaAllah...
anisah said…
salam

sy sgt2 suke bce pndapat kak ina.
the ways you teach and advice your precious child and etc.im really envy and impressed on you.
it doesn't matter klu kak ina jrg update.but,im really hope that you still write and share your thought.
may GOd blessing always be with you and your family.
nna said…
tak ape kak ina :) pengunjung setia tak jemu membaca seayat demi seayat walaupun untuk menyediakannya mengambil waktu.

InshaAllah berat timbangan seayat dan setiap detik yang dicurahkan oleh Kak Ina Allah taala terima dan beratkan lagi timbangan pahala kak Ina di akhirat kelak.

tulislah tentang Nilam Puri kak Ina, saya rindu nak membaca dan mengenangkannya :)
Unknown said…
Salam Ina,
Bagus sungguh content ni, nasihat UZAR tu sangat mendalam dan membantu saya yang asyik merungut lately sebab terasa masa tak cukup siapkan kerja2 rumah dan buat PhD lagi. Terima kasih
ummu said…
This comment has been removed by the author.
ummu said…
salam ziarah ummuhusna

saya pun terpkasa berebut masa dan komputer dengan anak, dan keperluan diri sendiri,namun apa yang pasti,kita mesti mencari dan melakukan yang aula di antara yang aula...
saya akan terus memnanntikan tulisan sis,ia bagaikan santapan rohani dan sunt8ikan motivasi saya
salam aidil adha dari kami di raudhatul ukhuwwah buat ummuhusna sekeluarga..maaf zahir batin
Makbonda61 said…
Salam Husna

Biar sedikit tapi berilmu,daripada selalu tapi melulu,Makbonda tidak pernah jemu mengunjungimu.
ibuaiman said…
Salam K'Ina, rupanyer bukan saya sorang mengalami masalah ini, K'Ina pun samer rupernyer...patut lar K'Ina tak jawab-jawab email saya sampai ssekarang, saya tertunggu-tunggu jer...harap sangat K'Ina dapat balas, nak tahu pandangan K'Ina....TQ:)
Puan Norma said…
Puan, cuba baca blog http://www.fuadlatip.com yang mampu mengangkat kesedaran kita dengan mudah. Mungkin boleh beri banyak idea puan.
Salam,

NORMI : Terima kasih juga atas ingatan. Lumrah manusia, lupa dan selalu alpa. Kerana itu pentingnya teman dan sahabat yang memberi teguran dan nasihat.

Semoga kita terus menulis untuk peringatan bersama.

Salam ukhuwwah :)

NURUL : Alhamdulillah..sama-sama kita berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Moga-moga ia menambah timbangan amal dan beroleh keampunan dari Yang Maha Esa.

Tulisan Nurul juga sarat dengan nasihat. Terima kasih Dik :)

ILIYYUN : Orang yang pembaca menganggapnya sebagai hiburan, masih tidak mengapa.

Akan tetapi jika yang mencoret idea beranggapan begitu juga, maka bimbang ada 'calar ' pada niat dan tujuannya, Na'uzubillah.

Semoga kita ditetapkan keimanan dan dianugerahkan keikhlasan dalam beramal. Doakan juga ye.
ARMOURIS : Terima kasih atas info..dah lama tak buat qailulah ni..sejak ada anak-anak ni :)

ELY : Alhamdulillah, Kak Ina dan keluarga sihat-sihat sahaja..batuk-batuk dan selsema sedikit tu lumrah..dah masuk musim dingin ni..sejuknya sampai ke tulang.

Apa pun syukur atas segala nikmat-Nya.

Terima kasih Ely..sejuk membaca coretan Ely..
KAK NISHA : Alhamdulillah..terima kasih Kak Nisha.

Kak Nisha antara yang sering memujuk dengan kata-kata menyerap ke jiwa. Semoga Kak Nisha tidak jemu untuk terus menegur mana yang salah dan membantu menegakkan yang hak.

'Wa ta'aawanu 'alalbirr wattaqwa.."

HANIS : Terima kasih..jemput..saya tak kisah jika nak menumpang berteduh :)

Semoga yang sedikit dari tulisan saya ini dapat dimanfaatkan oleh kita bersama.

KAK ROHANI : Alhamdulillah..tahniah kak ! Semoga ia membakar semangat kami untuk terus menyumbang idea, pengalaman dan pengetahuan melalui penulisan.

Mudah-mudahan ia menjadi amal jariah yang berpanjangan pahalanya buat kakak.
ZaffanKhalid said…
Salam Kak Ina

Saya setuju benar dengan kata-kata akak. Seorang anak muda yang belum berkeluarga pun mencari-cari masa untuk serius menulis dan melayan aktiviti keluarga yang tak pernah habis. Jauh rasanya berbanding seorang ibu dan isteri.

Selain mengingat kembali tujuan serta menguruskan masa, saya cadangkan akak mempunyai prinsip dalam menulis blog ini. Saya yakin akak sudah ada prinsip, cuma entahlah, pengalaman saya, wanita emosi, apabila berlaku apa-apa, saya mudah down. Apabila menatap kembali prinsip yang sudah ditulis, saya lebih fokus. Alhamdulillah.

Salah satu prinsip saya, saya boleh menulis sepantas atau selembab yang saya mahu. Hehe. Alah dan diri sendiri akan tahu jika saya tidak berusaha lansung untuk menulis. Walaupun lambat, tapi henti-henti usaha, tak mengapalah.

Kerana saya yakin, kita meletakkan dakwah penulisan utama, soalnya, situasi itu tidak menentu bukan.

Boleh Kak Ina, we will get there, kita tak sempurna, kita baiki dari masa ke masa. InsyaAllah.

Dalam proses upgrade blog juga menyedarkan saya tentang fokus mesej yang hendak diberi.
InsyaAllah, apabila akak sudah menetapkan mesej, idea itu ada.

Kemudian, saya cadangkan akak punya buku catatan yang di bawa ke mana-mana. Belajar daripada architecture yang kerjanya melahirkan designer, kami di latih untuk sentiasa membawa buku untuk melukis. Penulis perlu bawa buku untuk mencatat idea.

saya kongsikan di sini kata-kata saya:

setiap peristiwa adalah sumber inspirasi. Inspirasi itu datang dalam dua keadaan, samada ketika bahagia mensyukuri nikmatnya, atau ketika bersedih mengharap padaNya. Inspirasi tidak datang ketika kita merungut bermasam muka - zaffankhalid

Senyum seperti selalu =D
alQasam said…
Askum K.Ina yang dikasihi di hati

Kali pertama dari hari tu lagi teringin menumpahkan pandangan yang tidak seberapa ini. Tapi asyik bertangguh sahaja.

Apa yang K.Ina rasa merupakan satu perjalanan mendidik jiwa bagi penulis. Di mana dan siapa pun.

Satu prinsip yang saya pegang dari dulu ialah saya hanya DAPAT dan AKAN menulis jika ia datang dari hati dan benar-benar bersedia dari hati. Mungkin tidak semua berpendapat sedemikian. Namun berpengalaman berblog hampir 4 tahun ini yang saya rasa. Jika bukan dari hati, saya tidak dapat atau boleh update. Mungkin a lil bit disadvantage for those who want to keep a momentum for their writing and those who reading it. Tapi pendapat dan kecenderungan ana.

Namun K.Ina jangan mengalah pula ya. InshALLAH, seorang yang berbakat dan banyak memberi inspirasi menjadi kerugian bagi kami jika tidak dapat menatap tulisan K.Ina. Namun moga perjalanan mendidik jiwa ini dapat kita tempuh sebagai mukhlisin dan mujahidin. Amin

:)

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA