UMMI, JANGAN JADI 'DONKEY' !


“ La, cerita ni lagi. Kita pasang cerita lain la ye. Hari-hari tengok cerita ni je,” keluh saya bila anak ketiga meminta dipasangkan cerita kegemarannya.


“ Tak nak. Khalil nak tengok cerita ni,” balas si bujang saya. Susah benar dia mahu berkompromi bila berbicara tentang cerita yang satu ini.


“ Ok, lah. Tapi Ummi tak mahu Khalil jerit-jerit ye. Tengok je,” saya mengalah sambil berlalu ke dapur untuk memasak hidangan tengahari. Sambil memasak, mata dan telinga, saya arah ke ruang tamu bersebelahan. Kedudukan sinki dapur yang terletak hampir dengan pintu yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu memudahkan saya memantau cerita, iklan atau apa sahaja program yang sedang ditonton oleh anak-anak saya. Tambahan pula peti televisyen memang saya dan suami susunatur betul-betul berhadapan dengan pintu dapur.


Sebetulnya, anak-anak saya sangat gemar menonton filem animasi terbitan Dreamworks Studio ini. Lebih-lebih lagi anak ketiga saya yang boleh dikatakan hampir setiap hari pasti meminta agar dipasangkan dvd kegemarannya itu. Dari siri satu hingga yang ketiga semuanya telah habis ditonton, bukan sekali tetapi berkali-kali.


Ada beberapa sebab mengapa mereka gemarkan filem animasi yang satu ini. Pertama, penggunaan Bahasa inggeris yang mudah terutama bagi mereka yang ingin belajar bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Lontaran dialog setiap wataknya terang dan sangat jelas.


Keduanya, mesej yang dibawa berkisar kepada nilai-nilai kekeluargaan dan kepercayaan kepada diri sendiri. Dan ketiga, sudah pasti kerana nilai moral ( bukan akhlak ) dan tata tertib yang masih dijaga rapi. Mungkin kerana sasaran umumnya adalah golongan kanak-kanak.
Cuma….



BISING SANGAT


Saya cukup tidak suka mendengar salah satu wataknya bersuara. Bising. Riuh. Bagai mendengar air hujan yang sedang lebat turun menimpa atap zink di kampung rasanya. Bingit, sungguh tidak selesa. Akan tetapi, saya tidak menafikan ada sifat-sifat mulia padanya yang sangat saya impikan agar ia ada pada diri saya sendiri dan orang lain sebagai seorang kawan dan sahabat sejati.


“ Ish..bising betul keldai ni..banyak mulut sungguh, “ kerap kali saya mengkritik begitu bila menonton filem animasi Shrek. Anak-anak yang menonton sama, pasti akan ketawa kecil bila mendengar nada meluat saya terhadap riuh rendah suara si Donkey.


“ Kenapa Ummi tak suka?” tanya Kak Ngah ingin tahu.


“ Sebab dia selalu bercakap menjerit-jerit..” jawab saya.


“ Kak Ngah selalu cakap kuat Ummi, “ Kak Long mencelah. Kak Ngah hanya menjuih mulut tanda tidak suka diungkit tentang suara kuatnya itu.


“ Kak Long dan Kak Ngah tak boleh cakap macam tu. Orang dengar rasa tak selesa, “ saya menambah memberi nasihat sepatah dua kepada mereka. Memang adakalanya anak-anak perempuan saya ini bila berbual sesama mereka di dalam bilik, saya boleh mendengar dengan jelas setiap patah perbualan mereka. Kuat dan nyaring.


“ Sebab itu Allah ada sebut dalam al Quran, seburuk-buruk suara ialah suara keldai, sama macam Donkey kawan Shrek tu. Shrek pun selalu kata “You are an annoying, talking donkey” kan,” tegas saya mengingatkan.



NASIHAT LUQMANUL HAKIM


Akhlak adalah soal yang sangat perlu dititikberatkan dalam didikan ibu dan bapa kepada anak-anak. Antara yang perlu disenaraikan ialah bagaimana cara komunikasi yang baik antara mereka dan orang –orang di sekeliling. Tiada siapa yang suka dirinya dijerit-jerit. Hati mana yang tidak perit bila dihambur dengan nada suara yang kuat sedangkan dia masih boleh mendengar dengan baik dan bukannya tuli.


Kisah Luqmanul Hakim telah disebut di dalam al Quran bila mana beliau menasihati anaknya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :


"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai." ( Surah Luqman ayat 19 )


Kerana itu juga, para anbiya’ diperintahkan Allah agar berlemah lembut dalam dakwah mereka sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :


“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentu mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”. ( Surah Ali Imran ayat 159)


Demikian juga saranan Allah SWT kepada Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s ketika berdepan dengan kezaliman Fir'aun.


"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." ( Surah Taha ayat 44 )



JANGAN AH! OH!


“ Kimi, tolong mak angkatkan kain di ampaian luar ye. Nampaknya hari nak hujan, “ kata seorang ibu kepada anaknya yang sedang asyik mengadap PS2.

“ Ah! Mak ni. Tak Nampak orang tengah sengit ‘berperang’ ni,” bantah si anak tanpa sedikit pun menoleh memandang wajah ibu.


Hati ibu mana yang tidak sedih bila mendengar anak menjawab dengan perkataan ah! Oh! dan seumpamanya. Jiwa ibu mana yang tidak pedih melihat anak yang diasuh dan dibelai sedari kecil bersikap acuh tak acuh dan kurang ajar kepada dirinya. Semua ini berkait adab dan nilai budi yang diajar di dalam Islam betapa sependek perkataaan ah! dan oh! saja sudah cukup menjatuhkan seorang anak kepada lembah kedurhakaan. Firman Allah SWT yang bermaksud :


“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”


“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." ( Surah Al-Isra' ayat 23-24 )


Islam mengajar umatnya berbudi bahasa terhadap orang lain terutama kepada kedua orang tuanya yang telah banyak berjasa mengasuh, membesar dan mendidik anak-anak. Sikap suka meninggikan suara, mengherdik dan mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati mereka adalah amat dilarang oleh agama dan disenaraikan sebagai perbuatan yang membawa kepada dosa besar. Rasulullah Saw bersabda yang bermaksud :


“Sebesar-besar dosa (dosa besar) ialah menyekutukan Allah, membunuh manusia, derhaka kepada ibu bapa dan menjadi saksi palsu.” (Hadis riwayat al-Bukhari).


Perlu diingat bahawa dosa menderhakai ibu dan bapa akan dibalas oleh Allah di dunia lagi dengan azab yang pedih dan menyeksakan.


Semua dosa ditangguhkan oleh Allah (seksaannya) mana-mana yang dikehendaki-Nya sehingga ke hari kiamat, melainkan dosa kerana menderhaka kepada dua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan segerakan seksaan dan azab ke atas pelakunya ketika hidupnya, sebelum mati.” (Hadis riwayat Thabarani dan Hakim)


BERMULA DARI IBU BAPA


Namun demikian, sebagai ibu dan bapa yang diamanahkan oleh Allah dengan anugerah cahaya mata, mereka perlu lebih dulu menginsafi bahawa watak serta sifat yang ditonjolkan oleh anak-anak adalah diwarisi dari kedua orang tua. Walaupun mungkin tidak semua, sedikit sebanyak tetap ada. Jangan sesekali ibu dan bapa lupa bahawa anak-anak juga mempunyai sepasang mata dan telinga untuk mereka boleh melihat dan mendengar apa sahaja yang dilakukan dan diperkatakan oleh ibu bapa.


Sewajarnya, pasangan ibu bapa yang juga suami dan isteri harus membina hubungan baik antara mereka. Suami menghormati isteri dengan berkata yang baik, tidak meninggikan suara dan menegur kesilapan isteri dengan nada lemah lembut dan penuh kasih mesra. Begitu juga kepada isteri. Jangan pernah meninggikan suara kepada suami di depan anak-anak. Ini termasuk juga kata-kata berbaur penghinaan yang mungkin tidak disengajakan tetapi memberi titik hitam kepad jiwa putih suci anak-anak.


“ Ayah kamu tu, taunya tidur je. Bukannya nak bantu ibu di dapur,” luah sinis seorang isteri kepada anaknya yang berumur lima tahun.


“ Alah emak kamu tu, masak asam pedas ikan parinya bukan sedap mana pun,” kata pula seorang suami kepada anak perempuannya yang masih bermain anak-anak patung.


Ibu dan bapa harus lebih dulu berusaha keras membina imej ibubapa yang baik dari kacamata anak-anak. Ibu bapa adalah pendidik anak-anak yang sebenar, sebelum mereka melihat dunia luar. Ibu bapa adalah contoh tauladan dalam apa jua perkara yang mereka lakukan sebelum mereka dewasa dan boleh membuat keputusan. Jangan pula ibu bapa menjadi seumpama ketam mengajar anaknya berjalan betul, tetapi dia sendiri berjalan senget mengereng ke tepi.



UMMI, JANGAN JADI DONKEY!


“ Ya Allah, dah lambat ni,” tiba-tiba saya terjaga dari tidur-tidur ayam selepas solat subuh pagi tadi. Jam di dinding telah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Kak Long dan Kak Ngah juga saya benarkan tidur semula selepas solat memandangkan waktu subuh bermula seawal jam 3.30 pagi.

Saya bergegas ke dapur untuk menyiapkan sarapan dan bekal buat Kak Long dan Kak Ngah. Sambil mengoles jem pada roti saya menggoreng pisang untuk mengisi perut anak-anak. Hari ini saya sendiri akan menghantar anak-anak ke sekolah kerana suami berada di luar negara. Sementara itu, saya naik ke tingkat atas rumah dan mengejutkan anak-anak, kemudian kembali turun ke dapur menyiapkan gorengan pisang yang masih berbaki.


“ La, tak bangun lagi Kak Long dan Kak Ngah ni,” bisik saya sendirian bila kelibat anak-anak tidak kelihatan di dapur.


“ Nurul Husna, Najwa Safiyyah. Bangun. Dah lambat ni,” laung saya dari bawah tangga dengan apron dan sudip di tangan. Kuat juga rasanya suara saya.


“ Ummi..” tiba-tiba wajah Kak Ngah terjongol di tingkat atas anak tangga. “Ye..” jawab saya dengan nada lega melihat Kak Ngah sudah terjaga dari lena.


“ Jangan jadi donkey,” Kak Ngah berkata. Alamak! Baru saya tersedar..terkena juga saya akhirnya.



Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.


22 Jamadilawwal 1430


17 Mei 2009

Comments

zaffan said…
salam kak ina

dapatlah saya tips dari akak, melihatkan khalil yang kecil itu sudah pandai patuh mendengar kata.

semuanya bermula dari ibu bapa. benar-benar. ibu bapa harus usaha kuat membina akhlak dalam diri. insyaallah anak-anak akan mudah dididik serta tahu membezakan apabila berhadapan dunia realiti yang aduhai...

terima kasih kak

walaupun khalil suka tengok cerita, tapi bila diminta perlahankan suara tv, dia mendengar kata....such a sweet handsome hoy.

masyaallah

by the way, saya suka ending artikel ini kak! simple tapi penuh makna.

=)
Salam,kak Ina,

Kelakarnya "ending" cerita ni:), namun begitu, banyak panduan dan pengajaran dari cerita kak Ina ni...

Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapa lah yang mencorakkannya...

Teringat tajuk ceramah yang pernah saya hadiri dulu...WANITA...KERANA DIRIMU BEGITU BERHARGA...

Ikhlas tapi jauh....

Wassalam.
Salam,

ZAFFAN : Alhamdulillah, terima kasih juga dik. Zaffan juga banyak memberikan Kak Ina tips untuk menjadi kawan dan ibu yang baik..bagus tu. Bertuahlah siapa yang memperisterikan Zaffan nanti :)

Teruskan menulis dik.

SHAZA : :) Adakalanya, ibu bapa asyik menegur, tapi mereka juga pernah dan ada membuat kesilapan yang sama. Jadi, tak salah menerima teguran dari anak untuk perkara yang baik dan betul.

Doakan Kak Ina ye..perjalanan masih jauh di hadapan..-
UmmuAhmads said…
Salam Ummu Husna,

Saya selalu baca blog ni. Tertarik dgn cerita kali ni tentang filem tontonan anak-anak. Mungkin Ummu Husna boleh share bagaimana cara menapis filem tontonan mereka. Maklumlah, pening juga kepala saya dan suami memikirkan ciri-ciri yg sesuai utk jenis animasi tontonan anak-anak bujang saya kesemuanya lelaki 3 org....:) Kami memilih utk tidak mempunyai TV sejak lebih 4 tahun lalu, tetapi memilih dvd filem yg sesuai utk mereka tonton.
mai said…
comellah ending k ina dalam entry yg ni. kiut jer k ngah menegur umminya. indahnya rumahtangga apabila ahli keluarga saling ingat- memperingatkan dengan rasa hormat, kan? :)
Nisha said…
Assalamu'alaikum semua.

Betul kata ustz tu? Memang anak-anak meniru apa yang kita katakan dan kita lakukan. Kata ustz Salbiah Omar(pengisian semasa program dhuhanya yang di buat setiap hari jika tak ada jemputan lain di Seremban), perangai kita masa kecil dan remaja pun ada yang akan di ikut oleh anak kita walaupun diorang tak taupun apa kita buat masa tu. Jadi bagi kita ibu-ibu ni yang dah lepas tu nak buat macam mana. Bertaubatlah atas dosa-dosa yang lalu dan didiklah anak-anak supaya sentiasa menjaga akhlak samada di hadapan orang maupun di luar pengetahuan orang lain/ibubapa. Semoga mereka boleh melahirkan anak-anak soleh/solehah pula suatu hari kelak. Yang masih belum kahwin tu sentiasa muhasabah diri dan perbetulkan mana yang tak betul. Semoga Allah sentiasa memberi petunjuk dan hidayah kepada kita. Ameen, ameen ya Robbil alamin.
salam kak ina..jujur sungguh kanak-kanak ni kan.. kadang kala kita pula yang perlu belajar dengan mereka..
perlu banyak menuntut lagi ni dari kak ina dan kak zaffan..he3.
Salam,

UMMU AHMAD : alhamdulillah dan tahniah atas keputusan dan tindakan yang diambil.

Walaubagaimanapun, mempunyai TV atau tidak, kedua-duanya tetap memerlukan pemantauan yang rapi daripada kedua ibu bapa. Kerana, dunia tanpa sempadan pada hari ini menyediakan bermacam ruang untuk anak-anak mencuba dan meneroka. Mungkin peluang di rumah tiada, tetapi di sekolah, nurseri, rumah saudara mara dan kawan-kawan tetap ada.

Justeru, meningkatkan pemantauan dan memberi panduan ( guideline ) kepada anak-anak dalam memilih sesuatu yang mendatangkan manfaat dan bukan mudharat amat penting, sebagaimana yang saya sebut di dalam artikel, kita memberi panduan dan contoh kepada anak-anak sebelum mereka besar dan membuat sendiri sebarang keputusan. Upaya memilih dan menapis perlu diwujudkan dari mula bersama ibu bapa, kerana dengan itu akan menentukan benar atau salah sebarang tindakan yang mereka lakukan kelak.

Bagi saya dan suami, kami memang agak selektif dengan rancangan yang ditonton baik dari TV mahu pun dvd dan internet terutama youtube. Jika TV, kami hanya menonton siaran berita, dokumentari, kartun dan filem-filem yang bertema kekeluargaan untuk tontonan bersama anak-anak.

Sekadar perkongsian ringkas.
MAI : Ye, tak salah jika ibu bapa menerima teguran anak-anak untuk kebaikan bersama. Walau adakalanya, merah muka juga :)

KAK NISHA : Aggaplah itu sebagai kaffarah dosa yang dilakukan ketika muda. Betapa nabi-nabi juga ada yang memiliki anak-anak yang durhaka kepada Allah..semuanya mengandungi hikmah yang tidak dapat dijangkau oleh kita sebagai manusia. Hanya Allah yang mengtahui segala rahsia.

Oleh kerana itu, kita diseru berusah, berusaha dan berusaha dan setelah itu serahkan segala keputusan kepadaNya. Namun, usaha itu bukanlah sekadar melepas batuk ditangga dan kita berkata, cukuplah lalu terus bertawakkal kepada Allah..akan tetapi usaha yang sehabis daya dengan penuh pasrah kepadaNya.

Saya tau Kak Nisha lebih memahaminya. Tahniah kak. Atas mujahadah dan kesabaran. InsyaAllah ganjaran yang besar menanti di sana.

SUE : Kita sama-sama belajar ye Sue:)
en_me said…
salammm ummi itteww..
Ummuafiq Hashim said…
wah..rasanya macam semua ibu2 berkumpul kat sini cerita pasal pengalaman mendidik anak2.bole join ni.saya ada 4 hero kat rumah tu.memang kaki movie,ps dan apa saja rancangan tv.cerita tamil pun depa boleh layan.tiap2 hari saya kena jadi juru kawad aturkan jadual mreka kalau tak huru-hara.saya linkkan blog ni ke blog saya ye..
UmmuAhmads said…
Salam.

Terima kasih ummu husna. Benar sekali, ada atau takde tv, anak-anak memang perlu dipantau. Ketiadaan tv bukanlah keputusan muktamad & rigid kami, sebaliknya adalah keputusan terbaik buat masa ini.

Sejujurnya, saya berpendapat cerita 'shrek' adalah antara cerita yg tidak sesuai ditonton oleh anak-anak (mungkin bawah 15 atau 18 tahun). Ini berdasarkan kandungan seperti yg tertera pd guide for parents di http://www.imdb.com/title/tt0126029/parentalguide

Maaf ummu husna, sekadar perkongsian jujur drp saya yg sgt suka sekali melihat keluarga penyejuk mata seperti keluarga ummu husna yg agak sukar ditemui dlm zaman ini.
Ummuafiq Hashim said…
Assalammuaalaikum ummuahmads,saya ingin berkenalan lebih rapat kerana kita banyak persamaan.saya ada 4 anak lelaki, ummuahmads pulak ada 3 anak lelaki.Dan kita sama2 sedang mencari kaedah terbaik untuk memantau anak2.Boleh saya tau bagaimana boleh saya hubungi atau marilah menjenguk blog saya.
Al-Atiff said…
This comment has been removed by the author.

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA