18 March 2009

TIADA RAMUAN RAHSIA !

Bahan-bahannya tiada yang luar biasa. Seekor ayam, sedikit cili padi, cili giling, kerisek kelapa goreng, serai, daun kunyit, santan dan bahan-bahan tumisan lain.Itu sahaja ramuan 'Ayam Rendang' mak..tapi rasanya. Sedap tidak terkata.

Sedapnya rendang mak, sampaikan Ah Meng, taukeh kedai membaiki motosikal di Behrang Stesyen sering menempah untuk jamuan rakan-rakan Islamnya sewaktu sambutan Tahun Baru Cina.

Sehingga hari ini pun, selepas hampir 11 tahun mak 'pergi', saya dan adik beradik lain merindui kesedapan Rendang ayam air tangan mak. Walau lazat bagaimana sekalipun orang lain memasaknya, tetap tak terbanding buatan tangan mak.

AIR TANGAN DAN BISMILLAH

Bila orang-orang bertanya pada mak,

" Apa ramuan rahsia rendang makcik ni..lazat".

Jawapan mak mudah sahaja," Tak ada ramuan rahsia pun. Sama je macam orang lain buat. Cuma...."
'Cuma apa mak ? Mak lebihkan kerisek ye?' sampuk saya tanpa sempat Mak menghabiskan bicara.

Mak tersenyum, 'Cuma...jangan lupa baca Bismillah. '

Air tangan ibu ada makna tersendiri.Di dalamnya melimpah rasa cinta, melaut rasa kasih dan sayang untuk suami dan anak-anak. Mungkin itulah 'ramuan' tambahan penambah kelazatan apa jua masakan mak. Walau penat, memasak untuk keluarga tetap jadi keutamaan. Lelah hilang melihat anak-anak berebut menjamah hasil masakan...penat terubat dengan sendawa kekenyangan mereka...Esok pagi, tengahari dan malam rutin memasak berulang kembali .

Juga, membaca Basmalah setiap kali memasak, bukan sekadar memperolehi pahala bahkan menambah lagi keberkatan dan nikmat yang dirasa. Mungkin nampak kecil dan remeh, tetapi mungkin itu 'perisa' penambah selera.
Merenung kepada sepotong hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Bahawa sesuatu perbuatan yang baik tanpa dimulai dengan Bismillah maka ia akan terputus dari rahmat Allah s.w.t. "

Amalan yang kecil dan mudah, tetapi menjadi berat dan sukar jika tidak dibiasakan.


KERUNTUHAN AKHLAK REMAJA HARI INI

Sudah lama persoalan ini bermain di fikiran saya. Adakah keadaan hari ini dimana ibu-ibu kurang memasak untuk keluarga, lantaran sibuk dengan kerjaya menyumbang serba sedikit kepada keruntuhan akhlak anak-anak mereka? Tugas dan kerja sebenarnya bukan alasan, jika kemahuan untuk menghidangkan keluarga dengan air tangan sendiri tersemat kukuh di dada dan waktu untuk itu diusahakan seboleh mungkin agar makanan yang tersedia bukan juadah 'tunjuk' atau lebih parah hasil air tangan pembantu rumah.

Kejadian malang anak-anak dan suami jatuh kasih kepada pembantu rumah bukan lagi asing dalam masyarakat kita. Lantaran, tanggungjawab memasak dengan mudah diserahmilik kepada pembantu, lazatnya makanan kerana dibeli dari gerai dan restoran. Bukan sekali sekala, tetapi sudah menjadi acara biasa. Inilah kerugian yang tidak terlihat dek mata dan mungkin tidak terjangkau dek pemikiran ibu-ibu moden hari ini.

Tidak salah sesekali bersama keluarga merasa makanan 'luar', asal tidak menjadi kebiasaan. Akur, situasi wanita zaman kini yang berkerjaya dan turut menyumbang kepada perkembangan masyarakat dan negara. Namun, pilihan tetap di tangan kita.

JAUH DI PERANTAUAN

Kini telah hampir setahun saya dan keluarga menghuni negara orang. Sebelumnya di pekan kecil, Lampeter di Wales. Setelah hampir sepuluh bulan, kini kami berada di Leicester, England.

Berjauhan dari tanahair, menjadikan memasak suatu kemestian setiap hari. Manakan tidak, di sini tiada gerai menjual sate ayam, laksa, mee kari dan bermacam lagi makanan Malaysia amnya, dan masakan Melayu khususnya. Mahu tidak mahu keinginan suami dan selera anak-anak harus dipenuhi. Untungnya di sini, ia tidaklah sesukar mana, kerana bahan-bahan masakan Malaysia masih mudah diperolehi. Kemudahan internet juga boleh dimanfaatkan untuk menambah resepi yang ada. Tepuk dada tanya selera.

Jika di Malaysia, kemahuan memasak sering kalah dengan deretan gerai-gerai tepi jalan mahupun restoran-restoran eksklusif, pasar-pasar malam,restoran makanan segera dan bazar Ramadhan degan pelbagai pilihan, justeru di perantauan merupakan ketika yang paling sesuai untuk 'menyintai' dapur dan memasak. Teringat kata-kata seorang chef terkenal di UK ini di dalam rancangannya, Rosemary Shregger's School for Cook :


To love food is a passion, but to love cook is a gift


Mulakan di sini. Mudah-mudahan suami tertambat hati, bertambah cinta di sanubari. Moga anak-anak terikat jiwa, mudah mendengar kata dan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah di dunia juga akhirat sana.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.



Jumpa lagi, Insya Allah


19 Mac 2009

22 Rabi'ulawal 1430


4 comments:

Min said...

thanks for the reminder...

tapi memang mudah cari benda makan kat leicester ni kan kak ina... moga min pun rajin memasak macam kak ina jugak...

Khashiyah said...

Assalaamualaikum Ummu Husna,
Satu kerja yang penting ialah mencari JALAN YANG BENAR. RosulAllah SAW berkata bahawa daripada 73 jalan hanya 1 yang benar. Yang 72 TIDAK!
Mengikut Imam Al Ghozali, selepas research yang terperinci ( Al Mungkidz Minad Dhalal dan The Confessions of Al Ghazali), bahawa jalan yang satu ini ialah jalan Ahli Sufi.
Alhamdulillah. Semoga Ummu Husna sekeluarga akan jadi Kawan Allah ie Ahli Sufi.
Khosyiyatullah
( khashiyah@gmail.com)

teacher_arni said...

salam...betul tu kak..air tangan mak kita,walau se'simple' mana pun tetap sedap...

mak saya pun selalu pesan waktu masak, baca solawat..

pastu mcm ust shrfh hayati pesan, baca 'bismillahisyafi 3x'.lepastu kacau masakan ikut arah lawan jam...insya Allah keberkatan itu ada..

erm..dalam proses belajar masak lagi ni he..=)

ummufawwaz said...

salam ina.

sampai sudah saya tk pass2 lg masakan mak..tak tau la sbb ape..
huhuhu..
tp alhmdlh, duk diperantauan ni,duk rumah full time hoswife,barulah berkesempatan nk msak 'betul2'..dulu dek kesibukan kerja,asyik2 sardin & ayam kicap..tu pun alhmdlh..sempat masak sbb suami sabar tunggu saya masak sbb sama2 balik keje..huh..

la ni, alhmdlh, nikmat sungguh duk rumah ni..

p/s..