BEGITUKAH AKHIRNYA ?

Ruang yang tadi terang benderang, tiba-tiba menjadi gelap. Hajat di hati ingin membaca sebelum melelapkan mata terpadam dek kegelapan malam.Aku bingkas bangun dari katil, menuju ke pintu. Tujuan di hati ingin meninjau ke bilik anak-anak.


" Tentu mereka sedang tidur lena.." getus hati sambil tangan meraba mencari tombol. Namun...

" Ummi, Kak Long dan Kak Ngah tak boleh tidur.. ada nyamuk..panas pula tu." Belum sempat pintu bilik dibuka, anak-anak lebih dulu menyua muka. Terpisat-pisat mereka mengesat mata. Dalam kesuraman cahaya bulan purnama yang masuk menembusi tingkap bilik, aku mendorong mereka ke katil. Suamiku kebetulan tiada di rumah kerana berprogram di luar kawasan.

" Kak Long dan Kak Ngah tidur dengan Ummi ye...elektrik tak ada malam ni ."

Oleh kerana masih mengantuk, mereka menurut sahaja tanpa banyak bicara. Aku mengambil majalah yang tadi ingin dibaca, kujadikan kipas untuk menyejukkan sedikit pusaran udara sekitar bilik kecilku.

" Kak Long dan Kak Ngah tidur ye, Ummi tolong kipas. Nanti sejuk sikit.." Aku berkata. Sempat telinga mendengar dengungan si nyamuk. Sambil mengipas, aku membuka mata luas, kalau-kalau ada nyamuk yang datang hinggap di tubuh anak-anakku..kasihan mereka. Terpaksa melelapkan mata dalam keadan tidak selesa begitu.


Itu di dunia...Entah mengapa sambil mengipas dan menampar nyamuk yang hinggap seekor dua, fikiran melayang mengenang keadaan di akhirat sana.


Di sini, aku masih boleh menjadi 'penyelamat' anak-anak dari situasi yang tidak menyenangkan. Mereka juga tetap mencari Ummi mereka ini untuk mengadu nasib diri. Bagaiman di sana nanti ? Mampukah lagi aku menjadi penyelamat mereka dari terjunam ke lembah neraka...Na'uzubillah. Dan, adakah anak-anakku mencari Ummi ini sekadar untuk menagih janji..


" Dulu di dunia, Ummi kata Ummi sayang kami. Sekarang ini kami minta bukti ".. mungkin itu jerit mereka. Di depan titian Sirat menanti..di bawahnya jurang neraka berapi.

" Kami tak bersalah, Ummi kami yang menjadikan kami tidak solehah..Salah kami tidak ditegur, silap kami tidak diperbetul. Lantas, kami terus dengan diri sendiri..Pakaian kami tidak ikut syariat. Ummi kata, tak mengapa kerana kami masih belum dewasa. Solat kami culas, Ummi kata tak mengapa. Dah baligh kelak, baru Ummi galak. Gelak tawa kami berdekah-dekah. Ummi buat tak endah. Ummi kata, tak mengapa. Dah besar nanti, baru Ummi menyapa..jangan begitu bila ketawa."

" Namun belum sempat Ummi menegah, Ummi lebih dulu meninggalkan alam ini. Kami dah biasa begini, terus dewasa tanpa panduan ilahi. Mari Ummi, terjun bersama kami..selayaknya kita di sini " kata mereka lagi, lantas pantas mencapai tanganku ke tepian api..


Astaghfirullah..Aku terjaga dari lena. Tertidur rupanya. Ku toleh ke sisi, anak-anak masih dibuai mimpi. Bilik yang tadi suram, telah kembali terang. Terngiang-ngiang lagi 'jeritan' anak-anak dalam mimpiku tadi. Perlahan-lahan aku bangun. Sementelah, belum masuk Subuh, aku ingin munajat pada Ilahi, mohon kekuatan dan petunjuk. Jangan 'peristiwa' dalam mimpi menjadi realiti.

' Ya Allah, dalam hening malam aku sujud pada Mu. Kumohon jangan pernah berpaling dariku. Aku tak punya siapa-siapa untuk menolong. Aku menagih rahmat kasih sayang Mu, Ya Allah. Bantulah aku, dalam mendidik anak-anakku. Kurniakan aku kekuatan menegur dan membetulkan salah silap mereka. Dengan baki usia yang masih bersisa ini, ya Allah. Aku akan bersama suami menunjukkan jalan yang benar kepada mereka. Pandulah kami, bimbinglah kami. Kami ingin mati dalam redha Mu. Kami ingin menuju akhirat Mu tanpa beban yang masih berbaki.
Alam kini penuh fitnah, dinding kami dari fasad dan jahat dunia. Kami tak daya menolak tanpa bimbingan dan hidayah Mu.
Kurniakan kami anak-anak yang soleh dan solehah agar di sana kelak kami tidak saling menyalak.
Kami akan mendidik mereka berlandas syari'at, Al Quran dan Sunnah sebagai pengikat. Ya Allah, hadiahkan kami redhamu, izinkan kami bernaung di bawah cinta Mu, walau kami sedar kami banyak dosa tapi kami tak akan pernah berputus asa'.

***************************************************************************

Untuk renungan wanita bergelar ibu,

Kita sekian lama berbangga kerana syurga di bawah telapak kaki kita, namun sepatutnya kita lebih dulu insaf, kerana syurga atau neraka seorang anak, kitalah pencorak pertamanya. Semoga beroleh manfaat.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.


Jumpa lagi, Insya Allah.

3 Rabi'ulakhir 1430

30 Mac 2009

Comments

Zaharuddin said…
Assalamu'alaikum ya habibati,

Alhamdulillah, dah semakin dahsyat bakat menulis ini..baru 4 entry dah menjadi..:)

teruskan berkarya dan memberi manfaat.

www.zaharuddin.net
Ws, abang.

Alhamdulillah, thumma Alhamdulillah. Semuanya kekuatan dari Nya jua.

Berkat doa dan dorongan abang, terima kasih :)
Anonymous said…
Assalamua'laikum Ummu Husna,

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.. seronok sangat tengok kombinasi Ummu Husna & Ustaz Zaharuddin berblog, amat serasi. Pengisian ilmu & rohani yang bermanfaat (blog Ummu Husna)- memang terkesan & berkesan. Teruskan usaha dakwah ini. Moga diberi kekuatan & dipermudahkan segalanya.
Klinik Ummi said…
Assalamualaikum Dik Ina;

Subhanallah..bukan ingin memuji, tetapi bakat penulisan kurniaan Allah ini memang sewajarnya terus diasah, dipupuk dan disemai...moga akhirnya ia dapat dimanfaatkan sebagai ilmu yang berkat.

Kak Ummi tunggu terbitnya buku hasil pengumpulan tulisan-tulisan Ummu Husna suatu hari nanti...madah dari hati dan jiwa seorang ibu pastinya akan lebih tertusuk ke kalbu seorang ibu...
Salam,

Kak Ina, Subhanallah...seolah-olah saya sedang membaca novel Best Seller! :)Menarik dan sangat bermanfaat! Tahniah...
SalehSobri said…
Salam,
Alhamdulillah...walaupun jauh..tp citer nyamuk kat sana mcm family kak ada kat mesia nih...mcm kat kampung...hahahaha...
apapun sy nak beri skit pandangan, boleh tak kak set kan popup untuk comment site, so sng la nak ke artikel sebelumnye...tak payah nak back page..sbb masa is time...hehehe..juzz pandangan je..sy pun baru blaja nak berblog gak..dan sy slalu masuk site Ustaz Zaharuddin.Apepun smoga berbahgia slalu di sana.
Salam,Inasraman, Kak Ummi & Shaza,

Alhamdulillah, terima kasih atas semangat dan doa yang diberi. Semoga menjadi motivasi kepada saya untuk terus berkongsi ilmu seadanya, amin.

Saleh,

Kritikan membina yang baik sekali. Terim kasih. Insya Allah akan saya usahakan. Kena bertanya pada yang dah pro, maklum saya ni baru bertatih.

Tentang cerita pula, bukan rekaan di bumi UK ni, tapi benar berlaku di Malaysia. Masa masih anak dua. Semoga ada manfaat buat semua, Insya Allah.

Slam ukhuwwah buat semua.
Min said…
assalamualaikum...

kak ina,

bestnya... tersentak seketika membaca nukilan kak ina ni. rasa suatu tamparan yg amat hebat untuk diri yang bergelar ibu. ya Allah! tunjukkan kami jalan untuk kami dan pandulah kami dalam mendidik anak2 pewaris Muhammad ini ya Allah!
Ws, Min.

Betul tu. Besarnya tanggungjawab sebagai ibu.

Semoga Allah sentiasa memberikan inayahNya, amin.
AnIsMaNiS said…
Salam..alhamdulillah..blog yg amat membina dn membantu diri menjadi muslimah,isteri dn ummi yg lebih baik insyAllah..looking forward for ur next entry.. =)
Anonymous said…
Salam ziarah.

Tahniah ustazah. Teruskan berkarya. Terima kasih menyedarkan saya tanggungjawab seorang ibu.
Anonymous said…
tahniah atas tulisan yang menyedarkan
Nurul Husna said…
salam,

gembira membaca, syukran...
u_humaira said…
assalamualaikum.. kak ina..

menitis air mata .. terima kasih.. terasa diri terlalu alpa dengan keindahan dunia dan kerdil kerna tidak istiqomah dalam mempraktikkan sunnah junjungan kita..

u_humaira
fiezaradzi said…
salam kak ina.. mmg besar cbaran mdidik anak ni kan.. moga Allah kurniakan ksabaran & ksungguhan dlm mdidik anak ke jln yg lbh baik..

Popular posts from this blog

JANGAN HILANGKAN.....

Pernahku... ( Sempena 8030 hari mengasihimu )

YANG PERTAMA DAN KEDUA