KITALAH GURU-GURU ITU

“ Kamu semua orang Islam bukan ?” Cikgu Fauzi bertanya sebaik masuk ke kelas Tiga Hijau pagi itu. Kebetulan dua orang rakan sekelas berketurunan India masih belum selesai dari mengikuti matapelajaran Moral di kelas sebelah.

“ Ya, Cikgu,” saya dan rakan-rakan menjawab serentak. Pandangan kami tepat ke wajah Cikgu Fauzi yang tersenyum mendengar jawapan tadi.

“ Baik, kalau betul kamu orang Islam saya mahu tengok kamu jadi orang Islam setiap hari, bukan Islam pada hari Jumaat sahaja,” tegas Cikgu Fauzi sambil memandang muka kami silih berganti.

“Murid lelaki berseluar panjang, manakala murid perempuan berbaju kurung dan bertudung kepala. Itu baru betul ikut ajaran agama. Yang lelaki Nampak lebih tampan, yang perempuan pula bertambah ayu dan lebih sopan,“ kata Cikgu Fauzi mengumpan. Kami yang mendengar tersenyum malu-malu melihat masing-masing hanya berseluar pendek bagi lelaki, sementara perempuan pula hanya memakai ‘pinafore’ biru. Bila tiba hari Jumaat baru kami mengenakan pakaian menutup aurat.


KENANGAN LALU

Peristiwa itu telah dua puluh lima tahun berlalu. Namun didikannya masih saya ingat hingga hari ini. Walaupun Cikgu Fauzi seorang guru biasa, tetapi ketegasan beliau mendidik kami mengamalkan ajaran agama sangat memberi kesan kepada jiwa.

Pada zaman awal-awal lapan puluhan, kesedaran beragama masih baru menjalar dalam masyarakat di tempat saya. Kerana itu, bilangan murid-murid sekolah rendah yang memakai baju kurung dan bertudung kepala sepanjang hari-hari persekolahan sangat sedikit. Orang kata, boleh dibilang dengan jari. Ditambah pula momokan akhbar arus perdana dengan kemunculan ‘hantu komkom’ ketika itu, menjadikan suasana untuk mengamalkan pakaian syariat ini tidak begitu mesra dan melata.

Walaupun demikian, Cikgu Fauzi tidak pernah menjadikan suasana begitu sebagai alasan untuk tidak mengajak kami kepada kebaikan. Kesannya, hampir seluruh murid-murid perempuan di kelas saya mula memakai baju kurung lengkap menutup kepala bila naik ke tahun Empat Hijau berikutnya. Kami bangga melakukan itu, kerana Cikgu Fauzi sentiasa mengingatkan kami bahawa kami mulia kerana mengamalkan ajaran agama.


GAJI vs AMANAH

Akan tetapi realiti hari ini amat jauh berbeza. Bukan sahaja tidak ramai guru-guru bukan dari aliran agama yang mahu membawa suasana beragama di dalam pengajaran mereka, malah ada sebahagian guru-guru agama sendiri yang tidak bersungguh-sungguh menjadikan kerjaya guru sebagai ibadah yang boleh melimpahkan pahala berganda. Telah tandus minat dan keinginan, semakin melebar pula jurang dakwah untuk menyeru kepada kebaikan.

“ Ah, budak-budak tu nak pandai ke tidak, terpulang pada mereka. Aku tahu cukup bulan gaji masuk,“ luah seorang guru dengan nada geram. Marah barangkali dengan gelagat anak murid yang tidak tahu hormat kepada guru yang lebih dulu makan garam.

Saya akur sukarnya menjadi guru di zaman serba material ini. Bukan sekadar mengajar subjek-subjek yang telah ditentukan, tapi ada banyak senarai tugasan sampingan lain yang juga perlu dilangsaikan. Itu belum lagi dikira jumlah mesyuarat dan kursus-kursus yang perlu dihadiri. Mengenang itu semua, saya ikut emosi dan simpati.

Kerana itu, Allah SWT berfirman di dalam al Quran tentang nasihat Luqman al Hakim kepada anaknya yang bermaksud :

“Wahai anakku! Dirikanlah Solat (sembahyang), dan suruhlah berbuat baik serta cegahlah kemungkaran dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpa kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Surah Luqman : Ayat 17)


Merenung ayat di atas, terlihat betapa besar peranan seorang guru terhadap perkembangan fizikal dan spiritual anak didik demi melahirkan generasi yang berkualiti dari segala segi. Mereka berperanan mendekatkan para pelajar kepada Yang Maha Mencipta dengan mengajar pengetahuan baik berupa fardhu ain mahu pun fardhu kifayah agar terserlah kebesaran dan kekuasaan Allah. Baik guru biasa mahu pun guru agama, mereka perlu berkerja dengan serampang dua mata. Memberi ilmu dan dalam masa yang sama menyuntik sedar tentang tanggungjawab anak didik sebagai manusia yang mempunyai Tuhan. Menyemai jiwa kehambaan.


Guru yang baik bukan mendambakan wang gaji sebagai ganjaran penat dan payah semata-mata, tetapi kesedaran untuk berperanan sebagai pendidik dan pemandu arah yang boleh dicontohi dan diikuti oleh anak didik. Walau banyak rintangan yang mungkin menahan dalam usahanya mengajak kebaikan dan mencegah kemungkaran, semua itu perlu dihadapi dengan tabah serta mengharapkan keredhaan Allah.

Tiada ganjaran yang lebih baik selain pengiktirafan dari Allah SWT terhadap golongan pendidik yang mengajar kebaikan, menuntun kepada mentaati dan mengagungkan Allah serta ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan. Allah SWT menegaskan menerusi firmanNya yang bermaksud :


“ Dan tidak ada yang lebih baik perkatannnya daripada orang yang menyeru kepada ( mengesa dan mematuhi perintah ) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, seraya berkata : Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam ( yang berserah kepada Allah) “.

( Surah al Fussilat ayat 33 )



KISAH DAUN

“ Baik, murid-murid. Siapa boleh beritahu Cikgu, apakah warna daun pokok ?” tanya seorang guru kepada anak muridnya.

“ Warna hijau Cikgu,” kata anak murid di hadapan.

“Warna merah pun ada Cikgu,” jawab pula murid di sebelah kiri.

“ Bukan merah je, warna kuning dan coklat pun banyak, Cikgu “ tambah anak murid yang duduk di bahagian belakang sekali.

“ isyh isyh, salah tu, mana ada daun warna coklat, kuning dan merah,” bidas Cikgu sambil disambut gelak ketawa teman-teman sedarjah. Anak murid yang menjawab berkerut dahi tertanya-tanya siapa benar dan siapa yang salah.

Murid di sebelah kiri pernah duduk di negara terbitnya Matahari. Bukan sekadar pernah melihat, fotonya berlatarkan daun merah juga masih ada sebagai bukti. Manakala murid yang duduk di sebelah belakang pula menjawab demikian kerana itulah warna-warna daun kala musim luruh di United Kingdom.


Seorang guru yang alim dan berilmu pengetahuan tidak akan cepat membuat keputusan sebelum meneliti segala kemungkinan. Alangkah elok lagi wajar jika guru terlebih dulu mendapatkan penjelasan dari jawapan yang diberikan. Seorang guru yang cepat melatah, pasti akan merah wajah bila kebenaran ternyata sudah. Malu kerana berbuat salah dek takut menyatakan yang benar!


LUAS PENGALAMAN, BERTAMBAH PENGETAHUAN

Ilmu dan pengetahuan adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari diri seorang guru. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”
(Riwayat al-Bazzar)

Seorang guru yang baik akan menjadikan dirinya tergolong dalam mana-mana kumpulan yang disebut oleh Nabi sebagaimana hadis di atas, iaitu menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain, menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu), mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu dan menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka KECUALI golongan kelima iaitu kumpulan yang digelar sebagai bodoh sombong’. Tahu bahawa diri tidak tahu, tetapi pura-pura tahu dan tidak mahu menambah ilmu.

Amat bahaya seorang guru yang mengajar tanpa ilmu, sekadar buat-buat tahu kerana malu untuk mengaku. Dia akan membawa pelajar ke lorong yang salah kerana tidak tahu arah simpang yang benar. Jadilah dia sesat dan menyesatkan orang lain pula. Justeru, luaskan pengalaman dengan banyak membaca, bertanya dan belajar. Pasti akan bertambah pengetahuan dan seterusnya apa sahaja perkataan akan menjadi bekalan buat anak didik meneruskan kehidupan.


KITALAH GURU-GURU ITU

Walau siapa pun kita, sedar atau tidak kita juga merupakan guru tidak lansung kepada diri dan mereka yang berada di sekitar kita. Seorang suami adalah guru kepada isterinya. Seorang ibu pula merupakan guru kepada anak-anak, cahaya matanya. Begitulah seterusnya, semua berperanan sebagai pendidik untuk diri dan orang-orang yang disayangi.

Bagi saya, tiada guru yang lebih layak dijadikan contoh selain guru bernama Muhammad Bin Abdullah, Rasulullah Junjungan tercinta serta para sahabat dan sahabiah di zaman Baginda. Pada mereka terhimpun segala tauladan terbaik untuk menjadi guru yang cemerlang walau apa pun peranan yang dimainkan. Baik sebagai anak, suami, isteri, ayah, ibu, kakak, abang, adik dan lain-lain lagi.

Kitalah guru-guru itu...menongkah arus melawan fitnah,

Mendidik generasi mentaati Allah dan Rasulullah,

Jangan salah didik, jangan silap asuh,

Kelak murka Allah tak mampu kita tempuh.


Bottom of Form

Sematkan sabda junjungan ini sebagai pegangan dan ingatan , maksudnya:

“Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya berkaitan dengan tanggungjawabnya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

18 JamadilAwwal 1430

13 Mei 2009


Comments

Salam. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Maha Pengasih. Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Semesta Alam.

Ribuan terima kasih kepada saudari kerana mengirimkan satu ilmuan islam yang berguna kepada insan-insan yang mencari keredhaanNya. Satu penulisan artikel yang menarik dari sudut pencerahan kebaikan jasa guru-guru.

GURU, apa yang telah kita ketahui, bahawa guru memainkan peranan yang cukup besar dalam melahirkan satu golongan yang cerdik cendiakawan bagi menilai kebaikan dan kebathilan. Tetapi apa yang hendak dikongsikan di sini adalah, golongan para guru ini bukan bererti guru yang berada di kelas-kelas pembelajaran seperti apa yang kita lihat selama ini. tetapi merangkumi aspek yang menyeluruh dari segi ilmuan pembelajaran dari satu pihak kepada satu pihak yang lain. Tidak dinafikan juga bahawa sedekad ini, kita megah meraikan Hari Guru, bagi memperingati jasa-jasa dan pengorbanan mereka semua. Adakah guru memainkan peranan dalam melahirkan satu golongan Ullul Albab yang sedang kita malah negara kita idamkan selama ini. Kita sering memperingati hari guru, tetapi perlu diingati juga bahawa, sinonim hari guru tersebut, membuatkan para pendidik ini mudah terlupa, di mana, pihak pelajar perlu juga dihargai dan dikasihi. Bukan untuk merendah-rendahkan pihak pendidik, tetapi setiap tahun para pelajar akan meraikan atau menyambut Hari Guru bagi mengenang jasa dan pengorbanan mereka selama ini, akan sebab itu juga, adakah pihak pendidik juga memperingati jasa dan pengorbanan dari para pelajar. Adakah, para guru mengambil berat terhadap kebajikan para pelajar. Sebenarnya pihak pendidik perlu peka akan kebajikan dan keilmuan para pelajarnya. Sebagai contoh yang saya hendak nyatakan di sini, berapa ramai guru-guru lepasan universiti yang sanggup berkhidmat di kawasan luar bandar. Alasan demi alasan akan diforumkan di segenap penjuru bagi mengelakkannya. Berapa ramai guru-guru yang sanggup beramah mesra dengan keluarga dan para pelajar bagi mendekatkan lagi suasana keharmonian pembelajaran. Berapa ramai pihak guru yang sanggup mencurahkan atau menunjukkan satu sikap yang sempurna sebagai seorang pendidik yang kaya dengan akhlaqnya di depan para pelajar. Berapa ramai guru yang sanggup tidak menghisap rokok di depan atau di kawasan sekolah. Berapa ramai guru-guru yang sanggup menutup aurat. Berapa ramai guru yang peka akan kesihatan pelajar-pelajarnya. Mungkin semua itu satu pekara yang kecil, tetapi ia melibatkan impak yang cukup besar dan mendalam.

Sebenarnya golongan pendidik perlu peka akan hakikat, bahwa golongan ini merupakan satu golongan yang cukup cabaran dalam apa jua sekalipun. Kita bukan untuk melahirkan golongan yang cemerlang di dalam segenap ujian peperiksaan, tetapi adalah untuk melahirkan satu golongan yang "MURNI" iaitu satu golongan yang dapat membezakan kemuliaan dan kebathilan disegenap penjuru sekalipun. Dengan adanya golongan ini, maka dapatlah melahirkan juga golongan yang ukhwah dari segi akhlaq dan ilmunya.

Allah SWT Berfirman :
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya." (Surah Luqman - Ayat 17).

Saya pernah didatangi oleh pelajar-pelajar yang bermasaalah, dalam ertikata lain, pelajar yang dianggap masaalah di dalam sekolah tersebut. Saya selidiki dan cuba rapatkan diri saya dengan mereka-mereka semua. Apa yang saya dapat kupas dari penelitian saya bahawa, mereka juga insan seperti pelajar lain, cuma mungkin ada sedikit kekhilafan yang telah mereka lakukan dengan tidak atau disengajakan, tetapi itu tidak bermakna ia menjadi identiti mereka selama ini. mereka inginkan satu serapan kasih dan sayang dari seorang guru tanpa mengira status diri mereka, mereka inginkan satu perubahan yang total, tetapi malangnya, peristiwa-peristiwa kedaifan mereka membuatkan mereka dipinggirkan oleh pihak pendidik. Mengapa? sedangkan mereka punyai sifat dan niat untuk menjadi seperti mereka yang terbaik dan berilmu. Pekara ini berlanjutan kepada golongan guru yang lain, yang mengecap bahawa mereka tidak perlu dititik beratkan. Betapa malangnya lagi ada sesetengah pendidik yang sering membeza-bezakan pelajarnya bagi memudahkan untuk mereka mengajar dan mendidik. Sebagai contoh yang ketara, kenapa perlu ada kelas terbaik, kelas sederhana dan kelas lemah dalam setiap sekolah. Bukankah itu satu diskriminasi terhadap golongan yang ingin mencari ilmu. Nabi SAW pernah ditegur Allah SWT atas sikapnya yang pilihkasih dalam menyampaikan risalahNya.

Allah SWT berfirman :
"Ia memasamkan muka dan berpaling,
Kerana ia didatangi orang buta.
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran ugama yang didapatinya daripadamu)! - Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran), Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). Adapun orang yang segera datang kepadamu, Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah), - Maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). Maka sesiapa yang mahukan kebaikan dirinya, dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya. (Surah Abasa - Ayat 1-12)

Mungkin ini sedikit sebanyak dapat membantu para pendidik dalam menjiwai akan diri seorang pendidik, yang dianggap mulia di kalangan pelajar khasnya. Bangunkanlah satu generasi yang berterapkan prinsip-prinsip Islam. Setiap apa yang telah kita lakukan pada hari ini, mampukah ia akan terlaksana dan bertahan?, dengan cara apakah kita hendak terapkan dalam diri pelajar sehinggakan mereka semua itu menjadi golongan yang cintakan Ilmu?. Berusahalah sesuatu yang berguna, berkorbanlah sesuatu demi melahirkan golongan Ullul Albab. WaAllahu'alam.

Muhammad Ibn Nazir.
www.MujahidinCyber.blogspot.com
19hb J-Awal 1430
zue said…
assalamualaikum kIna..

artikel yg kIna tulis ni, masyaAllah dtg tepat pada waktunya.mungkin kIna buleh tulis lg ttg ibu yg mnjd guru kpd ank2nyer.artikel2 kIna yg dulu pon ada jugak tema mcm ni.tp, kalu kIna ada lg pengalaman2 yg mencebar dlm proses mendidik ank2 ni...mohon kongsi lg.

lately ni zue dlm dilema.semenjak mak dtg jaga ank2 (zue pi lab), dia slalu perhatikan dan bgtau yg ank zue yg sulung tuh kadang2 pretend jadik baik.cthnyer, dia tolak adik dia dgn sengaja, pehtu ckp sorry kt adik..pehtu nangis kalu adik x terima.zue yg xtgk kisah sebenar,igtkan yg adik tu salah psl xterima sorry kakak yg xsengaja nih.dlm keadaan penat, kita pon dgn xsengaja tertinggikan suaralah dkt adik tu, which is silap lahkan.wallahua'lam

so, kalu kIna ada cerita2/pengalaman2 menjernihkan air yg keruh antara 2 beradik..sgt2 zue tunggu.terima kasih.
Salam semua,

MUHAMMAD IBN NAZIR : Alhamdulillah, terima kasih juga atas pencerahan tambahan yang diberi. Semoga pengalaman dan pandangan saudara diambil sebagai pengajaran dan panduan buat guru-guru di luar sana.

Juga kepada kita semua sebagai 'guru' tidak lansung dalam hidup ini.

ZUE : Ws, InsyaAllah Kak Ina akan berkongsi mana yang baik untuk manfaat semua. Doakan Kak Ina ye :)

Terima kasih

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA