ANUGERAH HIDAYAH


Saya memanggil nama mereka satu persatu. Seorang demi seorang tampil ke depan mengambil markah pada lembaran kertas peperiksaan. Ada yang menerima dengan wajah biasa. Ada yang menerima dengan riak gembira, dan tidak kurang juga yang menerima dengan rupa kecewa. Namun, semua rasa dipendam tanpa sepatah kata.


Bersusun warna biru pada helaian markah pelajar dengan di selang seli satu dua nombor bertinta merah di sebelah nama mereka. Hati saya tidak ceria. Melihat markah yang mendominasi kebanyakannya hanya cukup-cukup makan sahaja, apatah lagi menatap pemilik nama yang memperoleh warna merah. Bimbang, gusar dan amat tidak menenangkan. Suara bising pelajar yang berbual sesama mereka saya biarkan tanpa endah. Saya bagaikan tidak mahu bersuara apa pun saat itu. Hanya melayan kecamuk jiwa yang sedang menebal di dalam dada.



MULIA YANG PERLU DIPUPUK


“ Astaghfirullah, “ saya tersedar dari lamunan perasaan. Alangkah ruginya masa yang ada berlalu percuma. Sesuatu mesti diberitahu. Cepat-cepat saya bangun. Melihat itu, pelajar yang tadi berbual kosong kembali membetulkan duduk. Saya menoleh memandang wajah-wajah muda di hadapan saya, pelajar tingkatan 2 dari dua kelas yang dicantumkan untuk matapelajaran agama. Raut wajah mereka masih molek, belum bernoda dengan sebarang alat solek.


“ Berapa umur kamu sekarang ?” saya menyoal sambil memandang dari depan ke belakang.
“ 14 tahun Ustazah, “ balas mereka serentak.


“ Antara saya dan kamu semua, siapakah yang lebih mulia?” saya menyoal lagi ingin menguji.


“ Tentulah ustazah, sebab ustazah mengajar kami perkara-perkara baik, “ Amal, yang selalu duduk di depan sekali menjawab. Kawan-kawannya menggangguk mengiakan.


“ Kalau saya kata kamu sebenarnya lebih mulia berbanding saya, bagaimana ?” saya melanjutkan pertanyaan. Anak murid di hadapan saya saling berpandangan.


“ Takkan kami lebih mulia berbanding ustazah, “ kata Amira pula dengan wajah jelas tertanya-tanya. Saya tersenyum sebelum melanjutkan bicara. Kelihatannya mereka teruja dengan pertanyaan saya. Ini peluang baik, hati saya berbisik.


Saya kembali duduk bertimpuh di hadapan mereka. Waktu-waktu begini suasana di dalam surau memang sunyi dan damai. Hanya bunyi putaran kipas angin yang sampai ke gegendang telinga.


“ Ustazah, ceritalah kenapa ustazah kata kami lebih mulia, “ desak dua tiga pelajar yang duduk sebelah menyebelah. Nampak tidak sabar mereka mendengar penjelasan selanjutnya.


“ Umur kamu dan saya sangat berbeza. Saya sekarang berumur 31 tahun sedangkan kamu baru berusia 14 tahun. Kamu masih muda sedang saya semakin berusia. Jika dihitung dosa tentulah kamu lebih mulia dari saya, kerana dosa kamu masih sedikit berbanding saya yang telah hidup lebih dulu,” saya menjelaskan penuh keinsafan. Pelajar yang mendengar menekur memandang lantai.

“ Jadi, saya amat berharap agar kemuliaan ini kamu kekalkan. Hari ini, esok dan seterusnya untuk masa-masa akan datang,“ saya menambah bual kata.


“ Apa yang boleh kami buat Ustazah ? “ Asyikin mencelah.


“ Banyak. Antaranya ialah dengan berbuat baik sesama kawan dan guru-guru, juga tidak lupa perintah Allah dan jauhi laranganNya. Kita mulia kerana Iman dan Islam, bukan dengan pangkat, kecantikan dan harta kekayaan, “ panjang lebar saya menghuraikan.



ALLAH LEBIH MENGETAHUI


Saya bergerak ke papan putih, mengambil pen dan melukis satu bulatan kecil. Pelajar di belakang kedengaran berbisik antara mereka.


“ Baik, siapa boleh beritahu saya, benda apakah yang saya lukis ini ?” saya bertanya seraya menunjuk kepada bulatan di atas papan putih.


“ Bola Ustazah, “ satu suara dari belakang menjawab dengan nada berjenaka. Semua ketawa mendengarnya. Saya menggeleng kepala tanda jawapan yang diberi tidak mengena.


“ Bulan..bulan..,” jawab pelajar di tepi kanan saya pula. Sekali lagi saya menggelengkan kepala.
“ Bukan juga. Kalau begitu saya fikir matahari sedang gerhana, “ Amal pula menjawab disambut gelak besar kawan-kawannya. Saya yang mendengar turut tercuit hati.


“ Baik. Semua jawapan tadi salah. Apa yang saya lukis ini ialah sebiji kuih pau.” Kali ini giliran saya pula diketawakan oleh mereka. Mungkin gelihati dengan jawapan yang tidak mereka sangka.


“ La...kuih pau rupanya. Ustazah ni buat lawak je la, “ ujar Amira, sempat lagi mengenakan saya. Saya tersenyum, terhibur dengan keriuhan anak murid di depan mata.


“ Lawak Ustazah bukan sebarang lawak. Ustazah sebenarnya membuat satu analogi mudah, bahawa sesuatu yang dilukis, walau ada pelbagai tafsiran orang yang melihat, tapi jawapan yang tepat tetap ada pada si pelukis. Dia lebih tahu kerana dia yang melukisnya,“ Saya kembali serius menyambung penjelasan.


“ Demikianlah Allah SWT. Tuhan yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. DIA menjadikan kita dari tiada kepada ada, tentulah Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita jalani sepanjang hidup di dunia ini.” Saya memanjangkan huraian. Kelihatannya mereka semakin berminat mendengar.


“ Lalu Allah menurunkan wahyuNya berupa perintah dan larangan melalui Rasulullah SAW agar kita mampu menjadi mulia sebagaimana yang dikehendaki oleh agama. Allah perintahkan kita solat, puasa, mengeluarkan zakat, mengerjakan Haji, menutup aurat, menuntut ilmu, berbuat baik sesama manusia dan banyak lagi. Juga Allah melarang minum arak, berjudi, berkata keji, malas belajar dan lain-lain lagi. Semua ini merupakan peraturan-peraturan yang wajib kita patuhi sebagai orang Islam yang beriman kepadaNya. Segalanya telah tertulis di dalam al Quran dan Sunnah RasulNya,” saya menambah lagi dan lagi.



KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT


“ Saya tahu ramai di kalangan kamu yang memperoleh markah cemerlang dalam subjek-subjek ; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan lain-lain. Tahniah saya ucapkan. Cuma apa yang agak mendukacitakan saya, mengapa pencapaian kamu dalam subjek agama tidak secemerlang seperti yang lain-lainnya ?”


“ Bayangkan jika markah yang kamu perolehi ini, seumpama peratusan iman untuk kamu persembahkan di hadapan Allah kelak, apa agaknya pengakhiran yang bakal kamu terima. Syurga atau neraka ?” bertalu-talu saya menyoal supaya mereka berfikir dan terus mencari jawapan.


Hilang sudah gelak tawa. Kini, masa untuk bermuhasabah pula. Saya sayang mereka sebagaimana saya menyayangi diri saya sendiri. Mereka masih punya banyak masa untuk berubah dan memperbaiki diri.


Suasana sunyi. Saya hanya memerhati dan membiarkan mereka berfikir sendiri. Depan, belakang, kiri dan kanan. Semuanya bagaikan sedang bermonolog di dalam diri.


“ Saya yakin pelajar-pelajar di hadapan saya sekarang ini bakal bergelar doktor, pegawai tinggi, peguam, arkitek, guru, ahli perniagaan dan mungkin juga pemimpin negara di masa depan. Saya amat berbesar hati mengingatkan itu. Akan tetapi, saya akan lebih berbangga jika yang muncul kelak adalah doktor, peguam, arkitek, guru, ahli perniagaan dan pemimpin negara yang menjadikan Islam sebagai panduan hidupnya. Ringkasnya kamu cemerlang untuk kehidupan dunia, juga gemilang untuk kehidupan di akhirat sana,“ saya berhenti seketika. Memandang mereka sekilas sebelum menyambung semula bicara.


“ Saya percaya kamu semua mampu melakukannya. Lihat markah kamu hari ini dan berjanjilah pada diri sendiri untuk memperbaiki keputusan bagi peperiksaan akan datang. Bukan sekadar untuk peperiksaan di dunia, tetapi juga untuk persediaan menghadapi alam sebelah sana. Alam akhirat yang tiada lagi hayat dunia. Apa yang perlu adalah usaha, dan tidak kenal malu untuk bertanya. Jika tidak mampu menyoal di dalam kelas, saya berharap kamu berjumpa saya di luar pengajian. InsyaAllah saya akan cuba membantu,” saya menutup kata dengan menarik nafas sedalam-dalamnya. Bagaikan ada sinar harapan pada wajah-wajah di hadapan saya.



ANUGERAH HIDAYAH


Wajah-wajah bersih itu kini tidak lagi berada di hadapan saya. Semuanya tinggal sebagai pengalaman yang sempat saya kutip sewaktu berada di alam pendidik. Pengalaman yang turut mengajar saya menghargai mereka yang bergelar anak murid.


Saya hanya menyampaikan, selebihnya doa saya panjatkan ke hadrat yang Esa agar hidayahNya mengiringi kehidupan mereka untuk semalam, hari ini dan akan datang. Melihat sebahagian mereka sudah mula mengenakan pakaian menutup aurat, menjadikan saya orang yang paling bersyukur atas nikmat dan anugerah hidayah dariNya. Mereka saya titipkan di bawah pentarbiyahan ustazah lain yang masih terus berjuang di samping mereka.


Terima kasih anak muridku. Kalian kekal sebagai sebahagian dari orang-orang yang pernah hadir di dalam kehidupan saya di dunia. Kita pernah bersama seketika, dan moga ada jodoh untuk kita berjumpa pula di ‘sana’. Firman Nya yang bermaksud :


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Yang Menguasai hari Pembalasan (hari akhirat). Hanya kepada Engkau (Ya Allah) kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Bimbinglah kami ke jalan yang lurus. Iaitu jalan orang yang Engkau telah anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang dimurkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat.
( al Fatihah : ayat 1 – 7 )

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, InsyaAllah.


6 Jamadil Awwal 1430


1 Mei 2009

Comments

Intan said…
salam wbt akak...

pasal 'siapa yang lebih mulia' yang Kak Ina pernah juga cakap dulu2 kat kami,saya ingatnya sampai sekarang :)

alhamdulillah,in a way,ia membuatkan saya rasa rendah diri,dan mahu berusaha lebih kuat untuk menambah amal bagi mendapatkan kemuliaan yang selayaknya.


Jzkk

PS:mahu sentiasa improve diri...akak iringilah kami dengan doa ye
Salam Intan,

Kita sama-sam perbaiki diri..ok :)
Ye, kemuliaan hanya datang bila kita mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan laranganNya..

Semoga Allah sentiasa menunjukkan kita jalan yang benar hingga ke penghujung nyawa dan kembali dengan mendapat redhaNya, amin..amin ya Rabb.
saiful islam said…
salam...syukur sebab jumpa blog nie..
artikl pertama dh menarik hati..harap2 dpt trus ambil manfaat dr blog nie...ameen..
maryam yaseerah said…
salam k.ina, br baca 2 perenggan artikel akak, dah buat sy b'genang air mata.. betapa sy pun tak la baik sgt utk jd ustazah yg excellent utk anak2 didik sy, kak.. hrp akak terus kongsi ngan sy n sume, tips2 utk jd ustazah yg excellent n hasanah di dunia dan akhirat.. terus bkongsi kak.. :-) thanks
maryam yaseerah said…
salam k.ina, br baca 2 perenggan artikel akak, dah buat sy b'genang air mata.. betapa sy pun tak la baik sgt utk jd ustazah yg excellent utk anak2 didik sy, kak.. hrp akak terus kongsi ngan sy n sume, tips2 utk jd ustazah yg excellent n hasanah di dunia dan akhirat ye.. doakan sy sama, ye kak ina :-) thanks
Amoi Ida said…
Kak ina,

bagaimana pula umur mereka yg melalui transformasi dari hidup dalam kelalaian kepada keinsafan...

seperti saya yang hidup sudah berpuluh tahun tetapi memperoleh sentuhan tarbiyah baru beberapa tahun...seperti mati hidup semula...

hendak mengejar n menampung amal terhadap umur yg sudah tertinggal jauh tentulah sukar, apalagi dalam keadaan dikelilingi amanah menguruskn rumahtangga n anak2...

mudah2an amanah ini menjadi sebahagian dari ibadah yang ikhlas kerana Allah, dan tugas istimewa ini akan kami perolehi gajinya di akhirat kelak, ameen
Suluh Hati said…
Salam..artikel yang menarik..
Seorang guru besar peranannya pada seorang murid..saya sendiri menerima sentuhan tarbiyyah dari seorang ustazah yang amat besar kesannya dalam keseluruhan hidup saya hingga kini, yang membantu saya menentukan hala tuju kehidupan saya...

Semoga Allah merahmati kalian para muallim dan muallimah..andai semua guru jiwa nya besar dan kasih nya tulus, pasti dunia akan jadi lebih indah...
Salam Aslina,
terasa rindu sungguh di hati bila baca coretan Aslina. Sekolah memang kehilangan sebutir permata yang sangat berharga apabila Aslina ambil keputusan untuk berhenti bukan saja para-pelajarnya tapi seluruh warga sekolah ini.

Tapi saya pasti, Aslina telah membuat keputusan yang tepat setelah mengambil kira berbagai perkara dan meminta petunjuk daripadaNya.

Cuma hati ini dan para pelajarnya memerlukan lebih insan seperti Aslina untuk sentiasa memberi teguran dan mengingatkan kami yang sentiasa alpa.

Mungkin blog ini salah satu caranya. Keep on posting!
noraslina.jusin said…
Salam semua,

Terima kasih atas perkongsian pandangan.

SAIFUL ISLAM :Sama-sama kita mengambil manfaat. Semoga Allah sentiasa menunjukkan jalanNya, ameen.

MARYAM YASEERAH : InsyaAllah, Kak Ina akan berkongsi mana yang baik dan boleh dijadikan panduan bersama. Kak Ina pun masih belajar juga. Jadi, sama-sama kita berkongsi ye..belajar dari pengalaman kehidupan :)

IDA : " Setiap anak Adam itu berdosa dan melakukan kesalahan, namun sebaik-baik orang yang berdosa ialah orang-orang yang bertaubat".( maksud Hadis )

Setiap kebaikan menghapus kejahatan dik, jadi mari kita banyakkan berbuat amalan baik selagi masih ada hayat. Insya Allah, amal yang ikhlas walau sekecil zarah pun, besar nilaiannya di sisi Allah.

SULUH HATI : Ye, Kak Ina setuju :)dan terima kasih atas doa, ameen ya Rabb.

KAK PUTERI : Terima kasih atas sokongan kak.Ina juga masih banyak yang perlu dipelajari dan masih terus memperbaiki diri.

Ye, mudah-mudahan melalui blog ini Ina dapat saling ingat mengingatkan sama ada untuk diri sendiri juga kepada yang membacanya. Semoga Allah sentiasa memberikan Ina kekuatan.

Salam buat warga SA yang sentiasa dalam ingatan :)
zue said…
salam kIna,
alhamdulillah..terima kasih krn berkongsi artikel ini.boleh mnjd panduan buat zue yg sedang mencari2 idea mcm ni...syukur
thanks
Salam, Zue.

Alhamdulillah, terima kasih kembali.
Kita semua pendidik, mendidik diri sebelum orang lain.

Semoga Allah sentiasa melorongkan kita jalan untuk memperolehi jiwa yang menyintaiNya,ameen.
adisa said…
saya sangat bernasib baik kerana kedua orang tua mempunyai kesedaran tuk memberikan pendidikan agama kepada saya. tambahan pula kerajaan johor ada menyediakan pendidikan agama kepada pelajar cam saya yg bersekolah rendah/menengah pada sesi pagi/petang. guru2 sekolah agama saya pula amat berdedikasi mengajar kami. saya amat berterima kasih terutama kepada ustazah yg mengajar akidah. sehinga hari ini setelah saya memasuki alam pekerjaan saya sedar kekuatan dalaman yg saya ada ni berkat ilmu yg mereka ajarkan kepada saya. tanpanya mungkin saja saya hidup tanpa pedoman. segala puji untuk-NYA jua.
Sakinah said…
Assalamualaikum..

cara yang digunakan untuk sampaikan Allah lebih mengetahui amat menarik

boleh dijadikan panduan untuk mendidik anak

syukran berkongsi :)
Ummi Humaira said…
memang kalau saya di ambil nyawa saya sekarang, saya tau dimana tempat saya di sana.. amalan yang cincai-cincai, hanya yang wajib saja bekalan, sentiasa mempersoalkan masalah mencari imej diri..

astagfirullah... alhamdulillah allah temukan dengan suami yang banyak membimbing dan tak berkompromi dalam bab agama..

ampunkan dosa-dosa ku ya allah.
Hisservant said…
salam, kak,
saya ambil kisah pau tu utk jadikan modul fasilitator kami ya?
thanks, sangat memnbantu =)
HISSERVANT : Ws, Alhamdulillah, silakan :) Semoga kita semua beroleh manfaat darinya.

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA