KAK LONG, KAK NGAH JADI 'TOM YAM' !

Nampak bertenaga sekali Mr Foster, selaku Headteacher di Humberstone Junior School mengendalikan perhimpunan pagi itu. Saya dan suami berkesempatan untuk hadir bagi meraikan sesi penerimaan anugerah untuk para pelajar yang terpilih. Salah seorang daripada mereka ialah anak kedua kami, Najwa Safiyyah.

Mr. Foster membaca satu persatu nama-nama pelajar yang menerima anugerah. Mereka yang telah bersedia berbaris di hadapan pelajar-pelajar lain kelihatan tersenyum-senyum bangga dan gembira. Tangan menerima anugerah berupa sijil penghargaan, sambil mulut menutur terima kasih sebagai balasan. Ada yang menerima anugerah atas perhatian dan sikap ambil berat yang ditunjukkan terhadap rakan-rakan. Ada juga yang memperolehinya kerana kesungguhan menyiapkan tugasan, dan ada juga yang menerimanya kerana cemerlang dalam sukan. Pendek kata setiap pelajar diberikan kredit atas kelebihan masing-masing dan kerana perbezaan itu mereka menerima pujian serta penghargaan.
Bila tiba pada nama anak kedua kami, Mr. Foster membaca :
“ TEACHER’S AWARD :
Presented to Najwa ( 3 FS ) for Working really hard on her handwriting”
Alhamdulillah, saya melafaz syukur pada Ilahi. Sampai juga masanya untuk Kak Ngah pula menerima anugerah.
Selesai sesi anugerah, para pelajar menyanyikan pula lagu rasmi sekolah. Bersemangat sekali mereka menyanyikannya bersama guru-guru. Saya, suami dan sebahagian lain ibu bapa yang hadir memandang ceria. Antara lirik lagu sekolahnya :
We are the children of Humberstone,
We take a pride in the things we do,
Learning together and having fun,
Who’s got a good day? EVERYONE!

BELAJAR DAN BERGEMBIRA BERSAMA
“ Kak Long, Kak Ngah. Tolong Ummi kemas mainan dan buku-buku ni, “ pinta saya. Kak Ngah yang sedang melukis terus datang mendengar permintaan saya.
“ Kak Long, jom la tolong Ummi, “ Kata Kak Ngah melihat Kak Long masih belum berganjak dari sofa. Sedang asyik membaca buku cerita kegemarannya, Felicity’s Wishes : Designer Drama karya Emma Thomson.
“ Ala, kejap la. Kak Long nak habiskan baca buku ni. Semalam Kak Long dah tolong Ummi. Hari ni Kak Ngah la pulak. Takkan asyik Kak Long aja,” jawab Kak Long pula. Masih belum beralih muka dari buku yang dibaca. Masam muka Kak Ngah mendengar jawapan darinya. Saya yang sedang menyusun buku-buku bacaan anak-anak pada rak tersenyum sambil mengeleng-geleng kepala.
Fikiran saya terlintas sesuatu. Pengamatan saya ketika sesi anugerah dan perhimpunan pagi Khamis lalu boleh saya terapkan untuk menyelesaikan ketidapuasan hati anak-anak tadi.
Saya tertarik dengan mesej yang disampaikan di dalam lagu sekolah anak-anak. Di samping menonjolkan kelebihan yang ada pada setiap pelajar yang kemudiannya diterjemahkan melalui anugerah. Para pelajar juga diseru untuk memainkan peranan melalui kelebihan yang mereka ada. Mesejnya, ‘Berikan apa yang anda ada, anda ada banyak untuk dikongsi bersama. Berikan ia dengan sepenuh jiwa, berikan ia dengan sepenuh minda’.
Pelajar-pelajar disaran belajar dan bergembira bersama. Yang mahir menggunakan komputer, boleh mengajar kawan-kawan lain yang masih belum menguasai dengan baik. Demikian juga, pada pelajar yang memiliki tulisan kemas dan cantik, boleh memberi tunjuk ajar kepada kawan-kawan lain bagaimana mahu menulis dengan kemas dan rapi. Natijahnya, setiap individu pelajar akan melalui hari persekolahan yang baik. Begitu juga pastinya terhadap guru-guru yang mendidik.

NASI PUTIH KOSONG
Saya terus ke dapur. Saya ambil talam empat segi. Saya isi dengan nasi putih kosong. Setelah itu, saya hampar pula lapik plastik lalu terus memanggil anak-anak makan bersama.
Selesai membaca doa dan bismillah, saya mula makan nasi. Solehah ikut makan melihat saya mula menjamah makanan. Tetapi Kak Long, Kak Ngah dan Khalil saling berpandangan.
“ Ummi, takkan makan nasi je. Mana lauknya?” Kak Long bertanya dengan wajah hairan.
“ Khalil nak ayam goreng,” Khalil mula bersuara nyaring. Saya terus diam dan menjamah nasi putih tanpa lauk dan ayam goreng.
“Ummi, mana sedap makan nasi je,” Kata Kak Ngah pula. Mendengar itu, saya mengangkat kepala. ‘Sampai masanya,’ bisik saya.

MAINKAN PERANAN
“ Sedap je makan nasi putih tanpa lauk ni,” kata saya menidakkan tanggapan Kak Ngah.
“ Tapi kalau makan dengan lauk, sayur dan ayam goreng lagi sedap hingga menjilat jari, “ kata saya lagi. Kak Long dan Kak Ngah masih berkerut dahi.
“ Kak Long tak faham, “ celah Kak Long sementara Kak Ngah terus diam.
“ Begini. Nasi putih, lauk sayur dan ayam goreng ni umpama satu keluarga. Boleh makan nasi putih saja, tapi kalau lengkap dengan lauk dan sayurnya, kelazatannya lebih terasa. Kita makan pun lebih berselera. Betul tak?,” soal saya lagi disambut anggukan kedua-dua mereka.
“ Ha..begitu juga dalam keluarga. Kalau semua orang dalam keluarga mainkan peranan, tentu kerja jadi ringan. Contohnya Kak Long pandai dan rajin membaca, boleh tolong ajarkan Khalil dan Kak Ngah belajar, Kak Ngah pula rajin jaga Solehah dan Khalil, boleh tolong Ummi jaga adik-adik. Sementara Ummi memasak, dan ayah pula sedang buat kerja, menulis dan tolong Ummi mengemas juga, Kak Long dan Kak Ngah pun boleh tambah ceria dengan bantu kemas juga. Dengan cara tu, semua kerja jadi mudah dan boleh siap dengan lebih cepat, barulah kita ada banyak masa untuk bermain dan bercerita bersama. Akhirnya, semua orang akan rasa seronok dan gembira.”

KAK LONG, KAK NGAH JADI TOM YAM !
“ Oo..Ummi dan ayah macam nasi putih. Kak Long, Kak Ngah, Khalil dan Solehah pula macam lauk, sayur dan ayam goreng la ye Ummi,” Kak Long membuat kesimpulan.
“ Ye, pandai pun,” puji saya.
“ Ummi masak lauk apa hari ni ? “ tiba-tiba Kak Ngah mencelah mengingatkan. Pantas saya ke dapur semula mencedok lauk tom yam dan mencapai beberapa ketul ayam goreng di dalam pinggan.
“ Wah! Bestnya. Kak Long, Kak Ngah jadi tomyam, Khalil dan Solehah jadi ayam goreng. Jom makan!” Kak Long berjenaka.
Aduhai..anak-anak. Senyum sendiri saya..masih menggeleng kepala.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah.
25 Jamadilakhir 1430
19 Jun 2009

Comments

Amoi Ida said…
Salam kak Ina

Jazakillah kak Ina..memang sangat berhikmah dalam mendidik anak...

Dalam kelembutan mendidik anak, Kak Ina juga mengajak mereka berfikir secara kritis :)
Ummu Mishkah said…
salam..

what a lovely topic to share.. memang di UK mementingkan pendidikan sambil bermain dan bergembira untuk kanak2 kan.. kat msia ni lain sikit, kat tadika pun dah ada subjek berat.. sebab tu kami sedikit selektif memilih playschool/kindergarten, bgmnpun ibubapa blh ambik peranan utk mewujudkan suasana belajar sambil bergembira ni kan... :)
zue said…
lawak juga...tp sgt2 bermanfaat
alhamdulillah...terima kasih kak
Mohd Saifulazim , Egypt said…
salam
wah , pandai akak menggunakan aplikasi persekitaran untuk mendidik ,saya amat tertarik dengan cara akak menggunakan kretiviti akak untuk membuka minda anak2 akak... semoga ianya bermunafaat untuk semua
ummi mar'ie said…
Alhamdulillah,

Kali pertama datang hari ini..sangat2 teruja pendekatan kak ina (nama panggilan kita sama)..amat bersahaja & mengaplikasikan setiap yg ada..Saya mahu jadikan ini sbg inspirasi..rasanya masih belum terlambat kan? anak2 masih berumur lingkungan 1 - 4 tahun...

jazakallah...
Salam, kak Ina, semoga pendekatan kak ina menjadi panduan muslimah dalam mendidik anak-anak =). Semoga terus ceria.
bintu dzar said…
salam..

syukran k.ina.. entry kali ini sgt berguna utk sy dan semua..
pendekatan yg sgt baik dan bermanfaat..semoga Allah merahmati k.ina sekeluarga.. amiin
Kak Ummi said…
Assalamualaikum Dik Ina.

Anak-anak ni,time buat kesimpulan akhir tulah yang paling best!He,he..

Setiap manusia pasti ada kelebihannya.Alangkah seronoknya kalau sistem persekolahan di Malaysia ini turut menerapkan dan menonjolkan kelebihan masing-masing pelajar atau penuntut.Barulah murid yang nampaknya sentiasa terkebelakang dlm akademik terasa bahawa dirinya turut bernilai kerana di sana ada kelebihan padanya yang tidak ada pada orang lain.

Aduh Ina.Kak Ummi rasa hari ni jugak Kak Ummi nak naik jadi Menteri Pendidikan!Bilalah sistem kita nak berubah!Huwaa...
Ummuafiq Hashim said…
saya setuju sangat dengan pandangan k.ummi. susah hati tengok sistem pendidikan di Malaysia ni.Depa yang dok kat atas2 tu senang hati je ek..
Salam semua,

IDA : Alhamdulillah, sebenarnya Kak Ina juga belajar dari mereka.
Kesempatan mereka belajar di UK ini, sememangnya mendedahkan mereka kepada berfikir kritis dan kreatif. Jadi, bila mereka bertanya itu ini, kita sebagai ibu pun kena befikir sama..

UMMUMISHKAH : Betul tu. Bila terkenang zaman persekolahan pra-sekolah saya dahulu yang masih banyak bermain di samping belajar ABC dan mengira 123, rasa kasihan dengan anak-anak yang terpaksa menatap kertas ujian/periksa seawal usia 5 dan 6 tahun.

Tapi, kerana itu kehendak semasa dalam sistem pendidikan Malaysia, hendak tak hendak setiap tadika/pra-sekolah perlu juga menerapkan ujian ini pada usia semuda itu. Bagaimana agaknya ye empat tahun akan datang ? Sekarang ni pun, English dah jadi subjek wajib lulus...subjek agama pula makin dipinggir. Memang perlu ada perubahan.

ZUE : Semoga mereka terus menjadi qurratu a'yun dalam hidup ayah ibu mereka, ameen. Alhamdulillah, tq Zue.
MOHD SAIFULAZIM : Tak la berapa pandai, baru belajar juga :)..Alhamdulillah, semoga sama-sama beroleh manfaatnya.

UMMU MAR'IE : InsyaAllah masih belum terlambat. Teruskan usaha dan sama-sama kita berkongsi pengalaman ye.
MIN & BINTU DZAR: Alhamdulillah, terima kasih atas doa, ameen.

KAK UMMI : Saya setuju dengan pandangan Kak Ummi tu..saya juga masih berdoa dan berharap.

UMMUAFIQ : Mereka tidak memandang ke bawah, sebab tu tak dapat tahu masalah sebenarnya.

Pengalaman mengajar di sekolah suatu ketika dulu, saya perlu mengajar subjek SIVIK. Akibat kewujudan subjek ini, moral dan agama kurang masa..tak ada apa pun dalam sivik, semuanya boleh digabung jalin dalam subjek agama dan moral sahaja.
Kak Nisha said…
Assalamualaikum
Wah! satu presentation yang bagus untuk minda anak-anak. Ni... boleh tiru ni untuk anak akak.
Anonymous said…
salam ina.akak hairan camna ina boleh dapat idea begitu begini untuk tarbiah anak2..agaknya itu kelebihan yg Allah kurniakan kat ina..alhamdulillah kerana ina rajin berkongsi cara bijak menguruskan anak2,boleh dijadikan pedoman dan panduan orang lain,termasuk akak.ok ina,akak harap ina tak akan jemu untuk menulis dan berkongsi idea dgn semua.good luck!
Alhamdulillah, seronok baca entri ini. kadang2 bila stress dgn anak2 di rumah, paparan di blog ini seakan menyejukkan hati, dan menenangkan jiwa saya. Terima kasih tak terhingga! Jika berkunjung ke London, singgahlah di Luton .. Kita pernah bertemu sekali tahun lepas, waktu warga Lampeter buat korban, kami singgah sebentar di rumah ustaz & ustazah sebelum terus ke rumah Ust Tarmizi untuk bermalam..

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA