22 July 2009

MENYEMAI KASIH, MENYUBUR SAYANG

Gambar hiasan dari sini


“ Sedap kuih keria ni,” kata Lek Mok. Emak yang duduk berhadapan tersenyum simpul mendengar pujiannya. Pagi itu, Lek Mok datang bertandang untuk bertanya khabar. Kedudukan rumahnya yang tidak berapa jauh membolehkannya berjalan kaki sahaja ke rumah saya.

“ Ina yang buat tu, “ jelas emak sambil mengerling ke arah saya. Tersipu-sipu saya dibuatnya. Merah muka.

“ Bagus la tu. Kalau dah biasa memasak dari kecil, senang bila dah besar nanti. Perempuan, setinggi mana pun belajar kalau tak pandai memasak, jatuh nilainya ” balas Lek Mok disambut ketawa kecil emak. Saya hanya tersengih, masih diam. Segan mahu menyampuk bual orang-orang tua.

DIDIKAN EMAK
Sememangnya sejak kecil lagi, saya sudah dilatih untuk melakukan kerja rumah yang ringan-ringan. Walaupun saya mempunyai tiga orang kakak di atas saya, namun itu bukan alasan untuk saya duduk goyang kaki tanpa membantu apa yang termampu. Seawal usia tujuh tahun, saya sudah mula membasuh sendiri kasut sekolah dan menyapu sampah keliling rumah.

Sebagai salah seorang dari tujuh anak perempuan, saya juga diasuh dan diajar cara-cara menyediakan juadah. Memasak nasi, menjerang air, menggoreng telur, memasak sayur dan lain-lain masakan yang mudah merupakan didikan awal emak kepada saya di dapur. Seingat saya, ketika berumur sepuluh tahun, saya sudah mula dipertanggungjawabkan memasak nasi buat keluarga.

“ Masak dua pot je untuk makan malam ni. Nasi tengahari tadi masih ada berbaki. Nanti, panaskan saja bersama nasi yang baru ditanak,“ arah emak. Pantas saya membuka tong kecil berisi beras dan menyukat menggunakan tin susu kecil. Selepas membersihkan beras, saya menyukat menggunakan jari banyak air yang perlu bagi memasak nasi. Semuanya telah biasa saya lakukan dan syukur hanya sesekali sahaja, nasi yang saya masak terlebih air.

“ Tak apalah ni. Lebih baik dari nasi mentah,” pujuk emak bila melihat saya sedih.


MEMASAK BERSAMA ANAK
Kini, saya telah berkeluarga. Kak Long dan Kak Ngah juga semakin dewasa. Tahun ini, usia Kak Ngah genap lapan tahun manakala Kak Long pula akan menginjak ke angka sepuluh. Usia yang sangat sesuai bagi saya memulakan kelas memasak bersama mereka.

Pada usia ini biasanya anak-anak sudah boleh memahami arahan dan dididik mengenai aspek keselamatan ketika di dapur seperti bagaimana menggunakan pisau dan bahan-bahan tajam lain juga cara menghidupkan api dapur dengan betul. Selebihnya, anak-anak yang berusia sebegini juga sudah boleh diasuh tentang kebersihan diri dan dapur ketika dan selepas proses memasak selesai. Kemahiran ini secara tidak langsung melatih mereka mengenai disiplin ketika menyediakan sajian, dan seterusnya menyemai sikap menghargai makanan yang telah disediakan itu serta menjauhi pembaziran.


PERALATAN MEMASAK
Tambahan pula, peralatan memasak yang ada pada hari ini jauh lebih mudah berbanding zaman saya kecil dahulu. Ketika itu, untuk melumat bawang, cili dan sebagainya hanya ada batu giling dan lesung batu. Kukur kelapa pula digunakan untuk mengukur atau memarut isi kelapa yang kemudiannya dicampur air dan lansung diperah bagi mendapatkan santannya.

Sementara untuk proses memasak, emak masih menggunakan dapur minyak tanah atau sesekali menggunakan dapur kayu. Setiap kali meniup udara ke bara kayu api, hitam muka dek debu tanah dan bara yang sudah mati.

Semua itu sudah tiada lagi pada zaman moden ini. Kini, sudah ada periuk nasi elektik, pengisar elektik, mesin kelapa elektrik dan lain-lain gajet yang semuanya menggunakan elektrik. Justeru, penggunaan peralatan tradisional dianggap tidak relevan lagi di zaman millenium yang serba cepat dan canggih.


TIBA GILIRAN SAYA
“ Esok, lepas bangun pagi, sarapan dan mengaji al Quran, Kak Long dan Kak Ngah tak boleh guna komputer macam biasa,” bicara saya sebelum anak-anak melelapkan mata.

“ La, kenapa pula Ummi,” luah Kak Long tidak puas hati. Berkerut-kerut dahinya mendengar kata-kata saya tadi.

“ Sebab esok, Kak Long dan Kak Ngah kena tolong Ummi masak,” balas saya hampir tergelak.

“ Ha..Kak Ngah tak tau masak,” celah Kak Ngah dengan nada bimbang budak-budak.

“ Sebab tak tau la, Ummi nak ajar, jadi tau,” jelas saya lagi geli hati melihat reaksi dua permata hati saya ini. Sudah tiba giliran Ummi, bisik saya di dalam hati.

Sebelum ini, saya hanya sekadar ‘ajak-ajak ayam’ anak-anak untuk sama-sama ke dapur. Walaupun tidak banyak yang dapat mereka bantu, sekurang-kurangnya mereka dapat melihat bagaimana saya menyediakan sesuatu masakan. Atau setidak-tidaknya, mereka dapat mengenal satu dua bahan yang sering digunakan.


AYAM GORENG UMMI
“ Kak Long tolong Ummi gaul tepung gandum dan serbuk kari ni ya. Gaul sampai sebati, “ kata saya. Kelas masakan hari itu saya mulakan dengan menu ayam goreng. Ayam yang telah siap dibersihkan, saya lumur dengan sedikit garam. Setelah itu, saya perap pula bersama lima ulas bawang putih dan dua inci halia yang telah dikisarlumat. Dari mula, Kak Long dan Kak Ngah memerhati penuh tumpu dan minat.

“ Lepas ni, nak buat apa pula Ummi? “ soal Kak Long setelah siap tepung dan serbuk kari digaul sebati.

“ Kak Long tolong pecahkan telur ni dan pukul sedikit dengan garfu, “ jawab saya sambil menghulur dua biji telur yang telah dibasuh. Pantas Kak Long mengambil mangkuk kecil dan garfu dari dalam laci.

“ Kak Ngah, tolong Ummi sediakan bekas untuk letak ‘bread crumbs’ ni,” pinta saya pada Kak Ngah yang dari tadi asyik memerhati.

Setelah cukup sejam ayam diperap, saya menunjukajar Kak Long dan Kak Ngah cara-cara menghidupkan api dapur. Sejurus minyak sudah cukup panas, saya ajar pula cara-cara menggoreng ayam kepada mereka.

“ Mula-mula ambil seketul ayam, celup terlebih dahulu ke dalam telur, kemudian golekkan ke dalam campuran tepung dan serbuk kari. Seterusnya, golek pula ke dalam bread crumbs dan barulah goreng dalam kuali,” satu persatu saya menjelaskan. Berhati-hati Kak Long dan Kak Ngah melakukan setiap arahan.


BOLEH JUAL NI!
“ Sedap la ayam goreng Ummi ni, “ puji Kak Long sambil meratah ayam goreng. Suami, Kak Ngah, Khalil dan Solehah juga tidak ketinggalan merasa air tangan pertama dua anak dara.

“ Memang la sedap, Kak Long Kak Ngah yang masak, “ saya membalas dengan pujian juga.

“Eh! Memang sedap. Rasanya boleh buka gerai jualan ni,” tambah suami menambah kembang di hati. Sambil itu, suami sibuk bertanya harga bahan-bahan yang digunakan dan mula mencongak-congak kos membuat ayam goreng yang dimakan.

Hasil kiraan suami, jika dibuat perniagaan ayam goreng di UK tanpa premis, margin keuntungan mencecah 70 % berbanding harga kos. Tidak tahu apa yang difikirkannya selepas itu, mungkin akan jadi projek akan datangnya bila balik ke Malaysia nanti. Wallahu’alam, tunggu dan lihat!


MENYEMAI KASIH, MENYUBUR SAYANG
“ Walaupun bahan-bahan yang digunakan biasa-biasa sahaja, tetapi ada perencah tambahan yang menjadikannya lebih lazat. Nak tau apa ? “ tanya saya menduga. Kak Long menggeleng kepala. Kak Ngah pula tak terkata apa, mulut penuh meratah ayam goreng kegemarannya.

“ Perencah tambahannya ialah kasih dan sayang. Itu sebabnya, Ummi selalu memasak untuk ayah, Kak Long, Kak Ngah, Khalil dan Solehah. Memasak untuk menyemai kasih, menyubur sayang. Hubungan keluarga bertambah erat. Makanan yang dimakan juga terjamin bersih dan sihat,” tambah saya mengingatkan.

“ Tapi, kenapa orang perempuan je yang kena masak,” soal Kak Long tiba-tiba. Saya tersenyum.

“ Nanti kita minta ayah buatkan cekodok ikan bilis. Dah lama tak rasa ni, “ saya menjeling suami di sisi. Masih tersenyum penuh erti. Soalan Kak Long saya jawab di dalam hati.

Walaupun zaman telah berubah, namun biarlah tugas memasak ini terus digalas oleh seorang wanita bergelar ibu dan isteri. Seorang lelaki boleh sahaja memasak sekali sekala, tetapi bagi seorang isteri, inilah salah satu medannya untuk berbakti kepada keluarga tercinta. Mungkin ini tugas tradisi yang diwarisi, namun ini juga peluang meraih pahala dan keredhaan Ilahi.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

22 comments:

ummumishkah said...

salam..
lepas baca entri ni, tak sabar2 rasa nak tunggu anakanda mishkah dan fajar mencecah usia kak long dan kak ngah. Nice idea lah sis! Tie dulu bonda jarang minta tolong anak-anak utk masak walaupun dah dewasa, besar kak long tu masih lagi manja dan kebudak-budakan apa lagi nak masuk dapur.. tetapi minat tu ada dan melihat bonda masak secara tak langsung dapat ilmu masak tu, dan sekarang bondalah tempat tie refer segala resepi.. tapi rasa rugi pulak sbb tak der ilmu masak awal2.. hrp2 anak-anak berminat.. :)

Kak Ummi said...

Aslkm.Kebetulan anak-anak dara Kak Ummipun sebaya dengan Kak Long dan hampir sebaya dengan Kak Ngah.Kak Ummi dah kena ikut jejak langkah Ina ni.Terimakasih Ina...

alrijalnajwa said...

Salam..
Betul tu kak ina..wanita..tak cukup pakej jika tak pandai masak...walau setinggi mana pun belajar...kena juga berkhidmat pada suami dan keluarga dan salah satu caranya adalah dgn memasak utk mereka

kerjaya..kerjaya juga...jangan semua diserah pada pembantu rumah...anak2 dan suami berhak merasa air tangan isteri....barulah rumah tangga berseri (macam pantun pulak!)

shaza said...

Salam kak Ina,

Beruntung akak dapat anak-anak yang taat kepada ibu bapa.

Anak-anak akak pun beruntung dapat ayah dan ummi mcm UZAR dan akak.

Doakan saya juga....

Kak, nak tanya sikit... Bread crumbs tu apa?kat Malaysia ada tak?

Syukran wa ma3assalamah

Kak Nisha said...

Assalamualaikum semua,
Alhamdulillah, anak kak yang besar semuanya lelaki tapi semuanya boleh masak sendiri. Jadi sesekali tinggalkan mereka kat rumah, dia orang dah boleh uruskan adik-adiknya. Dah boleh masak lauk yang simple-simple. Anak akak yang tua dan kedua, kalau buat nasi goreng kampung memang berapi pedasnya dan paling best kalau tetamu datang dia orang yang buat air dan hidang sekali. Alhamdulillah.

Anak dara masih kecil lagi tak tau lagi.

Terima kasih.

ummumaryam said...

Assalammu'alaikum

Alhamdulillah..bnyaknya ilmu saya dapat hasil dr usaha kak ina membangunkan blog ni..Allah sahaja yg dapat membalasnya. Membaca blog kak ina, semacam memberi kekuatan untuk melayari hari mendatang, apatah lagi menjadi ibu yg berkerjaya.Apakan daya, niat di hati memang nak jadi suri rumah sepenuh masa macam kak ina,...tapi mengenangkan adik2 masih di bangku pengajian dan ayahanda yang sudah tua memacu usia..ku teruskan jua bekerja.

Menjadi jurutera, dan dalam msa yg sama nak menguruskan rumahtangga, disamping pengajian kuliah agama yg diikuti bersama suami, menuntut bnyak kesabaran. Namun pengisian yg kak ina beri..subhanallah..memberi kekuatan utk saya." Fatimah Az Zahra itu gigih menguruskan rumahtangga dengan tiada rungutan walaupun dalam keadaan serba miskin dan kurangnya kelengkapan rumah"..

Terima kasih kak.teruskan usaha akak

cHu-Are said...

Salam kak...

Rasa seronok bila baca cerita akak ni... Saya belum kahwin.. dan saya berdoa bila tiba masanya nanti... harap-harap saya boleh praktikkan benda yang sama...

Ummu Husna said...

Salam,

UMMUMISHKAH : Alhamdulillah, bagus tu Tie..Kak Ina rasa tentu mereka minat sebab ibu mereka pun memang pandai memasak :)

KAK UMMI :Bagus tu kak..anak-anak Kak Ummi ada banyak bakat, tentu salah satunya memasak. Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi :)

Ummu Husna said...

HARIANA : He..he..betul macam pantuan dua kerat. Ye, Seharusnya kerjaya bukan penghalang untuk suami dan anak-anak merasa air tangan isteri dan ibu mereka. InsyaAllah, azam yang kuat akan dilorongkan jalan yang memudahkan oleh Allah.

SHAZA : Alhamdulillah, thumma Alhamdulillah..hanya pujian yang selayaknya Kak Ina panjatkan ke hadrat Allah. Semua ini kurniaanNya jua.

Bread Crumbs tu, serbuk roti kering. Boleh buat sendiri je di rumah. Toastkan roti, kemudian kisar sederhana halus..boleh letak perasa di dalamnya. kari, paprika dsb.

Ummu Husna said...

KAK NISHA : Wah! Bagus anak-anak bujang Kak Nisha..Alhamdulillah. Saya setuju, anak-anak lelaki juga perlu ada pengetahuandan kemahiran memasak, yang simple pun dah cukup. Ada keperluannya nanti terutama bila sudah jauh dari ibu, belajar di rantau orang dan berkahwin ( isteri dalam pantang dsb ).

UMMUMARYAM : Ye, Kak Ina memahami..kerana Kak Ina juga pernah berkerjaya suatu ketika dulu. Walaupun tak lama, tetapi memang terkejar-kejar dengan masa.

Alhamdulillah, tahniah Kak Ina ucapkan. Walaupun bekerja, rumahtangga dan pengisian diri tetap diutamakan..bagus ! Teruskan usaha :) InsyaAllah, setiap kesukaran pasti ada kemudahan Semoga Allah sentias memberkati, ameen.

Ummu Husna said...

CHU-ARE : Kak Ina juga masih belajar lagi walaupun dah ada anak empat ni :) Cabaran setiap zaman tidak sama, saat anak pertama membesar berbeza dengan adiknya yang keempat..begitu juga seterusnya. Jadi proses belajar itu sentiasa berterusan. Apa yang Kak Ina doakan, semoga Allah sentiasa melorongkan kebaikan dan hidayahNya sehingga jasad berpisah dari nyawa untuk menuju alam kedua yang kekal di sana, InsyaAllah.

cHu-Are said...

Salam...

Memang betul la.... Bagi saya proses pembelajaran tak pernah tamat... cuma mungkin medium dan cara yang berubah... Itu la pentingnya kita saling ingat mengingati sesama kita... Macam apa yang akak buat ni la :)

Anonymous said...

Kami suami isteri selalu masak bersam-sama, kalau saya di dapur mesti dia jugak ikut memasak. Jadi dua-dua menyubur cinta menyemai mesra.

puteri said...

Salam..sya ada 3anak lelaki. yg sulung 15thn, yg 2nd, 12thn tp yg 3rd 3thn yg 4th bb gal baru 11bln. Dulu sedih coz mak kata, sya rugi dpt semua boy, kalau x umur 10thn dah bole tolong wat kerja rmh. Tp, Alhamdulilah,2 anak yg besar byk tolong kemas rmh, kemas dapur, bole masak espcly spageti(fav dia), tetamu dtg pun dia bole wat air, tp yg wat sya sejuk perut, 2-2 bole jaga bb. Tak ramai anak lelaki nak tolong jaga adik, wat susu, cebok berak or mandikan bb & bole tido dgn bb(sanggup bangun mlm utk wat susu). Alhamdulillah. Anak2 kata, kalau mak dah takde,mak x risau kat adik2, mereka bole jaga sendiri(memandangkan anak2 tahu mak mereka ada penyakit). Lagi2 kami ni kira 'perantu' di bdr K.L dan mereka juga tahu kedudukan mrk sbg anak tiri.(Sya poligami,2nd wife}. Syukur Alhamdulillah...Semoga Allah sentisa melindungi mereka semua...Juga kepada anda semua...Amin...

Ummu Husna said...

Salam,

ANONYMOUS : Ye, jika ada kesempatan suami membantu di dapur, memang semakin merapatkan ikatan kasih sayang suami isteri, tidak dinafikan :) Alhamdulillah

PUTERI : Terharu saya membaca luahan/cerita Puteri. Syukur, Alhamdulilah dan tahniah.
Simpati juga pada cubaan yang sedang dihadapi Puteri..berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Semoga Allah memberikan kekuatan berterusan kepada Puteri dan keluarga, saya doakan, ameen.

Terima kasih atas perkongsian :)

kakteh said...

Memang menarik!

Mynie said...

ummu husna,
bagaimana jika saya berasa bosan dan penat membuat kerja rumah (terutama mencuci. memasak ok lagi), dan saya berdoa "Ya Allah, berikanlah aku kesabaran dan berikanlah aku ganjaran pahala atas perbuatan ini".. adakah ini dikira buat kerja 'tidak ikhlas'?

Ummu Husna said...

Salam,

KAK TEH : Alhamdulillah, terima kasih

MYNIE : Sebagai manusia biasa, iman kita memang ada pasang surutnya. Jika ini berlaku, istighfar kepada Allah dan mohon diberikan kekuatan. Soal keikhlasan, kita serahkan kepada Allah untuk menentukan, di samping usaha yang bersungguh dari kita untuk menghadirkan ikhlas dalam melakukan apa jua perkara. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan balasan baik kepada orang yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, demikian sebaliknya. Teruskan berusaha dan sentiasa memohon petunjuk dariNya.

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt,

Saya Pn Azrina dari Lancaster ingin memohon meminta email address puan dan suami krn kami ahli keluarga di Lancaster amat berminat utk menjemput Puan dan Suami utk memberi ceramah. Lebih elok jika kita berurusan di email.
Email saya K.Azrina at gmail.com

Mohon jasa baik puan yea.

Terima kasih.
Azrina

Zarina said...

salam kak....

saya bekerja dan baru saja mendirikan rumahtangga 4 bulan lalu. banyak juga penyesuaian yang perlu saya buat antaranya memasak setelah pulang dari kerja. penat juga kalau dibuat tiap2 hari..... so rasa malas dah menjalar di hati.
tapi bila baca entry akak nie... ( utk memupuk kasih sayang) rasa bersemangat balik nak memasak utk suami ( dan insyaallah keluarga di masa hadapan). me kasih kak

Ummu Husna said...

Salam,

ZARINA : Alhamdulillah, tahniah dik. Teruskan. InsyaAllah setiap yang sukar akan menjadi mudah bila telah dibiasakan ( nasihat buat diri Kak Ina juga ni :)

Anonymous said...

Salam

Setuju dgn statement ustazah 'perencah tambahan ialah kasih sayang'. Utk pengetahuan kedua ibu bapa tinggal bersama saya sekeluarga. Kami suami isteri bekerja jadi manakan ada masa untuk memasak pada hari2 bekerja. Mujur ada Mak yang tolong masak setiap hari.
Satu hari suami berbicara dengan saya "Abang cakap jgn marah ye?Tak tahu lah kenapa abang kurang selera dengan masakan mak. Abang makan pun sebab nak ambil hati.Abang rasa happy sgt kalau isteri abang yang masak" jawab saya "mungkin sebab saya masak dengan ikhlas penuh kasih sayang untuk suami saya. Pada ayah mungkin masakan mak paling sedap baginya kerana mak masak dengan penuh kasih sayang untuk suaminya"

Padahal sudah tentu masakan saya lebih kurang sama dengan mak kerana mak juga guru memasak saya..Wallahua'alam