SAMPAIKAN WALAU SEPOTONG AYAT

Gambar :Humberstone Junior School

Tanggal 5 Julai 2009, genap setahun saya dan keluarga berada di United Kingdom. Terasa begitu cepat masa berlalu. Bagaikan baru sahaja rasanya saya sekeluarga menjejakkan kaki di Lapangan terbang Cardiff pada tanggal yang sama setahun dulu.

Lapan bulan kami di Lampeter, Wales dan empat bulan di Leicester, England. Dua tempat di dalam sebuah negara yang sama tetapi berbeza suasana dan ragam manusia di dalamnya.

Semasa di Lampeter, saya dan anak-anak merasa lebih aman dan tenang walaupun ada ketikanya suami berada di luar UK atau berprogram di luar kawasan. Kedudukannya sebagai pekan kecil yang jauh di pedalaman serta dihuni oleh ramai warga tua dan mereka yang telah bersara menjadikan Lampeter amat tenang dari hiruk pikuk dan kebisingan berbanding bandaraya dan kota besar. Kadar jenayah yang rendah termasuk juga purata kemalangan kereta yang jarang-jarang berlaku menjadikan kehidupan di Lampeter damai dan tenteram. Kesukarannya hanya pada mendapatkan bahan-bahan mentah halal seperti daging dan ayam.

Walaubagaimanapun, setelah berpindah ke Leicester, apa yang dahulunya sukar semasa di Lampeter bertukar menjadi mudah. Di Leicester, untuk mendapatkan bahan mentah hanya perlu berkereta lima minit sahaja dari rumah berbanding ketika di Lampeter yang memakan masa hampir satu jam setengah untuk ke Swansea. Namun, di sebalik kemudahan yang tersedia di sini ada sedikit ketenangan yang tergugah di sebalik kehidupan kami di Leicester terutama kepada dua anak saya, Kak Long dan Kak Ngah.

Mereka bukan sahaja kehilangan kawan-kawan Melayu di sekolah, tetapi lebih dari itu mereka perlu berdepan dengan..

GANGGUAN
“ Kenapa Kak Ngah diam je ni ?” tanya saya bila melihat Kak Ngah tidak ceria.

“ Kak Ngah tak suka sekolah kat sini. Kak Ngah lebih suka sekolah di Wales,” jawab Kak Ngah lemah.

“ Eh, kenapa pula ni. Sebelum ni Kak Ngah nampak ok je. Kenapa hari ni tiba-tiba pula kata tak suka?” soal saya lagi. Mata saya merenung wajah Kak Ngah yang agak bulat. Memang tiada riak gembira seperti selalu-selalunya dia. Sejak pulang dari sekolah jam 3.25 petang tadi dia lebih banyak mendiamkan diri.

“ Kak Ngah ceritalah pada Ummi. Kak Ngah ada masalah ke ?” Saya masih belum putus asa memujuk. Berat benar dia untuk membuka mulut. Bimbang pula saya melihatnya.

“ Ummi jangan marah ya,” jawab Kak Ngah memandang saya. Saya menganggukkan kepala.

“ Tadi masa di sekolah ada dua orang budak lelaki tahun lima dan enam ejek Kak Ngah. Mereka kata Kak Ngah macam ‘chicken’ ,” cerita Kak Ngah sambil matanya mula digenangi air jernih.

“ Bukan hari ini je. Sebelum ni pun mereka cakap Kak Ngah macam tu juga,” tambah Kak Ngah dalam nada sebak menahan tangis.

“ Kenapa sebelum ni Kak Ngah tak cerita pada Ummi dan ayah ?” tanya saya sambil menggeleng kepala.

BUKAN MENGUMPAT
“ Dulu Ummi pesan jangan cerita tentang orang. Mengumpat. Sebab tu Kak Ngah tak cerita”. Tersenyum saya mendengar jawapan tulus Kak Ngah. Saya usap kepalanya, saya tatap anak matanya.

“ Mengumpat ialah bercerita tentang keburukan orang lain, yang mana jika orang itu dengar dia akan terasa hati dan marah. Tapi cerita Kak Ngah lain. Kali ini orang lain yang buat tak baik pada Kak Ngah, jadi Kak Ngah perlu beritahu Ummi dan ayah. Luahkan perasaan sedih Kak Ngah supaya Ummi ayah dapat dengar dan beri semangat,” jelas saya panjang supaya dia faham dan tahu membezakan.

“ Selepas ini kalau mereka ejek lagi, Kak Ngah tak perlu kisah. Sabar dan buat tak dengar je. Lama-lama tentu mereka akan berhenti mengejek,” saya menambah tip. Kak Ngah mengangguk dan kembali menguntum senyum. Lapang hati saya melihatnya.

Memang adakalanya gangguan-gangguan sebegini mencarik sedikit ketenangan anak-anak untuk ke sekolah. Gangguan yang kecil pada penilaian saya dan orang dewasa tapi besar bagi anak kecil seperti mereka.

DEBAT ANAK KECIL
“ Ummi, Jesus bukan Tuhankan. Jesus tu Nabi je kan ?” soal Kak Ngah lagi. Nampaknya masih ada cerita tentang hari persekolahannya yang selama ini saya sangkakan hanya penuh dengan kecerian bermain di samping kegembiraan bersama kawan-kawan.

“ Ya, betul. Jesus tu Nabi Isa a.s Kenapa Kak Ngah tanya? “ ringkas jawapan saya.

“ Hari tu, Sara, dia kata pada Kak Ngah, Jesus is our God ,” kata Kak Ngah sambil membetulkan duduknya. Saya menunggu dia menyambung cerita.

“ Habis tu, Kak Ngah kata pada Sara, Jesus is not our God. He was a prophet. He was a human like us. Tapi Sara tak nak percaya. Dia tetap cakap Jesus tu Tuhan,” bersungguh Kak Ngah bercerita.

“ Sara tu agama apa ?” soal saya ingin tahu.

“ Dia Kristian. Dia sekelas dengan Kak Ngah,” Kak Ngah menjelaskan.

KISAH KAK LONG
“ Hope (nama kawan kak long) pun pernah soal Kak Long Ummi, “ tiba-tiba Kak Long mencelah. ‘ Banyak juga rupanya kisah menarik Kak Long dan Kak Ngah di sekolah, bisik hati kecil saya.

“ Hope kata : you must be hot because you wear long sleeve and trousers during summer” Kak Long memulakan cerita.

“ Habis, Kak Long jawab apa ?” saya bertanya. Tak sabar mahu mendengar jawapannya tentang itu. Perihal kewajipan menutup aurat kepada seorang perempuan Islam.

“ Kak Long cakap, not really. Kemudian Hope tanya lagi, kenapa awak pakai macam ni. Kak Long pun jawablah, because Muslim girls and women have to close all body except our face and hand,” jelas Kak Long sambil menggayakan percakapannya.

Alhamdulillah, saya mengucap syukur di dalam hati. Rasa gembira dan bangga terhadap apa yang telah mereka ucapkan tadi.

SAMPAIKAN WALAU SEPOTONG AYAT
“ Bagus jawapan Kak Long dan Kak Ngah,” kata saya lantas mendakap mereka erat.

“ Kak Long dan Kak Ngah dah buat apa yang Rasulullah suruh, sampaikan daripadaku walau sepotong ayat,” saya menambah bicara agar mereka ingat.

“ Memang manusia akan memusuhi apa yang tidak diketahuinya. Maksud Ummi, Sara dan Hope..mereka bukan orang Islam dan banyak yang mereka tidak tahu tentang agama Islam. Jadi jawapan Kak Long dan Kak Ngah walaupun sedikit, telah menambahkan maklumat tentang Islam dan kebenaran kepada mereka,” ulas saya lagi.

“ Kan bagus..dulu masa di Lampeter, Kak Long dan Kak Ngah tak perlu susah payah menjelaskan kepada kawan-kawan yang bukan Islam tentang ini sebab selalu bermain dan berteman dengan kawan-kawan Melayu; tapi di sini..Kak Long dan Kak Ngah dapat sampaikan tentang Islam kepada kawan-kawan bukan Islam, Alhamdulillah” kata saya sambil mengenyit mata. Ketawa kecil Kak Long dan Kak Ngah melihat celoteh saya. Saya menyambut dengan senyuman berbunga.

Mungkin ini hikmahnya. Walaupun ketenangan persekolahan mereka terusik sedikit, namun mereka sudah boleh untuk berdepan dengan cabaran kecil sebagai seorang muslim. Perjalanan mereka masih panjang. Semoga ini permulaannya. Usaha anak kecil seperti mereka dalam memanjangkan dakwah Rasulullah walau dengan sepotong ayat cuma.

Bantu mereka Ya Allah!

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

Comments

Ummu Mishkah said…
salam,
teringat masa tahun 1993 menziarahi abang kat nottingham, itulah yang anak buah tie luahkan pada tie.. diejek dan disoal tentang jesus.. rupanya perkara ini tak habis2 yer... sebab itu dari anak2 kecil dah kena didik dengan tauhid yang teguh... dan sekarang anak-anak tie sendiri yang mengadu itu ini... mungkin tidak tentang jesus tetapi tentang kawan-kawan.. entri ni membantu tie utk mebrikan jawapan untuk anak-anak.. shukran! :)
Nisha said…
Assalamualaikum,
Tak tau apa nak cakap. Satu posting yang baik. Tentu anak-anak Ummu menjadi lebih matang dan dewasa dari usia kerana merasai pengalaman yang pelbagai dari jawapan yang santai.

Wassalam.
Ummi said…
Tahniah Kak Long dan Kak Ngah!Kecik-kecik dah jadi da'ie...subhanallah!
Ely said…
Salam.

Menjadi wanita Islam yang bertudung di negara bukan Islam adalah satu 'cabaran' yang besar kerana kita menjadi duta pada agama. Bila kita bertudung maka orang automatik akan tahu kita Muslim. Kalau tak bertudung mmg orang tak kisah pun.

Bila bertudung, pelbagai persepsi dan reaksi dari orang. Ada yang tak kisah, kena buli, pelik, ejek dan tertarik.

Saya berlapang dada jika ada yang bertanya tentang Islam dan tudung. Sekurang2 nya dapat menangkis prejudis dan persepsi negatif.

Saya juga lebih banyak membaca dan berbincang supaya dapat menjawab yang terbaik.
Tapi saya rasa sedih dan marah bila jadi bahan buli orang2 yang pengecut bila kena jerit dengan bahasa kasar, hampir dilanggar, diperli dan di baling batu. (Alfatihah buat Al-Marhumah Marwa dan saudara Islam lain yang menjadi mangsa anti Islam)

Ya, bila dikenang semula, apa sangat lah pengalaman saya.

Cuma agak terkilan apabila sesetengah Muslim buat perangai lebih kurang sama dengan yang bukan Islam. Orang yang tak tahu akan kata "sama je perangai dengan kitorg yg bukan Muslim ni"

Eh maaf ye, jadi macam keluar tajuk sikit pula komen ni ye. Jadi medan luah perasaan pula.

Kesimpulannya saya rasa, walau zahirnya sukar, tapi sebenarnya ada kelebihan juga menjadi 'lain dari yang lain' di negara orang.

Di Malaysia orang tak pernah tanya kenapa bertudung, dan pasal hukum Islam. Bila merantau mmg perlu ada persiapan mental dan fizikal.

Tahniah untuk Puan dan anak2 yang menjadi duta Islam. Dan moga kita terus istiqamah di jalan Allah walaupun penuh duri.
Anonymous said…
Assalamualaikum wbt,
Semoga sedikit pandangan dan cadangan saya dapat membantu saudari di sana. Sedikit pengalaman saya utk dikongsi kerana anak2 saya pun bersekolah di UK dan juga menutup aurat.
1) Tentang ejekan.
Perlu kita beritahu guru ttg masalah ini. Pada mulanya saya pun begitu sering menasihati anak agar bersabar, tetapi bila saya mendengar cerita2 Org English sendiri, mereka akan terus berjumpa guru jika anak mereka sedih dan sebagainya. Insyallah dengan penjelasan kpd guru, mungkin akan kurang ejekan. Mungkin kpd kita, tak apa biasa lah budak2 tetapi mungkin anak kita sedang memendam rasa.

2) Kami di Lancaster ingin mencadangkan kpd ISOC utk memberi penerangan ringkas kpd guru dan budak sekolah di sekolah anak saya ttg Islam. Krn bagi saya mereka belum faham dengan Islam. If we just hope our children to explain kadang2 kesian mereka juga. At least pendedahan kpd semua boleh memperbetulkan anggapaan mereka terhadap Islam.Ttg tudung, ttg puasa bukan deraan dan bermacam lagi.

3) Involve aktiviti di sekolah, sekurangnya pergaulan kita dengan org English dapat memberi pendedahan kpd mereka ttg Islam. Sekurang-kurangnya mereka tahu Islam itu indah.

Semoga sedikit input dapat membantu puan. Semoga Allah swt mengampunkan saya. Semoga urusan kita dipermudahkan. Semoga berjaya.

regards
rina
Anonymous said…
salam kak ina,

kak ina boleh ambil dua pendirian. satu, tunggu dan lihat sehingga ada perbuatan/gangguan fizikal berlaku ataupun kak ina boleh jumpa dengan guru kelas dan maklumkan mengenai sindiran tersebut. Saya lebih cenderung kpd yg kedua.

biasanya sekolah di sini mmg tahu ini antara perkara rutin dan boleh kak ina jumpa dengan keluarga muslim yg satu sekolah dgn anak-anak kak ina. Mungkin mrk ada idea apa sepatutnya yang perlu dibuat.

saya teringat anak jiran saya yang diselak tudungnya di sekolah - primary school , dan headteacher mmg buat perjumpaan dgn anak-anak yg terlibat dgn kehadiran parents. Kes tersebut awalnya jiran saya tak tahu pun berlaku dan tak diceritakan oleh anaknya tetapi pihak sekolah yg ambil tindakan tersebut setelah ada guru yg nampak kejadian tersebut.

Satu lagi, saya cdgkan sebagai parents kena perlu attend meeting parents dengan parents dan sekolah. Mungkin kita boleh guna kesempatan sewaktu bertemu untuk suarakan concern kita.

isu hijab ni mmg di mana2. Saya ingat semester lepas saya sendiri diminta mengajar tutorial untuk pelajar2 UG di UK ni dan Allah beri kekuatan utk saya lalui semester tersebut dengan seribu macam pengalaman. Saya mmg bersyukur apabila di akhir semester, seorang student lelaki tiba2 saja dia ucapkan terima kasih dan dia kata ternyata Islam bukan agama yang ketinggalan. Walaupun saya Muslim, perempuan dan berhijab, dia rasa terbukti bila saya tampil setiap minggu dalam kuliah dan tutorial dgn segala persediaan dia dpt byk pengalaman dan diri saya di hadapannya dia rasa satu bukti bahawa Islam tidak pernah menyekat wanitanya untuk berjaya. hijab bukan sekatan utk wanita islam. saya bersyukur sungguh ketika itu dalam ramai2 ada rupanya seorang di kalangan mereka yang luahkan fikirannya sedemikian..
Nadiah Sidek said…
subhanallah...mdh2an saya pun dpt didik anak saya sebegitu...
Unknown said…
Salam...
Alhamdulillah... sayu rasa hati membaca entry Kak Ina kali ni.But
very great!!!! congratulation to Kak Long dan Kak Ngah.
Salam,

Ummumiskah : Selagi usia dunia belum sampai ke penghujungnya, selama itu juga jelingan tajam kepada umat Islam masih ada, mungkin semakin meningkat terutama selepas peristiwa 11 September di New York dan 7 Julai di UK. Musuh-musuh Islam akan terus berusaha menyebarluaskan gejala islamophobia. Justeru, usaha untuk memperteguh keimanan kita dan generasi mendatang mesti dipertingkatkan.


KAK NISHA & KAK UMMI: Ameen, mudah-mudahan kak. Saya dan suami bercerita kepada anak-anak tentang diskriminasi ke atas masyarakat Islam, di China dan kejadian menyayat hati Almarhumah Dr Marwa di Germany, supaya mereka tahu cabaran umat Islam hari ini bukan sedikit.
AL SABIL : Suatu pandangan yang bernas dan wajar direnungi bersama.

Bagi saya, bukan setakat masalah lain dari yang lain sahaja, tapi keyakinan dan keberanian untuk membawa ajaran Islam walau di mana kita berada. Adakalanya, sebagai orang Islam keraguan itu lebih banyak dari rasa yakin sedangkan masyarakat bukan Islam masih ramai yang menghormati agama dan budaya orang lain termasuk Islam. Renungan buat diri saya juga ni :)

ANAK SOLEHAH DAN ANONYMOUS : Alhamdulillah terima kasih atas pandangan dan jalan keluar yang dicadangkan. InsyaAllah saya dan suami akan cuba berusaha sebagaimana pandangan sahabat-sahabat semua sekiranya ia masih berlaku di masa depan.

Buat masa ini, selepas pengaduan anak saya tempohari, kejadian itu tidak berulang lagi. Tambahan pula di sekolah anak saya, ramai pelajar Islam lain yang berasal dari Pakistan dan Arab. Guru-guru juga ada yang Muslim dan bertudung.

Terima kasih atas perkongsian pandangan.
NADIAH & ZILLA : Alhamdulillah, cabaran masih banyak. Sama-sama kita berdoa ye.
nunwowro said…
subhanallah..sampaikan salam saya pd kak long dan kak ngah..assalamualaikum wbt.
mencari dan terus mencari cinta kepada Ilahi..
ummuahmad said…
salam.tahniah ina krn dpt tabiah anak2 sehingga mereka berani dan mampu berhadapan dgn ujian dan cabaran menjadi golongan minoriti yg 'ghuraba'..fatuubaa lil ghurabaa...
Salam,
NUNWOWRO a.k.a NUR : Terima kasih, InsyaAllah nanti Kak Ina sampaikan ye :)

UMMUAHMAD : Alhamdulillah dan terima kasih kak..perjalanan masih panjang. Doakan kami.
fuzie said…
Salam sis
Akak berada di UK tahun 85 hingga 91,belajar.Memang sebagai muslimah bertudung banyak cabarannya seperti dibaling batu dan diejek-ejek.Itu adalah pengalaman yang akak tak akan tukar ganti dengan apa-apa pun.Tidak semua orang dapat pengalaman ini.Satu perkara yang patut ada pada kita sister di UK, jangan takut bercerita tentang Islam. Orang putih sebenarnya sangat menghormati orang yang ada pegangan hidup dan komited dengan pegangannya.Ramai sahabat akak berbangsa Inggeris dan Cina Amerika yang masuk Islam beramai-ramai.Akhlak kita juga adalah dakwah.Kadang2 kita tak perlu cakap banyak.Kata orang putih,Action speaks louder than words.
Bismillahirrahmanirrahim, assalamua'laikum warahmatullah. Perihal yang Puan paparkan ini sungguh bermanfaat. Bagaimana Puan berkongsi akan keadaan dan pengalaman Puan dan anak-anak dalam menghadapi serba cabaran. Memang benar mengenai salah satu pandangan daripada ahli yang lain iaitu, waktu anak-anak masih kecil diwajibkan untuk diisi diri mereka dengan didikan agama Islam, mentauhidkan Allah Subhanahu Wataala dan berbagai-bagai lagi. Semoga Allah Subhanahu Wataala memberi kekuatan dan mempermudahkan urusan Puan berserta keluarga, dan umat Islam keseluruhannya. Wallahua'lam, wassalamua'laikum warahmatullah.

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA