MARI BELAJAR MEMASAK BERSAMA SUAMI


Nanti! Jangan terus beralih mata. Teruskan membaca sehingga penghujung cerita.


“ Emm..rasanya tajuk ni tak berkaitan dengan saya, saya masih bujang trang tang tang lagi,“ mungkin itu telahan awal yang terfikir di minda. Senyum sendiri agaknya si anak dara.


“ Suami saya tak pandai memasak , macam mana pula dia nak mengajar saya? “, soalan kedua pula menyusul tiba. “Ada faedah ? “, ekor soalan masih berbaki di kepala.


“ Suami saya boleh dan pandai memasak, tapi dia sibuk. Susah nak cari masa belajar memasak bersamanya “, luah yang ketiga.


Cukup..cukup. Belajar memasak bersama suami tidak perlu kemahiran memasak. Juga boleh dilakukan bila-bila masa pun. Cuma, ia memerlukan kerjasama, faham memahami dan sikap tidak putus asa. Tak percaya ?



**********************************



Suami saya juga bukan mahir masak-memasak. Bukan bidang beliau. Walaupun begitu, saya mengaku, cekodok ikan bilisnya lebih sedap berbanding saya. Sibuk. Tidak perlu saya cerita. Akan tetapi saya banyak belajar memasak daripadanya.



Kami disatukan ketika ibu saya dan ibu suami telah tiada di alam ini. Takdir ilahi, saya tiada rujukan kedua-dua ibunda tersayang. Namun kekurangan ini ditampung dengan sikap suami yang sentiasa memberi kritikan terhadap hasil air tangan saya.


“ Lain pula pandangan abang dengan ustaz-ustaz lain ye “, bicara saya di suatu petang sambil makan cekodok ikan bilis air tangan ‘abang’.


“ Biasanya dalam ceramah, tentu mereka menganjurkan supaya suami memuji masakan isteri. Bimbang.. rajuk isteri, tak mahu memasak lagi”, tambah saya.


“ Itu betul, sedap perlu dipuji. Tapi yang tak betulnya, pujian tidak bertempat. Asyik ingin mengambil hati sehingga lambat laun memakan hati sendiri. Apa yang kurang mesti disebut, supaya kemahiran isteri dapat dipertingkat. Hasilnya, masakan semakin sedap, pujian suami tentu lebih kerap” , suami menjawab bercampur galakan.


" Kritikan suami pula perlu berisi. Jangan hanya masam, masin dan manis sahaja; tetapi pekat atau tidak kuah yang dijamah, rempah yang kurang atau perlu ditambah, juga mesti masuk dalam senarai kritikan. Baru isteri tahu di mana yang perlu diperbaiki. Ringkasnya, suami juga mesti pertingkat kemahiran ' merasa ' supaya kena caranya ", tambah suami memberi 'tip' bagaimana teguran yang sewajarnya diberi.



***************************************



Penjelasan tadi ada logiknya. Seorang isteri yang sentiasa mengharapkan pujian suami terhadap semua masakannya, sedap atau sebaliknya; tidak akan ada peningkatan diri. Isteri yang bijak akan menjadikan kritikan suami sebagai motivasi untuk mempertingkat kebolehan diri. Apa yang kurang ditambah, apa yang lebih dikurangkan.


Suami yang sayangkan isterinya pula akan sentiasa bersedia menjadi pengkritik setia, supaya masakan isteri bertambah baik dan sedap. Sedap hakiki bukan hanya sedap di lidah. Justeru nanti ia akan dijamah keluarga, tetamu juga sanak saudara. Lebih elok pula, kritikan diberi dalam bentuk santai dan jenaka. Hati isteri tidak terasa, jiwa isteri rasa bahagia. Tanda suami menghargai susah payahnya menyediakan juadah.


Jika ada luang masa bawa isteri membeli buku atau majalah pelbagai resepi. Tentu semangat isteri akan bertambah untuk menyediakan makanan untuk keluarga tercinta.


Mudah bukan, belajar memasak bersama suami? Anda, bagaimana?



Mencari dan terus mencari cinta ilahi.

Jumpa lagi, Insya Allah.


30 Rabi'ulawwal 1430

27 Mac 2009

Comments

Salam kak Ina,

Penulisan secara santai ini sangat bermanfaat walaupun bagi mereka yang belum berkahwin...sekurang-kurangnya dapat bersedia apabila menjadi isteri kelak :).
Akan datang,jika tak keberatan, kak Ina boleh tak ceritakan pengalaman semasa menjadi guru suatu ketika dulu, bagaimana akak membahagikan masa dahulu dan kesukaran-kesukaran yang dihadapi disekolah atau dirumah...
Terima kasih

Shaza
Ws, Shaza.

Ye, betul tu. Persediaan mesti ada..

Insya Allah.
Klinik Ummi said…
Assalamualaikum.

Tahniah dan Salam perkenalan serta ukhuwwah dari Kak Ummi untuk Dik Ina!Kak Ummi baru habis baca posting Ina dari awal sampai akhir.Alhamdulillah..sangat banyak manfaatnya.Terimakasih dik...Akak tunggu tulisan2 Ina seterusnya..!
ady said…
Salam,
Saya sekarang ditakdirkan menjadi househusband.Segala urusan dapur dan anak2 saya yang menguruskan kerana isteri yang 'berkerja'(buat PhD.Saban hari berkawan dengan periuk belanga dan rempah ratus kadang kala mencetus rasa bosan.Apatah lagi jika dikomen sang isteri.Alahai...egonya hati seorang lelaki.Namun disebalik semua itu,saya sangat menyedari dan menginsafi susah payah seorang wanita yang menjadi surirumah.Tidak mudah sebenarnya.Tatkala masa banyak dihabiskan di dapur dan anak-anak, saya berdoa di hujung hari,agar ini semua menjadi medan ibadah saya.Saya juga ingin mencari redha Ilahi.
mrsalqasam said…
Salam

Ana tertarik dengan apa yang suami akak kata. Padat dan berhikmah sekali.
ummufawwaz said…
salam ina..
setuju apa yg ustaz cakap..heheh..
biasanya suami saya kalau apa yg saya buat 'mcm tk sedap', dia cakap camni je."alhmdulillah..ok je tp kurang itu ini.."..hehehe..
alasan dia tk mau komplen direct,takut merajuk..pastu tk mo dengar pot pet..hehehe

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA