18 August 2009

SUARA IMAN, SUARA FITNAH

“Ina dan Nora, sebelum balik kena nasyid dulu ye,“ pinta Ustaz Ghazali. Ayah hanya tersenyum. Menyuruh tidak, melarang jauh sekali. Ayah telah maklum barangkali.

Memang begitu setiap kali saya dan adik kembar mengikut ayah berkunjung ke rumahnya. Baik ziarah sempena menyambut hari raya atau sekadar kunjungan pada hari-hari biasa. Pasti beliau meminta kami bernasyid serangkap dua.

“ Nak nasyid apa Pak Cik ?” saya bertanya.

“ Apa-apa pun boleh, “ jawab Ustaz Ghazali.

Saya memandang adik kembar sambil membisikkan sesuatu ketelinganya. Sejurus, kami melangkah naik dua anak tangga. Bagaikan melangkah ke atas pentas lagaknya.

“ Satu dua mula. Sepohon kayu daunnya rimbun..” kami mula berdendang bersama. Walaupun pada mulanya kami menyanyi agak perlahan dan malu-malu, tetapi lama kelamaan kami bertambah yakin dan semakin padu. Suara kami kian mendayu-dayu.

SAYA DAN SENI SUARA
Sejak kecil, saya gemar menyanyi. Dari sekadar suka-suka, hingga akhirnya menimbul minat yang bukan sedikit di dalam jiwa. Rasa saya, bakat ini diwarisi dari ayah yang mahir bermarhaban dan berzanji sejak muda.

Bermula dengan menyanyi lagu ‘Warisan’ ketika di tadika, sehingga saya memasuki alam persekolahan seterusnya. Baik di sekolah rendah kebangsaan pada pagi hari mahupun pada sebelah petangnya di sekolah agama kerajaan negeri, saya sering membuat persembahan dan menyanyi.

Kebiasaannya, saya akan berduet bersama adik kembar saya menyanyikan lagu-lagu terkenal semasa. Sementara untuk persembahan nasyid, saya sering dipilih menjadi ‘tekong‘ atau ketua. Dari lagu penyanyi popular tahun lapan puluhan hingga irama nasyid padang pasir, semuanya saya lagukan dengan penuh penghayatan.

Banyak kenangan yang saya lalui. Semuanya meninggalkan kesan tersendiri. Saya masih ingat ketika persembahan sempena hari penyampaian hadiah di sekolah, diiringi tepukan gemuruh rakan-rakan dan ibu bapa yang mendengar; sehingga ke persembahan nasyid sempena pertandingan musabaqah peringkat daerah, disusuli ketawa kecil para hadirin bila saya terlupa lirik akibat terlalu gelisah. Darah gemuruh !

Namun setelah memasuki alam sekolah menengah, saya semakin terdedah kepada persoalan hukum mengenainya. Jika dahulu ketika di sekolah rendah, saya tidak kisah untuk menyanyi di khalayak ramai, tapi kini tidak lagi.

Walaubagaimanapun, minat ini tetap saya teruskan. Pengaruh dari didikan dan suasana di sekolah agama, banyak mengarahkan pilihan saya kepada lagu-lagu nasyid sebagai alternatif yang lebih islamik dan mendidik nurani. Mewakili sekolah dalam acara nasyid berkumpulan, pencapaian paling manis ialah ketika saya dan rakan-rakan sepasukan Puteri Islam dari KISAS menjuarai kategori nasyid peringkat negeri. Berbekalkan azam dan semangat untuk berdakwah melalui lagu, kami pertaruhkan nasyid “Puteri Islam Sejati “ dan “ Detik-detik yang berlalu”.

WANITA DAN SUARA
“ Sedapnya suara Ummi,” puji Kak Ngah mendengar saya bernasyid sambil memasak di dapur. Tersenyum-senyum dia memandang saya di balik daun pintu dapur.

“ Tak adalah,” jawab saya merendah diri. Memang Kak Ngah biasanya pandai mengambil hati. Manis mulut, bak kata orang.

“ Yelah, Ummi. Suara Ummi sedap..” celah Kak Long mengiyakan.

“ Kalau Ummi menyanyi macam orang kat dalam tivi tu kan bagus. Mesti best! “ tambah Kak Long lagi. Tertawa kecil saya mendengar kata-katanya.

“ Tak payahlah. Ummi nyanyi untuk ayah, Kak Long, Kak Ngah, Khalil dan Solehah di rumah cukuplah, “ saya menyanggah.

Sememangnya kian bertambah usia saya, semakin banyak perkara yang mengelirukan timbul disekitar masyarakat Islam, terutama berkait dengan permasalahan wanita hari ini. Bukan sekadar pakaian dan penampilan, malahan persoalan suara juga bagaikan tidak lagi diendahkan bila melihat semakin ramai penyanyi dan penasyid wanita yang muncul. Cukup banyak menghadirkan pelbagai pertanyaan di benak fikiran.

AURATNYA SUARA WANITA, BILA?
Saya bersetuju bahawa suara wanita pada dasarnya bukanlah aurat. Dalam hal ini, mereka boleh berbicara, memberikan pandangan, bermuamalah dan berurusan dengan lelaki yang bukan mahram dalam suasana yang tidak menimbulkan fitnah, contohnya ketika di dalam kelas, mengajar atau belajar, berjual beli, menyampaikan ceramah, mendapatkan rawatan dan bermacam lagi aktiviti seharian. Namun, terdapat pelbagai pendapat dan pandangan ulama silam dan terkini tentang suara wanita apabila ia dilunakkan melalui nyanyian.

Sememangnya Islam sangat mengambil berat terhadap apa jua perkara yang berhubung dengan wanita dan perempuan. Pelbagai aspek diutarakan oleh Islam sebagai langkah untuk memelihara mereka dari ancaman jahat dan fitnah yang merosakkan.

Mengenai suara, syara’ telah menetapkan hukum yang berbeza bagi lelaki dan wanita di dalam solat. Sebagai contoh, dalam bab menyaringkan bacaan dan menegur kesalahan imam. Lelaki disunatkan menyaringkan bacaan mereka, tetapi tidak disunatkan kepada perempuan terutama jika ada kehadiran lelaki yang bukan mahram. Demikian juga dalam bab menegur kesalahan Imam, lelaki dikehendaki menyebut Subhanallah, sedangkan wanita hanya diminta memberikan isyarat dengan menepuk tangan. Tanpa perlu bersuara dan mengeluarkan walau sepatah perkataan.
Justeru, bagaimana pula suara wanita di luar solat mereka ? Apakah kayu ukur terhadap kelunakan suara seorang perempuan ? Lunak dalam erti kata boleh menimbulkan ‘sesuatu rasa’ di dalam hati-hati lelaki yang mendengar suaranya.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit di dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.” ( Surah al-Ahzab ayat 32)

Jelas dari mafhum ayat, bahawa syara’ mengharamkan wanita bersuara manja, merayu-rayu, mendesah dan seumpamanya, yang dapat menimbulkan hasrat yang bukan-bukan dari kaum lelaki, misalnya keinginan berbuat zina, berbuat serong, mengganggu dan sebagainya.

Jika keadaan begitu dilarang oleh agama ketika berbicara, lalu bagaimana pula dengan suara wanita yang dilemakmerdu dan dilunaklembutkan di dalam nyanyian ? Pasti hukumnya tidak berbeza malah lebih bahaya dari itu kerana rata-rata penyanyi nasyid wanita hari ini menyanyi dengan lenggang lenggok dan berhias indah untuk tatapan mata-mata yang melihat mereka.

BERDAKWAH MELALUI NASYID
Jika demikian halnya, tiada ruang lansungkah untuk wanita berdakwah melalui nasyid ? Andai soalan ini ditanya kepada saya, jawapannya : Ya, masih ada.

Bagi saya, irama lagu melalui nasyid mempunyai daya tarikan tersendiri. Ia menyediakan ruang berekspresi, meluahkan rasa hati, juga berupaya mendekati hati melalui cara yang halus dan lembut.

Saya masih bernasyid, di hadapan para pelajar perempuan sewaktu matapelajaran Pendidikan Islam. Saya masih terus berdendang ketika mengendalikan persatuan pelajar perempuan, dan saya akan terus mengalunkan suara ini ketika menyampaikan kuliah kepada golongan Muslimah.

Peluang yang ada sangat terbuka luas jika bijak menggunakan suasana yang ada. Suasana yang diwarnai iman pastinya dan bukan suasana yang berbaur fitnah dan mencambah dosa !

SUARA IMAN, SUARA FITNAH
Wanita masih boleh berdakwah melalui nasyid, asal sahaja syarat-syarat yang diletakkan Islam dipenuhi sebaiknya tanpa meninggalkan satu pun.
Berdakwahlah melalui nasyid, dengan syarat tiada percampuran antara lelaki dan wanita di dalamnya. Lantunan merdu menusuk jiwa dari suara wanita, hanya khusus untuk wanita. Tiada ruang untuk santapan telinga pria dan jejaka. Berdakwahlah, asal sahaja menjaga penampilan dan aurat sebaiknya.

Inilah adab dan akhlak wanita solehah dan beriman. Kebenaran yang diberikan Islam kepada mereka untuk keluar bekerja, berdakwah dan sebagainya digunakan tanpa melanggar batas-batas yang telah siap diatur oleh yang Maha Mencipta.

Mereka sedar, jika adab dan akhlak ini dipinggirkan, maka akan berlaku kerosakan yang melata. Mereka insaf jika adab dan akhlak ini disalahgunakan, tunggu sahaja kehancuran umat manusia.

Sayangnya ramai yang mengambil sikap tidak apa-apa, sehingga tersalah duga bahawa suara iman yang dialun mahu mengajak kepada cinta kepada Pencipta, rupa-rupanya adalah suara fitnah yang mengundang dosa.

Buat kesekian kalinya, mari kita cermin diri. Muhasabah diri di bulan mulia ini.

Ahlan ya Ramadhan…

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah

24 comments:

Suluh Hati said...

salam ustazah...alhamdulillah, entri yg memberi pencerahan. dulu juga gemar menyanyi nasyid dan menjadi solo, tetapi setelah dinasihati ustazah tentang suara wanita semasa di tingkatan empat, akhirnya 'bersara'. semoga lebih ramai yg sedar tentang duduk suara wanita.

Ros Illiyyuun said...

Assalamualaikum,
Buah fikiran yang baik. Semoga dapat memberi manfaat kepada kita semua..

syireen said...

Salam buat kak ina & pembaca...dewasa ini memg wanita dicabar hebat pada auratnya, khususnya aurat suara. Tdk semata hanya pada nyanyian sahaja, malah kdg2 cara kita berbual dan berinteraksi dgn rakan sekerja yg bukan muhrim juga kdg2 ter'over'. Time kasih di atas entry yang mengingatkan dr ini.

p/s: tanam azam mengurangkan bicara sia2 bermula di bulan Ramadhan yg mulia...

cun09 said...

salam ina...
tajuk kali ini membuat saya tersenyum dan terasa...

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit di dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.” ( Surah al-Ahzab ayat 32)

keratan kertas ayat diatas ada diatas meja kerja saya...untuk mengingat pada diri sendiri...tapi kadang2 takut tertewas, terasa takut hari2 menambah dosa... "aurat suara"

^inas^ said...

kak ina,

bila bergaul masa kat ofis pon byk masalah kan.... mmmmmmmmmmm ya Allah, jaga lah diri ku..........

ummi humaira said...

masyaAllah bagus sekali n3 nie , banyak pembelajaran yg dpt ditimba .time kasih banyak2

zaffankhalid said...

Assalamualaikum Kak Ina,

Cukup cun, cukup cantik tulisan ini.

Alhamdulillah sudah sampai di tanah air.

Mengapalah tidak terfikir untuk mengadakan slot mendengar UmmuHusna bernasyid ya sebelum ini. Akan saya cadangkan pada adik-adik yang masih berkesempatan. Hehe

Salam Ramadhan ya UmmuHusna. Moga madrasah ramadhan di bumi Leicester membahagiakan.

Kak Nisha said...

Assalamualaikum semua.

"sepohon kayu daun yang rimbun..." Lagu evergreen. Dari zaman akak pun macam tu. Sekarang, anak pulak(tadika)yang di suruh gurunya buat persembahan lagu yang sama.

zue said...

assalamualaikum..

stuju dgn zaffan..ada peluang boleh kita dgr kIna bernasyid yer.zue pon suka nasyid.tp xpernah masuk bertanding ke apa ke..setakat nyanyi utk ank2 jer..hehe

Ummu Husna said...

SULUH HATI : Ws, wah, ada bakat juga la ye. Boleh jer teruskan minat tu tapi dalam keadaan yang mengizinkan.

ROS ILLIYYUN :Ws, ye Alhamdulillah. Semoga kita semua beroleh manfaatnya.

Ummu Husna said...

SHIREEN & CUN09 : Ye, betul tu. Bukan sekadar dalam nyanyian, tetapi dalam percakapan biasa pun, suara yang bukan aurat jadi aurat bila dimanja-manja dan dilembut-lembutkan bila bercakap bersama lelaki yang bukan mahram.

Ameen, semoga Ramadhan kali ini tidak berlalu sia-sia. Bantu kami ya Allah.

Ummu Husna said...

INAS & UMMIHUMAIRA : Semoga kita sama-sama beroleh peringatan darinya. Adakalanya, orang perempuan bila dah bersama, berbual dan bersembang boleh terlupa ada orang lelaki di sekeliling, tu yang terlepas ketawa dan suara yang tak sepatutnya.

Yang lepas, kita mohon keampunan dariNya, yang akan datang mari kita sama-sama ubah.

Ummu Husna said...

ZAFFAN : Alhamdulillah, yang baik dariNya jua.

Boleh, boleh.InsyaAllah. Nasyid ramai-ramai dengan adik-adik ye :)

Salam Ramadhan juga buat Zaffan di Malaysia. Jaga diri dan selalu-selalulah hantar berita terutama 'berita' penting tu..he..he..

KAK NISHA : Lagu tu memang evergreen. Pengajaran di dalamnya sangat baik terutama dalam didikan awal kepada anak-anak.

Ummu Husna said...

ZUE : InsyaAllah. Jika diizinkanNya. Zue pun berbakat agaknya :)

citanuryati said...

assalammualaikum....

salam ramadhan....rindu dgn ina, dgn suara ina yg lunak semasa nasyid..juga mengimamkan di aiumNP...juga sering terngiang di telinga nasyid detik2 terus berlalu ina...setiap kali mengingati ina, didoakan semoga ina sekeleuarga bahagia dunia akhirat...

yati (anak2 sarawak, aiumNP 1993-1995/6) sama batch dgn intan, kalsum, salihah, dyg aliza, siti maryam...:)

Anonymous said...

ibu anas tak kenal dan tak minat nasyid terus suka pd nasyid lepas mendengar satu persembahan nasyid siswi di nilam puri. tapi malangnya sampai hari ini tak pernah dpt ingat walaupun satu lagu nasyid... siapa penyanyi nasyid yg bersuara sedap tu itu,(adalah seorg kakak pra 2, org selangor, pengerusi Helwi) kak ina mesti masih ingat :))

ramadan karim.

Ummu Husna said...

Salam, Cita.

Alhamdulillah, dapat kita bertemu kembali, walaupun hanya di alam maya ni :)

Ingat..masih ingat. Orangnya putih, suka tersenyum dan baik hati. Cita, sampaikan salam Ina pada Intan, Salihah, Aliza, Maryam dan yang lain-lain ye. Kak Yati, Kak Sal dan kakak-kakak PERMIS lain bagaimana ye sekarang ni ?

Rindu dengan kitak semua :)

Ummu Husna said...

Salam,

IBU ANAS : InsyaAllah , masih ingat..he..he..

Kak Ina pun masih ingat cerita tentang 'telefon' tu. Ibu Anas kata, entah berapa lah bilnya..Sangat menyentuh hati.

Ibu Anas dan Ukhti Nabilah Hasan antara sahabat yang banyak memberi tunjuk ajar melalui akhlak dan peribadi yang mulia kepada Kak Ina. Jazakillah ya ukhtie.

Semoga ukhuwwah kita berpanjangan hingga ke akhirat sana.

citanuryati said...

Insyaallah akan disampaikan...anak2 PERMIS sekarang ini 'bertaburann' di seluruh negara dlm satu bidang yg sama...guru. :)..dan baru2 ini kami saling menjejaki antara satu sama lain dgn wujudnya facebook. kamek pun (Bintulu, ikut suami),Intan di Pantai Remis,Perak (ikut suami, Maryam (tak dapat dijejaki), Howe, Norainon (bhg Sibu),Salihah,( Nibong Tebal, ikut suami), Kalsum(KL?ikut suami dr 2002 kot), Salmiah,Aliza, kak sal, kak masturi (kuching), kak Noi (Simunjan) dan Kak Lizda(Sibu, baru melahirkan kembar bln lps)...

*Ntahla ina,selalu teringatkan Ina terutama nasyid rakan duet salihah..:), dan bila baca mathurat pun smp skg akan teringatkan ina..sgt berbekas di hati :)

* sedih bila kasturi diberitahu hanan ustaz Ramli (awal thn) meninggal...al fathihah buat ayahanda Ust Ramli.

A.M.A.Y said...

salam kak ina..
terima kasih atas artikel.. :)
moga memberi panduan kepada kita yang masih memandang remeh isu ni..
cukup sedih,kerna semakin hari makin bertambah wanita2 yang mencebur diri dalam lapangan nyanyian.. bab suara, pakaian..
saya turut bimbang mengenangkan anak2 cilik yang berbakat,dipupuk dan disokong oleh ibu bapa dengan menyertai pertandingan2 sebegitu..
memang comel, memang terhibur.. tapi takut..dek kerana telah disemai sebegitu dari kecil, terbawa2 hingga menjadi sebahagian dari cita2 utk menjadi penyanyi, pelakon..?
anak saya umur belum pn 2 tahun, pantang dengar lagu, muzik, malah iklan, pasti bergoyang sakan, bertepuk2 tangan.. :)
bisik saya, "nak, nanti 'aisyah hiburkan ayah, ummi dan adik2 je k..bukan untk tontonan umum.."
bimbang jugak hati ni.. :)

A.M.A.Y said...

nak kongsi juga..
saya zaman dolu-dolu pn, kecik2 lagi mmg minat menyanyi.. tapi suara mmg tak sedap.hehe..zaman lagu ramlah ram, dangdut pun layan..hehe..

bila semakin meningkat usia, kesedaran ada, minat dipupuk pada alunan nasyid..
sehingga sekarang.. hati tenang je dengar nasyid..

kadang2 tak paham bila tengok anak2 muda sekarang dengar lagu2 yang agak extrem, malah terjerit pekik.. tak bingitkah telinga mereka..? :)

Gadis Reformasi said...

salam auntie!
i love this entry coz I love to sing as well
this entry made me think,aiyakk..manyak dosa sudah I got =/
when kak Long sang a song for me, I was like,masyallah, you got a good voice!
anak ummi :D

Shaima said...

Salam ustazah.
tersenyum - senyum membaca entry yg satu ini.kerana keadaan yg sama pernah berlaku di kampus.agak aneh bila melihat rakan saya itu bersuara agak manja+kebudak-budakan dengan gaya naif bila ada kehadiran lelaki(lebih2 lagi di hadapan teman istimewa saya),bila dengan rakan2 perempuan kami,agak biasa suaranya,malah kadang2 sgt serius.habis semua rakan lelaki kami mengusik2 dia.tapi,semua itu lakonan semata -mata.
pengajaran bagiku.nauzubillah minzalik.semoga aku dilindungi dari keadaan sebegitu.amin.

syafiqah said...

assalamualaikum ustazah. syafiqah masih lagi ingat masa perjumpaan murid islam, ustazah ada nyanyikan lagu nasyid pada kiteorang. puteri islam sejati. and ustazah, i can still remember the song clearly. we were in awe just listening to the nasyid and at the same time digesting the lyrics. and we thank you for everything you taught us.

ustazah, we all in sri aman miss you and i miss you too. hope to see you, along, angah, khalil and solehah. InsyaAllah.