ENGKAU TERBAIK UNTUKKU

" Aslina, sudah berapa tahun awak berkahwin, " tanya Sibyl, guru Bahasa Inggeris berbangsa Cina.

"Emm..sudah masuk tahun ketujuh, kenapa ? " Saya menjawab dan berbalas tanya pula.

"Awak hati-hati. Biasanya, ramai pasangan yang berpisah pada usia keenam dan ketujuh perkahwinan mereka." Katanya sinis tanda mengusik.

"Alamak Sibyl, cuba awak rasa mulut awak, "saran saya tiba-tiba. "Why?"Sibyl tertanya-tanya.

"Kalau masin mulut awak tu, susahlah saya." Sibyl menyambut dengan ketawa.

Gurauan ada kalanya tersirat kebenaran. Berapa ramai pasangan suami isteri hari ini yang bercerai di usia perkahwinan yang masih muda. Mereka menyatakan semuanya Takdir Tuhan, berpisah lantaran tiada lagi persefahaman. Ikatan suci yang bermula dengan kasih dan cinta, berakhir dengan sengketa dan buruk sangka.


SUATU PERJALANAN

"Tanggungjawab suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, jangan lupa bimbing anak dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan cepat menuding jari. Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tak ditimpa hujan." Teringat pesan ayah di suatu petang.

"Ayah dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan kata-kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi ke Behrang cari mee goreng mamak. Bila sampai saja di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi masam terus tersenyum riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah memujuk hati," ayah menambah berkongsi pengalaman selama 41 tahun bersama arwah Mak.

Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.


SILAP ISTERI

Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang bercerita. Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud :

Wahai kaum wanita, aku lihat
kamu ini lebih banyak di neraka".

Seorang wanita lalu bangun bertanya, 'Apakah yang menyebabkan yang
demikian? Adakah sebab kami ini kufur?'

Rasulullah SAW menjawab, 'Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu
yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu kedalam neraka:

1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami.'


Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu, terus buat biasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya, bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah. Marah marak menyala benci.


YANG LEBIH, YANG KURANG

" Awak beruntung ye Ina, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya. Hari-hari menjeruk rasa, " luah seorang teman yang baru beroleh cahaya mata.

" Suami saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap, " jawab saya supaya dia buka mata.

" Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka, meriah suasana. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila diminta bantu sini dan sana. Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia." pujuk saya lagi. Moga-moga dia berubah hati. Kembali ' memandang tinggi ' kehadiran seorang suami.


ENGKAU TERBAIK UNTUKKU


" Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi."

Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan.

Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi.

Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, " Terima kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri ini. "


Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, Insya Allah.

10 Rabi'ulakhir 1430

6 April 2009.

Comments

Anonymous said…
salam,
kisah rumahtanggan berbagai ragam,suami/isteri masing2 ada kelebihan dan kekurangan,suami akak,kawan2 dia mungkin tahu ada tabiat buruk pada dia,tp kawan2 akak tidak tahu,memang perkara ni akak simpul mati tak ceritakan pada kawan2 akak,kalau cerita akak yang malu,berdoa sentiasa dan korbankan wang ringgit utk dia berubah,alhamdulliah lepas buat haji banyak perubahan pada dia,akak doakan semuga sembahyang fardhu yang dikerjakan cukup 5 waktu berjemaah seboleh mungkin.semuga kami beristiqamah dlm perbuatan baik yg dilakukan
Intan said…
Fitrah manusia,jika dalam keadaan marah,sedikit sebanyak akan hilang pertimbangan.Maka,fungsi PAUSE dan CTRL sangat penting dalam menghadapi suatu ujian atau krisis,bukan sahaja dalam ujian rumah tangga malah dalam masalah-masalah lain jua.

Reflection/Muhasabah diri juga tidak kurang peri pentingnya,untuk perbaiki diri dari semasa ke semasa.

Wallahualam.
Kak fizah said…
Salam,
Akak baru jer menjenguk blog ni.. Cara Aslina bercerita menarik minat akak... lebih2 lagi menyentuh soal keluarga/ rumahtangga.. teruskanlah usaha murni ini... semuga mendapat keberkatanNYA.. InsyaAllah
normi said…
ya....isteri selalu lupa kebaikan suami, tapi mengira2 kekurangannya. Ya Allah jauhkan hamba dari sifat itu.....
D'Rimba said…
Tahniah ustazah dapat seorang suami yang soleh amat menitikberatkan Islam sepenuh hati......Begitu juga kami anak bangsa amat mengharapkan seorang pemimpin sebegitu pentingkan Islam sepenuh hati...........
Salam semua,

Bukanlah tujuan artikel pendek ini untuk menuding jari pada salah isteri semata-mata tanpa menyebut lansung silap di pihak suami.

Sekadar untuk mengingatkan tentang penegasan Rasulullah SAW bahawa ramainya wanita menghuni neraka kerana sifat yang sengaja melupakan kebaikan suami. Semoga kita sentiasa muhasabah diri. Jangan biarkan emosi marah mengawal akal dan hati, amin.
Amoi Ida said…
Salam..

Betul dan setuju dengan pendapat akak...

Pandanglah kelebihan suami dari kekurangannya, insya Allah kita akan rasa sayang dan lebih mempercayai suami seterusnya menghargainya...

Bukan apa, kaum wanita nie perkara remeh suamipun boleh jadi isu yang besar, sedangkan boleh je diatasi dengan cara berhikmah...yerla wanita Allah jadikan peka dan prihatin sedangkan lelaki sebaliknya, mereka lebih fokuskan pada perkara yang besar dan isu yang lebih berat...

Sayapun banyak belajar dari pengalaman dan kesilapan lampau dalam rumahtangga..

Semoga kita saling menghargai suami masing-masing dan terus berusaha menjadi isteri cerdik yang solehah, penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran, di rumah ia isteri di jalanan kawan, di waktu kita buntu dia penunjuk jalan....ehehe nyanyi jap :D
Anonymous said…
tazkirah yang baik untuk saya dan isteri; yang sekarang ini sudah 7 tahun berkahwin.
ummu fatimah said…
Akak memang tertarik dengan artikel ni. Rasa tak jemu-jemu membacanya berkali-kali. Bukan apa, kita sebagai isteri suka sangat mengikut emosi tanpa berfikir panjang. Memang lumrah kita akan cepat lupa kebaikan orang termasuk suami kita apabila berlaku sesuatu yang tidak mencapai kepuasan hati kita. Artikel ini betul- betul dapat memberi kesedaran seterusnya mengubat hati yang sentiasa diuji. Teruskan menulis artikel mengenai perjalanan dan pengalaman dalam alam rumahtangga yang penuh dengan berbagai cubaan dan rintangan yang sentiasa datang untuk menguji kita sebagai hambaNya. Apapun kita kembali kepadaNya memohon keampunan dan diberi petunjuk dan hidayah dalam menjalani hidup yang penuh dengan ujian dan dugaan. Wassalam.
Anonymous said…
dah baca semua entry kat sini..dalam byk2 entry...entry engkau terbaik utk ku membuat saya menangis..menangis atas kesilapan diri sendiri..

apa yg kak ina cakap mmg betul..kerana marahkan suami..saya lupa semua kebaikan yg dia taburkan utk saya...

moga saya lebih sedar selepas ni...bahawa...suami ku adalah yg terbaik untuk ku...alhamdulillah...terima kasih Allah
Unknown said…
salam kak ina,

terima kasih atas entry ini...sedikit sebanyak mengurangkan beban jiwa yg dialami...
amal ariff said…
Salam kak ina..
saya mohon share ye entry ini..

terima kasih
Mya Syazmaya said…
Assalamualaikum ustazah..

salam ziarah dan minta izin untuk copy entry ni di blog saya. catatan ustazah yang ini sangat menyentuh hati saya.

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA