6 July 2009

JOM MAIN PONDOK-PONDOK !

“ Ina, Nora..main apa tu?” laung emak dari tingkap dapur. Mendengar suara emak, saya menjengulkan kepala. Kembar saya, Nora sedang sibuk mengacau pucuk ubi kayu di atas tungku batu. Dua teman sepermainan kami turut bermain sama, membantu mengumpul ranting kayu.

“ Main pondok-pondok, mak.” Saya menjawab di antara dua pelepah kelapa yang dijadikan pintu dapur.

“ Tu yang berasap tu, tengah masak apa?” tanya emak melihat ada asap nipis dari bumbung pondok kami.

“ Masak pucuk ubi. Yati dan Siti pun ada sekali ni,” jelas saya lagi.

“ Main elok-elok. Pucuk ubi gajah sebelah sana tu jangan ambil. Beracun,” nasihat emak mengingatkan.

“ Yelah, mak. Orang masak olok-olok ja,” balas saya pula. Emak tersenyum lega mendengar jawapan saya.

ANAK PERKAMPUNGAN FELDA
Seperti hari-hari sebelumnya di hujung minggu, saya, adik kembar dan kawan-kawan sebaya banyak menghabiskan waktu dengan bermain. Sebagai anak kecil yang dibesarkan di perkampungan felda, di kelilingi kebun getah dan pokok sawit, ada sahaja benda-benda di sekeliling yang kami usik dan ulit. Semuanya diubahsuai sehingga menjadikan kami asyik dan ralit.

Selain bermain pondok-pondok, banyak lagi permainan yang kami reka cipta sendiri. Daun kelapa yang biasanya dijadikan sarung ketupat, kami anyam menjadi bulat. Kami juga bermain baling tin susu yang disusun bertingkat, mengorek tanah di bawah rumah untuk bermain congkak, bermain baling selipar jepun yang disusun menegak, mengutip serpihan pasu bunga yang pecah untuk dijadikan ‘buah’ dan bermacam lagi yang hanya dianggap orang sekarang sebagai sampah.

Paling tidak, kami akan bermesra dengan alam. Berbasikal keliling kampung. Meredah semak dan paya bagi mencari ‘spedo’, gelaran budak kampung untuk labah-labah. Bermain paya yang aliran airnya masih jernih. Memanjat pokok jambu batu dan jambu air yang berbuah lebat di sekitar rumah, lalu kami makan sambil bercerita hal-hal sekolah. Semuanya kami lakukan bersama dengan rasa gembira. Tiada masalah, tiada keluh kesah.


BERMAIN PENTING
Sememangnya dunia anak-anak tidak dapat dipisahkan dari aktiviti bermain. Di samping berhibur dan berseronok, banyak kelebihan lain yang mereka perolehi hanya melalui aktiviti ini.

Sebagaimana makanan yang sihat, pakaian yang bersih dan kesihatan yang terjaga rapi, bermain juga menjadi satu keperluan jiwa yang amat penting bagi anak-anak kecil. Mereka belajar tentang dunia, bergerak cergas, berfikir cerdas dan menyemai nilai-nilai sebagai insan yang bertanggungjawab dan punya hubungan dengan manusia lain, yang mana kesannya akan mereka bawa sehingga dewasa. Ringkasnya, apa yang mereka perolehi ketika usia kecil banyak mencorak dan menentukan bentuk pembelajaran dan penerusan pengalaman mereka di alam dewasa.


PERMAINAN DI UK
“ Wah! Banyaknya mainan,” jerit Kak Long dan Kak Ngah setiap kali kami berkunjung ke ‘carboot’. Mana tidaknya, banyak permainan yang mahal harganya jika di Malaysia boleh diperolehi dengan harga yang jauh lebih murah di sini. Walaupun semuanya berstatus barangan ‘second hand’ yang telah digunakan tetapi kualiti, kondisi dan fungsinya masih baik dan tidak jauh beza berbanding yang baru dibeli.

Rambang mata mereka dibuatnya. Dari anak patung yang bermacam saiz dan rupa, peralatan memasak, rumah-rumah anak patung dengan serba-serbi kelengkapan perabot di dalamnya, kereta sama ada yang biasa atau yang menggunakan alat kawalan jauh ( remote control ), hinggalah permainan video seperti PS2.

Namun ada kebimbangan yang berputik di dalam diri saya melihat corak bermain anak-anak ini, termasuk anak-anak saya sendiri lebih-lebih bila musim dingin menjengah diri.

CABARAN MUSIM DINGIN
Kebiasaannya bermula September hingga Mac, cuaca dingin dan ketika salji turun, kesejukan lebih dirasai. Adakalanya hingga beku air di dalam batang besi. Keadaan ini menghalang anak-anak untuk selalu berada di luar rumah.

“ Kak Long boringlah, Ummi. ” Tiba-tiba Kak Long muncul menegur saya yang sedang memasak di dapur. Saya mengerling sekilas ke ruang tamu di depan. Kelihatan Kak Ngah sedang asyik menatap skrin komputer. Solehah pula dari tadi merengek inginkan kawan bermesra. Khalil, sedang leka dengan kereta lumba mainannya.

“ Kak Long ajaklah Kak Ngah, Solehah dan Khalil main sama-sama. Baru seronok, “ tambah saya.

“ Macam mana nak main sama-sama Ummi. Khalil nak main kereta. Solehah nak main anak patung, Kak Ngah pula asyik main ‘game’ komputer je,”balas Kak Long jujur.

Menatap wajahnya yang sugul, saya jadi kasihan. Terimbau kenangan di waktu kecil dahulu. Tidak pernah saya merasa bosan begitu. Setiap permainan pasti ada yang meneman. Walaupun adakalanya kami berkelahi, tapi kami cepat berbaik kembali. Namun dunia anak-anak hari ini sangat berlainan. Permainan banyak, tapi jiwa mereka tetap sesak.

Dahulu, kami bermain bersama. Tidak sendiri. Dahulu kami bermain menggerakkan seluruh tubuh, dari kepala hingga kaki. Tapi anak-anak kini, bermain sendiri dan hanya banyak menggunakan jari.

JOM MAIN PONDOK-PONDOK
Ligat otak saya berfikir agar kegembiraan kembali mewarnai suasana bermain anak-anak saya. Lantas saya teringat sesuatu di kepala.

“ Ummi nak buat apa ni ?” pantas Kak Ngah bertanya melihat saya menyusun sofa. Satu saya letak menyandar ke dinding, manakala satu lagi saya letak berhadapannya. Kemudian saya hampar selimut tebal sehingga melebar menutup bahagian atas kedua-dua sofa.

“ Eh! Jadi macam rumah la..,” jerit Kak Long di sambut ketawa ceria semua.

“ Ha..Jom main pondok-pondok,” kata saya setelah siap membina ‘pondok’ kecil buat mereka.

“ Kak Long jadi emak. Kak Ngah dan Solehah jadi anak, Khalil pula jadi ayah,” cepat-cepat Kak Long mengarah menambah meriah suasana di tengah rumah.

“ Yey..jom main,” jerit semua.

Melihat itu saya tersenyum lega. Mungkin saya tidak mampu mengembalikan segala kenangan yang pernah saya alami dulu, tapi apa yang dapat saya kekalkan ialah nikmat bermain bersama. Manfaat bergembira dan berseronok umpama bermain pondok-pondok.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

13 comments:

ummumishkah said...

salam,
kak ina.. membaca entri ni membuatkan tie terkenang-kenang zaman kanak2 dulu, betul! masa kecil kita tak pernah ada istilah boring kan? alhamdulillah dapat juga anak-anak kak ina merasa main pondok2 yer, anak2 kami memang tie galakkan main pondok2 ni, even ada khemah kecil kat ruang tamu rumah kami yang mereka anggap pondok, boleh mencetus kekreatifan mereka sebenarnya, selalu gelak sorang2 dengar dialog mereka.. :)

Kak Ummi said...

Salam.

Betul sangat-sangat Ina.Alangkah jauh bezanya permainan anak-anak zaman dulu dan zaman kini.Cerita Dik Ina ni benar-benar mengembalikan Kak Ummi kepada nostalgia keseronokan bermain pondok-pondok.Ya!Sememangnya kita masih boleh memanfaatkan nostalgia lama ini buat manfaat anak-anak kita pula.Terimakasih Dik Ina...Saaaaayang Ina!

adyri said...

Salam.
bermain adalah salah satu cabang dalam pendidikan. sbg bakal guru, saya turut diajar untuk menerapkan permainan semasa mengajar supaya proses pembelajaran itu menjadi lebih menarik dan tidak membosankan. Walau bagaimanapun, ia haruslah dalam situasi yang terkawal.

ladyct said...

salam, kalau masukkan gambar pondok tu tentu lebih menarik :)

Kak Nisha said...

Assalamualaikum,
Wah! bagus umminya. Siap buatkan pondok untuk anak-anaknya. Akak terbalik pulak, marah kat anak bila buat pondok gunakan kusyen dan 'gebbar'. Bila dah main tak tau nak kemas. Tapi tak pe, kita kena beritahu dan ingatkan anak-anak supaya bila selesai main boleh kemaskan semula menjadi seperti sedia kala. Bukan marah. Ingatan untuk diri sendiri.

Wallahhu a'lam.

Zilla said...

Salam,

Kak Ina terima kasih yang tidak terhingga di atas entry ini. Saya mempunyai dua orang anak lelaki, tetapi lokasi tempat permainan mereka samada di dalam rumah atau pun di padang permainan (itupun hujung minggu). Saya macam rasa mereka tidak dapat menikmati cara bermain yang sebenar, as we have and we learned masa kecik dulu. Jadi saya selalu bawa mereka pulang ke kampung dan biarkan mereka bermain di luar rumah bersama sepupu-sepupu mereka.

.::NaJihahItuKejaYaan::. said...

salam..bestnye..sy ada pengalaman men pondok2 time kecik2 dlu..yang paling geli beli kitorang petik pokok duit2 banyk2 untuk jadikan duit, habis bunga2 dan daun pokok bunga atok kami kebas..last2 kitorang kna marah hehehe..memories are forever!

Ummu Husna said...

Salam semua,

UMMUMISHKAH : Semasa di Malaysia dah ada Kak Ina dan ustaz belikan khemah kecil untuk mereka main pondok-pondok, tapi di UK ni..tak ada lagi. Memang tercuit hati dengar dialog mereka.

KAK UMMI : Kadang-kadang pening juga nak fikir bagaimana nak pelbagaikan permainan mereka di musin sejuk..tempat mereka berkejar dan bermain terhad..tu yang adakalanya, Ina juga main nyorok-nyorok serata rumah bersama mereka..Ustaz pula beri teka teki..Alhamdulillah, seronok juga :)

Ummu Husna said...

ADYRI :Belajar sambil bermain memang telah dipraktikkan di UK ni..memang anak-anak sangat gembira ke sekolah.

LADYCT : Tak terlintas nak tangkap gambar masa tu..tak apa, InsyaAllah lain kali saya akan ambil ye..

Ummu Husna said...

KAK NISHA : Tempat bermain anak-anak di sini agak terhad di rumah je terutama bila musin sejuk.Tu yang kena baeri kelonggaran untuk mereka gunakan ruang yang ada.

Apapun, betul kata Kak Nisha tu. Anak-anak perlu dididik untuk mengemas semula barang-barang yang mainan atau apa juga yang telah digunakan. 'Be responsible'.

ZILLA : Alhamdulillah..betul..Kak Ina pun ketika di Malaysia, kalau balik kampung..anak-anak le yang paling seronok. Bukan saja dapat bermain di halaman yang luas, juga dapat naik motor bersama Atuk mereka :)

NAJIHAH : Betul..kenangan semasa kecil yang indah..

alrijalnajwa said...

Salam..
tersenyum sendiri bila saya baca entry kak ina kali ni..
teringat zaman budak2 saya dulu..tiap kali balik kg..mesti kulit bertukar macam udang hangus..mana taknya..mandi sungai hari2..dh tu..kutip pucuk paku (sbg umpan tak nak kena marah)...
kalau waktu makan pulak jarang balik rumah..terutama musim kenduri kendara..hehehe..menumpang ajer kat rumah org kenduri...
apapun memang seronok jadi budak..zaman kita dulula..zaman sekrg ni dh jauh berbeza..kalau di M'sia..ada juga anak2 saya keluar main beskal, panjat2 pokok kutip buah, nyorok2, polis sentri..etc..tapi kat sini entahlah..org2 tua kat sini pun macam tak memahami..anak2 kita main kat luar..di suruhnya masuk dalam rumah...budak pun takut nak kuar rumah sudahnya...

nunwowro said...

rindu zaman itu..itulah zaman d mana kita ada hari ni..terima kasih Allah memberikan ibu dan ayah yg mngajar km mengejar cinta kpd Ilahi.Cinta-Nya kpd kita sentiasa ada,cuma kita sahaja selalu lupa membalasnya.terima kasih..mngingatkn km bila lupa.

ummu_abdullah said...

Rindu nak balik kampung... tapi..