3 July 2009

AKAN BERULANG LAGI


“ Khalil, dah ke belum?” Dari ruang tamu rumah di tingkat bawah jelas saya mendengar suara suami bertanya kepada anak bujang kami, Khalil.

“Dah..”Khalil menjawab sepatah. Sejurus, terdengar bunyi jirusan air di dalam tandas.

“ Bagus anak ayah! ” suami memuji Khalil.

Syukur suami banyak membantu sewaktu keberadaannya di rumah. Sementara saya memasak atau menyusukan Solehah, Khalil ada ayahnya yang memberi tunjuk ajar.

SUDAH LAMA
Pengalaman melatih anak menggunakan tandas ( toilet training ) sudah lama tidak kami lalui. Semenjak Kak Ngah berusia dua tahun dan dia sudah tidak lagi memakai lampin pakai buang, sejak itu juga pengalaman itu sedikit sebanyak mulai hilang. Kini Kak Ngah sudah berumur lapan tahun. Bermakna selama enam tahun kami melalui kehidupan tanpa perlu berkejar bersama anak yang sedang kuat menahan dari ter’membuang’di dalam seluar.

Setahun yang lalu, saya sebenarnya telah cuba untuk melatih Khalil. Namun kerana beberapa sebab, saya gagal menyempurnakannya. Pertama, kerana ketika itu saya dan suami sedang sibuk melakukan persiapan ke UK. Dari urusan berhenti sekolah, membeli keperluan seperti beg, sedikit pakaian, barang-barang makanan dan lain-lain sehinggalah hal-hal berkaitan kereta dan rumah yang akan ditinggalkan selama tiga tahun dan pelbagai urusan lagi yang perlu dilangsaikan sebelum hari bertolak pada 4 Julai. Tambahan pula Solehah ketika itu masih bayi, masih menyusu badan dan tidak boleh berenggang lama tanpa Umminya di sisi. Sememangnya, tekanan yang sedia ada tidak mengizinkan saya untuk meneruskan sesi latihan, lalu Khalil kembali memakai lampin pakai buang.

Kedua, Khalil sendiri nampak belum bersedia. Saya katakan begitu, kerana pada separuh hari latihan saja, dia terbuang air kecil hampir sepuluh kali. Dan setiap kali itu juga, dia akan berjalan-jalan ke sekeliling rumah tanpa menghirau seluarnya yang sudah basah. Saya bukan sekadar perlu menukar pakaiannya, bahkan lantai rumah juga hampir keseluruhannya perlu dibersihkan setiap kali Khalil ‘terlepas’. Namun, itu tidak menjadi masalah bagi saya. Apa yang merisaukan saya ialah Khalil kelihatannya masih ‘belum pandai’ memberitahu dan bahasa tubuhnya juga tidak banyak membantu saya untuk mengagak. Sememangnya, pengalaman setiap anak berbeza. Dan orang-orang tua juga banyak berkata, anak lelaki dan perempuan tidak sama. Anak lelaki memerlukan masa yang lebih lama untuk belajar. Mungkin ada benarnya.


CABARAN DI UK
“Khalil dah tiga tahun setengah rupanya ya,” kata suami seakan baru menyedari bahawa anak bujangnya telah semakin membesar kini.

“Ya. Rasanya ini masa yang sesuai untuk kita latih Khalil, bang ” saya mengesyorkan. Suami mengangguk memberikan persetujuan.

“ Kalau begitu, As akan gulung dan simpan dulu karpet di ruang tamu. Khalil banyak bermain di situ. Kalau terlepas pun nanti, hanya kena di lantai dan tak perlu bersusah payah nak membasuh karpet tebal tu. “ tambah saya lagi disambut senyuman suami.

Sememangnya di negara-negara empat musim seperti di UK, musim panas merupakan ketika yang paling sesuai untuk melatih anak menggunakan tandas. Di samping cuaca yang tidak dingin, pakaian yang perlu ditanggalkan juga sedikit, tidak berlapis-lapis. Ini sangat membantu untuk memudahkan proses anak belajar dan berlatih. Tidak ada masalah untuk berlama-lama sedikit, berbanding musim sejuk yang ada kalanya hendak ke tandas pun rasa malas. Sejuk hingga ke tulang sumsum!

Di samping itu, keadaan rumah yang hampir keseluruhannya berkarpet dengan kemudahan tandas hanya sebuah pada kebanyakan rumah sedikit sebanyak menambah cabaran. Jika tandas di tingkat atas, berkejar kami mendaki anak tangga ke tandas. Jika di bawah, anak-anak pula seram berseorangan pergi ke bilik air pada waktu malam. Bukan setakat yang kecil, yang besar juga perlu berteman. Walau apapun suasananya, latihan tetap perlu diteruskan.


CARA SAYA
“ Khalil tak boleh kencing dalam seluar. Khalil dah besarkan.” Saya memandang Khalil yang berdiri di depan tivi dengan seluar yang sudah lembap. Terlepas sedikit ke atas lantai. Baru saja sebentar tadi saya membawanya ke tandas.

“ Lepas ni Khalil bagitau Ummi ye..cakap: Ummi, Khalil nak kencing,” saya mengajar Khalil.

“ Ok. Khalil kencing,” jawab Khalil ingin mengulangi ayat saya. Tergelak kecil saya mendengarnya.

“ Alahai anak Ummi..macam ni, Khalil bagitau : Ummi, nak kencing. Nanti Ummi bawa Khalil ke tandas. Jangan dah basah seluar baru nak cakap, ok?” saya menjelaskan. Kali ini, dia mengangguk faham. Saya angkat dia ke tandas. Solehah saya tinggalkan sebentar di tingkat bawah. Setelah membersihkannya, saya cuci pula tangan Khalil menggunakan sabun dan membilas semula dengan air sehingga bersih. Khalil hanya menurut tanpa sepatah kata. Tetapi dari wajahnya, saya tahu dia mengikuti setiap pergerakan saya.

Sudah masuk seminggu sesi latihan saya kepada Khalil. Bermula dengan aturan masa setiap sejam sekali sehinggalah Khalil berjaya untuk berada dalam keadaan kering selama empat ke lima jam selepas setiap pembuangan. Akan tetapi ada ketikanya, ‘terbabas’ juga sekali sekala.



BIAR ANAK FAHAM
“ Alamak..ada bau ni. Khalil berak ye,” tanya saya. Khalil diam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Saya menghampirinya lalu terus mengangkatnya ke tandas di tingkat atas. Mujur belum ada yang ‘terlepas’ ke lantai. Solehah mengikut dari belakang. Syukur dia tidak banyak ragam melihat saya menggendong abangnya.

“ Khalil, tak boleh macam ni. Khalil tak boleh kencing dan berak dalam seluar. Kencing dan berak mesti dalam tandas. Dalam potty ni, “ jelas saya dengan suara sedikit tegas. Khalil memandang saya. Masih diam. Pandangannya beralih pula ke potty di tepi.

“ Khalil kencing dalam ni, “ akhirnya dia bersuara. Saya mengangguk mengiyakan.

“ Bolehkan ? Tak mau kencing dan berak dalam seluar. Kotor,” saya menegaskan lagi. Perkataan kotor saya kuatkan sedikit dengan iringan memek muka tanda jijik.

“ Ok, Ummi,” balas Khalil pendek. Saya memandangnya. Senyum kembali. Jelas dia faham dengan permintaan Umminya sebentar tadi.

“ Semoga esok akan ada perkembangan yang lebih baik, InsyaAllah” doa saya di dalam hati.


AKAN BERULANG LAGI
Pagi ini seperti biasa, saya mengemas tilam dan mengumpulkan pakaian kotor untuk dibasuh. Suami pula, selepas menghantar Kak Long dan Kak Ngah ke sekolah, dia terus menghadap komputer untuk meneruskan penulisan tesisnya.

“ Ummi, Khalil nak kencing,” Khalil muncul di depan saya bersama Solehah. Dia kemudiannya terus membuka sendiri seluarnya lalu terus ke bilik air. Saya lansung mengikutinya dari belakang. ‘Sudah ada perkembangan yang baik ni,’ bisik saya di dalam hati.

Selesai melepaskan hajatnya, saya menyua air. Kali ini Khalil sendiri membersihkan dirinya. Kemudian terus ke sinki dan membasuh pula tangan sebagaimana yang diajar sebelum ini. Lega sungguh saya melihat perkembangannya. Dalam diam tidak banyak patah kata yang keluar, rupa-rupanya dia faham dan belajar.

“ Umi nak encin,” tiba-tiba saya dikejutkan satu suara, agak pelat. Solehah rupanya. Senyum saya. Proses ini akan berulang lagi nampaknya.


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah.

16 comments:

puteri said...

salam.saya jg ada 1 org anak bujang baya Khalil, sedang dlm proses tinggalkan lampin pakai buang. Baru masuk hari ke-2, dia minta 'pampers' balik. Ajar lg, tetap nak 'pampers', alasan dia bg, nti t'kencing dlm seluar time tido siang. Tp, bole pula ckp nak berak.Nak cebok sendiri. Memang bersih sgt2, apa tak nye, bole abis 1 botol sabun, nak wangi..Lepas ni, nak ajar adiknya pula, muda ckit dr Solehah( baru 10bln). Bila siap mandi, pandai ckp,"dah"...Sya suka melihat mereka m'besar dpn mata. Sbg surirumah sepenuh masa, itu la kelebihannya...So far, dah ada 4org, Insyallah, nak tambah 3 lg. Anak2....itu lah yg menceriakan hari2 kita. Semoga mereka menjadi anak2 yg soleh & solehah.. Amin...

Ummu Husna said...

Salam, Puteri.

Terima kasih atas perkongsian pandangan. Memang benar, melihat anak-anak membesar di depan mata satu nikmat yang amat besar bagi saya sendiri. Walaupun ada kalanya mencabar fizikal dan minda, tapi hikmahnya kesabaran semakin meningkat,Alhamdulillah.

ummumishkah said...

salam
kak ina, a lovely topic to share, potty training adalah satu pengalaman yang indah dan berharga utk si kecil dan kita kan.. masa training tu ada jer insiden yg 'menarik', tapi bila dah berjaya rasa satu kepuasan yang paling maksimum. Alhamdulillah 2 puteri kami tu, masuk jer umur dua tahun dah free diapers, ni little muhammad tak tahu lah, lagi 4 bulan nak masuk 2 thn.. ramai yang kata lelaki lambat sikit compare to girl..

kak cahaya said...

salam...pengalaman akak anak lelaki mmg memkn masa sikit berbndg anak perempuan...jauh beza....lelaki lmbt sket...

Kak Nisha said...

Assalamualaikum semua,

Nak cerita sikit pengalaman, lebih kurang sama dengan Ummu Husna. Kebanyakan anak akak sebelum 2 tahun dah tak pakai lampin pakai buang kecuali seorang, walaupun masa akak kerja dulu.

Memang susah sikit nak ajar sebab setiap 1 jam kena suruh masuk bilik air samada nak kencing atau tidak. Lepas 1 jam sekali tukar pada 2 jam sekali hinggalah ok.

Kalau ikutkan penjaga anak akak, memang tak nak sebab susah nak jaga. Tapi akak latih mereka masa cuti. Akhirnya berjaya juga.

Akak rasa bukan faktor ia lelaki atau perempuan, tapi cara kita. Jangan marah ye kalau akak membangkang sikit.

Wassalam.

zaffankhalid said...

salam kak ina

gembira dengan perkembangan khalil..

nampak si bujang itu memang kurang cakapnya, tapi muka berfikir...hehe..

mudah dan cepat dia mengikut..alhamdulillah..

kak ina tak pergi fruit picking ke?

moga akak dipermudahkan urusan menguruskan tetangga dan mendidik anak-anak soleh dan solehah

=)

Ummu Husna said...

UMMUMISHKAH : Ye, betul. Bila anak dah mula pandai berdikari ke bilik air, ada satu perasaan gembira dan kepuasan yang tidak tergambarkan...
Begitulah perasaan ibu bapa bila melihat anak yang dikandung dan dibesarkan selama ini mendengar kata, berakhlak mulia dan mentaati Allah dan RasulNya..itu yang selalu orang-orang tua cakap: sejuk perut ibu mengandung :)

Ummu Husna said...

KAK CAHAYA : Mungkin ada benarnya, ini kerana pengalaman kebanyakan ibu yang saya kenali berpendapat serupa.

Saya juga ada membaca di link ini :
http://www.babycentre.co.uk/toddler/pottytraining/forboys/

dan sini :
http://www.childrenfirst.nhs.uk/families/az_child_health/t/toilet_training.html

Ummu Husna said...

KAK NISHA : Tak mengapa kak, berlainan pandangan sesekali dalam bab-bab begini tidak menjadi kesalahan. Pengalaman setiap orang tidak sama.

Terima kasih berkongsi cerita :)

Ummu Husna said...

ZAFFAN : Membaca catatan Zaffan pasti membuat Kak Ina tersenyum hingga ke telinga :)

Ameen, mudah-mudahan benar sebagaimana yang Zaffan sebutkan, memang Khalil agak pendiam, tetapi sesekali dia berkata Kak Ina pula yang 'ter'senyap mendengarnya.

Fruit picking buat masa belum lagi, InsyaAllah lain kali.

My Life My Journey.. said...

Ya Allah Ustazah, terima kasih byk2atas entri ini. Saya baru tersedar anak bujang sayapun baru menginjak 3 tahun setengah, good time to start toilet training. Dlm kesibukan tanpa sempadan ni, kdg2 parents (terutama sayalah) ambik mudah hal2 sebegini, tambah2 nappie murah di sini.. Dulu2 waktu tak sesibuk ini, cepat saya mulakan toilet training unt kakak & abgnya. Sekali lagi, terima kasih byk2 atas tulisan yg saya kira berupa peringatan kepada saya..

Ummu Husna said...

Salam,

MY LIFE MY JOURNEY : Kak Siti, Masih belum terlambat kak..InsyaAllah ini baru awal Julai. Masih ada masa sebelum September.

Apapun,semoga berjaya kak..saya pun masih meneruskan sesi latihan :)

Mynie said...

assalamualaikum,
sekarang saya masih belum berjaya potty train anak lelaki saya (3 tahun setengah), main reason sebab umminya kurg 'berdisiplin' nak bawa ke tandas setiap 1 jam. bila tanya nak kencing tak, dia akan jawab tak nak, dan ummi pun percaya je tch tch ;p ni cubaan kedua. cubaan pertama setahun lepas digugurkan lepas seminggu. thanks for sharing your story, kak ina. jadi panduan dan motivasi untuk saya..

alrijalnajwa said...

Salam kak ina..
Sedar tak sedar..anak2 saya dh lama gi toilet sendiri..memang perit sikit bagi ibu yg berkerjaya nak latih anak2 gi toilet sendiri ni (sbb anak2 ditinggalkan di nursery..itulah antara sbb2nya mengapa saya menggunakan khidmat pembantu rumah)..sememangnya satu kepuasan bila anak2 mula cakap nak gi toilet...tapi nak sampai ke tahap tu memangla kena byk bersabar..terutama tiap kali anak2 'terlepas'..kalau anak tu duduk setempat tak mengapa lagi...ini kalau habis dijajanya satu rumah...aduhhh...masa tu mula la si ibu pun tumbuh tanduk!
Apapun dr semua segi..kitalah yg mencorakkan anak2 kita...latihlah mereka cara bersuci dgn betul...semoga amalan2 kita diterima...

am0i Ida said...

salam kak ina

pengalaman ida potty train anak mcm2 ada..yg anak sulong lelaki nie konon2nya nak ajar cepat..setahun lebih ajar..tp biasalah tak berapa faham...merata2 dia buang hehe...dah besar sket baru pas..

yg kedua..abi dia yg ajar..masa tu 2thn umurnya..ida tak larat nak ajar sebab tengah preknen..cadangnya pas bersalin tapi abi rajin...alhamdulillah sebelum ida bersalin dia dah pandai...mmg cepat anak perempuan belajar...mgkin juga masa yg tepat, sebab dah boleh faham arahan dan apa yg kita sampaikan kat dia...

dini said...

salam,
saya nk mulakan anak saya yg berumur 2thn potty training, tp saya masih ragu2 ttg cara menyucikan najis yg 'terlepas'.sy sebenarnya mengalami penyakit was2 yg agak teruk. pernah sekali anak muntah atas tilam saya angkat tilam ala 'goodnite' ygtebal tu ke bilik air utk dicuci dgn air paip.ada juga pernah nmpk mcm bocor pampers sewaktu dia buang air, habis satu bilik saya jirus dgn air.mintak tlg beritahu mcm mana nk cuci najis yg di lantai. perlu ke dijirus menggunakan getah paip atau sekadar mop/lap tpt najis.terima kasih