21 May 2009

KAK LONG PUN BOLEH, UMMI

Setiap kali saya selesai menulis satu artikel baru, anak sulung saya pasti rasa cemburu. Dia sebolehnya mahu menulis seperti saya, tapi bagi saya usianya belum mencapai tahap itu.

“ Ummi, ajarlah Kak Long tulis panjang-panjang, “ desaknya bila membaca hasil tulisan saya.

“ Boleh, tapi bukan sekarang. Nantilah.. bila Kak Long dah sedia dan besar sikit ye,” jawab saya ringkas. Berulang kali dia bertanya, acap itu juga jawapan dari saya.

Mendengar itu, dia pasti diam tanpa bertanya lagi. Namun dari riak mukanya, dia bagaikan tidak berpuas hati. Mungkin juga rasa tercabar dengan jawapan dari Umminya ini.


SEMASA KECIL

Saya masih ingat, ketika anak pertama dan kedua saya berumur dalam lingkungan dua keempat tahun, saya kerap mengikut suami hadir ke program kuliah maghrib atau ceramah. Memikirkan karenah anak-anak yang mungkin berlaku ketika program berlansung, mereka saya bekalkan dengan sehelai kertas dan sebatang pensil setiap seorang. Mendapat itu mereka pasti diam. Tidak banyak meragam. Mereka akan asyik menulis dan menconteng tanpa menghiraukan orang-orang sekeliling. Tekun dan penuh minat.

Kegemaran itu berterusan sehingga mereka besar terutama selepas bersekolah di UK ini. Ruang waktu yang ada, mereka isi dengan melukis dan menulis. Kak Long lebih cenderung menulis sehingga pernah menghasilkan buku cerita rekaannya sendiri. Manakala Kak Ngah lebih gemar melukis dan lukisannya juga lebih cantik dan menarik. Di samping itu, mereka juga berminat dengan computer; dan blog mereka lebih dulu lahir dari saya. Malah saya sendiri belajar berblog dari anak-anak saya berdua ini.


MINDA KREATIF

Perkembangan ini mungkin dirangsang oleh aspek pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang memerlukan pelajar banyak berfikir dan menganalisa di samping pendedahan kepada ilmu-ilmu lain seperti bahasa, kemahiran menulis, mengira dan kemahiran teknologi. Sebagai contoh di dalam matapelajaran Matematik, kaedah yang digunapakai disebut sebagai RUCSAC iaitu singkatan kepada R-read, U-understand, C-calculate, S-solve, A-answer dan C-check.

Bagi matapelajaran bahasa Inggeris pula, penekanan diberikan kepada aspek penguasaan ejaan ( spelling ), tulisan tangan ( hand writing ) dan literasi iaitu kebolehan pelajar mengaplikasi bahasa untuk membaca, menulis, mendengar dan berinteraksi. Selain itu, subjek-subjek lain turut diajar seperti Sains, Geografi, Sejarah, Pendidikan Jasmani dan Agama, yang mengenengahkan info dan maklumat tentang agama-agama utama dunia. Kesan yang amat ketara dari corak pembelajaran tersebut dapat dilihat melalui pertuturan anak-anak Melayu di sini, di mana mereka dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih cepat, mudah dan fasih; di samping cara berfikir mereka juga lebih kreatif dan kritis.

Saya dan suami dapat melihat sendiri begitu kreatifnya mereka sehingga mampu mencipta blog sendiri, disamping mewujudkan pelbagai kelab di internet dan juga mengubah beberapa fungsi di dalam emel. Malah beberapa perkara yang kami juga tidak begitu mahir dengannya, namun mereka mampu berfikir sendiri untuk mencari fungsi-fungsi tersebut. Terlihat sikap berdikari dan tidak putus asa di dalam diri mereka.


PEMIKIRAN BARU

“ Semasa Rasulullah berdakwah kepada penduduk Mekah, hanya orang-orang miskin, hamba dan golongan yang lemah dari kanak-kanak dan wanita sahaja paling ramai menerima Islam,” jelas saya ketika sesi tazkirah bersama anak-anak.

“ Isteri Rasulullah, iaitu Sayyidatina Khadijah menjadi wanita pertama yang beriman, manakala dari kalangan lelaki ialah sahabat Baginda, Sayyidina Abu Bakar as Siddiq. Seterusnya, dari kalangan kanak-kanak pula, didahului oleh Sayyidina Ali bin Abi Thalib yang ketika itu baru berumur 10 tahun,” saya menambah maklumat untuk menerangkan perjuangan dakwah Rasulullah sewaktu bermula di Kota Mekah.

Mendengar ayat akhir saya itu, Kak Long bagaikan terkejut kehairanan. Jelas terlihat ‘tanda soal’ pada wajahnya.

“ Ummi, kenapa pulak Sayyidina Ali, dikira sebagai kanak-kanak yang mula-mula beriman ? Kenapa bukan anak-anak Rasulullah? Anak-anak Nabi kan lebih hampir dengan Nabi sendiri, sepatutnya mereka dulu beriman sebelum Sayyidina Ali,” Kak Long bertanya bertubi-tubi.

Saya terdiam seketika mendengar pertanyaannya. Tidak pernah pula saya terfikir untuk bertanya soalan yang sama ketika seusia dia. Bahkan, sepanjang saya mengajar juga, belum ada anak murid yang melontar soalan ‘di luar kotak’ ini kepada saya. Selama ini, fakta yang ada hanya menyebut, Sayyidina Ali sebagai kanak-kanak pemula beriman kepada Allah dan RasulNya.

” Emm..Ummi tangguh dulu jawapan soalan Kak Long tadi ye. Nampaknya, Ummi pun kena mengaji lagi ni,” saya menyelit sedikit jenaka.

Benar, saya tidak dapat menjawab secara tepat mengapa nama Sayyidina Ali yang ditinta. Adakah kerana ketika itu anak-anak Rasulullah belum lahir ke dunia, atau jika pun ada mereka masih terlalu kecil untuk mengerti berbanding usia Sayyidina Ali yang telah mencapai umur mumayyiz.


KAK LONG PUN BOLEH, UMMI

Ada ketikanya sebagai ibu bapa, kita mudah memandang rendah tahap upaya anak-anak memikir dan melakukan sesuatu lantaran umur yang masih kecil dan pengalaman yang masih terlalu sedikit. Akan tetapi, kita sendiri sebenarnya yang kurang peka terhadap perkembangan anak-anak dalam memerhati kecenderungan serta minat yang mereka tunjukkan sehari-hari.

Demikian juga tanggapan saya. Memerhati perkembangan Bahasa Inggeris anak-anak yang agak drastik kemajuannya, ditambah pula minat yang mendalam pada diri anak sulung saya yang bercita-cita menjadi guru bahasa tersebut, saya menjangkakan penguasaan anak-anak di dalam bahasa ibunda mereka sedikit sebanyak akan jauh ketinggalan. Walaupun saya mengadakan kelas di rumah untuk anak-anak saya belajar Bahasa Melayu, namun ia tidaklah begitu tersusun sebagaimana di sekolah rendah dahulu.

Akan tetapi apa yang berlaku sangat mengejut dan mengujakan saya dan suami.

“ Ummi, Kak Long tengah taip artikel baru untuk blog Kak Long, nanti dah siap Ummi tolong semak ye,” pinta Kak Long pada suatu petang.

“Ok, boleh je, “ jawab saya yang sedang memasak di dapur. Sambil memasak, saya menjengah sekali dua ke bilik komputer. Melihat dia tekun menaip, saya biarkan saja tanpa menyapa. Saya kembali ke dapur untuk memasak nasi dan menyusun pinggan mangkuk.

“ Ummi, kalau kita tak bersenam, apa akan jadi ?” tiba-tiba Kak Long muncul dan bertanya soalan.

“ Emm..kalau tak bersenam, badan mudah jadi gemuk. Sebaliknya jika bersenam, tubuh akan mampu membakar kalori dengan lebih baik, lalu badan akan bertambah sihat,” saya cuba menjelaskan dengan ayat mudah lagak cikgu Sains di sekolah.

“ Oh, macam tu. Terima kasih Ummi, “ balas Kak Long lantas menyambung penulisannya kembali. “Cerita apalah yang ditulis agaknya ya,” bisik saya di dalam hati. Tidak lama selepas itu...

“ Alhamdulillah, dah siap pun..” kata Kak Long. Saya yang mendengar terus ke depan untuk menunaikan janji.

“ Wah, bagus sangat ni,” ujar saya kehairanan berbaur gembira yang bukan kepalang. Saya tidak menjangka Kak Long sudah mampu menulis karangan panjang.

Tulisannya kali ini bertajuk: Eat healthy, Move more, Live longer, dihurai dengan begitu baik dan jelas sekali. Berlatarkan kehidupan sehariannya bersama keluarga di rumah, dia menjadikan iklan kesihatan yang sedang giat dipromosi sebagai rencah utama dalam tulisan terbarunya ini. Suami saya juga memperakukan peningkatan tulisannya ini. Karangannya mempunyai mesej yang jelas dengan olahan ayat berbentuk dialog di dalam cerita.

“ Ummi, Kak Long pun boleh menulis panjang kan ?” celah Kak Long melihat saya bagaikan terpaku membaca ‘buah tangannya’ itu.

Tanpa sedar, saya mengangguk mengiakan. Rupa-rupanya kata-kata saya sebelum ini benar-benar mencabar dirinya untuk melakukan sesuatu di luar jangka.

Bersyukur padaMu Ya Allah, saya belajar sesuatu dari peristiwa manis ini.

Sewajarnya anak-anak tidak diadili berdasar tubuh dan usia yang masih kecil, tetapi bersikap adil kepada mereka dengan melayan kecenderungan dan minat yang ditunjukkan dan memberi panduan agar tidak tersalah haluan. Pasti nanti sebagai ibu dan bapa, kita akan teruja betapa di sebalik tubuh kecil mereka, tersembunyi bakat besar yang mampu dimanfaatkan untuk ummah di masa depan, InsyaAllah.
Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.
Jumpa lagi, InsyaAllah.
26 JamadilAwwal 1430
21 Mei 2009.

18 comments:

mai said...

salam k ina,

semoga semua sihat.
saya dah baca tulisan husna. sayapun macam terkejut dgn tulisan itu, nampak mantap. macam tak percaya saja dalam usia 10 tahun dpt mengarang dengan sangat baik.

saya terfikir, ke mana lagi tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi, kan?!

salam buat husna dan najwa

shaza said...

Salam kak ina,

kak long pun macam UZAR dan kak Ina, bersedia menyahut cabaran...:)

ummi humaira said...

assalamualaikum.. kak ina berjumpa lagi.

bila cakap pasal anak-anak, kita selalu merasakan diri kita betul.. dan ingin merencanakan hidup mereka mengikut aturan kita sendiri tanpa kita sedari kita terlalu mengokong mereka.. hingga mereka tertekan sehingga menitiskan air mata. namun doa & harapan kita (ibubapa) hanya ingin melihat yang terbaik mengelilingi hidup mereka...

ya allah .. hanya enkau yang lebih mengetahui.

Nisha said...

Assalamualaikum ummu Husna dan yang lain,

Entry terbaru kak pun menceritakan kreativiti dan daya mampu anak tapi ceritanya lebih ke arah negatif. Bukan tak ade yang positif cuma yang negatif tu lebih memberi kesedaran. Cubalah baca entry terbaru berbentuk cerita pendek.

Wassalam.

am0i ida said...

salam kak ina..

ida pun dah baca blog husna dan najwa..kagum dengan minat dan kekreatifan mereka..kalau diasah insya allah boleh jadi seorang penulis satu hari nanti..

Izzuddin Akmal said...

masya-Allah..teruja dan kagum dengan kepintaran anak ukhti..semoga kecerdasan kurniaan Ilahi itu dimanfaatkan sebaiknya..amin..

zue said...

salam kIna..
btul kata shaza...kaklong pon mcm UZAR...xmengaku kalah..bgus2..alhamdulillah
ank2 yg determined dgn sesuatu ni kadang2 kita pon xde idea nk kata xboleh/jgn/tidak...

alQasam said...

Askum

Kak Ina sekeluarga yang diRahmati.

Kak Ina di UK sekarang ya? Menyambung PHD atau bagaimana ya.

Benar. Anak-anak perlu diberi dan diajak untuk berfikir kritis dan kreatif. Agar perkembangan minda mereka seimbang dan subur.

Oh, ya ana anak saudara Us Ishak Sulaiman dan Ustazah Nur Izzah. Pernah berjumpa kak Husna semasa salah satu program ustaz.

Semoga keluarga Kak Husna diberkati.

Ummu Husna said...

Salam semua,

Saya berada di Jerman ketika ini. Bersama suami dan anak-anak untuk kembara ilmu sambil bercuti bersama.

Terima kasih atas perkongsian pandangan.Alhamdulillah, kisah Husna ( Kak Long ) hanya satu contoh luaran untuk saya mengenengahkan isi cerita iaitu keprihatinan ibu bapa dalammenilai kemampuan dan 'talent' yang ada dalam diri anak-anak yang masih kecil..

Perjalanan masih jauh dan cabaran yang menanti juga semakin besar dan berencam bentuknya. Hanya istiqamah dan doa yang tidak putus mengharapkan bantuan Allah akan membawa kejayaan.

Mungkin saja diluar sana ada ibu bapa yang memiliki anak-anak yang punya bakat lebih hebat untuk kebaikan Islam dan umatnya akan datang. Itulah yang harus diteliti dari sekarang agar bakat itu dapat digilap agar sinarnya terus cemerlang, tidak sirna bersama peningkatan usia mereka..ke arah yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul Nya.

Ummu Husna said...

Sumayyah (Al-Qasam),

Ye, Alhamdulillah. Kak Ina dan anak-anak di UK menemani ustaz sambung Phd.

Terima kasih atas doa Sumayyah.

Sampaikan salam Kak Ina pada Kak Izzah ye :)

Nisha said...

Assalamualaikum Ummu Husna,

Terima kasih atas ziarah blog kak.

UMMUAFIQ said...

tentu bahgia ada dua org anak perempuan yg baik dan berbakat...

syanashwa said...

salam.. harap kak ina ingat lagi nashwa.. (like u used to.. ;)) baru 'discover' blog akak n harap sgt belum terlambat utk belajar sesuatu di sini.. terutama dalam bab mendidik anak2 di akhir zaman ni! pasti seronok berada di negara org.. byk yang boleh dipelajari...

mai said...

k nashwa: awatlah k nashwa baru discover..dah lama juga k ina ada blog... :)

k ina: seronok nya dpt ke negara2 org...

zakiah said...

Salam ukhuwah Puan

Saya begitu tertarik dengan artikel ini...
Insya ALLAH akan direalisasikan dalam mendidik anak2.
Insya Allah

UnGu VioLet said...

akak, rindunye mar kat akak.. kat anak2 akak semua jugak.. rinduuuuu sgt.. nnt dtg sni, jgn lupa bgtahu mar yer.. slm syg slalu dr mar..

ummumishkah said...

bertuah ye ada anak2 yang pintar..
selamat bercuti!

Anonymous said...

salam puan,
saya ada membaca blog ni 2 3 kali. saya dapati paparan di blog ini terutama yang berkaitan anak2 puan terlalu 'perfect', sampaikan saya terfikir luar biasanya keluarga ini, sempurna sgt2..??!!! apapun, baguslah jika ia bertujuan untuk berdakwah, selamat maju jaya..