1 August 2009

RASAILAH KESEDAPAN TULEN !

Bangun pagi ini, saya melakukan rutin harian seperti biasa. Kemudian saya menuju ke dapur, dan saya keluarkan dua bungkus ayam siap potong dari peti sejuk beku. Niat saya, hari ini mahu memasak soto kegemaran suami tercinta.

Saya bersyukur, walaupun berada di luar negara, namun saya masih boleh memasak soto dengan bahan-bahan yang cukup.

Ayam, halia, bawang dan rempah ratus yang diperlukan semuanya sangat mudah diperolehi, baik dari kedai-kedai milik Arab dan Pakistan, juga dari kedai Cina yang menjual bahan-bahan masakan Asia Tenggara.

Nasi impit dan bawang goreng awal-awal lagi telah saya masak dan sediakan pada malamnya. Tinggal lagi, saya menyediakan kuah dan bahan-bahan tambahan sebagai pelengkap hidangan.

AJINOMOTO PENYEBAB SEDAP
“ Memasak kalau tak letak ajinomoto, alamat tak sedaplah rasanya,” akui seorang peniaga restoran.

Memang benar, dalam dunia hari ini, bukan sukar untuk menjadikan sesuatu makanan itu terasa lazat dan sedap. Bak kata orang, hingga menjilat jari. Apa yang perlu hanya tambah ajinomoto sebanyak-banyaknya. Ajinomoto atau nama lainnya monosodium glutamat ( MSG ) adalah bahan kimia perasa yang merangsang deria lidah lalu mentafsirkan makanan itu sebagai 'sedap'. Kerana itu walaupun ada kalanya membeli makanan dari luar yang kelihatan bagaikan tidak cukup bahan, namun bila dijamah terasa kesedapannya. Kekurangan itu terlindung kerana ada perisa tambahan ajinomoto !

Walaubagaimanapun, saya menafikan sedap makanan HANYA bergantung kepada penggunaan perisa tambahan ini. Bagi saya, tanpa ajinomoto sesuatu makanan itu tetap mampu tampil sedap dan lazat. Pengalaman saya dibesarkan dengan masakan air tangan ibu, bebas dari ajinomoto namun masih membangkit selera. Rahsianya terletak kepada dua :

1) Individu yang menikmati juadah itu, deria rasanya belum terhijab atau tertipu dek kesedapan tidak hakiki ajinomoto yang memudaratkan.
2) Penggunaan bahan-bahan yang segar, sukatan yang betul dan seimbang serta cukup pada semua rasa masin, masam dan manisnya. Walaupun orang-orang dahulu kebanyakannya memasak ‘main campak-campak’ saja, tetapi kesedapan masakan mereka tidak boleh dipertikai.

Namun, ramai yang masih meragui dan tidak yakin untuk tidak menggunakan ajinomoto dalam setiap masakan mereka hinggakan sambal belacan buat cecah ulam-ulaman juga turut dimasukkan.

Inilah yang dibimbangi apabila makan di kedai dan di luar rumah, sukar untuk dijumpai kedai makan yang tidak memasukkan MSG di dalam resipi masakan mereka. Hasilnya, berkembang biaklah generasi ajinomoto di kalangan masyarakat. Hilang sudah rasa enak masakan berperisa asli.

KELAZATAN SEMENTARA
Mungkin begitu pandangan kebanyakan manusia akhir zaman yang terpesona dengan kemilau dunia, umpama ajinomoto dalam masakan. Ramai yang terhijab oleh kelazatan hidup yang sementara ini dari kenikmatan akhirat yang kekal abadi. Berapa ramai manusia hari ini yang terlalu asyik mengejar kemewahan dan kesenangan hidup duniawi, tetapi selalu lalai dan lupa untuk mengejar kesenangan hidup di ‘sana’ nanti.

Mengapa tidak mereka kejar tawaran keuntungan hakiki di alam syurga ? Mungkin kerana mereka sudah ditutupi oleh kesedapan ‘ajinomoto’ dunia. Sebagaimana ajinomoto yang menghijab kenikmatan sebenar sesuatu masakan tanpa MSG.

Dek kerana dunia bersifat dan bercirikan sesuatu yang boleh nampak dan dilihat, yang boleh disentuh dan di pegang, yang boleh dirasa dan seterusnya boleh di miliki; sedangkan akhirat adalah sebalik dari itu semua. Ia hanya banyak disebut-sebut di dalam al Quran dan hadis Nabi, tidak boleh dilihat dan dinikmati. Justeru itu, ia sangat mudah dilupa dan dibiar sepi.

Sedih dan pilu melihat manusia-manusia yang wujud hari ini. Jika mereka orang kaya, hartawan dan ternama, tetapi terhijab dari kenikmatan di akhirat sana, maka akan lahirlah orang yang tamak, rakus, kedekut, ego, sombong, mementingkan diri sendiri, membazir dan suka berfoya-foya. Akan tetapi jika kelompok bawahan pula terhijab dari ganjaran syurga, maka akan subur hasad dengki, tidak redha dengan kehidupan yang dilalui dan kurang sabar dengan kesusahan yang dihadapi. Ini semua penyakit-penyakit yang lahir akibat diri sudah ditutupi oleh kesenangan dunia yang menipu dan buta dari melihat kelazatan sebenar di ‘alam’ sebelah sana.

Seterusnya, jika penyakit ini mengenai golongan remaja, maka mereka akan susah menerima didikan dan teguran. Hidup mereka hanya penuh dengan keseronokan dan hiburan, membuang masa, menagih dadah, merempit dan berbagai lagi gejala sosial yang merosak generasi masa depan.

Isteri menderhakai suami, menggadai rumahtangga demi mengejar harta dunia. Manakala suami pula melupakan anak isteri, meninggalkan mereka kerana terpesona dengan kecantikan yang sementara.

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“ Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya” ( Surah Ali ‘Imran ayat 14 dan 15 )

KUAH SOTO CARA SAYA
Bahan-bahan untuk membuat kuah soto telah sedia. Biasanya saya akan merebus air terlebih dahulu. Setelah air rebusan menggelegak, barulah saya memasukkan ayam yang telah dibuang kulit dan lemak bersama rempah empat sekawan. Saat ini, terhidu jelas haruman dari kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga dan bunga lawang yang naik bersama wap ke udara.

Setelah ayam separuh masak, saya matikan api dapur. Saya asingkan ayam dari air rebusan serta mengeluarkan rempah empat sekawan. Seterusnya, saya tumis bawang besar yang telah dikisar bersama bawang putih dan sedikit halia. Bila naik bau, masukkan pula rempah empat sekawan yang telah diasingkan dari air rebusan tadi. Sekali lagi terhidu bau yang enak membangkit selera. Kemudian, saya masukkan pula air rebusan ayam dan biarkan ia mereneh dengan api perlahan.

Sementara itu, ayam yang telah direbus, saya lumurkan dengan garam dan kunyit. Ayam itu kemudiannya digoreng dan disiat-siat isinya. Tulang ayam yang bersisa, boleh dimasukkan ke dalam air rebusan. Akhir sekali barulah saya masukkan rempah sup bunjut adabi yang telah dikeluarkan dari paketnya dan ditumbuk menggunakan lesung batu beserta sedikit lada hitam. Setelah memastikan sempurna rasanya, api dimatikan. Nah..siap kuah soto cara saya!

RASAILAH KESEDAPAN TULEN
“Sedap ni…” puji suami sambil menambah soto buat kali kedua. Tersenyum-senyum saya mendengar pujiannya. Isteri mana yang tidak rasa bangga dan bersyukur bila hasil air tangannya mendapat pujian dari suami tercinta. Terasa hilang penat lelah ketika memasak dan menyediakan juadah.

“ Ni ada letak pak aji ke ni..sedap betul ni,” tambah suami.

“ Mana ada letak pak aji, bang. Kesedapan yang asli tak akan terasa kalau letak ajinomoto,” jelas saya membela diri. Senyuman masih belum lekang melihat suami dan anak-anak berselera menikmati hasil air tangan saya.

“ Ya Allah, lindungilah kami, peliharalah kami. Agar nikmat dan kesenangan hidup di dunia tidak menghijab kami dari nikmat sebenar yang Engkau sediakan buat hamba Mu yang bertaqwa. Golongkan kami dalam kumpulan orang-orang yang Engkau berikan nikmat kepada mereka lalu mereka gunakan nikmat itu sebagai jalan untuk lebih menghampirkan diri kepada Mu. Jauhkan kami dari golongan yang Engkau murkai, iaitu golongan yang sesat kerana kelazatan dunia sehingga melupakan nikmat di akhirat yang kekal abadi. Bantu kami ya Allah, pandu kami ya allah. Siapalah kami tanpa petunjuk dan hidayahMu, amen Ya Rabbal ‘alamin. ”

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

20 comments:

alrijalnajwa said...

Alhamdulillah...biasanya kesedapan asli tu muncul bila simemasaknya memasak dgn penuh ikhlas..kerana mengalir rasa kasih sayang dalam air tangan tersebut..tak perlu bahan penambah perisa lagi...

Sebab itulah setiap anak2 bila menulis dalam ruangan 'masakan kegemaran' pasti saja menulis...'masakan ibu' kerana...walau kadang2 siibu tidaklah pandai sgt memasak...tapi beliau memasak dgn penuh ikhlas utk keluarga tersayang...itulah 'pengikat' kasih sayang keluarga...

ummumishkah said...

salam,
benda sebegini nampak kecil tapi impaknya cukup besar kan kak ina? sebab itu sehingga hari ini tie akan pastikan suami dan anak-anak memakan hasil tangan isteri/ibu ini yang bebas dari MSG, dan kerana itu walaupun hari bekerja, sediakan juga bekal untuk suami dan anak-anak, nak pastikan makanan mereka bebas dari benda2 yang tidak sepatutnya.. even air pun tie bekalkan dari rumah. Penat sikit tak per lah.. puas hati dapat jaga suami dan anak-anak. Dan mereka pun cukup suka merasai kesedapan tulen.. :)

Cikgu Yus said...

haah..saya setuju sgt. kesedapan yg asli dtg dr keikhlasan kita memasak utk keluarga. memasak dgn kasih sayang adalah perisa asli yg x dpt dibeli dikedai... :)

mai said...

k ina...k inaa..

bagilah tips kat saya.saya baru ada seorang anak, tapi kalau time nak masak..kena 'berperang' dulu dgn najiyya sebab dia akan buka segala kabinet dapur, laci dapur, lps tu menangis sebab jari tersepit kat laci...

k ina bagilah petua. memasak dgn anak kecil..(err..ni mcm alasan malas memasak jer :) )

shaza said...

Salam kak Ina,

Terima kasih kerana bagi resepi masak soto. Ini resepi orang jawa ke? :)

^inas^ said...

makan MSG byk boleh luruh rambut....

Anonymous said...

Salam, saya setuju ajimonoto tiada khasiat dalam pemakanan..tidak bagus untuk otak..Bila makan di kedai, pening.. itu tandanya ada pak aji...Saya juga tidak menggunakan ajinomoto untuk memasak.Tapi kesedapannya tiada kurangnya...hehe..itu kata kawan2 saya..tapi sesetengah org tua menggantikan pak aji dgn sedikit gula utk memancing rasa..tak pun boleh dapatkan perencah kohilal..

-illiyyuun-

syireen said...

salam kak...telan air liur bc resepi akak, tu belum mkn lg tu. (ayat bodek..hihi)...nnt nak cuba la...semoga akak & keluarga terus beroleh kebahagiaan dan keberkatan dunia akhirat...amin.

ibuaiman said...

salam k'ina..
nak kena cuba resepi soto ni...TQ

falah said...

Salam Kak Ina,
Alhamdulillah....artikel ini memberi ingatan pada saya yg lalai tentang kehidupan dunia. Semoga hati kita tak terhijab dari kenikmatan sebenar yg Allah janjikan.
jzkk

Zilla said...

Salam Kak Ina....
Bagus sungguh n3 ini, sangat menyedarkan dan mengingatkan saya supaya sentiasa mensyukuri nikmat yang telah Allah berikan.Terima Kasih. Tentang resepi soto tu memang sangat menyelerAkan nanti saya nak cuba masak untuk keluarga saya pula.tq

fiezaradzi said...

salam kak ina..satu lagi rahsia masakan sedap.. keikhlasan orang yang masak tu.. kadang2 masak biasa jer, tapi dek kerana niat masak tu ikhlas, maka sedaplah ia...

Ummu Husna said...

Salam semua.

Maaf, baru dapat menjenguk setelah 3 hari, ada tetamu yang datang berkunjung ke rumah, perlu dilayan sebaiknya :)

ALRIJALNAJWA : Kak Ina setuju tentang kelazatan masakan ibu-ibu kita, kerana ramuan kasihsayang yang ada di dalamnya tidak dapat ditandingi oleh apa jua masakan di luar.

UMMUMISHKAH : Bagus Tie. Semoga menjadi contoh buat ibu bapa lain :)

Ummu Husna said...

CIKGU YUS : Ye, saya juga setuju.

MAI : Cuba berikan Najiyya sudu dan bekas plastik..dapat mainan masak-masak lagi bagus. Bila kita memasak, dia pun sibuk 'memasak' juga.

p/s : Takpun, Najiyya nak 'kawan' tu. Ada kawan, tak adalah dia mengganggu ibunya lagi..he..he..

Ummu Husna said...

SHAZA :Mungkin rasanya..sebab resepi ni popular di Johor.

INAS : Memang banyak kesan-kesan lain akibat ajinomoto ni. Jadi, lebih baik tidak menggunakannya.

ANONYMOUS : Ye, banyak cara lain untuk menjadikan makanan sedap tanpa ajinomoto. Selain tambah sedikit gula, boleh juga gunakan ikan bilis sebagai perisa tambahan.

Ummu Husna said...

SYIREEN & IBUAIMAN: Cuba, jangan tak cuba :) memasak untuk keluarga tentu lebih sedap rasanya.

FALAH, ZILLA & FIEDZA : Ameen, sama-sama kita berdoa dan memohon pertolonganNya. Betul tu, itulah resepi tambahan tersembunyi kebanyakan masakan ibu-ibu.

suri_ummah @ ummi_chan said...

Salam..semua wanita tentu saja nak ke dapur, menyediakan masakan dari air tangannya untuk santapan sekeluarga. Kepayahan dan kesukaran berada di dapur memang memerlukan mujahadah terutamanya yang beranak kecil dan ramai seperti saya. Tapi kita menjadi ibu bukan untuk mengalah dengan suasana, kan? Antara memasak dan melahirkan anak; jauh lebih mudah memasak di dapur.. :) salam ukhuwwah dan salam ziarah buat puan rumah..

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt,

Saya Pn Azrina dari Lancaster ingin memohon meminta email address puan dan suami krn kami ahli keluarga di Lancaster amat berminat utk menjemput Puan dan Suami utk memberi ceramah. Lebih elok jika kita berurusan di email.
Email saya K.Azrina at gmail.com

Mohon jasa baik puan yea.

Terima kasih.
Azrina

Ummu Husna said...

Salam, Puan Azrina.

Saya telah menghantar emel kepada puan. Apapun, di sini, saya sertakan sekali lagi alamat emel saya: noraslina.jusin@gmail.com atau noraslinaj@yahoo.com.

Emel ustaz : zaharuddin@yahoo.com

Harap maklum dan salam ukhuwwah

aphied said...

Alhamdulillah...satu lagi santapan rohani pada saya hari nie...moga ilmu yang dikongsi ini mendapat keberkatan dan keredhaanNya...amin...
terima kasih byk2, ustazah...