PERLUKAH BEGITU ?

Saya suka membaca. Salah satu bahan bacaan yang menjadi pilihan saya ialah majalah-majalah yang banyak terdapat di pasaran baik bertema kewanitaan, kekeluargaan, keibubapaan, majalah kanak-kanak, hiasan dalaman hinggalah resepi-resepi masakan.


Banyak yang telah saya beli dan baca kerana tidak dinafikan kandungan di dalamnya sangat infomatif, mendidik dan menambah ilmu di dada.


Pembahagian topik-topik diselarikan dengan sesuatu isu setiap bulan keluaran. Sebagai contoh, majalah bercorak kewanitaan, kebanyakannya menumpu kepada gaya hidup, hobi, fesyen, kecantikan, rawatan, motivasi, resepi dapur dan banyak lagi. Manakala majalah bertema kekeluargaan dan keibubapaan pula turut memapar pelbagai maklumat menarik mengenai tip-tip ibu bapa cemerlang, penjagaan bayi, mendidik anak-anak, masalah kesihatan dan sebagainya.


Ditambah, corak persembahan yang menggunakan kertas berkualiti dengan hebahan tajuk-tajuk terkini di sekitar kehidupan bermasyarakat, sangat berguna dan bermanfaat untuk diaplikasikan pula dalam kehidupan saya dan keluarga.

KULIT DEPAN

“ As, cuba tengok ni, “ pinta suami ketika saya sedang melipat baju dan kain. Saya bangun lalu menuju ke arahnya.


“ Cuba As nilai melalui kacamata seorang perempuan. Cantik tak ‘cover’ buku abang ni?’ suami bertanya meminta pandangan saya terhadap kulit buku baru bertajuk ‘untukmu wanita’ yang sedang dalam pembikinan.


“ Cantik..kena betul dengan wajah penulisnya yang berbaju coklat kemerahan,” jawab saya sambil tersenyum mengusik.


Hati terpikat melihat warna kulit buku yang terpapar di skrin komputer. Merah hati yang berhias kembangan bunga mawar merah darah, dan diserikan pula dengan bait-bait puitis khusus buat wanita solehah.


Saya maklum mengapa suami sangat mengambil berat penampilan kulit luaran bukunya itu. Saya percaya bukan suami seorang sahaja. Rata-rata, kebanyakan penulis juga begitu.

Kerana itu, seseorang penulis yang menyerahkan hasil tulisannya, sangat berharap agar bukunya yang bakal terbit tidak hanya elok dan betul susunan bahasanya, teliti dalam pengeditan salah eja dan garapan isi kandungannya, tetapi turut juga dipersembahkan dengan kulit luar atau cover yang akan mampu menarik seramai mungkin bakal pembeli yang membaca buku tersebut berikutnya.

PERLUKAH BEGINI ?
Sebagaimana penulis dan pengeluar buku yang mengambil berat tentang cover buku, demikian juga halnya bagi pengusaha majalah-majalah tempatan yang wujud di Malaysia. Termasuklah majalah-majalah bertema agama.

Namun, dalam asyik membelek dan membaca input-input yang banyak di dalam majalah yang ada, hati saya tidak boleh tidak pasti tertanya-tanya tentang hal yang satu ini. Tentang keperluan sesuatu majalah terutama yang dikatakan bercorak keislaman menampilkan seorang wanita sebagai penghias kulit depan. Bak kata orang sekarang, sebagai covergirl pelaris jualan. Perlukah ?

Adakah kerana ingin memberi penampilan berbeza dan lebih bersifat alternatif terhadap lambakan majalah-majalah yang menjadikan wanita tanpa menutup aurat sebagai penghiasnya, maka ditampilkan pula wajah-wajah indah wanita menutup aurat dan berbusana Muslimah ? Dengan kata lain, pihak penerbit mahu mengatakan, beginilah majalah yang islamik sepatutnya diketengahkan.

Atau, kerana tujuan untuk berdakwah ? Terutama saya maklum ada beberapa majalah yang menjadikan selebriti dan artis yang tidak menutup aurat sebagai cover depan majalah mereka. Artis dan selebriti ini dipakaikan pakaian yang sopan menutup aurat sebagai satu ajakan halus dan lembut, agar mudah-mudahan suatu hari kelak mereka akan terbuka hati dan tampil di khalayak umum dengan penampilan seorang Muslimah sebenar.

MUDARAT DAN MANFAAT
“Isu ini ada mudarat dan manfaat sekaligus. Jadi, untuk menentukan sikap yang tepat, pertimbangan teliti lagi adil terhadap kedua-dua aspek ini mesti dilaksanakan. Penilaian pula mesti dilakukan oleh para ilmuan Islam yang berwibawa, ” tegas suami bila saya mengajukan persoalan ini.

“Namun, kebimbangan hari ini adalah pihak penerbit dan pasukan jualannya sendiri yang menilai, dan bukan dari ilmuan Islam yang kefahamannya berpaksikan hukum yang telah ditetapkan. Tatkala itu sudah tentu keputusan yang berdasarkan memberi ‘manfaat lebih besar’ lalu menyebelahi pihak penerbit, tetapi sebenarnya tidak menyebelahi hukum Islam, ” tambah suami lagi.

Dalam hal ini saya terfikir, adakah proses ini sudah dijalankan oleh pihak penerbit majalah dan buku?

DAKWAH ITU PERLU
Saya tidak menafikan kepentingan berdakwah kepada golongan artis seperti mereka. Juga jauh sekali dari berprasangaka, bahawa penampilan mereka ini tidak lain sebagai rencah pelaris untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya. Semoga Allah memelihara hati saya dari bisikan jahat sebegitu.

Peringatan Allah mengenai larangan mencela sesuatu golongan, kemas tersemat sebagai panduan. Saya sedar dan yakin, setiap orang memiliki sisi kebaikan yang boleh dicontohi oleh orang lain. Golongan selebriti dan artis seperti mereka tidak terkecuali. Justeru, mengenengahkan kisah-kisah kebaikan seseorang artis yang boleh dijadikan teladan kepada pembaca sangat dialu-alukan. Saya menyokong usaha-usaha ke arah itu. Sementelah pula, pakaian menutup aurat dan sopan bukanlah hak milik eksklusif golongan tertentu semata-mata. Ia adalah pakaian semua Muslimah yang beriman kepada Allah sebagai Tuhan yang sewajarnya disembah dan Nabi Muhammad sebagai utusan Allah kepada sekelian umat.

Akan tetapi, menurut penilaian saya (walau berbeza dengan orang lain), tidak perlu artis dan selebriti ini tampil sebagai muka depan, cukup sekadar memaparkan sekeping dua gambar yang sopan dan menutup aurat di bahagian dalam majalah dengan diiringi cerita-cerita tentang kebaikan dalam diri mereka yang boleh dicontohi semua. Ubah penampilan mereka yang selama ini mengundang nafsu dan dosa kepada sesuatu yang boleh melahirkan taqwa dan iman kepadaNya.

MENGAPA SIBUK ?
Saya tidak berniat mahu menyibuk-nyibuk dan menganggu keputusan mana-mana majalah yang ada di pasaran. Bukan juga mahu mendabik dada, pandangan saya adalah yang terbaik. Bukan. Semuanya bertitiktolak atas kesedaran dan keinsafan, bahawa ramainya wanita menghuni neraka sebagaimana yang pernah disabdakan oleh Baginda junjungan.

Jiwa ini sering bimbang. Jiwa ini selalu menangis, andai diri ini salah seorang yang disebut-sebut nabi sebagai bahan bakar api yang marak menyala, kerana culas menjalankan perintahNya. Nauzubillahiminzaalik!
Dan salah satu penyebabnya ialah kerana aurat yang tidak ditutup sempurna. Penampilan diri yang mempesona. Mengundang panahan syaitan kepada lelaki-lelaki di luar sana. Penyebab keruntuhan sesebuah rumahtangga dan banyak lagi kerosakan yang lahir dari wanita di akhir usia dunia.

JIWA MEMBERONTAK
Jiwa saya menjadi semakin memberontak, apabila melihat wajah-wajah wanita bertudung litup yang menghiasai majalah, turut disaluti solekan tebal untuk tayangan umum, persis seorang artis bukan Islam.

Lebih bimbang apabila hanya wajah-wajah yang dikira menarik sahaja akan dipilih. Mengapa ?

Kita bimbang, para lelaki termasuk yang sudah bergelar suami akan rambang mata membandingkan isterinya dengan wajah-wajah yang dipaparkan. Ya, wajah-wajah terpilih dari jutaan wanita, tentunya akan menyebabkan isteri-isteri yang ‘kurang’ rupa paras jadi rendah diri serendah-rendahnya.

Suami saya pernah menerima emel-emel yang meminta panduan, pandangan dan nasihat, daripada wanita yang merasa dirinya sangat hina, apabila suaminya ketagih menonton filem lucah yang menawarkan gambar-gambar wanita bertubuh ‘solid’. Si isteri yang menghantar emel itu berkata :

“ Saya bimbang suami akan membandingkan tubuh saya dengan wanita di dalam filem tersebut, maka amat jauh tewasnya saya,”.

Tatkala suami menceritakan hal tersebut, fikiran saya terus memikirkan wajah-wajah menarik penyeri majalah yang memaparkan wanita berpenampilan indah ini. Adakah hal yang sama akan mengganggu pemikiran para isteri ?

PERLUKAH BEGITU ?
Allah SWT memerintahkan hambaNya untuk berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Dan matlamat saya tidak lari dari tujuan ini. Sebagai tazkirah untuk diri sendiri dan golongan wanita hari ini.

Dalam menghitung Ramadhan yang bakal menjelma, beberapa hari sahaja lagi. Mari kita memuhasabah diri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Hadis riwayat Bukhari)


Katakan tidak! Kita bukan golongan yang mengundang fitnah ini.
Katakan tidak! Kita bukan kumpulan yang membawa mudharat kepada kaum lelaki.

Sebaliknya, mari kita sama-sama berdoa, berharap dan berusaha akan termasuk di kalangan wanita yang dimaksudkan oleh Nabi SAW:
“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah”.


Akhir bicara, sebenarnya, adakah benar-benar manfaat lebih besar dari mudarat dalam hal ini ? Perlukah begitu ? Sama–sama kita fikirkan dan bertindak jika ia di dalam ruang kuasa anda dan kita semua.



Mencari dan mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Muallim Adham said…
slm... thanks for the information... betul jugak... kenapa kita tak terfikir kan? terima kasih sekali lagi kerana membuka minda semua pembaca
Suluh Hati said…
Salam ustazah...

Saya turut meminati dan tidak ketinggalan mengikuti sebuah majalah islamik kerana pengisiannya yang begitu menyentuh hati, tapi kurang berkenan pada pada cara paparan kulitnya seperti yang ustazah nyatakan. Cuma saya masih kurang ilmu untuk memberi pandangan. Terima kasih atas perkongsian. Semoga artikel ini membawa pencerahan.
Ummie said…
assalamualaikum. tertarik betul dengan artikal kak ina kali ni. Betul kata kakak. Wanita sekarang, walaupun sudah dikatakan 'menutup aurat', namum masih lagi dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu. Nauzubillah. terima kasih pd kak ina.
Kak Ummi said…
Aslkm Ina.Setuju sangat-sangat!Bukan sengaja nak 'sokmo' setuju dengan Ina tapi tulisan Ina kali ini benar-benar apa yang pernah Kak Ummi fikir,luah dan bincangkan bersama hubby.

Wanita sebagai bahan fitnah...Mari kita katakan TIDAK!Mudah-mudahan usaha kita ke arah itu akan menjadi titik tolak ke arah pembentukan generasi WANITA SOLEHAH yang terhindar dari sumber fitnah...
nz said…
salamun'alaik..

td ade sebut psl artis kan?
doakan lah artis2 yg dipergunakan utk berpakaian muslimah dlm drama/filem/nyanyian dpt mendakwah diri mereka kembali.

hati2 manusia ni Allah yg pegang kan..

p/s: berpesan pd diri sendri...

:)
cun09 said…
salam...
dulu saya ada beli majalah islamik... mula2 ok tp bila dah jualan meningkat mungkin, dah jadi lain dan mcm yg ina katakan cover dia memang tak manis dipandang w.pun menutup aurat...sekarang nii saya dah tukar beli majalah solusi (uzar pun ada menulis) cover dia memang bagus...("isi" dia lagi bagus)

p/s:hanya berkongsi pendapat...
(tak sabar nak tunggu buku
baru uzar)
Ummufarhan said…
salam,

betul3x..saya pun sebenarnya sudah lama terfikir macam kak ina bila melihat cover girl majalah2 tempatan ni, tapi ia sekadar berlegar di ruang kepala saya saja. subhanallah..entri yang sangat mengesankan!
Kak Nisha said…
Assalamualaikum Semua.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud,

“Maka peringatkanlah kiranya peringatan itu berguna. Nanti peringatan itu akan diterima oleh siapa yang takut”

(AL-A’la:9-10)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Setiap kamu adalah bertanggungjawah dan setiap kamu akan di tanya tentang pertanggunganjawabnya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Terima kasih UmmuHusna.

Wallahua'lam.
Ummu Auni said…
salam ummu husna
saya setuju dgn pandangan ummu husna. kadang2 saya rasa di malaysia ni, dah sampai tahap extreme tabarruj tu. bertudung, tapi masih bersolek tebal, pakai baju lip lap. ini peringatan untuk diri sendiri juga
Salam, semua.

CIKGU ADHAM : Ws, Alhamdulillah. Semoga sama-sama kita beroleh manfaat darinya.

Mungkin selama ini kita tidak merasakan ia sesuatu yang salah dari sudut pandang agama. Bagi saya penampilan gambar seorang bayi perempuan dengan seorang perempuan dewasa walaupun menutup aurat, impaknya berbeza pada pandangan pembaca.

Gambar bayi menghadirkan rasa tenang, senang dan ceria di dalam jiwa, manakala gambar2 wanita dewasa tidak begitu,lebih-lebih lagi jika disolek tebal. Wallahu'alam.

SULUH HATI : Ws, Saya juga boleh dikatakan membeli majalah-majalah bercorak keislaman ini setiap bulan. Isi kandungannya menarik dan mendidik, cuma kulit luar sahaja bagi saya yang perlukan perubahan.

Mungkin ada alternatif lain contohnya lakaran kartun Muslimah atau gambar-gambar bunga yang beraneka jenis boleh dijadikan penghias kulit depan. Sekadar pandangan :)
UMMIE : Alhamdulillah, yang baik dariNya jua. Sama-sama kita terus memuhasabah diri ye :)

KAK UMMI : Ameen, kak. Ye, sama-sama kita perbaiki diri dan memeliharanya dari fitnah dan fasad dunia akhir zaman ini.

INAS : Mari kita berdoa bersama-sama. Jangan rasa bangga, ujub dan riya' dengan apa yang kita ada dan telah lakukan hari ini, kerana semua itu penghapus kebaikan amalan. Sebaliknya, kita berdoa agar amalan yang telah dan sedang dilakukan ini kekal berterusan, dan diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT.

Begitu juga kepada golongan artis-artis. Mari kita doakan kebaikan buat mereka juga, ameen.
CUN09 : Alhamdulillah, majalah SOLUSI memang sangat mengesankan membacanya. Semoga lebih banyak majalah-majalah seumpamanya akan terbit nanti.

( Buku UZAR, InsyaAllah tak lama lagi :)

UMMUFARHAN : Alhamdulillah, yang baik dariNya manakal yang lemah dari kedhaifan Kak Ina sebagai manusia. Semoga kita sama-sama beroleh manfaatnya ye
KAK NISHA : Ws, Betul tu kak.

" Fazakkir, fainnazzikraa tanfa'ul mukminin ".

UMMU AUNI AFIF :Ye, hukum tabarruj itulah yang ramai wanita hari ini lupa. Sama-sama kita ingat memperingatkan.
Unknown said…
Salam,apa khabar,saya dah kembali ke blog,minta maaf menyepi lama,lama saya tak tulis di ruang komen ini.hu3o...terima kasih...
Nazri Samsudin said…
Kak Ina, kali pertama saya tulis komen di sini. Sebelum ini saya hanya 1-2 kali shout di box, walaupun saya memang pembaca setia blog akak ini.

Saya ada tulis pasal perkara ini dalam blog saya dulu apabila sebuah majalah Islamik (saya memang pembeli tetapnya) yang sebelum itu tidak pernah meletakkan covergirl muslimah bertudung bersaiz besar, tetiba saya terkejut apabila ada sekali tu mereka pun sama terikut dengan 2-3 majalah 'Islamik dan Solehah' lain juga (anda semua tahulah), yang memang setiap bulan ber'covergirl'kan 'Muslimah Bertudung Solehah tapi Tabarruj'.

Akak boleh baca satu blog junior ex-KISAS kita (Ustaz Ikmal, link dalam blog saya). Beliau menceritakan bagaimana adik Nik Nur Madihah yang bertudung syarie cuba dihubungi oleh seorang wartawan majalah 'Islamik' supaya ditukar tudungnya dan memakai kemeja yang ketat untuk menjadi covergirl, tetapi alhamdulillah adik Nik Nur Madihah menolaknya! Allahu Akbar!

Sekali lagi Kak Ina, saya ingin ucapkan TERUSKAN MENULIS kerana susah nak cari ustazah yang terus-terang dengan berani menulis tentang beberapa perkara yang cuba didiamkan oleh 'ustaz-ustazah' yang tunduk terhadap realiti semasa yang mungkar, bukan cuba memperbetulkannya.
Shams Ali said…
Salam. Kak Ina, cover page inilah sebenarnya menjadi punca kenapa suami saya selalu berat memberi kebenaran untuk saya membeli majalah yang islamik ini. kalau saya beli pon, posisi majlah tersebut mestilah saya letakkannya terbalik..cover dia kana menghadap lantai..kata suami 'sakit mata'... Banyak alternatifnya saya setuju tidak usah meletakkan wajah wanita dewasa, cover mengikut isu lebih menarik! millenia pun selalu covernya mengikut isu cuma harganya agak tinggi..
Salam,

USTAZ NAZRI : Alhamdulilah. Terima kasih atas perkongsian pandangan Ustaz. Ye, saya ada membacanya di blog ustaz. Memang dunia hari ini penuh fitnah dan mehnah.

Alhamdulillah dan syabas buat adik Nik Nur Madihah. Semoga beliau terus istiqamah dan menjadi model generasi muda Islam yang berilmu dan beramal.

ANAK PENDANG : Ws, selamat kembali. Terima kasih atas kunjungan.
MUJAHIDAH : Tindakan yang betul. Tidak semua lelaki gemar melihat perempuan bersolek. Namun tidak dinafikan ramai yang suka dengan keadaan itu.

Justeru itu, Islam tidak melarang isteri berhias buat suami, malah menggalakkannya lagi. Biarlah wajah isteri yang disolek, benar-benar menjadi pandangan yang eksklusif hanya untuk suami. Baru betul istimewa :)

Ye, cadangan cover depan di buat berdasarkan sesuatu isu bulanan juga satu pandangan dan cadangan yang baik.

Wallahu'alam
Rohani said…
Salam...Allahuakbar! memang benar sekali apa yang ditulis. Akak dulu pernah menjadi wartawan utk 'Majalah ummi'(kalau ada yg masih ingat).Majalah ni utk org dewasa tapi cover kat depan selalunya mengambil gambar kanak-kanak atau pemadangan sahaja. itulah sebagaimana yg Ina katakan, akak juga sedih dengan fenomena sekrg, ramai yg mengaku berpakaian seperti muslimah atau fesyen muslimah tapi sebenarnya jauh sekali menyimpang dari cara sebenarnya seorg muslimah berpakaian. Bukan setakat tudung yg agak singkat dan kecik, baju yg menampakkan bentuk badan, make-up yg tebal, ditambahkan lagi dengan kening yg dicabut,subhanallah... sedih dan bimbang dengan generasi yg agak kita bentuk menjadi pemimpin masa depan. Terlalu byk contoh yg tidak baik dari baik. Semoga kita semua mendpt petunjuk dan rahmat dari Allah s.w.t, insyaAllah. Amin Ya Rab!
Salam,

KAK ROHANI : Ws, kak. Terima kasih atas pandangan Kak Rohani.Semoga pengalaman Kak Rohani dapat membantu memeberi tunjuk ajar kepada orang yang baru berjinak-jinak dengan penulisan seperti saya.

Saya pernah membaca majalah UMMI suatu ketika dulu kerana kakak sulung yang telah berkahwin melanggan majalah tersebut. Seingat saya, antara kolumnis Majalah UMMI waktu itu ialah Encik Norizan Sharif. Saya suka membaca tulisan beliau, dan tentunya keseluruhan isi kandung majalah itu.

Teringat saya ketika masih berada di Irbid,Jordan, seorang adik yang masih belajar di universiti berhampiran menceritakan bagaimana pelajar perempuan dari Malaysia yang memakai baju kurung di suruh pulang menukar pakaian oleh pensyarah yang mengajar. Bagi beliau baju berwarna-warni adalah tabarruj!Allah!

Bagi saya Islam tidak menetapkan sebarang bentuk pakaian khusus, hanya menggariskan beberapa ciri bagaimana fesyen yang sepatutnya dan selaras dengan syariat, iaitulah :

1.pakaian itu mestilah menutup aurat.
2. Pakaian itu tidak terlalu nipis sehingga nampak bayangan tubuh badan dari luar.
3. Pakaian itu tidak ketat atau sempit, tetapi longgar dan selesa dipakai. Tujuannya untuk menutup bahagian-bahagian bentuk tubuh yang menggiurkan nafsu lelaki.
4. Warna pakaian itu tidak terlalu terang. Dalam hal ini warna-warna yang suram atau gelap adalah lebih baik sehingga tiada bernafsu lelaki melihatnya.
5. Tidak memakai bau-bauan semerbak harumnya.
6. Tidak menyerupai pakaian lelaki. Telah berkata Ibnu Abbas : " Rasulullah saw telah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita-wanita yang menyerupai lelaki". (Riwayat Bukhari)
7. Pakaian itu tiada menyerupai pakaian perempuan-perempuan kafir dan musyrik.
8. Pakaian itu bukanlah bertujuan untuk libasush-shuhrah, iaitu pakaian untuk bermegah-megah, untuk menunjuk-nunjuk atau bergaya.

Sekadar peringatan bersama. Memang sedih melihat ramai Muslimah hari ini yang mengambil mudah bab berpakaian, menutup aurat dan berhias. Justeru, mari kita sama-sama muhasabah diri kembali. Wallahu'alam
Rohani said…
Salam Ina,

Akak ni tak da la hebat sangat dalam bidang penulisan.Malah ina lebih hebat! Akak bukan seorg ustazah, malah dulu pun bukan bersekolah disekolah agama. Masa kat universiti pun ambik jurusan sains. Cuma ada sedikit kesedaran utk mendalami ilmu agama kerana didikan kedua ibubapa, alhamdulillah. Penulisan ina pun memang hebat dari segi ketelusannya dan ketulusan, itulah yg sebenarnya perlu ada pada seorang penulis. Menulis utk mendpt keredhaan Ilahi. Akak sendiri bila menulis, adalah utk mendidik diri sendiri, anak-anak dan masyarakat yg sudi nak 'share' dgn apa yg ditulis.

Encik Norizan tu editor akak dulu. Byk ilmu yg akak belajar dgn dia. Alhamdulillah.

Akak juga sedih dgn pelajar2 yg sewaktu belajar, memang menutup aurat dgn baik, mengikuti usrah dan terlibat dgn pelbagai aktiviti dakwah, tapi bila dah tamat, dah trpisah dgn kawan2 yg berjuang sama-sama dulu, semuanya dah berubah,bukan setakat pakaian malah ada yg sudah tidak bertudung! Subhanallah! sedih dan hairan kenapa mereka begitu mudah berubah. Di mana hilangnya fikrah yg dulu dipegang erat.Semoga Allah
memberi kekuatan iman kepada kita agar tidak mudah goyah dgn ujian duniawi yg hanya indahnya di mata tapi tidak ada nilaian langsung disisi Allah. Pentingkanlah pandangan Allah daripada pandangan manusia! wallahua'lam.
Musafir said…
salam,
tuk cover majalah..bukan sekadar artis, sy fikir x perlulah penghias cover seorang wanita (lbh2 lg muslimah) yg dihias cantik (kdg2 jd x cntik lpas disolek) tuk sesuatu majalah..lebih2 lg majalah yg islamik...amat x kena la dgn matlamat serta kandungan dlm mjlah berkenaan. ye la...bila belek contain mjlh tersebut, serasa amat bermanfaat, namun bila tgok cover..alahai..berbelah bahagi la plak nk beli...huhuhuhu...
tak laku k kalo jual mjlh x de cover girl yg comel2?
Amoi Ida said…
Salam Kak Ina..

Terima kasih kak atas entri bermanfaat ini..buat muhasabah kita semua...

Betul tu kak..nak beli majalah islamik sekarang nie, rasa macam sedih sangat..yerlah..kandungan nya bagus, tapi yerlah dalam bagus tu bercampur aduk..ada fesyen muslimah yg bergaya dgn busana ketatnya, mekapnya..begitulah juga covernya...bukankah semua ini menarik saja nafsu lelaki?

kdg2 dlm majalah tu cerita tentang akhlak dan aurat muslimah tapi covernya berlawanan pula..tak ke mengelirukan?

dengan tumbuhnya majalah sebegini maka remaja bertambah galak lagilah nak berfesyen...selagi takde yang mulakan untuk membuat perubahan, maka sampai bilapun ia tetap berleluasa...

tahla kak, sedih..lebih-lebih lagi tengok adik beradikpun ikut bergaya..walaupun Ida pernah melalui zaman ini tapi cukuplah Ida je..rasa malu kepada Allah kerana wanita sudah menyalahgunakan ciptaanNya...kita perlu melakukan sesuatu tapi sudah tentu dengan berpasukan kerana suara minoriti pasti tidak akan didengar...

mudah-mudahan dakwah melalui pena sedikit sebanyak mampu menyentuh hati mereka agar kembali kpd carahidup Islam yg sebenar...

wallahu'alam
ummu_abdullah said…
Hmm, kalau menurut perasaan seorang muslimah yang memang komited dengan islam pastinya menentang perkara-perkara sebegini.

Tapi perlu ditimbang jugak dari sisi seorang yang baru ingin mendekati islam, mereka masih lagi banyak terikat dengan keinginan-keinginan jahiliyyah mereka yang menginginkan nampak cantik dan melihat sesuatu yang cantik.

Mungkin sebab tu yang Ustaz cakap perkara ni kene timbang dari dua-dua sisi, mana satu yang lebih berat, sisi mudarat atau sisi manfaat.

Kerana dalam dakwah tak boleh memukul rata semua orang. Kalau dah sampai tahap yang betul2 komited cara dakwah dan pengisiannya kan lain? berbanding orang yang baru-baru nak ikut islam...

Sebab tu syariat islam diturunkan bukan hanya untuk orang yang kuat, tetapi untuk semua orang. Samada yang kuat mahupun yang lemah.

Bukan menyokong, bukan membangkang, cuma berkongsi pandangan.
MUSAFIR : Pengisian majalah-majalah seperti itu masih banyak kebaikan dan manfaat kepada pembaca. Boleh beli dan bacalah kandungannya yang menambahkan ilmu.
AMOIIDA : Kak Ina setuju. Perubahan perlu dilakukan, dan rasanya telah ada majalah yang bercorak keislaman, bagus pengisiannya tanpa menampilkan wanita sebagai penghias kulit depan.

InsyaAllah, mudah-mudahan akan ada lebih banyak lagi majalah seumpama itu selepas ini.
UMMUABDULLAH : Memang benar, apa yang disebut oleh Ummu Abdullah itulah antara kebaikannya. Akan tetapi manfaat itu amat lemah dan kalah dengan mudharat yang lebih banyak lahir daripadanya.

Sebagaimana pengharaman arak yang disebut di dalam al Quran. Arak juga mempunyai manfaat dan mudharat, tetapi mudharat yang lahir daripadanya lebih kuat dan mendatangkan keburukan serta kebinasaan lain dalam masyarakat.

Justeru, berbalik kepada isu menampilkan wanita sebagai kulit depan, cukuplah sekadar meraikan mad'u yang baru ingin berjinak-jinak dengan pemakaian Islam ini, dengan menampilkan sekeping dua gambar personaliti di dalam majalah sahaja.

Persoalan tabarruj, sudah jelas halal haramnya, tinggal lagi ia telah diterimapakai dalam masyarakat hari ini dan tidak dipandang sebagai suatu yang menyalahi agama.

Sekadar perkongsian pandangan. Wallahu'alam.

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA