27 July 2009

BOLEH..DI PLANET PLUTO !



“ Maruah ialah kehormatan dan harga diri yang lahir dari budi pekerti dan tingkah laku mulia yang merangkumi cara berpakaian, pertuturan dan pergaulan,” lantang suara saya menerobos masuk ke telinga pelajar-pelajar tingkatan dua di hadapan.

“ Menjaga dan memelihara maruah diri sangat penting terutama kepada kaum perempuan, khususnya wanita Islam. Dan itu merupakan kewajipan kepada setiap individu Muslim dan Muslimah tanpa mengira siapa mereka,” saya menambah buah kata. Kelihatan beberapa orang pelajar yang mendengar mengangguk-anggukkan kepala, sementara yang lain masih senyap dan menelinga untuk mendengar penerangan selanjutnya.

Saya memandang wajah-wajah di depan saya, seorang demi seorang. Ada yang melontar senyum saat bertentang pandang, tidak kurang juga yang melarikan anak mata, menundukkan kepala sambil menguis-nguis helaian buku teks.

“ Semua itu bermula dari rasa malu. Bahkan, mulia atau hinanya akhlak seseorang itu dapat diukur dari rasa malu yang dimilikinya. Justeru itu, malu dan iman berkait rapat, umpama kembar siam yang tidak boleh dipisahkan. Orang yang beriman adalah orang yang menjadikan malu sebagai pakaian,” ulas saya lagi sambil mata terus melirik mesra setiap wajah yang dari tadi hanya diam tanpa kata. Bagaikan terkunci mulut mereka untuk mencelah sepatah dua.

DIDIKAN SIFAT MALU
Allah SWT menciptakan setiap manusia dengan fitrah yang suci bersih dari sebarang noda. Malu merupakan salah satu fitrah yang telah sedia ada, tinggal lagi ia perlu disuburkan terutama ketika usia masih kecil. Justeru, mendidik anak-anak dengan sifat malu merupakan tugas yang wajib dilaksanakan oleh ibu bapa Muslim.

Malu yang dibentuk perlu dibezakan dari sifat ‘pemalu’, iaitu sikap rendah diri atau tiada keyakinan diri, dan ini berlawanan dengan sifat malu yang dikehendaki oleh syara’. Sebaliknya, malu yang perlu dipupuk ialah malu untuk melakukan sesuatu yang bersifat membuka keaiban ( keburukan ) diri dan orang lain. Sebagai contoh, malu untuk mendedah aurat sendiri atau memandang aurat orang lain, malu untuk melakukan apa-apa perbuatan yang tidak sopan, malu untuk berkata-kata yang tidak senonoh, lucah, mencarut dan lain-lain lagi. Seterusnya, anak-anak juga mesti dididik agar malu kepada diri sendiri terutama ketika bersendirian di dalam bilik tidur dan bilik air.
Bahkan, Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang yang pemalu dan Baginda menjadikan sifat malu ini sebagai sebahagian dari cabang-cabang iman. Abu Hurairah r.a. berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Iman itu memiliki 70 atau 60 cabang. Paling utama adalah ucapan ‘Laa ilaaha illallah’, dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan di jalan. Dan sifat malu adalah cabang dari keimanan.” ( Hadis riwayat Muslim )


KEUTAMAAN SIFAT MALU
“ Ustazah, apa akan jadi bila seseorang itu tiada rasa malu ? ” tiba-tiba Farah bertanya, memecah buntu dan senyap rakan-rakan yang seakan terkejut mendengar kelantangan suaranya.

“ Alhamdulillah, ada juga yang bertanya. Saya ingatkan semua dah jadi pemalu tadi,“ seloroh saya mengundang ketawa kecil anak-anak muda di depan saya.

Saya tersenyum lega. Ada dua kebimbangan saya sebenarnya, jika penjelasan tidak bersulam tanya. Bimbang pertama, pelajar tidak faham apa yang diajar tetapi segan untuk melontar soalan. Bimbang kedua, para pelajar menyangka mereka telah faham berdasar apa yang mereka fikir dan rumuskan sendiri, sedangkan kefahaman mereka itu tersasar dari kehendak sebenar yang mahu saya sampaikan.

“ Malu merupakan penghalang manusia dari melakukan maksiat dan dosa, contohnya : malu membuka atau mendedahkan aurat, malu untuk ketawa tanpa adab, bercakap kotor dan memaki, malu untuk meninggalkan solat dan banyak lagi,” jelas saya pendek. Kelihatan dua, tiga orang pelajar yang duduk di bahagian belakang saling berbisik. Mungkin kata-kata saya tadi sedikit sebanyak mengenai ‘batang hidung’ mereka.

“ Sebaliknya, banyak perkara buruk boleh berlaku jika malu telah tiada dalam diri. Manusia yang hilang rasa malu akan berbuat semahunya tanpa mempedulikan ajaran agama, juga adanya peraturan dan undang-undang tentang kesopanan dalam masyarakat. Lantaran itu, mereka akan bertindak kurang ajar, mengikut hawa nafsu, menjadi liar dan melanggar peraturan sedia ada. Tidak hairanlah jika kita mendengar hari ini terlalu banyak masalah sosial yang mengancam masyarakat, khususnya remaja seperti gejala bohsia, lari dari rumah, bersekedudukan, seks bebas, melahirkan anak luar nikah, menagih dadah dan pelbagai lagi,” panjang lebar saya menjelaskan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW telah lebih dahulu mengingatkan melalui sabda Baginda yang bermaksud :

“ Bila kamu tidak lagi mempunyai perasaan malu, lakukanlah apa saja yang kamu inginkan,” ( Hadis Riwayat Bukhari )

ADAB BERPAKAIAN DI DALAM RUMAH
“ Justeru itu. Mulakan dengan dengan rasa malu dalam berpakaian. Jauhkan dari pakaian yang menjolok mata walaupun ketika berada di dalam rumah bersama keluarga,” tambah saya seterusnya.

“ Ustazah, dalam rumah sendiri takkan tak boleh pakai seksi,” getus satu suara di sisi kanan saya. Tersengih-sengih para pelajar lain mendengarnya.

Saya tersenyum. Sememangnya, tujuan saya adalah untuk menyuntik kesedaran kepada pelajar agar memelihara kesopanan terutama pakaian mereka; baik di sekolah apatah lagi ketika di rumah. Sudah terlalu banyak kes sumbang mahram yang berleluasa dalam masyarakat dek hilangnya perhatian dan pemantauan ibu bapa terhadap soal berpakaian anak-anak terutama anak remaja. Persoalan yang nampak remeh, tapi impak dari itu cukup perit dan pedih.

“ Walaupun di rumah, tidak bermakna kamu boleh berpakaian menjolok mata. Hanya berseluar pendek dan t-shirt sendat, kemudian duduk pula di sofa atau terbaring di depan tivi ketika menonton bersama ayah atau abang,” luah saya tegas. Merah padam muka para pelajar yang mendengar. Ramai yang tadinya mendongak memandang saya, mulai menekur kepala. ‘Malu barangkali,’ tebak saya di dalam hati.

“ Kerana itu, sebagai orang tua, ibu dan bapa harus menunjukkan contoh awal kepada anak-anak. Atas dasar ingin mendidik, ibu bapa juga perlu berpakaian sopan walaupun di dalam rumah. Tidak ketat, jarang, pendek dan membuka bahagian-bahagian yang merangsang mata dan nafsu gelora,” ujar saya lagi agar mereka memahami.

“ Jika ibu bapa sendiri tidak malu berpakaian seksi di depan anak-anak, tentulah sukar membentuk sifat malu dalam diri mereka. Akhirnya, akibat tiada contoh dan panduan yang baik dari ibu bapa, anak-anak terus leka dan hanyut dengan kemahuan nafsu semata-mata. Sebaliknya, jika dari rumah anak-anak telah dididik dengan sifat malu dalam berpakaian ini, maka sudah tentu di luar rumah anak-anak akan lebih rasa malu untuk membuka aurat kepada yang bukan mahram mereka,” saya menutup bicara.

BOLEH, DI PLANET PLUTO
“ Jadi, memang tak boleh lansung la pakai seksi ye ustazah ?” tulus pertanyaan pelajar yang duduk di belakang.

“ Boleh..siapa kata tak boleh ?” jawab saya sambil tersenyum. Kelihatan bulat anak mata mereka memandang saya. Tidak kurang juga yang mengerutkan dahi, pening kepala agaknya.

“ Boleh..ada dua tempat. Hanya di depan suami bagi yang telah berkahwin dan bagi yang belum,.. ” jawab saya, lantas diam sejenak.

“Di mana ustazah” soal mereka beramai-ramai. Bising mereka kerana membiarkan ayat tergantung.

“Di Planet Pluto,” saya berjenaka. Ada makna.

“ Ustazah…..” panjang meleret suara anak murid di depan saya. Senyum saya makin melebar.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

29 comments:

ummufatimah said...

assalamualaikum,
Memang bagus tajuk ini diutarakan kepada pelajar2 dan anak 2 di rumah. Jika kita lihat sekarang ini berbagai gejala yang tidak elok berlaku kerana sudah tidak ada sifat malu, contohnya di sekolah terutama pelajar2 perempuan tidak malu untuk memakai tshirt yang pendek dan ketat ketika menghadiri ko kurikulum walaupun ianya menyalahi peraturan sekolah. Jika tidak di tegur perkara ini akan berlarutan sehingga mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, maka tidak hairanlah jika sekarang ini kita lihat ramai pelajar2 di pusat pengajian tinggi berpakaian tidak sepatutnya ke kuliah2 untuk menimba ilmu.
Lagi sekali peranan ibu bapa paling utama dalam mendidik anak2 cara berpakaian.Betul kata Ina semuanya bermula di rumah , anak 2 akan melihat bagaimana ibu bapa berpakaian, jika kita berseluar ketat, maka anak2 akan mengikut kita, begitulah seterusnya. Kita kena berani menegur pertama kali mereka melakukannya supaya mereka tahu perkara itu tidak baik dan tidak mengulanginya lagi.
Pendek kata apapun bermula di rumah,ibu bapa adalah model utama anak2, tegurlah anak2 jika mereka melakukan kesilapan mungkin anak2 tidak tahu ataupun mereka hendak menguji kita!

Ummu Auni Afif said...

salam ummu husna
terima kasih atas perkongsian ini. kebetulan saya baru bere-mel dengan seorang sahabat yang memandang ringan hukum coupling ini. Alhamdulillah, ada artikel ummu husna untuk diketengahkan

Kak Nisha said...

Assalamualaikum semua,
Terima kasih Ummu Husna, entry cukup bagus. Tapi.. bab menjaga aib ni, samada aib diri sendiri maupun orang lain tu,'confius' sikitlah. Mana patut kita boleh cerita yang mana patut tak boleh. Tambah-tambah pulak nak cerita dalam blog ni. Yalah, akak pun berblog, konon-konon nak bagi kesedaran pada orang tapi mendedahkan aib sendiri pulak. Tapi bila cerita yang bagus-bagus, dikatakan nak menunjuk-nunjuk pulak. Lagipun ada banyak pendapat akak dengar. Jadi boleh ummu jelaskan untuk kefahaman semua?

Zilla said...

Salam Kak Ina,
N3 ini sangat menarik untuk kesedaran remaja zaman siber ni yang kadang-kadang terlampau upto- dated dalam mengikuti trent dan perkembangan berfesyen.Boleh print artikel ni untuk tatapan remaja saya? Harap di benarkan.

Anonymous said...

salam
best bartikel ni. tepat pada masanye.

*sy yg tgh keliru~

Nora said...

Assalamualaikum... ustazah.

Maafkan saya, saya ingin bertanya mengenai ilmu agama sedikit. Saya terkeliru, setelah apa yang saya baca di internet iaitu perkataan 'IZIN' hanya di benarkan apabila bercakap dengan makhluk sahaja. Seperti: "Tuan rumah mengizinkan saya masuk ke rumahnya." Tidak boleh kepada Allah. Seperti: "Saya dapat hadir dengan izin Allah."

Saya dapati dalam ceramah ada segelintir penceramah menggunakan perkataan izin Allah, di dalam buku, di tv. Adakah di bolehkan?
Adakah ia tidak menjejaskan pemahaman umum yang kebanyakkan cetek ilmu agama termasuk saya? Bila saya terbaca artikel tersebut, permahaman saya telah bertukar dari sebelumnya.

Dari artikel itu di sertakan maksud izin Allah dalam ayat al-Quran dari kitab tafsir.

1. Kitab Tafsir Marahu Labid / Tafsir Al-Munir, bagi AsSyaikh Muhammad Nawawi Ibnu Umar Al-Banteni At-Tanari, Juzu’ 1, m/s 28, mengenai firman Allah s.w.t. pada surah al-Baqarah ayat 102 :

“Tidaklah mereka-mereka itu dapat memberi mudarat kepada seseorang pun dengan menggunakan apa perkara, melainkan dengan IZIN ALLAH.”

Tafsir - Tidaklah mereka-mereka itu dapat memberi mudarat kepada seseorang pun dengan menggunakan apa perkara, melainkan dengan izin ALLAH (iaitu Allah s.w.t. yang menjadikan, Allah s.w.t. yang berkehendak dan Allah s.w.t. yang mengetahui).

2.Kitab Tafsir Al-Quran Al-‘Azim (Tafsir Ibni Katsir), bagi Imam Abul Fida’ Al-Hafiz Ibni Katsir, Juzu’ Pertama, m/s 181. Cetakan Al-Maktabah At-Tijariyah, Mustafa Ahmad Al-Bazz, Makkah Al-Mukarramah. Tanpa tahun cetakan.

Tafsir – Telah berkata Sufyan As-Sauri, (makna “melainkan dengan IZIN ALLAH” ialah) melainkan dengan Qada’ Allah (dijadikan oleh Allah).

3. Kitab Tafsir Al-Baghawi yang lebih dikenal sebagai Ma’alimut Tanzil bagi Al-Imam Abu Muhammad Al-Husaain Ibnu Mas’ud Al-Farra’ Al-Baghawi, kitab ini dicetak pada tepi Kitab Tafsirul Khazin, Juzu’ 1, m/s 91.

Tafsir - Telah berkata Sufyan As-Sauri, bermula maknanya (melainkan dengan IZIN ALLAH) ialah “melainkan dengan Qada’ Allah, dan dengan Qudrahnya(Allah jadikan), dan dengan Kehendaknya(Taqdir Allah).”

Di harap ustazah dapat memberi penerangan kepada saya. Adakah ia benar atau salah?

Terima kasih... ustazah.

Wasalam.

Ummu Husna said...

Salam,

UMMUFATIMAH : Sebenarnya, artikel ini merupakan sebahagian pengalaman saya ketika mengajar dahulu.

Sedih, geram dan berbaur perasaan bila ada pelajar yang datang berjumpa mengadu tentang arahan ibu bapa supaya berpakaian seksi sedangkan kemahuan anak tidak begitu terutama selepas mereka diberi kesedaran tentang cara berpakaian dalam Islam di dalam kelas-kelas agama.

Dan itulah juga cabaran kepada ustaz dan ustazah di sekolah-sekolah hari ini. Cabaran suasana di luar kelas yang tidak menyokong kepada apa yang telah mereka sampaikan di dalam kelas. Di sekolah, rumah dan juga di dalam masyarakat hari ini.

Semoga mereka diberi kekuatan untuk terus berjuang membawa pelajar kepada kebenaran Islam, ameen.

Ummu Husna said...

UMMU AUNI : Alhamdulillah, segala yang baik dari Nya jua. Sampaikan-sampaikanlah, semoga manfaatnya dapat kita perolehi bersama.

KAK NISHA : Islam sangat menjaga bab mengenai memelihara kehormatan dn keselamatan diri, baik kepada diri sendiri mahupun orang lain.

Sebab itu, Allah SWT melarang hamba-hambaNya yang beriman dari melakukan dosa ghibah (mengumpat ), tajassus ( mengintai-ngintai kesalahan orang lain ) dan suu'dzhan ( sangka buruk ) sebagaimana yang disebut di dalam surah Hujurat ayat 12.

Demikian juga Allah dan RasulNya melarang orang-orang Mukmin dari membuka keaiban diri sendiri sehingga boleh menjatuhkan harga dirinya dan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadapnya.

Aib yang dimaksudkan ialah sesuatu yang dilarang oleh Allah dari didedahkan kepada orang lain seperti aurat dan dosa-dosa masa lalu yang telah dilakukan, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
Semua umatku akan ditutupi segala kesalahannya kecuali orang-orang yang berbuat maksiat dengan terang-terangan. Masuk dalam kategori berbuat maksiat terang-terangan adalah bila seorang berbuat dosa di malam hari kemudian Allah telah menutupi dosanya, lalu dia berkata (kepada temannya): Hai Fulan! Tadi malam aku telah berbuat ini dan itu. Allah telah menutupi dosanya ketika di malam hari sehingga ia bermalam dalam keadaan ditutupi dosanya, kemudian di pagi hari ia sendiri menyingkap tirai penutup Allah dari dirinya. (Shahih Muslim ). Memang adakalanya kita mahu jujur, tetapi itu bukan alasan untuk kita bebas bercerita.Dan tidak bermakna juga perlu berbohong. Jadi, dalam hal ini, anjuran Rasulullah SAW patut dihayati iaitu berkata-kata yang baik atau lebih baik diam sahaja.

Adapun sekadar bercerita tentang kenakalan anak-anak, pergaduhan mereka dengan menyelitkan unsur pengajaran bagi mendidik orang lain, bagi saya tidaklah membuka aib.Cuma, sebagai seorang isteri, ada baiknya kita meminta pandangan suami terlebih dahulu, sama ada wajar atau tidak satu-satu cerita tentang anak-anak dan keluarga itu dikongsi bersama pembaca. Mungkin ada sebahagiannya yang tidak mengapa pada pandangan kita seorang isteri, tetapi 'ada apa-apa' pada suami.

Ummu Husna said...

ZILLA :Boleh je, silakan :)

ANONYMOUS :Alhamdulillah, semoga ada kebaikannya.

Ummu Husna said...

NORA : Tidak perlu pening kepala memikirkan perkara ini. Ia bukan isu besar, hanya perkara cabang berkait masalah bahasa sahaja.

Sebagaimana kita memahami bahawa manusia melihat dan Allah juga melihat, tetapi penglihatan Allah tentu tidak sama sebagaimana manusia, demikian juga dalam hal izin ini.

Izin manusia diperlukan untuk perkara-perkara berkaitan hubungan sesama manusia, sementara izin Allah tertakluk kepada kehendak, ilmu, qudrat dan iradatNya. Ia tidak banyak beza dari konsep ' InsyaAllah' dalam Islam.

Wallahu'alam.

Suluh Hati said...

Salam alaik ustazah...

Subhanallah..penyampaian yang amat menarik tentang aurat...

Sedih melihat teman sekolah yang sama-sama dididik menutup aurat semasa di sekolah agama, tetapi jauh berubah selepas keluar dari sekolah. Lebih sedih kerana di kebanyakan masa saya hanya mampu membenci kemungkaran ini di dalam hati.

Izinkan saya berkongsi artikel ustazah untuk tatapan kawan-kawan, moga-moga ada hati yang tersentuh, insyaAllah...

Ummu Husna said...

Salam,

SULUH HATI : Silakan dik..semoga beroleh manfaat bersama. Alhamdulillah :)

cHu-Are said...

Salam..

Terima kasih atas entry ni... Dulu masa belajar di poli dulu... saya sering ditanya dan diaju persoalan dr kawan2 kenapa saya terlalu menjaga aurat... walaupun di dalam bilik...

Umi saya selalu menekankan pada saya benda ni semua... sejak saya baligh.. saya tidak pernah lagi memakai seluar pendek... apatah lagi yang ketat dan sendat di rumah... saya lagi selesa pakai kain batik je...

Sampai la sekarang.... bila dah kerja pun... ada budak rumah yang masih tanya saya soalan yang sama...

Kak Ina... saya kadang2 ingin juga menegur kawan2 saya yang memang seksi di rumah... sebab kadang2 saya sendiri kurang selesa... tapi bagaimana cara saya nak nyatakan itu semua... tanpa mengguris perasaan mereka? mohon pandangan dari akak...

Wassalam..

Ummu Husna said...

Salam,

CHU-ARE : Alhamdulillah, tahniah dik. Bagus didikan ibu cHu-Are tu. Bila telah terbiasa dari kecil memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat, InsyaAllah akan mudah bila telah dewasa. Apa pun, usaha dan doa berterusan perlu agar keimanan ini terus mendaki tingkat yang lebih baik dari semasa ke semasa. Doakan Kak Ina juga ye :)

Berkenaan kawan-kawan yang berpakaian seksi di dalam rumah, buat masa ini cHu-Are boleh teruskan berdakwah melalui penampilan cHu-Are sendiri. Sementara itu, rapatkan diri dengan mereka. Ajak mereka solat, membaca al-Quran bersama-sama, makan bersama dan lain-lain lagi. Sambil itu, bolehlah selitkan tazkirah dan nasihat buat mereka. Mungkin mengambil masa :)Teruskan usaha, mudah-mudahan dengan usaha permulaan ini akan ada kesedaran dalam diri mereka untuk berubah kepada yang lebih baik nanti, InsyaAllah.

Sekadar perkongsian pandangan. Harap membantu :)

Kak Nisha said...

Assalamualaikum Ustazah,
Terima kasih atas penerangan. Untuk peringatan bagi yang dah tau. Kadang-kadang terleka juga, dan terkeluar dari batasan yang sepatutnya, dek terlalu seronok bercerita atau dek terlalu marah dan geram, semua benda di lepaskan tanpa berfikir dahulu.

Bagi yang tak tau lagi, ini adalah satu ilmu yang patut kita tahu.

Terima kasih.
Wassalam.

ApHIeD said...

Salam ustazah...

Akhirnya saya berjaya juga mencoret sedikit di dalam blog ustazah setelah mengikuti blog ustazah buat sekian lamanya. Entry kali ini cukup bagus. Ramai yang memandang remeh tentang hal aurat ini. Harap saya dapat kongsikan bersama-sama kenalan saya yang lain.
Moga ustazah dan keluarga sentiasa dalam keberkatanNya.

Wassalam.

ummumishkah said...

salam,
Memang ibubapa berperanan besar dalam soal sebegini... moga kita semua mampu menjadi ibu pintar yang dapat membentuk anak dengan tarbiah Islam yang sebenarnya..

ummumishkah said...

satu lagi setuju dgn kak ina pasal minta pendapat suami dulu untuk berceloteh dalam blog ni... memang tie sentiasa minta suami approve dulu entri tie barulah tie publishkan kerana nak bercerita pun ada hadnya.. mungkin ada yang suami kita tak gemar utk kita berkongsi seantero dunia.. :)

UnGu VioLet said...

salam kak... akak apa khabar? rinduu rasanya pada akak sekeluarga.. bile nak datang ke sini lagi yer.. apepun, moga akak bahagia di sana selalu..

slm syg selalu dr mar..

yusufjaafar said...

Kebanyakan remaja sekarang masih ada perasaan malu, tapi malu tidak bertempat.

Contohnya malu untuk berbuat baik atau jadi alim sikit. Takut kawan-kawan lari atau kawan-kawan ejek. Inilah realitinya yang pernah terjadi pada diri saya sendiri.


ps: Sungguh panjang komen-komen yg ditinggalkan. Huhu

Anonymous said...

Salam Ummu Husna,

Maaf saya ingin bertanya, mungkin lebih sesuai utk Ust Zaharuddin.
Tapi penting.

Bolehkah duit interest digunakan utk membeli vacuum dan digunakan di masjid?

Saya telah cuba mencari di blog Ust, tapi dah get lost.
Mohon maaf, krn menggunakan blog Ummu Husna.

salam
rina

Ummu Husna said...

Salam,

UMMUMISHKAH : Ye, betul. Ibu bapa berperanan besar dalam mendidik anak-anak tentang aurat lebih-lebih dalam dunia yang sangat penuh dengan fitnah dan kekeliruan.
Apa yang perlu diingat, anak-anak yang sedang membesar, sedang baligh dan menuju dewasa juga sedang mengalami perubahan naluri seks dalam diri mereka. Justeru, contoh yang baik dan perhatian ibu bapa sangat perlu dalam mengawal kehendak nafsu ini.

Kasihan bila mana Kak Ina pernah mendengar ada pemuda yang baik dan berusaha menjaga mata dan diri di luar dari ransangan nafsu, tetapi berhadapan dengan dugaan itu di dalam rumah dari ibu sendiri yang gemar berpakaian seksi. Semoga ini menjadi peringatan kepada kita semua :)

Ummu Husna said...

APHIED :Alhamdulillah, teruskan memberi komentar membina ye. Boleh..silakan. Semoga beroleh manfaatnya.

UNGU-VIOLET : Ws, Mar. Tu la belum berkesempatan nampaknya untuk ke Lampeter. Bukan tak rindu, rindu sangat pada semua di sana termasuk adik Kak Ina yang sorang ni :)InsyaAllah, ada jodoh kita jumpa juga nanti ye.

Ummu Husna said...

YUSUF : Malu begitu yang tidak betul.

Saya juga berpengalaman dengan ank murid yang agak malu untuk menjadi baik dari kawan-kawan lain dalam hal berpakaian, percakapan dan pergaulan, kerana bimbang digelar..'skema sangat' :)

ANONYMOUS : Boleh, berdasar pandangan dari mazhab Syafie yang harus menggunakan duit haram untuk membina masjid dan surau. Walaubagaimanapun, adalah lebih baik untuk wang itu didermakan sahaja kepada faqir miskin atau badan kebajikan awam untuk kegunaan umum.

am0i Ida said...

Alhamdulillah, sangat bagus kak Ina masukkan entri tentang ini..sebab ramai anak2 muda skang dah takde rasa malu dalam bab berpakaian...

Selepas ini ida cadangkan kak Ina masukkan entri tentang ikhtilat pula :)

am0i Ida said...

Eh lupa pulak..mintak izin copy paste kat facebook Ida yer kak :)

Maceh...

Ummu Husna said...

Salam, Ida. Boleh je..sila-sila :) Panjang-panjang apa yang baik di sini, semoga kita sama-sama beroleh manfaatnya, InsyaAllah.

A Peacemaker said...

salam..
ustzah,mmng la ,now ramai pompuan(x kurang juga lelaki) uyg pakai seksi2. bukan setakat kat bandar je tapi kampung2 pun...

by the way, nice entry

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt,

Saya Pn Azrina dari Lancaster ingin memohon meminta email address puan dan suami krn kami ahli keluarga di Lancaster amat berminat utk menjemput Puan dan Suami utk memberi ceramah. Lebih elok jika kita berurusan di email.
Email saya K.Azrina at gmail.com

Mohon jasa baik puan yea.

Terima kasih.
Azrina