5 June 2009

JANGAN TERKUNCI HATI

“ Ya Allah! Kak Ngah. Kenapa tutup pintu..Ummi tak ambil kunci lagi,” kata saya kaget.



“ Macam mana kita nak masuk rumah nanti ?” tambah saya lagi dengan nada marah. Tajam mata saya memandang Kak Ngah. Geram sungguh saya dengan tindakannya itu.



“ Biasanya kan Ummi yang tutup pintu. Kenapa hari ni Kak Ngah nak tutup pula. Cuba buka..boleh ?” marah saya lagi. Berair anak mata Kak Ngah mendengar kata-kata saya. Kak Long dan Khalil yang melihat juga terdiam tanpa kata.



Pagi ini, saya sendiri akan menghantar Kak Long dan Kak Ngah ke sekolah. Memandangkan jarak antara rumah dan sekolah tidak berapa jauh, ditambah keberanian yang belum ada pada diri saya untuk memandu Honda Shuttle, saya lebih senang menapak ke sekolah bersama anak-anak. Selepas Solehah dan Khalil saya pakaikan kasut, saya keluar untuk meletakkan Solehah di dalam kereta sorong. Namun, sebaik saya menoleh untuk mengambil kunci pada pintu, Kak Ngah telah menarik tombol. Tutup. Terkunci !



Ini merupakan kejadian pertama. Kebiasaannya sebelum keluar saya akan pastikan kunci telah saya ambil. Bimbang, memandangkan pintu hadapan rumah ini mempunyai fungsi ‘double-lock’. Jika ditutup dari luar, ia akan terkunci sendiri.



Buntu fikiran saya. Saya tidak punya kunci pendua. Kebetulan suami juga tiada, seawal 6.30 pagi telah bertolak ke Lampeter, Wales untuk bertemu penyelia tesis Phdnya. Mahu menghubungi ejen rumah, nombor telefon mereka tiada dalam simpanan saya. Bateri telefon bimbit juga lemah, semuanya bagai lengkap untuk menambah lagi kusut fikiran saya. Akhirnya, terlintas satu nama.



“Salam, Min. Kak Ina nak minta tolong. Urgent! Kak Ina tertinggal kunci kat dalam rumah…” pantas tangan saya menaip pada butang telefon bimbit sambil kaki melangkah longlai ke sekolah. Awan mendung yang melata di atas menambah suram perjalanan pagi ini. Kak Long, Kak Ngah dan Khalil berjalan di hadapan. Masih diam. Saya yang berjalan di belakang juga senyap, bungkam. Masih sebal, kesal dan tidak henti-henti mempersoalkan salah anak kedua saya.

Dalam perjalanan pulang, saya menerima panggilan telefon dari Min. “Alhamdulillah! ” seru saya di dalam hati. Min, suaminya Mahyudin dan iparnya, Nisar serta seorang anak mereka, Aiman akan datang untuk membantu. Bagai hilang separuh kerisauan saya tadi. Dengan pertolongan dan hasil buah fikiran bersama, Min, Mahyudin dan Nisar menjadi ‘Mcgyver’ yang menyelesaikan masalah saya. Pintu rumah kembali terbuka. Gembira di hati saya tidak terkata. Hanya ucapan terima kasih yang dapat saya ucapkan atas jasa baik mereka.


TERKUNCI HATI
Sejak saya mula berkecimpung dalam dunia maya sebagai blogger, kotak emel saya menerima beberapa luahan daripada kaum isteri. Rata-rata mengadu tentang masalah rumahtangga yang mereka hadapi. Kebimbangan mereka menurut penilaian saya, yang juga seorang isteri dan ibu adalah berasas. Segalanya bertitiktolak atas kesedaran isteri-isteri tersebut yang mahukan kerukunan rumahtangga mereka berdiri bersama kesempurnaan pelaksanaan ibadah dan tangggungjawab seorang Muslim beriman.



Kebiasaan buruk dan kelalaian dalam menunaikan ibadah kepada Allah akan menyebabkan banyak kesempitan di dalam dada. Hidup tidak tenteram, hidayah menipis, sudut pandang tidak benar, kebenaran terhijab dan akhirnya dibimbangi hati akan terkunci dari menerima panduan Ilahi. Kesan lain dari ini, keluarga menjadi tidak sakinah dan jauh dari rahmat Allah, anak-anak kian sepi dari hidayah, kehidupan menjadi semakin payah dan seterusnya perasaan akan berterusan resah gelisah. Sedangkan hal-hal yang sebalik dari itu, dapat dizahirkan melalui ketaatan dan ketabahan, bersabar dan selalu memohon keampunan dari Allah.



Hadirnya masalah demi masalah di dalam sebuah rumahtangga yang berhujung dengan perpisahan, berawal dari kelalaian mengingati Allah, mentadabbur ayat-ayatNya dan sering alpa dalam menjalankan syari'at Allah dan Rasulullah. Justeru itu, selagi masih ada kesempatan dan ruang untuk bernafas di bumi Allah, selama itu juga peluang dan pintu untuk bertaubat masih terbuka luas, maka bersegeralah melakukan pembaikpulihan sebelum nyawa dicabut dari badan.

PENDAMPING BERIMAN ASBAB TERBUKA HIDAYAH
Kerana itu, kehadiran pendamping yang beriman tidak kira isteri, ibu, anak-anak, saudara mara dan sahabat taulan sangat penting sebagai membuka jalan ke arah kebaikan agar hidayah Allah kembali tersingkap sinarnya. Tidak perlu mempertikaikan siapa menasihati siapa. Seorang ustaz boleh sahaja melakukan silap lalu diingatkan oleh sahabatnya, seorang jurutera. Seorang suami juga boleh melakukan dosa, lalu disedarkan oleh isterinya. Demikian seterusnya, kerana sifat sedia dibimbing dan membimbing perlu ada dalam diri manusia muslim dan mukmin.



Berikut salah satu emel yang saya terima untuk paparan sebagai teladan kepada pembaca. Ada beberapa ayat di dalamnya telah saya ubah atas sebab-sebab tertentu, namun tidak mengubah maksud asal emel ini dikirimkan.



*************************************************************************************
Salam Kak Ina,



Maaf kerana akak telah dipilih untuk saya meluahkan masalah dan mengharapkan nasihat dan bimbingan. Saya telah berkahwin dan dikurniakan 3 cahayamata.

Kak,
Saya rasa sekarang ini saya sedang mendaki tangga kehancuran rumahtangga saya kak. Saya dan suami sebaya. Masalah utama saya rasa tak boleh nak hormat kat suami saya kak,sebab utama kerana dia ambil lewa bab solat. Sepanjang berkahwin ni, boleh bilang dengan jari berapa kali dia bertanya saya dah solat ke belum, sebaliknya saya pulak yang macam polis tanya dia dah solat ke belum. Dah nak dekat habis waktu barulah dia sibuk nak solat.


Dulu awal-awal kahwin saya cuba utk berlembut dan cakap secara baik-baik, tapi saya rasa tak berkesan sangat. Sampai tahap sekarang dah rasa macam menyindir pulak nada sy suruh dia solat. Patutnya dia yang bimbing saya, bukan saya yg bimbing dia.


Kak, apa perlu saya buat kak? Benda-benda macam ni saya pendam dalam hati, lama-lama meletup. Anak-anak yang jadi mangsa. Suami saya sebenarnya baik kak, jarang la dia tinggi suara dengan saya, marah-marah ke, seorang yang penyayang , bertanggungjawab terhadap keluarga dan parents tapi bab solat tu la....


So bila gaduh benda kecik-kecik akan drag sampai ke soal solat ni, sebab saya tak boleh nak dengar cakap dia. Then kami bila gaduh masing-masing tak akan cakap walaupun duduk satu rumah, paling lama 2 minggu. Anak-anak yang jadi mangsa.


Bila diingat kembali, Ya Allah berdosanye saya ni kak. Tambah pulak bila dah baca kat blog akak pasal isteri penenang suami tu…usahkan nak masuk ke syurga, cium bau pun belum tentu lagi saya ni kak...tolong la bagi bimbingan kat saya ni kak, saya tak nak jadi isteri derhaka...


JAWAPAN SAYA

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh, L .

Pertamanya, Kak Ina ucapkan terima kasih atas kepercayaan L untuk menceritakan masalah dan sekaligus meminta nasihat. Kak Ina bukan orang yang layak, tapi atas dasar kita ini bersaudara ( innamal mukminuna ikhwatun...al-Hujurat ) insya Allah Kak Ina cuba berikan apa yang mampu. Sememangnya kita digalak berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran ( al-Asr ).


L, Kak Ina suka nak menyebut di sini bahawa L sangat beruntung sebenarnya mempunyai sebuah keluarga yang baik, suami yang penyayang dan bertanggungjawab, anak-anak yang sihat dan L sendiri, sebagai ibu dan isteri yang hebat bagi Kak Ina. Hebat kerana sangat mengambil berat tugas-tugas sebagai isteri dan ibu juga hal-hal kerohanian untuk jiwa. Teruskan dan kekalkan keutuhan rumahtangga in. Jangan biarkannya hilang dan pergi yang akan disesali kemudian hari.


Kak Ina cuba memahami masalah yang L hadapi. Terus terang, suami L tidak menghadapi masalah yang sangat besar cumanya dia meninggalkan afdhaliyyah dengan gemar solat di akhir waktu. Selagi dia solat di dalam waktu yang telah ditentukan, dia tidak dikira melakukan dosa meninggalkan sembahyang. Dia hanya meninggalkan yang lebih baik sahaja iaitu solat di awal waktu. Justeru, apa yang L lakukan dengan sentiasa mengingatkannya tentang solat adalah sangat baik. Tak perlu timbulkan siapa membimbing siapa. Dalam hal berumahtangga adakalanya, sebagai suami isteri perlu saling ingat mengingatkan supaya segala aspek terjaga.


Pandang dari sudut positif, bahawa Allah mengurniakan L suami begini agar L dapat menjadikannya seorang suami yang baik dengan tidak meninggalkan solat dan L sendiri beroleh pahala dengan sentiasa mengingatkannya. Mungkin sahaja, suami L tidak menjadi seperti hari ini jika bukan L sebagai isterinya,ya kan ? Alhamdulillah, pujian hanya untuk Allah..lazimkannya sebagai lagu bibir yang akan mendatangkan ketenangan jiwa. Kerana, Rasul sendiri pernah bersabda yang menyebut tentang keajaiban seorang mukmin, segala yang ada di hadapannya semuanya baik baginya. Jika dia memeperoleh kesenangan dia bersyukur, dan jika dia beroleh kesusahan dia bersabar. Kedua-duanya sangat terpuji di sisi Allah.


L yang Kak Ina kasihi kerana Allah, bersabar lagi dik untuk hari-hari seterusnya. L mampu insya Allah untuk menjadi isteri solehah penyejuk jiwa. Pohonlah keampunan dari Allah dan pintalah kemaafan dari suami. Kak Ina yakin L sangat menyayangi dan menyintainya. Jangan bimbang dik, selagi kita masih bernafas, selagi itu, kita masih boleh berusaha meraih soleh dan solehah sehinggalah nyawa kita diambil untuk mengadapNya.


Kak Ina rasa setakat ini dulu, moga-moga ada manfaatnya buat L. Kak Ina mohon maaf atas kelemahan Kak Ina memberi nasihat yang dipinta. Segala yang baik dari Allah dan sebaliknya dari kelemahan Kak Ina sebagai manusia.



JANGAN TERKUNCI HATI
Saya menghubungi suami sebaik masuk ke dalam rumah. Bercerita tentang peristiwa terkunci di luar sebelum menghantar anak-anak ke sekolah.

“ Kenapa marah pada Kak Ngah. Abang rasa dalam hal ini As yang salah,” kata suami di hujung talian telefon.

“ As yang salah..Kak Ngah yang tutup pintu tanpa sempat As ambil kunci. Waktu tu As baru saja letakkan Solehah di dalam kereta sorong,” bidas saya. Masih mahu membenarkan kata.

“ Ye, memang betul tu. Tapi, anak-anak melihat kebiasaan yang dilakukan oleh ibu dan bapanya. Selalunya As bawa kunci sebelum keluar. Hari ni As agak lalai, lalu terkunci di luar. Jadi, bukan salah Kak Ngah menutup pintu, tapi silap As yang cuai tidak mengambil kunci seperti selalu,” hujah suami ingin menyedarkan saya.
Astaghfirullah..ya. Saya membenarkan kata-kata suami. Betapa tadi saya ‘terkunci hati’ untuk melihat kesilapan sendiri.


“ Ya Allah, ampuni hambaMu ini. Ampuni dosa-dosaku agar ia tidak menjadi hijab untuk aku melihat kebenaran yang berlaku. Lantaran aku tahu, setiap kebaikan walau sekecil zarah, ada ganjaran di sisiMu. Demikian juga dosa, walau sekecil zarah tetap ada balasannya. Jangan kerana kekhilafanku, anak-anak ‘terkunci hati’ untuk menerima nasihatku selepas ini..”

Petang ini saya menunggu Kak Long dan Kak Ngah di hadapan sekolah. Saya perlu melakukan sesuatu.

“ Maafkan Ummi.Ummi silap kerana marah pada Kak Ngah pagi tadi..tak mengapa terkunci pintu, tapi jangan terkunci hati,”. Saya memeluk Kak Ngah sambil Kak Long tersenyum memerhati. Biarlah mereka tidak mengerti masa ini, pasti suatu waktu nanti mereka akan memahami. Langkah pulang kami ke rumah terasa terang dan tenang. Alhamdulillah, segala puji pada Mu Ya Allah.



Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.




14 Jamadilakhir 1430


8 Jun 2009

14 comments:

Kak Ummi said...

Salam.

Bila baca artikel Ina,selalu aja Kak Ummi rasa nak nangis.Betul dik.Jangan sampai terkunci hati.Tak senang untuk seorang ibu mengakui kesalahan diri sendiri apalagi untuk mengungkapkan kata-kata maaf pada seorang anak.

Terimakasih Dik Ina.Setiap yang dicoretkan,pasti ada sesuatu yang Kak Ummi perolehi!

Saaaaayang Ina!

Ummie said...

salam alaik. kak ina, memang susah kita hendak mengaku kelemahan kita depan anak-anak. Dengan tanggapan kita lah ibu, kita lah yang betul. Hakikatnya mereka adalah kanak-kanak, kita yang sepatutunya bertindak dahulu sebelum mereka bertindak. selalu juga saya mengalami masalah seperti ini. tidak mengakui kesalahan saya, membenarkan kata-kata saya walaupun suami menegur.Ada sahaja yang saya jawab. Astaghfirullah, semoga Allah mengampuni dosa saya

zue said...

salam kIna,
sebenarnyer zue ada pengalaman mcm L tuh, terjadik pd org yg sgt rapat dgn zue.sejak mula kawen, dia lakukan mcm2 usaha nk bg suami dia xculas dlm bersolatspt dia sendiri baca surah yassin dan diberi minum suaminyer air yassin tersebut tanpa pengetahuan suami.dgn berdoa pd Allah semoga suami nyer berubah.berpuluh2 thn juga masa yg di ambil utk suami itu berubah.selama itulah dia berusaha.Alhamdulillah, walaupun blom 100% tetapi sudah ada perubahan.dah boleh jadi imam di rumah.sabar sungguh dia.

wallahua'lam

melatiputih said...

salam kak ina, kenapa ye artikel akak ni selalu menyentuh jiwa saya, huhu berair mata saya bila membacanya...kalau akak tulis novel, mesti best sebab akak ada bakat menulis...teruskan usaha dakwah di alam maya ini...

Ummu Abrisam said...

Salam kak,

Boleh saya minta alamat email akak ke?

Zilla said...

Salam Kak Ina,

Rasa macam nak menitis air mata baca artikel Kak Ina kali ni,Saya pun sama kadang2 susah nak mengaku kesilapan diri depan ank2. Tapi bile difikirkan balik tak salah jika kita meminta maaf dengan anak jika kita melakukan kesalahan sebab itu satu contoh utk ikutan ank2 ringan mulut meminta maaf jika mereka berbuat salah.Saya sangat suka mengikuti blog ni, sebab boleh di jadikan panduan utk saya dlm mendidik anak2

Ummu Husna said...

Salam semua,

Alhamdulillah, terima kasih atas pandangan dan sokongan juga nasihat untuk kebaikan bersama. Sememangnya sebagai ibu, adakalanya kita mempertahankan ego sendiri dan menuding jari pada anak-anak atas kesilapan sendiri.

Apapun, belum terlambat untuk berubah. Sama-sama kita perbaiki diri :)

Begitu juga dalam melayari rumahtangga. Masalah-masalah yang tiba adalah asam garam dan pahit manis yang pasti ada jalan penyelesaiannya. Tinggal lagi sikap positif, proaktif dan sentiasa meminta petunjuka dari Allah.

Sebagai kaum wanita saya turut sama merasakan kepahitan setiapkali membaca masalah-masalah dari pengirim emel kepada saya, cuma nasihat saya, pinggirkan jauh-jauh hasrat untuk bercerai dan berpisah bila dilanda masalah. Sebaliknya, bersegera bertindak dengan cara yang lebih baik dari itu agar rumahtangga terpelihara dari kehancuran, anak-anak akan tetap memiliki ibu bapa dibawah bumbung yang sama. Pohon doa sentiasa dari Allah Yang Maha Esa.

UMMUABRISAM : Email Kak Ina, noraslinaj@yahoo.com atau noraslina.jusin@gmail.com

ummuahmad said...

salam.ina, sebak hati akak baca entry ina kali ini. memang benar, kadang2 bila kita marah anak2, kita terlupa yg kesilapan itu berpunca dari kita..bila dah cool, baru teringat semula, terasa kasihan anak2..tentu mereka tertanya2..kenapa kalau mama buat salah, mama tak marah diri sendiri..astaghfirullah...

am0i Ida said...

Salam kak ina tersayang

Apabila kak ina citer pasal kunci nie, teringat beberapa tahun lepas, anak ida yang sulong terkunci dalam keta...masa tu tengah hidup enjin lak tu..punyalah cemas tatau nak cakap..

Panggil pomen bukak kan pintu, sebab waktu tu anak tak reti bukak pintu...rasa nak menangispun ada waktu tu...syukurlah Allah bantu..

kecuaiannya pada diri sendiri sebab budak2 bukan tau apa2...kita yang kena berwaspada lebih...

betul nasihat kak ina...ida sendiripun mengalami situasi tegur menegur nie...ida sendiri mempunyai suami yang muda dari ida tapi bila bernama suami, perasaan hormat tu tetap ada...lebih2 lagi suami lagi pangkat tinggi dari isterinya ini...

idapun byk belajar lagi kak...maklumlah ida nie kasar dan garang orangnya..suami pula sebaliknya...tapi syukurlah semua itu rahmat Allah kerana melengkapi kami sbg pasangan suami isteri..

jazakillahu khair atas kata2 hikmah kak ina :)

ummumishkah said...

yer kadang kita dgn ego seorang ibu, artikel ini cukup utk menyedarkan saya dan saya perlu cairkan ego tersebut...

Anonymous said...

salam.. walaupun ada ramai anak, yg dah remaja pun tp sy masih tidak segan utk minta maaf jika saya silap dgn anak2..bg saya utk sabar sangatlah susah..sudah puas dgn cara lembut tp ada juga anak yg degil, tak menurut kata..sentiasa menyakitkan hati..nasib ada anak2 lain yg faham & memujuk hati..

mmglah anak2 ini dugaan yg besar..

nisa

Anonymous said...

salam..
alhamdulillah, ini pertama kali saya melayari blog kak ina..
artikal ni sangat terkesan di dalam jiwa saya.. rasa hiba, dan syukur sebab Allah temukan saya dengan artikel ini, sebab saya mengalami masaalah seperti L tu. kami baru berkahwin 9 bulan, belum lagi dikurniakan anak.. walaupun perkahwinan kami diatur oleh orang tengah.. melalui unit baitul muslim, tapi saya sungguh tak sangka siakpnya selalu melewatkan solat, terutama solat subuh. teguran saya dipandang sepi.dan kadang2 terlintas di hati, itu sebabnya kami belum lagi dikurniakan zuriat.

alahamdulillah denagn artikal ini, saya harap saya dapat bersabar lagi dan tak putus2 untuk berdoa, dan mungkin ini ujian kepada saya..

wassalam..

NoRbAiZuRa FaUzI said...

salam kak ina, blh sya dptkan email kak ina?

Ummu Husna said...

Salam, Norbaizura..

Emel Kak Ina : noraslinaj@yahoo.com