24 August 2009

SERONOKNYA PUASA !



Masa yang pantas beredar bagaikan tidak terasa. Hari ini sudah masuk hari ketiga berpuasa. Bermakna telah dua hari Ramadhan 1430 Hijriah, berlalu pergi.

Tahun ini merupakan tahun kedua saya dan keluarga menyambut Ramadhan di United Kingdom. Jauh dari rakan taulan dan sanak saudara.

Saya bersyukur kerana saya dan keluarga masih dikurniakan umur dan kesihatan. Masih punya peluang meraih sebanyak mungkin ganjaran berganda yang tersedia. Peluang memperoleh keampunan, rahmat dan pelepasan dari azab nerakaNya, sama ada di awal, pertengahan dan pada penamat bulan yang mulia.

Kak Long dan Kak Ngah juga kelihatan lebih bersemangat berpuasa. Mungkin, ketibaan Ramadhan kali ini jatuh pada musim cuti sekolah. Kebanyakan masa mereka hanya di rumah. Justeru, dari awal lagi mereka telah menyediakan jadual harian sempena ketibaan Ramadhan.

Bermula dengan bangun sahur, mengaji al Quran, Solat sunat, Solat Fardhu dan aktiviti-aktiviti lain sebagai mengisi senggang masa sebelum waktu berbuka.

BANGUN SAHUR
“ Ummi, nanti gerak Kak Ngah ye,” Kak Ngah mengingatkan sebelum melelapkan mata. Entah kali ke berapa dia mengucapkan kata-kata yang sama.

“ InsyaAllah. Ummi gerak nanti. Syaratnya, Kak Long dan Kak Ngah kena tidur awal. Nanti mudah nak bangun sahur,” nasihat saya.

Entah mengapa, kerap benar mereka mengingatkan saya. Mungkin mereka masih teringat pengalaman berpuasa pada tahun lepas.

Setahun yang lalu, bulan Ramadhan 1429 Hijriah jatuh pada hari persekolahan. Sebagai seorang ibu, saya bimbang anak-anak saya tidak dapat menahan lapar dan dahaga dalam keadaan waktu bersekolah yang agak panjang. Tambahan pula, itu merupakan pengalaman pertama mereka berpuasa di luar negara.

Saya sempat bertanya rakan-rakan lain tentang pengalaman mereka melatih anak-anak berpuasa. Dan hasilnya, saya turut mengambil langkah yang sama seperti mereka. Kak Long dan Kak Ngah tidak saya bangunkan untuk bersahur. Sebagai ganti, mereka saya berikan sarapan pagi seperti biasa sebelum ke sekolah dan selepas itu mereka tidak dibenarkan makan dan minum sehingga waktu berbuka. Perlu berpuasa!

INI BUKAN PUASA
“ Kenapa Ummi tak gerak Kak Long dan Kak Ngah bangun sahur? Kak Long, Kak ngah nak puasa,” Kak Long berkata. Jelas terdengar nada tidak puas hati pada suaranya. Wajahnya masam, tidak gembira sambil menjamah juadah ‘sahur’nya sebelum ke sekolah.

Kak Ngah juga tidak bersemangat menyuap makanan ke mulutnya. Melihat itu, terbit rasa bersalah dalam diri saya.

“ Ummi nak anak-anak Ummi puasa la ni. Sebab tu, Kak Long dan Kak Ngah kena makan sebelum pergi sekolah supaya dapat tahan lapar. Nanti tak lah rasa nak makan dan minum,” jelas saya masih serba salah. Tujuan saya, dengan memberikan mereka makan pagi, akan dapat melatih mereka menahan rasa lapar dan dahaga.

“ Tapi, macam ni bukan puasa Ummi. Orang yang puasa betul-betul kena bangun sahur,” luah Kak Long lagi. Tersentak saya mendengar kata-katanya. Saya mengakui kesilapan saya.

LEBIH MENCABAR
Keesokan harinya, mereka mula saya kejutkan untuk bersahur dan berpuasa. Alhamdulillah, pencapaian mereka sangat mengembirakan suami dan saya. Kak Ngah hampir berpuasa penuh, manakala Kak Long kurang sedikit kerana tidak sihat beberapa hari.

Tahun ini, tempoh waktu berpuasa lebih mencabar. Aakan tetapi melihat kepada usia dan umur mereka, Kak Long dan Kak Ngah tidak lagi sesuai untuk hanya ‘belajar’ berpuasa, tapi sudah mesti berpuasa. Kak Ngah sudah pun berusia 8 tahun dan Kak Long pula hampir 10 tahun.

Saya dan suami berterusan memberikan semangat kepada mereka, memandangkan waktu Subuh bermula jam 4.30 pagi, dan waktu berbuka adalah pada jam 8.20 malam. Kini, sudah dua hari berlalu, nampaknya mereka berjaya; malah ditambah pula dengan melakukan pengisian amalan soleh yang lain. Tahniah..buat mereka !

MENDIDIK TAQWA

Sebagai ibu dan bapa, saya yakin ramai pasangan seperti saya telah mula melatih anak berpuasa seawal usia 5, 6 dan 7 tahun. Bak kata pepatah Melayu: melentur buluh biarlah dari rebungnya.


Akan tetapi, masih ramai yang belum menyedari bahawa melatih anak berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi lebih dari itu adalah melatih nafsu untuk tunduk patuh kepada arahan Allah SWT, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Mengawal keinginan diri untuk bertindak berpandukan syariatNya. Itulah hikmah TAQWA yang harus dititikberatkan dalam pendidikan berpuasa anak-anak, sejak mereka kecil lagi.


Firman Allah SWT yang bermaksud :


"Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa." (Surah al-Baqarah ayat 183)


Apa yang perlu dijelaskan kepada anak-anak, walaupun makanan dan minuman itu sesuatu yang halal dan boleh dimakan pada bila-bila masa sahaja di luar bulan Ramadhan, akan tetapi peluang itu tidak tersedia di bulan yang mulia ini. Ini kerana, pada bulan Ramadhan makan dan minum hanya dibolehkan selepas terbenam matahari sehingga terbit fajar pada keesokan harinya. Makan dan minum, hanya pada malam hari dan bukan lagi pada siang harinya.


Puasa Ramadhan bertujuan menanamkan kesedaran bahawa lapar dan dahaga adalah ‘rasa’ biasa bagi mereka yang tidak berkemampuan, miskin dan sedang menderita. Justeru, ia membersihkan hati dan jiwa dengan perasaan belas kasihan, kasih sayang, pemurah, ikhlas, serta terhindar dari sifat tamak dan rakus dengan kemewahan dunia. Dengan ini, anak-anak kecil ini akan mudah dibentuk bahawa makan itu hanya satu keperluan untuk meneruskan kehidupan, dan bukan sebaliknya.


Keseronokan berpuasa bukan pada kemewahan makanan yang beraneka dan lazat, tetapi ia terletak pada rasa kesyukuran kerana dapat menikmati makanan setelah siang harinya menahan diri dari makanan dan minuman. Lebih-lebih lagi, kegembiraan itu dikongsi bersama ahli keluarga, rakan-rakan dan sanak saudara. Makanan yang ada dijamah bersama. Sama-sama berbagi rasa. Saling merasai apa yang ada. Walau sekadar buah kurma dan air kosong sebagai penghilang dahaga sebagaimana Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat Baginda.

Allah berfirman yang maksudnya:

"Makan dan minumlah kamu dan janganlah berlebih-lebihan sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan." (s.al-A'raf:31)

SERONOKNYA PUASA !

“ Ummi, Kak Long rasa seronoklah,” Kak Long berkata sambil melempar senyuman manis. Dari tadi saya melihat dia asyik tersenyum sendiri. Memang benar barangkali. Kak Long sedang senang hati.

“ Kenapa Kak Long rasa seronok ?” soal saya berbasa basi. Sementara melayannya berbual, tangan saya ligat memakaikan lampin pakai buang pada si kecil Solehah.

“ Sebab sekarang ni bulan Ramadhan. Kak Long nak puasa banyak-banyak,” Kak Long menjawab tenang. Saya membalas dengan senyum panjang. Gembira mendengar keseronokannya mahu berpuasa bersama.

“ Baguslah kalau macam tu. Kak Long dah besar. Tahun ni Kak Long kena cuba puasa penuh ye,” saya berkata dalam nada ceria. Mahu membangkitkan lagi semangatnya yang sedang membara. Kak Long mengangguk tanpa kata.

“ InsyaAllah,” saya mengingatkan. Kak Long ketawa kecil mendengarnya. Malu-malu. Saya tahu Kak Long faham maksud dari kata-kata saya tadi. Semoga Allah mengizinkannya untuk berpuasa penuh tahun ini. Mudah-mudahan kesihatannya tidak terjejas seperti awal Ramadhan sebelumnya.

Doa saya, semoga Ramadhan kali ini kian membuahkan taqwa dalam diri. Kerana hanya taqwa yang menjadi pembeza antara kita di hadapanNya. Juga, hanya taqwa sahaja mampu mendinding diri dari fitnah dan godaan dunia. Untuk hari-hari seterusnya. Sehingga kembali bertemu Yang Maha Mencipta, Allah Yang Maha Esa. Ameen, amen.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

14 comments:

^inas^ said...

salam ramadhan,

hehhe.. mmg lapang dada rasanya kalau anak2 kecil bersemangat nak ikot org dewasa berpuasa same.

cuaca di sana mcm mane skrng?

mudah-mudahan sume berjalan lancar di sana, ya ummi.

Anonymous said...

kak ina, alhamdulillah tahun ni, saya baru latih anak berpuasa.. rasa dia kecik lagi..tapi tak apa lah perlahan2 dan beransur2.

baru-baru ni saya baca satu blog seorg sahabiyah - ummu abbas - http://keranacinta.com - dapatlah sedikit panduan untuk praktikkan bagaimana menyuntik kemeriahan dan minat anak2 terhadap bulan ramadan. menarik cadangan2 yg dimuatkan oleh ummu abbas.

Alhamdulillah dpt praktik satu ilmu darinya dgn membuat poster ramadan dgn anak2 dan bercerita mengenai ramadan.

yg masih belajar
ibu anas

Anonymous said...

silap bagi info

http://keranacinta.wordpress.com

Malay Boy said...

wow ustazah. Saya rasa memang selesa kalau bulan ramadhan sampai. Bila 1 ramadhan tu rasa gembira sampai tidur lewat. hahahaha

Kak Nisha said...

Assalamualaikum semua.

Secara kebetulan cerita pasal anak di bulan puasa ni. Habis publish baru perasan ummuhusna ada cerita baru dan pergi jenguk. Cerita hampir sama, berlainan endingnya.Tapi maaflah bukan niat nak bersaing.

Wassalam

UMMI HUMAIRA said...

Assalamualaikum kak ina..

lama tak jumpa kan.. selamat menjalani ibadah puasa. mudah2an ramadhan kali ini lebih bermakna buat kita semua.

nanti balik malaysia tak?

zue said...

assalamualaikum kIna,
alhamdulillah zue pon dh mula ajar maisarah (ank yg sulung) puasa.dia br 6thn.dia suka bgn sahur,tp xtahan godaan bila tgk adik2 dia mkn.hr pertama buleh thn smpai kol12.hr ke2 dan ke3..alhamdulillah smpai kol 4/5 ptg.pastu dia kata sakit perut n lapar.tp, dia asyik dok kata..'sorry ibu..kakak bukak puasa'.ada nada regret sikit.tp zue cuba terang kat dia..dia kecik lg,ini br 1st time..lgpon masa puasa kt sini pjg..insyaAllah one day buleh la dia pose penuh.boleh kan nasihat camtu?ada lg ker kIna, nasihat2 yg sesuai utk diorg ni supaya bila puasa tu..krn Allah..dsbnyer?

KAMI said...

hi.. enjoying your blog.. salam ramadhan.. :)

Ummu Husna said...

Salam,

INAS : Alhamdulillah, setakat hari ni cuaca baik. Terima kasih Inas atas doa dan ingatan.

IBU ANAS : Bagus pengisian blog ummu Abbas. Kak Ina memang pernah berkunjung ke blog tersebut. InsyaAllah boleh dilinkkan nanti ni. Tambah sahabat maya yang boleh dijadikan tempat merujuk dan bertanya masalah agama.

Terima kasih dan tahniah atas usaha Najah :) Semoga anak-anak Najah bersemangat menunaikan ibadah puasa.

Ummu Husna said...

MALAY BOY : Baguslah kalau begitu. Bagaiman Amir dan Hanis serta keluarga berpuasa di Malaysia? Nanti balik ke UK, bolehlah cerita pada ustazah dan rakan-rakan lain ye, InsyaAllah.

KAK NISHA : Tak pe kak. Cerita yang sama sebagai panduan. Terima kasih berkongsi pengalaman kak.

Ummu Husna said...

UMMI HUMAIRA : InsyaAllah Kak Ina dan keluarga akan balik Malaysia 13September ni.

Seri balik Gedangsa tak raya ni? Mana tahu ada rezeki kita boleh jumpa. InsyaAllah, Ija pun akan berhari raya di Gedangsa tahun ni.

ZUE : Ok dah nasihat tu. Bagus anak-anak Zue :) InsyaAllah, bila mereka semakin besar mereka akan lebih faham tentang puasa yang sebenarnya.

el - notts said...

Assalamualaikum kak ina..

Sgt terhibur membaca blog kak ina...:)
Semoga Allah terus memberi ilham utk kak ina terus berkongsi ilmu dgn semua.

salam rindu buat kak ina dan anak2...:)

syanashwa said...

lama tu depa nak tahan lapar.. hope the weather will not b too 'harsh' for them.. teringat kami berpuasa di jepun.. pendek masanya waktu tu.. :)

nashwa doakan jugak kesihatan dan kesejahteraan kk ina sekeluarga dalam menjalani ibadah Ramadhan..

kirim salam kt kk long n kk ngah.. assalamu'alaikum.. :)

Nurul Atiqah Baharuddin said...

Assalamualaikum..

Terhibur baca blog kak ina.. Macam2 keletah anak kecil ni ye.. Tak sabar pulak rasanya nak tunggu anak dara saya membesar.. ;)