PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI


“ Abang! Husna..!” saya bersuara cemas. Belum sempat menghabiskan ayat, air mata lebih dulu turun bercucuran. Saya panik. Betul-betul tidak tahu apa yang harus saya lakukan.

“ Kenapa As ?” soal suami dari tempat duduk depan, sedang memandu di lebuh raya. Sempat suami menoleh sekilas. Melihat saya menangis, segera suami memberi isyarat ke tepi lantas memberhentikan kereta.

“ Husna bang..dia tak boleh bernafas..” jawab saya dalam sedu sedan. Cemas melihat wajah anak kecil di dalam pangkuan yang telah mula membiru. Tidak bernafas.

“Ya, Allah!” Suami juga kelihatan cemas melihat keadaan bayi sulung kami yang masih terlalu kecil. Baru berusia 2 hari.

“Cuba As terbalikkan badannya..tepuk perlahan-lahan..” pantas suami mengarahkan. Saya segera melakukan itu.

Sejurus, terdengar bunyi batukan diiringi sedikit lendir yang keluar dari hidung dan mulut si kecil. Segera saya membersihkan lendir-lendir berwarna kekuningan yang keluar.

“Alhamdulillah..” terpacul kalimah tahmid di bibir saya dan suami. Tangisan saya reda. Hanya kesyukuran yang dapat saya panjatkan pada-Nya.

KENANGAN SEDEKAD
Peristiwa itu masih segar dalam ingatan saya. Kenangan sepuluh tahun yang lalu. Ketika masih baru bergelar ibu. Masih cetek pengalaman dan ilmu.

Ketika itu kami dalam perjalanan menuju ke kampung halaman saya di Felda Gedangsa. Pulang untuk berpantang selepas selamat melahirkan seorang bayi perempuan.

Masih terasa cemas dan paniknya waktu itu. Menatap bayi yang baru mengenal dunia bersama tangisan yang tidak berhenti sebaik keluar dari wad bersalin di Pusat Rawatan Kohilal, Taman Melawati.

Puas saya menyusukannya. Menyangka air susu yang keluar tidak mencukupi, saya suakan pula botol susu formula. Namun, tangisannya tetap sama. Nyaring dan panjang. Menyayat rasa dan jiwa.

“ Perut dia kembung agaknya,” kata suami.

“ Tak taulah bang. As dah sapu minyak bayi pada perutnya...” jawab saya.

“ Dia buang air kot..” teka suami, masih belum puas hati.

“Dah tengok..masih kering. Baru je As ganti tadi,” jelas saya sedikit kecewa.

Penat saya memegang, suami pula mengambil giliran. Dari tingkat bawah, dibawanya ke tingkat atas. Bernasyid sudah, berzikir pun sudah. Akan tetapi, si kecil masih belum diam. Cuma ketuk pintu sahaja yang tidak dibuat, kerana tidak mahu kelak digelar Husna al-Albab !

Keesokan paginya, walau masih mengantuk dek tidur-tidur ayam pada malamnya, saya dan suami bertolak pulang ke kampung halaman. Suami memandu sementara saya memangku bayi kecil kami di tempat duduk belakang. Dan semasa dalam perjalanan tersebutlah peristiwa itu berlaku.

FIKIRKAN TANGGUNGJAWAB
Di kampung, si kecil tetap menangis. Tangisannya semakin menjadi-jadi dari jam sepuluh malam membawa ke subuh hari.

Namun, saya bersyukur suami tidak putus asa dan terus berusaha mendodoikan si manja. Berkat kesabaran, akhirnya suami berjaya. Walau terpaksa tidur dalam keadaan duduk sambil memangku si kecil yang juga telah terlena.

Itulah cabaran awal bagi sebuah perkahwinan dan rumahtangga. Perit dan pedih apabila suatu ketika saya pernah terbaca, bagaimana ada bayi yang didera oleh ibu bapa atau penjaga kerana tidak mampu mendengar laungan dan tangisan bayi mereka. Alangkah !

Lantaran itu, jangan sekadar memikirkan keseronokan nafsu apabila memasuki gerbang perkahwinan, tetapi timbang-timbangkan juga tanggungjawab dan kesabaran yang ditagih dek ragam dan gelagat anak-anak, juga pasangan tentunya.

SOLAT YANG BAIK
“ Alhamdulillah..Kak Long dah besar sekarang. Dah sepuluh tahun, “ kata saya girang usai solat Subuh berjemaah. Seperti biasa, Kak Long tersenyum. Kak Ngah pula hanya diam mendengar.

“ Lepas ni Kak Long kena solat betul-betul. Lebih tenang dan khusyuk,” nasihat saya. Sengaja saya kuatkan nada pada perkataan tenang sambil membulatkan mata. Kak Long dan Kak Ngah ketawa kecil melihat telatah saya.

Bukan sengaja berlawak jenaka, tetapi sekadar mengingatkan mereka tentang kewajipan menjaga dan menunaikan solat sebaiknya.

“ Cuba Kak Long dan Kak Ngah bayangkan..ketika bercakap di depan cikgu. Kak Long, Kak Ngah bercakap sambil pandang sini sana. Kemudian, garu pula pipi, muka, lutut dan peha. Tak pandang pun muka cikgu, agak-agaknya bagaimana penerimaan cikgu tu?” soal saya cuba mencambah fikir di dalam diri anakanda berdua.

“Tak sopan la kalau macam tu Ummi,”jawab Kak Long pantas.

“Ha..pandai pun. Jika bercakap di depan cikgu perlu dengan rasa hormat, dalam solat lagilah perlu buat begitu. Sebab bila solat, kita seolah-olah bercakap dengan Allah. Perlu beri tumpuan. Baca betul-betul bacaan dalam solat, tentu Allah suka” jelas saya memberi galakan.

“Tapi sebelum solat, ada satu perkara penting yang Kak Long dan Kak Ngah mesti ingat dan buat...”Saya berhenti. Mahu melihat reaksi mereka. Kelihatan mereka sudah bersedia mahu bangun memandangkan jarum jam sudah menganjak ke angka lima.

“Ingat apa Ummi ?” tanya Kak Ngah ingin tahu.

“Periksa dulu ‘seluar kecik ‘ tu setiap kali sebelum ambil wudhuk..Pastikan bersih,” jawab saya sambil sekali lagi menjegilkan mata. Faham dengan ‘jegilan’ mata kali kedua ini, mereka tersenyum malu-malu sambil beredar ke bilik untuk menyambung beradu.

BERATNYA AMANAH
Semakin anak-anak membesar, semakin saya merasai beratnya tugas mengasuh dan mendidik. Mereka amanah yang tiada nilaiannya dari Yang Maha Esa.

Jika dahulu tangisan mereka boleh ditebak dan dihadapi sewajarnya. Mungkin kembung, panas, lapar, dahaga atau pun lampin pakai buang yang sudah penuh, penyebab tidak selesa. Akan tetapi, tangisan mereka di usia menuju remaja sukar dijangka sebab dan puncanya.

Untuk tahu, perlu berbicara dan bersemuka. Melihat wajah yang tidak ceria, pasti ada peristiwa yang menghadirkan duka. Melihat tiada senyuman mesra, pasti ada cerita yang menghilangkan tawa.

DENGARKAN
“ Kenapa Kak Long sedih ?” saya bertanya melihat wajah suram Kak Long selepas membaca al-Quran. Kak Long senyap tidak menjawab.

“ Kak Long penat ?” soal saya meneka. Dia menggeleng kepala.

“Kak Long ceritalah pada Ummi,”saran saya mahu meredakan persoalan di dalam jiwa. Saya tidak senang melihat dia diam. Biasanya riuh rendah rumah dengan bual dan perbincangan hangatnya bersama Kak Ngah. Perang mulut tentang sesuatu topik yang pasti memerlukan pandangan saya dan suami sebagai orang tua.

“ Kak Long tak boleh nak hafal surah yang ayah minta tu,” luah Kak Long hampir menitiskan airmata. Mendengar itu, saya menarik tubuhnya ke dalam dakapan. Saya gosok belakang badannya dan mengelus lembut kepalanya.

Masalah yang kecil menurut nilaian orang dewasa, mungkin dianggap besar bagi anak-anak seusia mereka. Justeru, pertimbangan yang adil bersumber sudut pandang mereka sangat perlu diambil perhatian oleh ibu bapa agar mereka terus rasa dihargai dan dihormati.

GANJARAN ATAS USAHA
“Boleh..surah-surah sebelum ni mudah je Kak Long hafal. Yang ini tentu boleh, cuma panjang sikit je,” pujuk saya.

“Kak Long baca semua ayat terlebih dahulu. Kemudian, cuba hafal tiga ayat pertama. Bila dah hafal tambah pula ayat seterusnya. Sikit-sikit..lama-lama Kak Long akan hafal semua, InsyaAllah” cadang saya. Kak Long mengangguk sambil mengesat airmata. Terpancar kelegaan pada sinar matanya.

“Bila Kak Long dapat hafal surah ni, ayah akan bagi hadiah. Allah pun akan beri hadiah juga,” pujuk suami pula.

“Allah pun bagi hadiah? Hadiah macam mana ayah?” soal Kak Long semakin ceria. Hati manusia, rasa bahagia bila diganjari. Rasa gembira bila usahanya dihargai, apa lagi penghargaan itu berbentuk hadiah sebagai tandamata.

“Hadiah dari Allah tu…pahala. Tak boleh nampak di dunia ni. Nanti di akhirat sana,” suami menerangkan.

“Hadiah dari Allah ni lebih kekal dan tak akan habis selama-lamanya. Tak macam hadiah di dunia, coklat, kek yang bila dimakan sedapnya sekejap sahaja, kemudian beberapa jam nanti, dibuang semula di lubang tandas. Tapi, pahala akan terus berguna dan tidak habis ” tambah suami lagi meniup semangat di jiwa anak sulungnya. Kak Long dan Kak Ngah tergelak mendengarnya.

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI
Selagi saya dan suami masih bernafas, selama itulah perjuangan membesar, mengasuh dan mendidik anak-anak tidak akan selesai. Dari anak pertama hingga kini sudah empat cahaya mata penyeri hidup kami berdua.

Jalannya masih jauh dan panjang.

Destinasinya dipenuhi kesukaran yang bukan sedikit. Hanya kesabaran, kerjasama, tolak-ansur dan doa yang tidak putus kepada-Nya sahaja akan membawa usaha ini sampai dengan jaya ke matlamat akhirnya. Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang disesuaikan dengan peredaran masa.

Semoga penekanan kepada solat yang sempurna sejak kecil, diiringi kesedaran dan galakan yang berterusan mampu mencorak diri mereka untuk menjadi generasi yang soleh dan solehah untuk ummat dan agama pada masa hadapan. Bukan sekadar angan-angan dan impian. Akan tetapi harapan yang berpandukan kejayaan generasi akhirat zaman silam.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: Orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami: Umat Islam (yang berserah diri) kepadamu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani”. ( Surah al Baqarah ayat 128 )

Firman-Nya lagi yang bermaksud :
“Wahai tuhan kami kurniakanlah kepadaku dari sisimu zuriat keturunan yang baik, seseungguhnya engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan”. ( Surah Ali-Imran ayat 38 )

Dan firman-Nya yang bermaksud :
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku”. ( Surah Ibrahim ayat 40 )

Ameen..Ya Rabbal ‘alamin.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Salam kak Ina,

Perjuangan yang belum selesai ini, pastinya memerlukan Ilmu dan kesabaran yang tinggi ditambah pula dengan sokongan dari pasangan dan doa yang tidak putus-putus kepada Allah s.w.t.

Kak Ina, menarik sungguh gaya penceritaan akak...tidak terlalu over dan tidak terlalu berahsia... cemburu saya kak...:) Nanti bagi lah tips ye....macam mana nak jadi penulis yang baik dan bermanfaat...:)

...bersama mencari cinta Ilahi

Katakanlah yang benar walaupun pahit...tapi mesti berhikmah...

Selamat kembali ke tanah air...
Kak Nisha said…
Assalamua'laikum semua,

Baru semalam MHI TV3 mengulas tengang buku 'Formula Solat sempurna' dari ustaz Z.
yohanis said…

Salam husna..
leka saya bila berada di blog husna..leka mengekori setiap bait ayat..lenggok2 ayatnye dpt saya rasakan seperti peribadi tuan punya diri....nyamannn setiap ayat2 yg di susun..tahniah husna..:)

spt apa yg husna katakan..mmg ada kebenarannya...berat dan terlalu berat tanggungjwb setiap ibu bapa..semakin hari semakin bertambah...semakin meningkat usia anak2..semakin besarlah corak permasaalahnnya...cuma ilmu agama yg kukuh didada saja dpt membentengkan diri mereka..
selalu kak berpesan pd anak2.."ibu cuma kamus emua jdi anak2 yg berakhlak mulia..taat pd ALLAH..dan ibu bapa..itu yg paling penting dan hanya itu yg akn menyelamat kan anak2 semua di dunia dan akhirat,..sbb kalau bijak pandai seklaipun .tpi x de akhlak..kosong ..tidak ada makna semuanya..tapi kalau boleh seiring ..alhamdulillah..tpi..jagalah akhlak dgn ALLAH.."..itu juga selalu kak mohon dlm doa...sbb takut sgt dgn brmcm permasaalahan remaja2 skrg..di luar sana..bimbang dgn anak2 kita juga...

btw..kak nak tanya..bila husna balik kem'sia..kg dimana tu..?

selamat menjalani ibadah puasa..semoga husna sekeluarga sentisa diberkati ALLAH..ameen
Al-Atiff said…
salam..
setuju dgn kak yohanis.. :) keperibadian penulis jelas tergambar kelembutannya.. walau tak bersua, tapi penulisannya cukup meninggalkan kesan dan terasa jujur meresap ke hati ini.. terasa bertuah 'mengenali' kak ina walau di alam cyber ni.. terima kasih kak ina.. sungguh, saya amat meminatinya dan berdoa agar sentiasa dapat membaiki diri ini.. :)

kak ina, tulis lg ye cerita2, info dan pengajaran anak dan keluarga sebegini ye.. saya masih baru bertatih dalam mengendalikan hal anak2 ini.. masih byk ilmu di dada perlu diisi untuk bekalan anak2 nanti.. insyallah..

sentiasa muhasabah diri ini..
Ummi Amani said…
Salam Kak Husna...

Saya masih teramat baru dengan dunia blogger. Suami memberi galakkan untuk saya membuat blog dan memberi nilai tambah baru dalam rutin seharian saya. Keterbatasan masa kerana tanggungjawab saya sebagai pengurus rumahtangga,isteri dan ibu kepada 2 orang anak lelaki membuatkan saya sangat memilih untuk mengikuti blog seseorang. Alhamdulillah saya bertemu blog Kak Husna dan saya suka kerana terjumpa apa yang saya cari untuk dijadikan bahan bacaan bermanfaat. Terima kasih kerana berkongsi tulisan yang bermakna. Semoga Kak Husna sekeluarga dilimpahkan kebahagian dunia dan akhirat seperti yang saya harapkan juga untuk keluarga saya...amin.
MARYAM YASEERAH said…
Salam kak ina,
tersentuh hati saya bc ntri akak ni.. besar hrpn sy utk jadi bakal isteri yg menjadi sayap kiri perjuangan suami seterusnya melahirkan zuriat keturunan yg berserah diri pd Allah seterusnya bermanfaat utk agama, bangsa, negara, family... doakan sy pun jg ummu 'aqilah mahbubah..

kak ina, blh tak ntri pas ni kak ina cerita sikit mcm mn persediaan diri kak ina dlm menempuh gerbang perkahwinan : alam pertunangan dan persediaan menjadi isteri solehah, ibu yg bertaqwa etc... juga saranan buku2 yg patut dibaca sblm mjadi raja sehari... he3.. syukran

"YA RAHMAN, JADIKANLAH KAMI KETUA BG ORG2 YG BERTAQWA" AMEEN
zue said…
alhamdulillah..terima kasih kIna
Salam kak Ina,

Saya sokong penuh dengan permintaan entri selepas ini daripada maryam yaseerah...:) Semoga kami semua beroleh manfaat.

Selamat Hari Ibu yang ke 10 tahun kak...:)

...tidak dilupakan juga, buat si cantik manis...
Happay Belated Birthday to Nurul Husna Haji Zaharuddin.

Wassalam.
Rohani said…
Salam,

Bila membaca entri ni, teringat masa anak-anak akak kecik dulu. Boleh dikatakan keempat-empatnya kuat menangis. Tapi yang sulunglah yang paling 'heroin'. Orang tua-tua kata sawan tangis. Tak tahulah betul ke tak, yang pasti waktu tu memang cukup menguji kesabaran akak dan suami. Pergi jumpa doktor, doktor kata tak ada sakit apa-apa. Yang termampu akak dan suami buat adalah membaca zikir, nasyid sambil medodoikan anak, kadang-kadang sampai dua jam tanpa henti, baru dia diam. Ada masanya akak pun turut sama menangis kerana kesian kat baby. Ada juga yang kata budak suka menangis ni cerdik! InsyaAllah, tapi yang penting cerdik dan tahu membawa diri sebagai hamba Allah di muka bumi ni. Itulah yang akak tekankan kepada anak-anak sekarang. Yang sulung dah 13 tahun. Memang benar nak membesarkan anak-anak susah tapi nak mendidik mereka menjadi manusia berguna yang pandai menggunakan akal fikiran ke arah kebaikan lagi susah. Terlalu banyak cabarannya. Semoga Allah memberi kekuatan dan kemudahan kepada kita semua sebagai ibubapa untuk menjadikan anak-anak pewaris untuk meneruskan jalan dakwah dan sentiasa dilindungi dari fitnah duniawi. Amin Ya Rab!
Fatimah said…
salam kak ina,
saya fatimah,umur saya 20 thn..
saya sgt perlukan pendapat seseorg yg lebih tahu dari saya skrg ni...kalo kak ina ada kesempatan,harap kak ina dpt email saya...fba_gurl234@yahoo.com....terima kasih..
zakiah malik said…
salam ummu husna..mmg benar apa yg dikatakan berat sungguh menjadi ibu bapa..mendidik dan mengasuh anak supaya menjadi orang yg beriman dan berguna..tp keadaan lg sukar apabila kita hidup dlm kalangan mereka yg lalai dan mengambil mudah semua perkara wajib..anak2 yg kecil akan mengikut rentak tanpa disuruh..inilah cabaran yg amat berat saya hadapi..apa yg perlu saya lakukan?diluah mati mak ditelan mati bapa..
Anonymous said…
Salam rasa sayu dihati saya bila membaca coretan ni.sebak dan sedih... menyedari diri ini masih belum cukup ilmu utk mendidik seorg anak...sejak terjumpa web uzar dan blog husna ni saya lebih bersemangat.moga Allah beri saya kekuatan dan kesabaran dlm memperbaiki diri.tima kasih kakhusna.teruskan perkongsian ilmu dan pengalaman di blog ini.sgt bermanfaat.syukur alhamdulillah...
Unknown said…
Assalamualaikum...beslah cerita Mak Anjang tulis..aahhh klau mcm nih Mak Anjang tulis jerhlah buku terus boleh Mira bace...hehehe
wfaiziah said…
Salam Aidilfitri..belum terlewat lagi rasanya..

sedikit Kelapangan waktu yg ada ni saya gunakan untuk melayari cerita2 akak..Alhamdulillah..dapat sesuatu yg amat bermanfaat..sama2 teruskan perjuangan ini. Wassalam
Liana Manjaku said…
Assalamualaikum...

Menangis bila ummi membaca N3 ini. Nama anak ummi pun Husna. Wan Nur Husna. Apa yang membuatkan ummi menangis...pengalaman Akak sewaktu mula-mula menjaga anak. Anak ummi pun macam Husna. Semasa dalam pantang Husna selalu menangis seperti anak akak. Pernah beberapa kali kami tak tidur semalaman kerana Husna kami menangis dr petang sampai ke subuh!

Salam ukhwah dan izinkan ummi membaca coretan akak yer...

tq
ummihusna

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA