YANG PERTAMA DAN KEDUA


Hari ini saya dan keluarga tidak punya apa-apa rancangan untuk keluar. Adakalanya, cuaca dingin di luar menyebabkan rasa malas untuk bersiar-siar. Suami seperti biasa membaca dan menelaah di bilik bacaan. Anak-anak pula bermain di ruang tamu sambil menonton rancangan kegemaran. Pada hari cuti sebegini, tugas saya dan suami terasa ringan kerana ada dua anak dara kami yang sudah boleh menghulur bantuan.


“ Kak Ngah, tolong Ummi tengok-tengokkan Solehah ye. Ummi nak masak,” pinta saya sambil menyua talam berisi sepiring biskut dan air teh sebagai kudapan ringan sebelum waktu makan tengahari.



“Ok,” jawab Kak Ngah ringkas. Sememangnya dalam hal menjaga adik, Kak Ngah lebih ringan tulang dan tidak banyak soal. Senang hati saya mendengar jawapannya. Saya berlalu ke dapur untuk menyudahkan kerja.



AYAT PERTAMA OK, AYAT KEDUA KO
“ Kak Ngah, tolong ambilkan Kak Long air. Kak Long haus la,” kata Kak Long yang sedari tadi asyik dengan buku cerita.



“ Ala, Kak Ngah tengah tolong Ummi jaga Solehah ni. Tak nampak ke? “ balas Kak Ngah pula sambil terus melayan Solehah.



Mendengar jawapan Kak Ngah, Kak Long bangun dengan wajah masam. Sakit hati barangkali mendengar ayat akhir sebentar tadi. Saya yang mendengar juga terasa bagai ada yang tidak kena. Saya matikan api dapur lalu ke ruang tamu untuk ‘menjernihkan yang keruh’.



“ Kak Long, Kak Ngah. Ke mari sekejap,” ujar saya terus duduk di sofa.



“ Ada apa Ummi ?” tanya Kak Long dan Kak Ngah hampir serentak.



“ Ummi nak cakap sikit. Bolehkan?” kata saya meninjau kesediaan mereka.



“ Boleh,” Kak Long menjawab. Kak Ngah pula hanya mengangguk-angguk mengiyakan.



“ Begini. Tadi Ummi dengar Kak Long minta tolong Kak Ngah, tapi Kak Ngah tak boleh tolong. Ayat pertama Kak Ngah ok, tapi ayat kedua ko,” ujar saya seraya tersenyum memandang wajah mereka.



Kak Long dan Kak Ngah saling berpandangan. Nampak berkerut wajah mereka mendengar bicara saya. Tapi entah kenapa, tiba-tiba pecah ketawa mereka.



“ La, kenapa ketawa pulak, “ giliran saya pula kehairanan melihat mereka tertawa.



“ Ummi cakap tadi tu. Kelakar. Satu ok, satu ko,” jelas Kak Long masih ketawa kecil.



“Oh..maksud Ummi begini. Jawapan pertama Kak Ngah pada Kak Long iaitu Kak Ngah kata sedang jaga Solehah, jadi tak dapat tolong Kak Long. Ayat tu ok. Tapi, jawapan Kak Ngah seterusnya :’Tak nampak ke?” itu ko.



Tak baik cakap begitu. Perkataan macam tu boleh menyebabkan orang yang mendengar sakit hati dan marah. Kalau Kak Ngah atau Kak Long tak boleh bantu cukup dengan terangkan kenapa tak boleh, tak perlu ayat kedua tadi yang menjadikan orang benci dan sakit hati,” jelas saya panjang lebar




PANDUAN DARI NABI
Dalam menjalani kehidupan sehari-hari, tanpa sedar atau tidak kita juga pernah berkata ‘ayat kedua’ yang tidak perlu. Kata-kata yang hanya menghadirkan duka di jiwa, bukan penawar yang menyembuhkan luka. Walaupun perkataan yang keluar itu berunsur nasihat dan ingatan, namun jika terselit ‘ayat kedua’ tadi ia tetap membekas di dalam hati umpama parut dari luka yang telah sembuh.



Lantaran itu di dalam hadis Rasulullah SAW terdapat banyak seruan yang menyuruh kepada berkata yang makruf dan baik sahaja. Jika tidak mampu untuk melakukan itu, diam adalah lebih baik dari berkata-kata yang menyakitkan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :



“Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda: Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam, siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghormati tetangganya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)



Di dalam hal ini, harus difahami bahawa isi yang baik tetapi jika diterjemah kepada kata-kata dan ayat yang tidak baik, bukan mendatangkan kesan positif, malah bimbang kesan negatif yang akan hadir lebih dulu.



Kerana itu, berfikir dengan zikir sebelum berkata adalah rasional paling baik agar perkataan yang terbit dari bibir berisi peringatan yang lunak dan baik, mengandungi hikmah yang sarat dengan nasihat agar pendengar yang ditujukan kata-kata itu menerima dengan senang hati dan tenang jiwanya.



Sifat orang yang beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya, tentu gerun dan takut kepada azabNya. Sebaliknya dia mengharapkan pahala dengan bersungguh-sungguh melaksanakan perintah dan meninggalkan laranganNya. Oleh kerana itu, aspek paling penting untuk melaksanakan semua itu ialah menerusi kawalan seluruh anggota badannya kerana kelak dia akan dipertanggungjawabkan ke atas perbuatan anggota tubuh badannya, sebagaimana firman Allah yang bermaksud :



“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya kelak pasti akan dimintai tanggung jawabnya”. ( Surah Al Isra’ : 36)




BEBERAPA CONTOH
Saya pernah melalui dan mendengar pengalaman orang lain yang mengalami keadaan, di mana ‘ayat kedua’ yang menyakitkan itu sering kali diucap. Tidak tahu mengapa ia perlu ada bertali seiring ayat pertama yang telah sedap didengar telinga dan telah meresap tenang ke dalam jiwa. Semuanya hilang sebaik ‘ayat kedua’ dilafazkan lalu menerjah gegendang telinga dan masuk menolak kata-kata baik yang pertama.



1) “Puan, kami dah terima surat permohonan (berhenti kerja) Puan. Sayang ye, Puan berhenti di zaman orang lain berebut-rebut mahu bekerja makan gaji,” sinis bicara seorang pekerja di Kementerian Pelajaran.

2) “ Aslina, kenapa adik awak menangis tiba-tiba ni. Gila ke ?” kata seorang guru lelaki kepada adik kembar saya ketika kami masih berusia sangat muda, lapan tahun. Baru darjah dua!

3) “ Saya nasihatkan isteri awak dapatkan rehat secukupnya. Tiap-tiap tahun beranak, awak tak sayang isteri ke ?” ujar seorang doktor perempuan kepada sepasang suami isteri yang baru menimang cahaya mata ketiga.




YANG PERTAMA DAN KEDUA
Dialog dan situasi di atas sekadar contoh yang mana mungkin juga dilakukan oleh kita ketika berkata-kata. Tiada manfaat dari kata-kata seumpama itu, sekadar melambangkan hati yang masih perlu dirawat dan dicuci dengan bisikan zikrullah dan peringatan dari Ilahi. Katakan yang pertama tanpa ada 'yang kedua' yang menyesakkan dada dan menimbulkan luka di jiwa.



Justeru, mulakan hari ini. Ingatkan diri sendiri dan keluarga yang dikasihi.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.



Jumpa lagi, InsyaAllah.




9 Jamadil Akhir 1430




3 Jun 2009

Comments

Ummu Auni said…
assalamu`alaikum ummu husna
sudah lama baca blog ni, tapi tak pernah tinggal komen. betul kata ummu husna tu, kadang2 ayat yang OK tu jadi tak OK, lepas ditambah kata2 sinidiran oleh yg suka bercakap lepas..
Ummie said…
salam alaik Kak Ina.salam perkenalan dari asue. blog kakak selalu saya ziarah, selalu juga saya setuju dengan pandangan kak ina. semoga teruskan berkarya, semoga mendapat keberkatan daripada Ilahi. salam untuk anak2 yang comel tu.
saiful islam said…
salam..
entry yg sgt bermnfaat..
rs terkena kat btg hidung sndr..
huhuhu..trima kasih ummuhusna..!
moga saya dn org lain dpt ambil manfaat dr entry kali nie..
salam 'alaik..!
Salam Ummuhusna.
Terima kasih tidak terhingga di atas perkongsian ilmu yang amat bernilai ini. Sejujurnya saya terasa seperti mendapat celik akal selepas membaca entri ini. Mendidik anak satu perkara yang amat mencabar, nampak mudah tapi hakikatnya susah. Apa yang Ummuhusna tulis benar2 benar, ia selalu berlaku, diakui tidak selesa menghadapi dan mendengarnya tetapi tidak tahu di mana silap & bagaimana hendak membetulkannya, dan alhamdulillah hari ini Ummuhusna menghuraikannya dengan bentuk yang amat mudah difahami serta melorongkan jalan untuk menyelesaikannya khususnya kepada anak2. Terima kasih tidak terhingga, moga Allah membalas segala kebaikan yang Ummuhusna tulis.
Kak Ummi said…
Aslkm.

Psttt...Dik Ina.Pagi ni Kak Ummi 'bengang' betul dengar 2 anak perempuan Kak Ummi tiba-tiba jer berkelahi lepas solat.Isyyh..elok-elok lepas solat pulak tu!Baca blog Ina pagi ni,baru jumpa puncanya.MasyaAllah memang 'ayat sambungan' tulah yang selalunya jadi punca perkelahian diaorang.Huhuhu...

Terimakasih banyak dik.Pagi ni,Ina dah jadi penyelamat Kak Ummi...
Anonymous said…
Assalamua'laikum,
Satu nasihat yang berguna.Ramai org terlepas pandang..terima kasih atas peringatan yg diberikan..smg ramai yg dpt manfaat drnya..
Assalamualiakum wrt..

Ummu husna, terima kasih. Seronok membaca entri di sini. Semoga boleh bertukar2 pandangan dan pendapat.

Siiru ala barakatillah.
Salam,

UMMU AUNI AFIF: Ws, ye selalunya kita banyak terlepas pandang dengan 'ayat kedua' ini. Semoga kita sentiasa beringat-ingat selepas ini bila berkata-kata baik kepada ibu bapa, anak-anak, suami, rakan-rakan dan sesiapa sahaja.

UMMIE :Ws, Alhamdulillah dan terima kasih atas sokongan. Pandangan dari semua amat Kak Ina alu-alukan, moga dapat menguatkan yang benar dan membetulkan yang salah. Semoga sama-sama juga beroleh manfaat.

SAIFUL ISLAM :Ye, saya pun adakalanya melakukan salah dengan 'ayat kedua' ini. Semoga Allah mengampunkan. Dan kita lebih mengambil peringatan dari hadis nabi tentang berkata yang baik, atau lebih elok diam sahaja. Tiada hati yang terasa, kita juga tidak dapat dosa menyakiti hati orang lain.
MY LIFE MY JOURNEY : Ws, kak. memang benar mendidik anak-anak di zaman ini sangat mencabar Kerana 'dunia' mereka kini tidak sama dengan kita dahulu walau rumput dan tanah tetap sama.

Saya baru sahaja menonton suatu dokumentari mengenai kes remaja di UK yang ramai melakukan 'penyiksaan ke atas diri sendiri ( self-harm )sebagai jalan keluar kepada tekanan dan masalah.Sungguh membuka mata dan fikiran. Betapa anak remaja hari ini sangat perlu didekati dari pelbagai sudut, fizikal, mental dan spiritual mereka. Dan bagi kita sebagai Muslim, pendekatan agama yang turut meraikan pandangan mereka sanagt perlu dititikberatkan dari mula anak-anak mencapai umur mumayyiz ( 8 -12 )sebelum mereka baligh dan menginjak dewasa. Cabarannya besar dan tugas yang di galas juga amat berat.

KAK UMMI : Ws, kak..he..he..anak-anak perempuan saya pun apa kurangnya kak. Tu yang kena selalu diingatkan. Mudah-mudahan mereka menjadi anak yang solehah, ameen.
ANONYMOUS : Ws, Alhamdulillah. SEmoga kita semua mengambilnya sebagai satu peringatan.

UMMU MUHAMMAD TASNEEM : Ye, sangat dialu-alukan..semoga kita semua beroleh manfaat dengan percambahan fikiran antara satu sama lain. Terima kasih.
Amoi Ida said…
This comment has been removed by the author.
Amoi Ida said…
salam kak ina..

Samalah idapun selalu guna pendekatan sebegini...tp ayat kedua yg ok dan ayat pertama ko, lagi teruk kannn...

doakan ida terus usaha jadi ibu yang berhikmah dalam mendidik anak...

teruskan penulisan kak ina yang krreatif dan topik2 yang selalu terlepas pandang ini.
Anonymous said…
Assalamu'alaikum ummu husna.
Terima kasih diatas tulisan-tulisan ummu husna yang selalu mengingatkan saya dan yang lain di sini ke arah kebaikan. Semoga ummu husna terus dikurniakan ilham, ilmu, kelapangan dan kesihatan yang baik untuk terus mencurahkan sesuatu agar dapat kita kongsi bersama disini.
Anonymous said…
salam ummuhusna..minta izin copy entri yg ini...sgt berguna..sy akn kreditkan pada ummuhusna..terima kasih
Ummi Mar'ie said…
Alhamdulillah, bersyukur datang ke sini..terima kasih kak Ina (hehehe..nama panggilan sama)..Lepas ni selain blog rujukan sy pasangan suami isteri juga Saifulislam & Ummusaif, saya tak akan lepas kesini juga...

Semua tulisan amat bernas & mudah untuk diterima...
Anonymous said…
mmm...artikel yg sgt menarik....itulah perangai manusia yg tak berpuas hati...msti ada jgk rasa nk mnyakitkan ht org lain...astaghfirullah....moga sy tidak tergolong dikalangan mereka yg berht busuk ini..Nauzubillah..
Hashbalnor said…
salam.. suke sgt dgn entry ustazah..sgt2 berilmu.. terasa diri ini begitu cetek ilmu.. semoga usaha ustazah dalam menyebarkan dakwah diberkati..
Fadhlin Sakinah said…
salam...ummu husna, ana pertama kali singgah ke blog ni..sgt tertarik dgn ayat pertama ok,kedua ko..mohon amik buah pndgn utk dijadikn article blh? jzkk
MeM nak kurus said…
saya rasa dah jumpa rakan yang seumpama dengan jiwa saya...rupanya x pupus sifat2 indah didunia ini...alhamdulillah

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )