YA DAN TIDAK : YANG SEMPURNA

Selesai sudah sembilan hari lamanya saya berkelana bersama keluarga ke bumi Eropah. Berjalan, melihat dan mentafsir kebesaran Allah pada setiap bumi yang kami jejaki. Bermula di Lapangan Terbang Bremen, kemudian ke Wolfsburg, Saarbruken dan Abstadt di Jerman kemudian lansung ke Geneva, Swiss dan seterusnya ke Paris. Alhamdulillah, banyak pengalaman baru dapat saya, suami dan anak-anak kutip sepanjang keberadaan kami di sana. Sememangnya pengalaman adalah ‘guru’ yang paling baik untuk mendidik dan memperbaiki diri ke satu tahap yang lebih baik dari semalam dan hari ini demi esok yang masih ‘misteri’ di dalam pengetahuan Ilahi.

Namun, bukan itu tujuan saya menarikan jemari kali ini. Lantaran kepenatan yang masih berbaki, juga pelbagai urusan harian rumah yang tertunggak seminggu masih belum diisi, saya sebenarnya masih belum mahu menulis. Akan tetapi kesempatan sebentar cuma ketika berkelana tempoh hari, dapat juga saya membuka ruang komentar pada tajuk terakhir saya iaitu : Kak Long pun boleh Ummi! Menemukan saya dengan satu komen yang agak lain dari sebelumnya. Agak provokatif dan saya rasa perlu melakukan pencerahan kerananya. Bukan sebab terasa, jauh sekali dari rasa benci dan marah. Sekadar penjelasan bahawa saya dan keluarga masih manusia normal dan bukan luar biasa.

Komen tersebut ditulis oleh seorang yang hanya dikenali sebagai ‘Anonymous’ berbunyi :

“ Saya ada membaca blog ni 2 3 kali. saya dapati paparan di blog ini terutama yang berkaitan anak2 puan terlalu 'perfect', sampaikan saya terfikir luar biasanya keluarga ini, sempurna sgt2..??!!! apapun, baguslah jika ia bertujuan untuk berdakwah, selamat maju jaya..”

CARA SAYA
Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk bercerita dan berkongsi rasa, terutama kepada mereka yang bergelar ‘blogger’ seperti saya. Ada yang suka berkongsi apa sahaja yang berlaku kepada mereka di dalam hidup baik gembira, sedih, ketawa dan tangisan hiba. Ada juga yang sekadar ingin bercerita tanpa tujuan dan pengajaran tertentu di penghujungnya. Dan tidak kurang juga yang mengenengahkan cerita diri dan keluarga sebagai iktibar untuk orang-orang yang membaca.

Saya juga ada cara dan prinsip yang saya pegang dalam setiap penulisan. Cara saya adalah bercerita yang muluk-muluk dan jauhkan yang buruk-buruk. Prinsip saya :

1) Setiap orang punya kelemahan dan kelebihan, maka kongsikan kelebihan dan tinggalkan kekurangan. Saya dan keluarga juga manusia yang tidak sempurna. Terlalu banyak kekurangan berbanding kelebihan yang ada. Tetapi InsyaAllah, saya amat bersyukur dengan anugerah ibu ayah yang berkorban jiwa, masa dan tenaga sehingga saya berada di tempat saya sekarang ini.

Seterusnya, saya dikurniakan Allah seorang suami yang baik dan penyayang, juga anak-anak yang menjadi penyejuk mata dan tempat saya mencurahkan kasih mesra dan cinta. Kehadiran mereka, manusia yang juga memiliki kelebihan dan kekurangan seperti saya, melengkapkan kehidupan saya di dunia ini. Kami tidak sempurna, tetapi kami saling lengkap melengkapi dengan kelebihan dan kekurangan yang ada. Tamsilannya umpama bahan-bahan mentah yang belum diadun mungkin tidak enak untuk dirasa, namun setelah melalui proses sinergi ia menghasilkan makanan yang hebat dan lazat untuk dinikmati. Justeru, bercerita yang baik-baik tentang mereka sebagai tanda penghargaan dan rasa bersyukur yang tidak berpenghujung kepadaNya. Saya memuji Allah dengan bercerita tentang nikmatNya kepada saya melalui pengalaman manis bersama keluarga. Jiwa saya rasa hidup dan bertenaga dengan cara ini. Hidup dengan rasa positif dan optimis terhadap apa jua yang berlaku kepada saya tidak kira manis, pahit, masam, kelat dan berencam rasa kehidupan ini. Ia sebagai motivasi untuk saya terus ceria dan gembira.

2) Ia sebagai wasilah untuk saya mengajar kebaikan kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :


“ Sesungguhnya Allah, para malaikat-Nya, penduduk langit dan bumi, bahkan semut di liangnya sehinggakan ikan besar (di lautan), semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” ( Hadis riwayat al-Tirmizi )

Saya bercerita kisah yang positif lagi bermanfaat tentang keluarga dengan harapan apa yang baik itu akan dapat mengingatkan kami sendiri di hari mendatang di samping mampu dicontohi oleh orang yang membaca dan mengikuti setiap hasil penulisan saya. Namun, itu bukan bermakna saya dan keluarga tiada cacat celanya. Tiada siapa yang tidak melakukan salah dan dosa, cuma saya lebih selesa bercerita tentang kebaikan yang saya lalui bersama mereka. Apa-apa yang sebalik dari itu, saya ada cara sendiri untuk mengatasinya. Saya membaca tulisan penulis-penulis lain. Saya juga melayari blog-blog lain yang banyak bercerita tentang keluarga dan cahaya mata. Saya akui mereka lebih cemerlang dan lebih baik dari saya dalam hal meneladani keluarga dan mendidik anak-anak. Blog KlinikUmmi, alQasam, IbuMithali dan SaifulIslam.com antara yang kerap saya kunjungi. Di sana saya kutip pengalaman mereka untuk saya aplikasikan pula bagi memperbaiki kekurangan yang berlaku dalam keluarga.

3) Ia pelengkap kepada suara hati yang tidak mampu saya ungkapkan dengan kata-kata. Anak-anak adalah harta yang tiada nilainya. Saya percaya ramai yang bersetuju dengan saya. Ada ketikanya mereka menjadi penawar duka dan pembangkit semangat setelah penat melalui kehidupan seharian. Gelak tawa mereka, senyum simpul mereka dan cerita ceriti yang entah apa-apa penghujungnya bagaikan gula yang memaniskan tawar air yang diminum. Namun, ada masanya mereka sangat meruntun jiwa, menghadirkan rasa marah dan geram seorang Ummi dengan sikap ambil lewa dan sering mengulangi salah yang sama. Justeru, saya banyak menulis tentang kebaikan mereka sebagai kesinambungan kepada apa jua tazkirah, peringatan dan bebelan seorang ibu yang sentiasa inginkan kebaikan kepada anaknya. Saya mahu mereka tahu, kebaikan tentang mereka yang saya tulis merupakan sikap yang perlu diteruskan. Saya ingin mereka sedar bahawa Ummi ini menulis dengan iringan doa yang tidak putus setiap kali nama mereka ditulis di dalam cerita. Menulis dengan doa, memanggil mereka juga dengan doa dan ‘marah-marah sayang’ saya juga tetap beriring doa agar kebaikan ini berterusan dan membentuk mereka sebagai warisan soleh dan solehah ummat masa depan. Bagi saya, kata-kata seorang ibu adalah doa!

YA DAN TIDAK : YANG SEMPURNA
Saya bercerita tentang diri, suami dan anak-anak bukan untuk kemasyhuran dan membangga-bangga diri. Cukuplah bagi saya Allah sebagai penilai dan penentu keikhlasan yang saya sentiasa cuba sematkan setiap kali jari jemari ini menulis sesuatu tentang mereka. Buat apa hebat pada pandangan manusia, tapi hina pada pandanganNya. Bacalah secebis kisah kehidupan saya dan keluarga dengan tujuan mencari kebaikan yang boleh dimanfaatkan bersama, bukan mengintai-ngintai kesempurnaan yang sememangnya saya sendiri tidak mengiyakannya.

Tiada keluarga yang sempurna termasuk kami kerana itulah sifat manusia biasa sama seperti anda semua. Namun Ya, saya dan keluarga merasa qana’ah (cukup) dan gembira kerana kami saling berusaha menyempurnakan dengan apa yang ada.

Kesempurnaan sememangnya bukan milik kita, ia milik Allah Yang Maha Esa.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah
8 Jamadil Akhir 1430
1 Jun 2009

Comments

Ely said…
Tiada yang sempurna dalam hidup ini kecuali Allah.

Sempurna atau tidak, bergantung dari sudut mana kita melihat.

Tiada manusia yang hidupnya sempurna. Walaupun nampak zahirnya senang dan gembira, pasti ada ujian, dan badai melanda.

Yang penting, kita sentiasa mahu memperbaiki diri, dan melihat sesuatu perkara dari sudut yang positif. InsyaAllah, jika baik yang kita cari, baiklah yang kita dapat.

Komen ‘Anonymous’ juga bagi saya sesuatu yang positif. Setidak2nya ia memberi ruang untuk Puan menjelaskan cara dan prinsip penulisan Puan. Dan juga menjadi peringatan untuk kita sentiasa muhasabah tentang apa yang kita tulis

Niat akak menulis sebagai satu medan dakwah. Saya hargai dan berterima kasih di atas usaha dan perkongsian ini. Semoga ia sentiasa memberi manfaat.

Salam ukhuwah
Ummu Mishkah said…
Saya setuju dgn entri kali ini, masing2 ada style penulisan yang tersendiri. Bila kita paparkan sesuatu yang indah bukan bermakna hidup kita terlalu perfect tetapi adalah tanda kita sangat2 bersyukur2 dengan pemberian dari Ilahi...

untuk apa dirungutkan tentang kekurangan sedangkan sesuatu yang indah yang kita ni'mati mengatasi segala kekurangan.. kita sebenarnya apa yang kita ingin, kalau positif yang kita inginkan maka inshaAllah perjalanan hidup kita akan dijalani dengan satu rasa yang cukup indah!

Saya terlambat mengikuti blog ini tetapi secara peribadi saya menggemari style penulisan saudari yang mana kalam saudari dikaitkan dengan kehidupan seharian.. itu sebenarnya yang lebih berkesan buat khalayak!

Salam ukhuwwah!
Kak Ummi said…
Subhanallah...Astaghfirullah...

Bergenang airmata akak membaca entry Ina kali ini.Sememangnya Kak Ummi amat takut sekiranya apa yang kita tulis dan nukilkan disalah tafsir oleh pembaca.Namun rupanya itulah rencam kehidupan.

Sama-sama dik kita mohon kekuatan dari Allah agar semangat kita untuk terus meninggikan syiar Islam dalam wadah ini tidak akan luntur.

Akak doakan Dik Ina akan terus tabah menghadapi segala mehnah.Teruskan perjuanganmu dik!

Seeru 'ala barakatillah...
Anonymous said…
salam k ina,

teruskan menulis.. saya suka membacanya, dan akan terus menanti tulisan akak yg seterusnya. :)

Blog saya langsung tiada roh. Sayapun tgh mencontohi blog2 seumpama blog k ina dan blog2 berilmiah yg lain :)
cassa said…
Salam Buat Kakak,

Memang dalam penulisan ada cabarannya tersendiri. Kritikan demi kritikan diterima adalah tidak dinafikan. Namun, apa yang penting adalah niat di hati dalam menyampaikan isi kandungan dan makna di sebalik intipati yang ingin diperjelaskan.

Dalam hal ini, sebarang penulisan tidak menjadi suatu kesalahan dalam mewujudkan unsur2 bandingan ataupun mengambil contoh terdekat dalam menyampaikan isi yang bernas biarpun melihat aset anak sebagai pendekatan. Malah ianya amat bertepatan supaya individu-individu tersebut mampu dijadikan 'role model' dalam kontek pengisian yang telah disampaikan.

Seharusnya, hamba Allah tersebut mencontohi ataupun bersikap lagi terbuka dengan mengambil ianya sebagai kayu pengukur dalam membentuk atau mendidik anak2 khususnya agar menjadi lebih baik dari yang lain. Dengan mengambil perasaan iri hati atau pun cemburu untuk lebih proaktif dalam mendidik kelompok sendiri ke arah kebaikan bukan keburukan!. Dengan adanya sikap sebegini, pasti kita akan mencapai sebuah keluarga harmoni di sisi Islam.

Saya berpendapat agar usaha kakak dapat diteruskan kerana saya percaya terdapat ramai yang selesa dengan pengisian kakak. Even saya sendiri benar2 terkesan. Apalah yang nak dirisaukan jika menulis dengan penuh keikhlasan dan diiringi ketaqwaan berbanding komen yang penuh dengan kedengkian..Sungguh besar jurang perbezaannya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Allah juga Maha Pengampun.. Teruskanlah kakak..
Sekian.

Peminat Setia Zaharuddin.net
cassablanca
About Me said…
Salam,

Saya pun amat menyukai cara penulisan akak. Saya berharap akak akan terus menulis dan berkongsi dengan kami semua. Saya sentiasa menunggu-nunggu tulisan terbaru akak...
ibuaiman said…
salam ukhuwah....
diharapkan k'ina bersabar dgn komen dari anonymous itu...semoga ianya tidak membantutkan semangat untuk terus menulis.

saya suka penulisan k'ina dan saya dapat rasakan keikhlasan dalam setiap penulisan terutama mengenai hubungan suami-isteri dan anak-anak. blog k'ina telah menunjuk jalan dan menginsafkan saya setiap kali setelah habis membacanya.

Diharapkan k'ina akan terus menulis. Saya memang selalu tertunggu-tunggu entry terbaru dari kak ina...

Peminat setia.
alQasam said…
Salam

Kak Ina yang dikasihi fillah.

Sesungguh memang ramai yang suka membaca dan menebak apa yang tidak perlu. Mencari sesuatu yang diluar fikiran. Membuat zhon yang kurang baik. Jesteru, jika kita ada zhon yang kurang baik dengan merasakan orang tersebut punya penyakit hati i.e dengan menulis yang baik-baik sahaja bukankah juga kita tidak terlepas dari penyakit hati? Semoga Allah memelihara kita semuanya.

Blog bukan medan segala-galanya. Apa yang pembaca boleh dan harus lakukan adalah ambil yang baik dan buang yang tidak baik. Perbaiki dan ambil istifadah apa yang dirasakan perlu dan tinggalkan yang tidak perlu. Memerhati bagaimana ahwal si penulis menjaga ahwal dan bab ikhlas bukanlah kita perlu menentukannya. Menyibuk-nyibukkan diri ditakuti merosakkan hati kita pula sebagai pembaca. Method menulis terpulang kepada si penulis. Kita sebagai pembaca hendaklah berusaha apa yang paling dekat yakni hati kita, dengans selalu mencucinya dengan ikhlas dan jiwa yang bersih.

Kak Husna yang dikasihi dihati,

Saya juga sangat takut andai tersalah anggap jesteru selalu dan dari dulu orang tidak kenal saya, cuma selepas kahwin baru orang tahu siapa saya. Apa nama sebenar saya. Semuanya bertitik tolak hendak pelihara banyak perkara.

Ada pelbagai orang yang membaca, easily jump into conclusion, being negative, easily seing the wrong in a person. Namun semua itu rencam. Semua itu untuk diduga Allah, hati kita. Ikhlas kita. Kekuatan kita.

Saya juga baru diuji, dan sungguh terkesan sekali.

Semoga Kak Ina sekeluarga akan dipelihara Allah selalu.

Pepatah arab ada menyebut:-

"Kata-kata yang ikhlas pasti akan sampai pada hati"


Pesan suami saya:-

أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ يَعْلَمُ اللَّهُ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَعِظْهُمْ وَقُل لَّهُمْ فِي أَنفُسِهِمْ قَوْلًا بَلِيغًا

Maksudnya:-

"Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka."-Annisa:63-

Allahua'lam.
Kak noli said…
Dik lina..

Dalam mencari cinta Illahi..kita juga melalui tahap pembersihan diri..yang mana kita perlu akur bahawa kesempurnaan diri adalah dlm kekurangannya,kekuasaan sebenarnya dlm kelemahan yg ada ,kekayaan sejati adalah dlm kefakiran diri..dgn erti kata lain Hati yg sempurna apabila dpt mengenal kelemahannya,diri yg kuat yg mengaku lemah dihadapan Allah,jiwa yg kaya yg mengharap kpd Allah..
peringatan buat akak juga dlm mengdambakan cinta Illahi
Nisha said…
Assalamua'laikum ustz,
Selalulah bacalah buku "La Tahzan"(sudah tentu ada dalam simpanankan?) semoga ia menjadi penyejuk diri dan juga kata-kata di bawah ini,
Dari Abdullah bin Ja’far pula berkata:
“Tebarkan kebaikan itu di mana-mana saja laksana langit menghujani bumi. Andaikata kebaikanmu itu sampai kepada orang-orang yang mulia hatinya, maka sudah sememangnya mereka itu ahli yang patut menerima kebaikan-kebaikan itu. Tetapi kiranya kebaikanmu itu sampai ke tangan orang-orang yang rendah budinya, maka cukuplah anda menjadi ahli yang suka menebarkan kebaikan itu”.

wassalam
SA said…
Selamat Berjuang K.Ina...
..anasir-anasir dugaan sebegini yang kita kena bersama teliti, bahawa masih ramai di luar sana wanita yang mencari bahagia. Kita semua sama-sama tidak sempurna. Namun, sekurang-kurangnya kita tahu penulis tersebut membaca tulisan K.Ina, InsyaAllah, sekurang-kurangnya sedikit ilmu sudah diperolehi. Teruskan menulis yaa :)
ummihumaira said…
assalamualaikum .. kak ina,

air mata berjujuran seiring dengan jawapan kak ina kepada komen "anonymous" . namun seri juga berasa dengan komen tersebut penulisan kak ina lebih indah dan lebih mantop.

seri ingin berkongsi satu dengan kak ina.. ini selalu seri tanamkan di dalam hati dan dibenak fikiran bila menerima ujian dari allah..

"allah tidak akan menguji seseorang itu dengan sesuatu yang tidak mampu di hadapinya "

"Allah lebih mengetahui sesuatu yang terbaik dalam hidup kita"

boleh diibaratkan.. kita mohon ros dari Allah, tapi Allah kurniakan kaktus yang berduri.. kita marahkan allah tidak memakbulkan permintaan kita namun sebenarnya andai sanggup memelihara kaktus berduri itu akan mengeluarkan bunga dan buah yang lazat. .. allah hu a'lam.

seri berterima kasih dan seri dah baca blog kak long tuh.. memang sesuai dengan komen umminya.. kita tak boleh menilai sesuatu dari luaran..

ALLAH MAHA MENGETAHUI.. SEGALANYA.
Anonymous said…
assalamualaikum kak ina..
saban hari saya buka blog kak ina dgn harapan untuk dapat sesuatu dari hasil tulisan kak ina. saya tertunggu -tunggu post baru dari kak ina. sungguh saya rindu kak ina. huhu.. terima kasih kerana kembali.
ummuhakim said…
Berkongsi kegembiraan bukanlah bertujuan menunjuk-nunjuk.bagi saya perkongsian yang puan sampaikan amat menarik,membuatkan saya terfikir betapa potensi setiap anak boleh dikembangkan di awal usia mereka. Mereka hanya perlukan, bimbingan,galakan dan pujian..
Teruskan dan moga jadi ikutan pada ibu2 di luar sana.
Salam, semua.

Alhamdulillah, syukur pada Nya atas segala nikmat yang tidak terhitungkan.

Terima kasih atas pandangan, nasihat, renungan dan motivasi yang diberi. Saya sangat menghargainya.

Sebenarnya, saya bukan sedih apatah lagi berkecil hati dengan komen dari saudari/ra 'Anonymous' tersebut. Tidak sama sekali. Mungkin intonasi artikel ini yang ditulis dalam keadaan tergesa-gesa menjadikannya seakan seperti merajuk atau berkecil hati. Semoga Allah melindungi saya sentiasa dari perasaan kecil hati sebegini.

Tujuan saya hanyalah menjelaskan. InsyaAllah, saya menerima dengan hati terbuka sebagai satu muhasabah.

Suami sering mengingatkan, menulis biarlah kerana Allah bukan kerana manusia.

Sekali lagi, terima kasih semua. Jazakumullah khairal jaza'.
Ummu Abrisam said…
Salam kak,

Saya adalah peminat blog UZAR..dan kini peminat blog akak..

Terima kasih atas penulisan nya... Sungguh !!! Byk saya belajar !! Byk penulisan akak, berkaitan dengan kehidupan seorang isteri..ibu (yg masih peringkat awal)..

TQ. Salam Ukhwah..
Anonymous said…
salam...

Kak ina caiyok! saya suka tulisan akak...tulis lagi banyak2 yer..hehe
saiful islam said…
salam..mabruk buat ummuhusna..
xmudah melatah..
teruskn menulis..
saya suka sgt ngn blog ummhusna..
rinidu jer masa ummhusna g bercuti..
xsabar2 nak tggu entry seterusnya...
huhuhu...
semoga menjadi asbab hidyah utk sekalian ummat..
salam 'alaik...!
Anonymous said…
Assalamu'alaikum ummu husna.
Teruskan usaha ummu husna. Yang penting Allah Maha Mengetahui niat kita. Apalah yang ada pada pandangan manusia berbanding pandangan Allah kepada kita. Saya memang sentiasa mengikuti tulisan-tulisan ummu husna dan ustaz zaharuddin. Teruskan niat baik ummu husna untuk terus berdakwah di sini.
ummuahmad said…
salam.akak suka baca blog ina.rasa macam baca novel sasterawan ja..dgn cakap ajuk cakap pindahnya..memang lain blog ina dgn blog orang lain. betul ina cakap, lain orang, lain style penulisannya. bagi akak, komen anonymous tu bagus untuk kita jadikan peringatan..bukan maksud akak nak mengiyakan apa yg dia kata, atau nak menafikan keikhlasan ina dlm menulis, tapi bila ada orang komen gitu, at least kita sentiasa berawas daripada terjebak dalam ruang yg dia sebut. anyway, akak memang suka sangat baca blog ina. teruskan perjuangan. biasa..perjuangan memang ada mehnah dan tribulasi..sunnatullah..kan..

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA