17 July 2009

SEHARUM KASIHMU

Setiap kali memandang ke arah rak di sebelah almari buku itu pasti wajah saya merona merah. Senyuman tidak lekang dari bibir dan mata memancar bercahaya tanda bahagia. Ada bermacam warna di hadapan saya. Merah, putih, kuning, ungu dan hijau yang memikat jiwa. Semuanya teradun indah di dalam bekas putih jernih diperbuat dari kaca. Sungguh, ia menarik pandangan mata.

Lebih dari itu, wangian asli alam yang terbit dari warna-warna itu cukup memercik ceria dan segar pada hati dan minda. Walaupun tubuh saya masih terasa lemah dan lesu dek penangan demam, selsema dan batuk yang masih bersisa, namun melihat keindahan itu semangat saya kembali membara.

TANGGUNGJAWAB SUAMI
“ Tak perlu pembantu rasanya bang,” saya membuka bicara usai makan malam berlaukkan kari ayam. Mendengar perkataan ‘tak perlu’ itu, suami memandang anak mata saya, dalam. Sudah beberapa kali ketidakperluan itu saya ajukan pada suami.

“ Perlu. Siapa yang akan bantu As dalam pantang nanti jika tiada pembantu. Abang tak dapat berada di rumah selalu kerana pelbagai program ” luah suami perlahan. Saya diam memandang meja makan. Sebolehnya saya mahu menguruskan sendiri rumah dan anak-anak sebagaimana ketika bersalin anak ketiga dulu. Namun saya akur dengan tanggungjawab dan tugas dakwah yang sedang suami perjuangkan melalui pelbagai ilmu-ilmu Islam terutama di dalam bidang muamalat. Keadaan yang memerlukan dia sentiasa ke sini sana, menyampaikan permasalahan bahaya riba dan keperluan memilih ekonomi Islam yang masih agak baru dalam masyarakat.

“ Soal wang As tak perlu risau. InsyaAllah abang dah sediakan biayanya. Apa yang abang mahu, As ada pembantu untuk melakukan kerja-kerja rumah terutama menjaga khalil yang semakin keletah,” tambah suami bila melihat saya masih menyepi.

“ Lagipun ini tanggungjawab abang juga. Menyediakan pembantu rumah buat isteri jika kemampuan itu ada,” jelas suami lagi disambut senyuman dan anggukan saya. Setuju. Kami sepakat akhirnya.

BERUNTUNG
“ Beruntung Ina. Tak bekerja, duduk di rumah jaga suami dan anak-anak je. Ada kereta dan pembantu rumah pula,” kata adik beradik dan rakan taulan saya.

Setiap kali terdengar kalimah yang sama saya hanya membalas dengan senyuman mesra. Apa lagi yang dapat saya ucapkan selain kalimah puji-pujian kepada Allah SWT yang Maha Mengurniakan. Saya bersyukur dianugerahkan seorang suami yang sentiasa memikirkan yang terbaik buat saya dan anak-anak, cahaya mata kami.

Banyak perancangan yang difikir dan diaturnya untuk saya mengembangkan potensi diri. Dia memberi semangat untuk saya menulis dan berkarya. Membeli buku-buku bertema keibubapaan dan pengisian jiwa seindah ‘ La Tahzan ’ karya Dr A’idh Abdullah al Qarnee. Tidak kurang juga novel-novel penyubur mesra ikatan kasih suami isteri seperti ‘Ayat-ayat cinta’ tulisan Habiburrahman el Syirazi. Pada suami, walaupun saya tidak lagi bekerja, bukan beerti saya hanya duduk diam tidak melakukan apa-apa yang bermanfaat buat diri dan keluarga. Pendeknya, dalam ruang masa yang terbatas, dia masih meluang waktu bukan sekadar sebagai seorang suami, tetapi juga sahabat baik kepada saya sebagai isteri.

MUHASABAH DIRI
Walaubagaimanapun, saban waktu bila memuhasabah diri, saya jadi bimbang dan gusar sekali. Saya sedar saya bukanlah wanita bergelar ‘superwoman’ yang boleh melakukan banyak perkara pada satu-satu masa. Saya hanya perempuan biasa yang punya keimanan, keyakinan dan semangat untuk melakukan yang terbaik semampu saya.

Saya mahu menjadi isteri solehah. Penyejuk mata suami dan penenang jiwanya seumpama Sayyidatina Khadijah terhadap Baginda Rasulullah. Saya ingin mengikut jejak langkah Sayyidatina Fatimah. Mengurus rumahtangga tanpa keluh kesah walau hidup diselubungi susah dan payah. Dan saya bercita-cita menjadi isteri yang cerdik sebagaimana Sayyidatina Aisyah, membantu suami merungkai permasalahan umat sehingga menjadi antara muslimah contoh pembangun generasi akhirat.

Sungguh pun begitu, seringkali dalam menunaikan kewajipan, pasti ada layanan yang tidak terisi sempurna. Namun, suami saya tidak pernah mengeluh, jauh sekali dari marah melulu. Dia akan menggosok sendiri pakaiannya jika saya tidak berkesempatan melakukan itu. Dia akan menyenduk sendiri nasi dan lauk, juga membasuh pinggan serta mengemas dapur di kejauhan malam kala saya sendiri telah terlena keletihan.

PERJUANGAN
“ Perjuangan seorang perempuan tidak sama selepas ia berkahwin dan berkeluarga,” pujuk suami di satu hari. Ketika itu, saya agak terusik hati dengan kata-kata beberapa muslimah muda bahawa muslimat yang dulunya aktif di kampus tetapi hilang setelah berumahtangga sebagai ‘hampeh’ dan ‘pancit’.

“ Biarkan mereka. Manusia seringkali memusuhi perkara yang tidak diketahuinya. Apa yang perlu As ingat, seorang ibu yang mengasuh anak-anaknya dan mendidik mereka dengan asuhan agama juga sedang berjuang. Masing-masing ada cara dan situasi tersendiri dalam berdakwah kepada mad’u yang berada di luar rumah. Ada yang turun ke padang bertemu masyarakat dan orang awam, ada menerusi penulisan, juga ada yang melalui ceramah dan lain-lain lagi. Siapa yang paling ikhlas di antara mereka hanya diketahui oleh Allah swt. Akan tetapi, yang tercela adalah mereka yang merendahkan cara dan usaha orang lain. Jadi jangan mencela dan jika dicela, abaikan saja. Serahkan kepada Allah swt menentukannya, ” bicara suami lagi mengubat luka di hati.

Benar kata-kata suami. Dan saya juga tidak menafikan walau siapa pun seorang wanita itu, dia tetap seorang isteri dan ibu. Itu adalah tanggungjawab asas dan tiada sebab untuk mengabaikannya atas alasan ingin menunaikan tanggungjawab yang lain.

“Jangan jadikan perjuangan di luar rumah sebagai ‘excuse’ kepada tanggungjawab di dalam rumah. Bahkan ia perlu dilakukan sekaligus, dengan cara masing-masing dan tentunya menurut kadar yang dimampui mengikut situasi yang ada. Jangan diletakkan perjuangan Islam itu dalam ‘bentuk’ yang stereotype dan mendakwa itulah satu-satunya cara untuk berjuang “ jelas suami panjang lebar.

Sesungguhnya tugas membangun generasi yang menyintai akhirat dalam dunia yang bersifat kebendaan hari ini bukan sesuatu yang mudah dan boleh dilepas tangan begitu sahaja. Tidak cukup sekadar menghantar anak ke sekolah agama atau menggaji guru untuk mengajar anak mengaji al Quran, maka soal halal haram, penerapan akhlak dan nilai-nilai mulia telah langsai. Belum lagi. Kerana ia masih memerlukan pemantauan dan perhatian. Perhatian seorang bapa lebih-lebih lagi seorang ibu.

SEHARUM KASIHMU
Saya masih menatap jambangan wangi penuh warna warni. Hadiah dari seorang lelaki bernama suami. Dia menghulurkannya kepada saya dengan senyuman dan ucapan ringkas, selamat hari lahir.

Saya menerima dengan hati yang berbunga. Saya pandang wajahnya dan kemudian melihat pula kepada empat cahaya mata di depan saya. Setiap sinar mata mereka mewakili harapan dari seorang suami, meletak amanah di bahu saya untuk mendidik mereka agar menjadi penyelamat dari kedahsyatan ‘Yaumul Hisab’.

Dan detik saya menyambut ulangtahun ke-34 ini, saya semakin menginsafi diri. Masih banyak usaha perlu dilaksana. Ada berbagai lagi ilmu perlu digali. Semuanya untuk mencari redha Ilahi agar di sana nanti saya akan tetap bersama suami di kelilingi bidadari syurga, hadiah buat suami tercinta. Ameen, amen Ya Rabbal ‘alamin.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam :

أَلاَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ،
فَالْإِمَامُ الْأَعْظَمُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْؤُولٌ
عَنْ رَعِيَتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ
مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ
زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْؤُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ
رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْؤُولٌ عَنْهُ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ
رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya : Ingatlah setiap kalian adalah pengembala dan setiap kalian akan ditanya tentang pengembalaannya, seorang suami/ayah pengembala atas ahli rumahnya dan dia akan ditanya tentang pengaturannya di dalam keluarganya dan seorang isteri/ibu merupakan pengurus atas ahli rumah suaminya dan anak-anaknya dan dia akan ditanya tentang pengurusannya… (Riwayat Al-Bukhari, kitabul ahkam hal 77-90).

Saya terus memuhasabah diri.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

28 comments:

shaza said...

Salam kak Ina,

Selamat Hari Lahir Kak Ina.

Inilah artikel yang saya tunggu-tunggu...kisah-kisah kehidupan kak Ina, harapan dan hasrat yang mendalam antara suami isteri untuk membina sebuah rumah tangga yang mawaddah, sakinah dan rahmah...

Doakan saya juga kak...

mai said...

salam k ina yg dikasihi fillah,

selamat hari lahir...semoga k ina berbahagia dunia dan akhirat.

suami saya pun selalu cakap, manusia sering menjadi musuh sesuatu yg tidak diketahui.. (sbb byk sgt yg saya tak tau.. :D )

k ina, biasalah org boleh kata apa saja..dan tentunya kita lebih tahu keadaan kita..

apapun, bagi saya, k ina adalah sumber inspirasi saya :)

Ummi Hajjah said...

Salam Ina, Tidak ada yg paling membahagiakan selain dari redha Allah kpd hambaNya. Memberilah dgn seikhlasnya, insyaAllah rasa bahagia itu akan terasa menyentuh sanubari. Menjadi ibu bukan perkara mudah...beruntunglah Ina kerana memiliki suami yg memahami. Semoga bahagia dunia akhirat.

alrijalnajwa said...

Assalamualaikum

Zum Geburtstag Kak Ina!

Tak tahu kenapa...bergenang air mata membaca entry kali ini...jauh di sudut hati memang ingin menjadi sesempurna mungkin...cuma sebagai manusia biasa entah...byk sgt dalihnya...tak tahan diuji dgn berbagai ujian...terkadang kalah..terkadang menang...cuma masih mengharap dalam usia yg semakin meningkat...dapat melihat anak2 hasil didikan kita..menjadi insan sempurna..yg soleh dan solehah...amin...

ps-teringin gak nak gi jalan rumah kak ina..bila kak ina free? hehehe...tiket nak ke UK tgh murah skrg ni!!!

cHu-A said...

Assalamualaikum..

Saya antara pengunjung setia blog akak. Sebelum ni saya hanya membca tanpa meninggalkan komen. Tapi entry kali ni menyentuh perasan saya. Setiap tulisan-tulisan akak pasti memberi kesan kepada saya.. Terima kasih...

Mynie said...

Assalamualaikum,
Sanah helwah Kak Ina :)

My Life My Journey.. said...

Selamat Hari Lahir Ustazah,
Kata orang age is just a number, bertambah matang insyaAllah.

Ustazah dan Ustaz memang sekufu dan sepadan, berakhlak dan berilmu, walau saya belum lagi berkesempatan mengenali dari dekat, namun di sana sini menjadi sebutan, alhamdulillah.

zaffankhalid said...

Assalamualaikum

selamat hari jadi kak ina

terima kasih banyak-banyak tidak terhingga.

terima kasih banyak-banyak :D

NaDiaH SiDeK said...

selamat hari lahir kak ina! smg apa yg dicita2kn menjadi kenyataan

Kak Nisha said...

Sabda Rasullah s.a.w yang bermaksud,

“Satu dinar yang engkau belanjakannya pada jalan Allah dan satu dinar lagi yang engkau belanjakannya pada memerdekakan hamba sahaya dan satu dinar lagi yang engkau belanjakannya kerana bersedekah dan satu dinar lagi yang engkau belanjakannya kepada anak isterimu, yang paling utama ialah dinar yang engkau belanjakannya kepada anak isterimu itu!”

Riwayat Muslim

Selamat menyambut hari lahir Ummu Husna.

Dunia ini penuh cerita suka dan duka.

Semoga kehidupan kita tabah menghadapinya dan selamat dunia & akhirat.

Wassalam.

Kak Ummi said...

"SELAMAT MENYAMBUT HARI LAHIR BUATMU, DIK INA..."

Terimakasih Ina atas artikel ini..banyak yang tersirat antara yang tersurat."Mmmuah!Saaaaaaayang Ina!"...tu hadiah dari Kak Ummi untuk Dik Ina tersayang...

Anonymous said...

Salam...tahniah atas kebahagiaan..saya hanya dapat membaca n menghayati kebahagiaan orang lain...ntah,cinta ini tidak penah kesampaian..dari hari ke hari hanya usia yg bertambah..ape pun saya tetap redha dengan takdir-Nya..Wassalam.

cun09 said...

salam...
selamat hari lahir...
semoga dirahmati n diberkati oleh ALLAH sepanjang hidup ini...
"terasa" sangat baca n3 kali niii...walaupun belum bergelar isteri...

ummumishkah said...

Assalamu'alaikum WBT..

Kak Ina,
Sekali lagi.. Selamat Hari Lahir!
Syukurlah mendapat teman hidup yang terbaik utk kita juga anak-anak penyeri penawar kehidupan. Moga kita sama-sama berusaha dan berusaha untuk menjadi yang terbaik untuk mereka.. :)

ummuahmad said...

salam ina.akak may be agak terlewat wishing,but it's better late than never..kan..
apapun,tahniah akak ucapkan pd ina,sebab entry ina kali ni sungguh menyentuh jiwa,mengusik kalbu akak sebagai isteri dan ibu yg ada medannya sendiri..
betul ina..perjuangan seorang wanita jgn terhenti slps dia berkahwin,dan pastinya akan bertukar corak perjuangannya,apatah lagi apabila dia dikurniakan anak2.
doakan akak dan keluarga..

Ummu Husna said...

Salam,

Terima kasih kepada sahabat-sahabat semua atas doa, harapan dan pandangan yang membangkitkan motivasi pada diri saya.

Shaza,Mai,Ummi Hajjah, Hariana ( alRijalnajwa ), cHu-A, Mynie,Kak Siti ( My Life My Journey ), Zaffan, Nadiah, Kak Nisha, Kak Ummi, Anonymous, Cun09, Ummumishkah, UmmuAhmad dan sahabiah Muslimah di luar sana - Kalian semua juga adalah pejuang. Mari kita lengkapkan perjuangan Islam ini walau dalam medan yang berbeza. Semoga Allah sentiasa merahmati kita, ameen.

puteri said...

Salam saudari. Happy belated birthday. Semoga kita semua menjadi isteri2 yg solehah dan ibu-ibu mithali. Semoga Allah makbulkan doa2 kita. Amin... Teruskan perjuangan....

Miss D Hearty said...

SELAMAT HARI LAHIR, kak Husna!

dah agak ketinggalan membaca tulisan kakak dek kekangan masa..InsyaAllah, redha suami juga redha Dia kita dapat..

Dari Hati said...

salam dari selangor, m`sia...
selamat hari lahir..bersemangat sue baca artikel kali ni..jd ibu ni memang mencabar..sgt sgt menuntut kesabaran yg tinggi..namun ada masanya kita seakan tak terkejar dgn tugasan harian..

semuga Allah permudahkan setiap urusan..

Zilla said...

Salam...
Selamat Hari Lahir Kak Ina,
Semoga Kak Ina sekeluarga sentiasa di rahmati, N3 ini sangat menyentuh perasaan saya, Semoga kita semua tabah menjalani kehidupan dan mendapat keberkatan di dunai dan di akhirat....

fiezaradzi said...

Selamat hari lahir kak ina, maaf lambat.. tapi tul kan, jadi seorang ibu ni, byk tul cabaran yg tak nmapak, tpi dirasai.. bimbang juga atas didikan thadap anak2.. apa pun, mg kita semua beroleh manfaat & hidayah dr Allah. amin..

bangkinangku said...

Hepi belated besday ustazah!

Semoga hidup ustazah sekeluarga serta kita semua sentiasa dalam Rahmat dan Redha Allah hendaknya dari dunia hingga akhirat, Amin.

ikhlas dari,
kaklongnie,
Ampang, Selangor.

Che Salma said...

Salam. Hepi Belated Birthday, Kak Ina..
Akak dan Ustaz memang sama padan. Saya doakan jodoh akak berkekalan hingga ke negeri abadi. Teruskan dengan menulis di blog sebagai salah satu bidang dakwah untuk ummat. Saya pun berdoa agar dapat sama2 mencontohi peribadi akak walaupun tak pandai menulis, tapi dalam bidang lain, insyaAllah.. Doakan saya jg, ye.

Anonymous said...

salam..

Happy belated b'day ya!! tak sangka uzar romantic gak bg bunga coz not many malay men are like that..apa lg seorg Ustaz..hehe..

my xperience, bukan lepas kawin x boleh berdakwah tp setelah tiada maid..aktiviti agama terbatas.. Ahli usrah & teman2 selalu perli sbb juz concentrate kat family tp abaikan jemaah..pedihh tp hanya Allah maha mengetahui..i hv no choice..

nisa

syanashwa said...

tergerak hati nak klik blog akak hari ni.. rupanya ada 'penawar' di sini.. alhamdulillah.. banyak sungguh yang perlu kita syukuri.. nikmat Allah terlalu banyak.. :)

zue said...

semoga Allah memberkatimu kak..dan kita sumer..insyaAllah

am0i Ida said...

Kak Ina,

Happy belated birthday! Maaf ida telambat wish sebab tak dapat online hampir seminggu..

Ida juga setuju dengan entri kak Ina...biarlah Allah saja yang mengadili amal kita..jika ligat dakwah tetapi sekadar mengikut arahan dan menjaga hati2 manusia, tidak mendapat apa-apa juga di 'sana' nanti...sebagai isteri redha suami adalah lebih utama selain dari redha Allah dan Rasul...banyak alternatif lain sebagai ummahat untuk terus tegar di jalan dakwah kan kak... :)

memanglah jika sudah berkahwin masih boleh menten adalah bagus tetapi sekiranya tidak mampu, kita lakukan apa yang wajar kerana menguruskan rumahtangga adalah ibadah dan jiran2 serta masyarat juga adalah objek dakwah kita...

kalau kita tak mampu jadi pendokong, kita boleh jadi penyokong...banyak cara lain sebagai tanda sokongan kita seperti menjadikan rumah atau kenderaan sebagai saham dakwah kita...

biarkan mulut2 mereka terus berkata kerana kita sendiri tak mampu menutupnya...teruskan kebaikan dan ukhuwwah serta akhlak mudah2an mereka akan sedar satu hari nanti...wallahu'alam

heidiali said...

salam.kak ina keterbatasan masa menyebabkan terlewat membaca catatan kak ina yang ini.apa2hal pun happy belated birthday....mengalir air mata membaca catatan kak ina...ingin sekali menjadi yang terbaik kepada suami...