MENGIMPIKAN PUTERI ISLAM SEJATI

Satu persatu anak tangga pentas kami turuni. Di belakang kami, tepukan gemuruh masih kuat kedengaran. Alhamdulillah, kami mengucap syukur kehadrat Nya. Debaran yang sekian lama mengiringi setiap kali sesi latihan, telah berakhir hari ini. Kami telah melakukan sedaya yang terbaik. Moga-moga di samping bertanding dan berusaha meraih kemenangan, kami dapat berdakwah menerusi bait-bait nasyid yang kami lagukan sebentar tadi.

“ Wahai puteri, lihat nun di sana. Islam mu kini ketandusan pembela.
Bersama sendu mengalir lesu, tertunggu-tunggu mujaddid baru.
Kembangnya kini diulit sepi, tiada lagi rijaluddin sejati.
Wahai puteri khidmat mu dinanti.
Ummah derita, engkau pengubatnya. Kelembutanmu penawar sengsara.
Engkau penyeri Islam dan tamannya,
Tanganmu bakal menggoncang dunia. "


“ Tahniah , “ kata ketua hakim pertandingan. Baru sebentar tadi nama kumpulan kami diumumkan sebagai Juara Pertandingan Nasyid Puteri Islam, peringkat negeri Selangor.
“ Kamu semua tak teringin ke nak merakamkan suara? Saya rasa kamu ada potensi besar untuk berjaya sebagai penasyid wanita berkumpulan,” tambah beliau lagi cuba memancing minat.

Kami berpandangan sambil berbalas senyuman. “ Terima kasih Puan. Tak pernah pula kami terfikir hingga sejauh itu. Cukuplah kejayaan yang kami raih ini. Hasrat kami lebih kepada untuk berdakwah, bukan menginginkan kemasyhuran, “ saya membalas selaku ketua kumpulan.

Pendirian kami jelas, berdakwah jangan sampai melampaui batas. Suara yang lunak dan merdu dalam nyanyian,walau dinamakan nasyid sekalipun bukanlah untuk halwa telinga lelaki yang bukan mahram. Prinsip itu kami pegang erat,agar matlamat yang murni tidak dicemari oleh jalan yang bukan halal menurut syari’at.


PRINCESS’ DALAM ISLAM

“ Kak Long dan Kak Ngah suka cerita Cinderella dan Snow White ?” tanya saya di suatu petang. Mereka yang sedang asyik membaca buku cerita ‘fairy tales’ dongeng dahulukala, menoleh sambil mengangguk mengiakan.

“ Kenapa Kak Long dan Kak Ngah suka Cinderella dan Snow White ? “ saya bertanya lagi meminta penjelasan.

“ Sebab mereka ‘princess’. Mereka juga cantik, Ummi “ jawab Kak Long yang memang gemarkan penampilan feminin.

“ Kak Ngah suka sebab mereka baik, “ Kak Ngah pula menegaskan sambil mata menatap kembali buku yang dibaca.

“ Ok, hari ini Ummi nak cerita tentang dua orang ‘princess’ dalam Islam,” kata saya sambil mata memandang tepat ke wajah anak-anak.

“ Dalam Islam pun ada ‘princess’ ke Ummi? “ Kak Long bertanya kehairanan. Mungkin belum pernah dia mendengar istilah tersebut sebelum ini.

“ Mestilah ada. Mereka bukan saja cantik dan baik, tapi lebih dari itu mereka juga solehah dan beriman, “ saya menjawab dengan senyum lebar. “ Ceritanya begini…..


KHADIJAH PENDAMPING SETIA

Hartawan, rupawan, bangsawan, budiman, miliki kecerdikan dan..amat banyak yang boleh diperkatakan tentang ‘princess’ pertama Islam ini, Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Segala kesempurnaan seorang wanita idaman jejaka ada padanya. Walaupun begitu, kecantikannya bukan untuk dijaja, akhlaknya luhur sangat dijaga. Tambahan lagi dia seorang wanita berjaya dan berasal pula dari keturunan mulia. Kerana itu, Khadijah dihormati dan dipandang tinggi. Walaupun ramai yang menaruh rasa, hanya sekadar memandang tanpa bicara.

Sebelum menikahi Muhammad, Utusan Terakhir, Saidatina Khadijah pernah melalui dua kali perkahwinan. Namun, kedua-dua suaminya lebih dulu menemui Ilahi. Lalu, dia sendirian meneruskan hari-harinya menguruskan perniagaan sehingga pada usianya 40 tahun, hatinya kembali terpaut. Muhammad al Amin,merupakan seorang jejaka berusia 25 tahun membantu meniagakan barang-barang dagangannya ke Syam. Sifat yang mulia serta akhlak yang sangat tinggi menarik perhatian Khadijah. Dua jiwa bertemu dalam keindahan perkahwinan.

Ditakdirkan mendampingi lelaki pilihan Allah, Saidatina Khadijah menjadi penyokong dan pendokong yang tiada taranya. Di waktu suka dan duka, dia sentiasa setia di sisi. Jika dahulunya, dia terkenal sebagai usahawanita berjaya,namun setelah menikahi Rasululullah segalanya ditumpukan kepada kehidupan berkeluarga bersama suami tercinta. Sampai suatu ketika suaminya gemar beruzlah dan menyendiri, Khadijah setia dirumah menanti. Kelengkapan suami disediakan, urusan rumahtangga dilakukan tanpa resah. Sehingga suatu hari suaminya pulang dalam keadaan menggeletar ketakutan, menerima wahyu pertama tanda bermula tugas berat sebagai Utusan akhir zaman. Saidatina Khadijah dengan tenang menyelimuti suaminya sambil mulutnya manis memberi kata-kata penguat jiwa.

Dia merupakan wanita pertama yang mengisytiharkan keimanan kepada Allah dan RasulNya. Kecintaan dan keikhlasan melapangkan hatinya untuk berkorban seluruh harta demi kelansungan perjuangan dakwah yang baru bermula. Segalanya habis digunakan, tiada sisa walau sedikitpun. Namun di hatinya tiada rasa sesal, apatah lagi menangis hiba mengenangkan harta yang banyak kian hilang dari pandangan. Hujung usianya, Saidatina Khadijah tetap bersama Rasulullah dan orang-orang Islam lainnya walau terpaksa memamah daun kayu sebagai mengalas perut yang lapar. Sehingga akhirnya, dia jatuh sakit dan mengadap Ilahi dengan jiwa srikandi Mukminah sejati. Sungguh Khadijah penenang jiwa dan pendamping setia, sehingga terbit kata-kata yang sangat menyentuh hati dalam sabda Baginda :

“ Demi Allah tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia. Dia beriman kepadaku, ketika orang lain ingkar. Dia percaya kepadaku, tatkala semua mendustakan. Dia mengorbankan seluruh hartanya saat semua berusaha mempertahankannya, dan daripadanyalah aku beroleh keturunan. “


AISYAH ISTERI BIJAKSANA

Rasulullah memanggilnya dengan gelaran manja, ‘Humaira’ iaitu si merah kecil. Merupakan puteri Saidina Abu Bakar, sahabat Baginda yang paling akrab dan isterinya Ummu Ruman. Dari rumah sahabat inilah,kemuliaan dan keberkatannya diangkat terus oleh Allah SWT sehingga terpilih sebagai salah seorang Ummul Mukminin. Dia dinikahkan saat usianya masih muda. Bersama Rasulullah melayari bahtera rumahtangga setelah berhijrah ke Madinah.

Membesar dalam didikan dan asuhan Junjungan Mulia,menjadikan Saidatina Aisyah antara yang paling banyak menghafal hadis secara lansung dari Baginda. Ini ditambah dengan kecerdasan akal dan kuat ingatan yang telah sedia ada pada dirinya. Keadaan ini,menjadikan Saidatina Aisyah sebagai rujukan ilmu setelah kewafatan Rasulullah SAW.

Beza usia yang jauh menjadikan Aisyah seorang isteri yang manja dan pandai mengambil hati. Kemesraan hidup bersama suami tercinta sentiasa menjadi keutamaannya. Dia bijak berbicara, juga petah menghibur dengan kelincahannya. Namun, bukan itu sahaja keistimewaan beliau. Ketika isteri-isteri Baginda yang lainnya datang mengadu kerana cemburu dengan layanan yang diberikan Rasulullah kepada Aisyah , Baginda SAW bersabda yang bermaksud :

“ Janganlah kalian mengguris hatiku kerana Aisyah. Demi Allah,aku tidak menerima wahyu ketika bersama isteri-isteri lainnya kecuali ketika aku bersama Aisyah.”


MENGIMPIKAN PUTERI-PUTERI ISLAM

“ Macam mana,seronok tak cerita ‘princess’ Khadijah dan Aisyah tadi?” saya bertanya setelah selesai sesi pengkisahan.

“ Seronok. Tapi, kita tak dapat tengok mereka Ummi,” kata Kak Ngah membuat perbandingan. Kisah puteri di alam cerita, dan sejarah puteri yang telah tiada.

“ Siapa kata tak boleh tengok. Cuma bukan sekarang, tapi di akhirat nanti. Sebab cerita ‘princess’ dalam Islam semuanya berakhir dengan ‘happy ending ever after’juga. Iaitu di Syurga yang kekal selamanya, jadi….” Saya berhenti menunggu reaksi mereka seterusnya.

“ Jadi apa, Ummi? “ Kak Long tidak sabar menunggu penjelasan lanjut.

“ Jadi kalau nak jumpa ‘princess’ Khadijah, Aisyah dan lain-lainnya kenalah jadi anak solehah dan taat pada Allah. Baru boleh masuk syurga dan jumpa di sana,” saya berhenti berkata. Mudah-mudahan mereka mengerti dan mencontohi. Juga kepada diri ini. Tiada contoh terbaik melainkan suri tauladan yang ditunjukkan oleh srikandi-srikandi Islam silam. Mereka ibu, isteri , juga pejuang agama yang mulia ini. Semoga kami akan bersama kalian, puteri-puteri Islam sejati.

Bagaikan terdengar lirik nasyid ‘Puteri Islam Sejati’ mengiringi kehidupan kami :

Namun ingat puteri,ilmu perlu dicari.
Buat bekalan dalam perjuanganmu nanti.
Pembimbing diri dari thoghut dibenci, tuntutlah seikhlas hati.
Wahai puteri,kau Muslimah sejati. Teguhkan iman,taqwamu di hati.
Taqarrub billah takhta peribadi, amalmu menjadi bukti.
Sabarmu dikagumi,pasrah pada ilahi. Redha menghadapi mehnah Rabbul Izzati.
Usah ditangisi takdir yang sudah pasti, pengorbananmu kan disanjungi.
Puteri solehah,mujahidah, ansarullah. Berbekal iman, sabar, taqwa dan redha.
Berilmu, beramal, berkhidmat, berjuang. Berkorban agar Islamkan gemilang.
Bersama puteri, Islam takkan sepi. Subur disirami,harum mewangi.
Wahai puteri, kau Muslimah sejati.





Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, Insya Allah.


17 Rabi'ulakhir 1430

13 April 2009

Comments

salam ummu husna..

maaf kak aishah lambat reply dari comment yang dulu sebab..pada hari tu kak sya kena ragut..satu handbag dengan penuh muatan PDA phone yang sarat dengan maklumat bisnes dan personal..dan.. bahu juga terkehel sampai hari ni belum sembuh sepenuhnya..masih sakit walau tak seteruk hari tu..tak mau cerita panjang-panjang nanti penuh comment dari kak saya je..satu lagi rumah maya kak sya belum siap lah..belum sesuai tetamu bertandang..he..he..langsir tak ada masih bau cat lagi..faham-faham lah ye..

kak sya doakan agar ummu husna akan share banyak kisah yang boleh dipelajari bagi meningkatkan diri dan masyarakat. Bukanlah nak mengutuk pengalaman kak sya ialah orang-orang Melayu yang kak jumpa kebanyakannya bukanlah ramah atau helpful sangat seperti yang diwar-warkan.

guru-guru pun siap label anak murid 'c' ke 'd' ke jadi macam mana anak murid akan dapat A?cikgu dah set macam tu..maaf ye kalau saya menyinggung perasaan sesiapa..itu sajalah ummu husna..
terima kasih atas perkongsian mengenai persekolahan anak-anak di sana. I am very thanful to Allah for that your children have the opportunity to learn in different environment from Malaysia and still they are under close supervison of a solehah mother (and father too) Insya'Allah..

wasalam
Kak Ummi said…
Aslkm.Dik Ina,kita amat kekurangan bahan bacaan kanak-kanak dalam bentuk penceritaan dan pengkisahan watak-watak Islam yang tak jemu dibaca,tak jemu dihayati dan tak jemu dipandang sebagaimana sukanya amak-anak kita dgn kisah-kisah dongeng cinderella & snow white.Kak Ummi rasakan,Dik Ina pasti mampu merealisasikannya...Tahniah dik atas pengkisahan yang ringkas dan amat menarik!
abu suhaib said…
askm,
Jan lepas UZAR datang Glasgow, tapi tak sempat ke rumah. Bila lapang jemput sekeluarga ke Glasgow.
Abduh.
uzar said…
salam,

Abu Suhaib,

Alhamdulillah dan terima kasih atas jemputan.

InshaAllah, ada kemampuan dan kelapangan, kami akan ke sana dan berziarah ke rumah ust abduh.

zaharuddin
www.zaharuddin.net
Salam,

KAK AISHAH : Simpati dengan apa yang berlaku.

Alhamdulillah, memang rezeki anak-anak saya belajar di negara orang dan dapat merasai keseronokan alam persekolahan yang semakin hilang di Malaysia. Insya Allah, ada kesempatan, saya akan sambung lagi tentang persekolahan di UK ini. Mana yang positif kita ambil untuk kebaikan bersama.

KAK UMMI : Terima kasih kak. Saya pun dah lama terfikir tentang itu. Dan saya juga masih banyak yang perlu dihayati dan dipelajari. Semoga dipermudahkan Allah.
wardatunnuha said…
subhanallah.
sy juga sering leka dan lalai..
terlalu mengagungkn org2/watak2 cerita Barat sedangkan,,
sbgai seorang muslimah,sy sepatutnya lebih mencintai dan menghayati sirah2 serta kisah2 nabi serta sahabat2nya yang mempunyai budi pekerti dan iman yg sangat teguh..

alhamdulillah,,post akak sangat best..dan menyedarkn sy.
truskan menulis,,sy suka!~

:.sy lepasan spm,,sdg menunggu apa2 tawaran.. :)
Blurb said…
asalamualaikum kak husna..

baru terjumpa blog ni.sangat menarik dan bermanfaat,insyaAllah..

berkaitan dengan entry ini,saya mengimpikan untuk memiliki putera dan puteri Islam sejati seperti Nabi dan para sahabat.

Tapi saya terlebih dahulu ingin menjadikan diri saya sampai di tahap itu.kalau tidak,bagaimana saya boleh mendapat mujahid dan mujahidah impian kan?Sebab ibu borek anak rintik... :)
aireensamirah said…
salam alaik..
mengalir air mata saya membaca cerita siti khadijah..
ringkas saj, tp mampu menyentuh perasaan..
kita selalu terleka dgn cerits dongeng rekaan manusia sampai kita tak perasan wujudnya 'pricess happily ever after' dalam sejarah islam..

tahniah dan terima kasih atas perkongsian yg menarik ini..

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA